Gejala-gejala Diabetes Tidak Terkawal

Simptom-simptom diabetes jenis 1 yang biasa termasuklah kerap membuang air kecil, terasa amat dahaga, penurunan berat badan mendadak, terlampau penat dan kabur penglihatan.

Individu yang menderitai diabetes jenis 2 mungkin mengalami gejala yang sama tetapi mungkin tidak berapa jelas.

Hampir 50 peratus daripada mereka tidak menunjukkan apa-apa gejala dan hanya didiagnos setelah beberapa tahun `berkawan rapat’ dengan penyakit kencing manis ini.

Komplikasi diabetes

Sesuai statusnya sebagai penyakit kronik yang kekal sepanjang hayat, diabetes memerlukan kawalan serta pemantauan yang cermat dan berhati-hati.

Tanpa pengurusan yang sewajarnya, ia boleh membawa kepada hiperglikemia yang berkait rapat dengan kerosakan berpanjangan tubuh badan serta kegagalan pelbagai organ dan tisu.

Komplikasi jangka panjang dan pendek termasuklah penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, penyakit saraf dan mata.

Faktor risiko diabetes

Jenis 1: Kedua-dua pengaruh genetik dan persekitaran memainkan peranan penting dalam perkembangan diabetes jenis 1.

Pencetus persekitaran yang berpotensi adalah seperti virus, toksin dalam rantaian makanan dan komponen dietari, walaupun sehingga kini penglibatan faktor-faktor ini masih belum terbukti dalam majoriti kes.

Jenis 2: Faktor-faktor risiko bagi diabetes jenis 2 termasuklah berat badan berlebihan dan obesiti, kurang bersenam, diet tinggi lemak dan kurang serat, etnik, sejarah keluarga, usia (terutamanya melebihi 45 tahun) dan kelahiran tidak cukup bulan.

Diabetes dan kaki

Sekalipun diabetes diiringi oleh senarai panjang komplikasi serius seperti kebutaan namun, masalah kaki merupakan antara komplikasi yang paling berkos tinggi.

Pesakit diabetes berisiko mengalami kerosakan saraf (neuropati) dan masalah bekalan darah ke kaki (iskemia), kedua-duanya boleh menyebabkan ulser kaki dan luka yang lambat sembuh. Jangkitan pada luka ini, akibatnya adalah amputasi.

Mengikut perangkaannya, setiap 30 saat, satu kaki terpaksa dibuang di mana-mana ceruk dunia dan pesakit diabetes adalah 25 kali lebih cenderung kehilangan kaki berbanding individu tanpa penyakit itu.

Adalah juga dianggarkan, sehingga 70 peratus pemotongan bahagian kaki bawah ada kena-mengenanya dengan diabetes – satu angka yang tidak masuk akal.

Ini mengambil kira insiden ulser kaki yang walaupun kerap berlaku tetapi selalunya ia boleh dirawat.

Kes-kes amputasi juga boleh dikurangkan sehingga 85 peratus dengan adanya langkah-langkah pencegahan dan pengurusan asas diabetes seperti amalan melihat jika terdapat benda asing di dalam kasut sebelum menyarungnya dan tidak berkaki ayam.

Penyakit kaki diabetik memberikan impak yang sangat teruk ke atas kehidupan pesakit. Sekalipun sebelah kaki terpaksa dibuang, sebelah kaki lagi dan kehidupan seterusnya seseorang dapat diselamatkan dengan pengurusan yang agresif.

Kebanyakan amputasi bermula dengan ulser kaki

Ulser kaki merupakan satu perkara biasa di kalangan pesakit diabetes di mana kira-kira 85 peratus amputasi berkaitan diabetes, diawali dengan kejadian ulser kaki.

Di negara-negara maju sekalipun, sehingga lima peratus pesakit diabetes mengalami masalah ini manakala satu dalam setiap enam pesakit akan mendapat ulser sepanjang hayat mereka.

Masalah kaki turut menjadi punca utama kemasukan pesakit diabetes ke hospital terutamanya di negara-negara sedang membangun.

Apakah yang menyebabkan ulser kaki diabetik?

Ulser kaki kebanyakannya berpunca daripada kerosakan saraf (neuropati periferal), kecacatan biasa seperti jari kaki tukul dan bunion/bengkak pada sendi antara ibu jari kaki dan tulang metatarsal pertama.

Ia juga boleh disebabkan oleh bentuk kaki yang tidak normal di mana kasut yang sesuai sukar dicari, bekalan darah yang lemah ke kaki (penyakit vaskular periferal) dan kecederaan yang pada mulanya kelihatan remeh-temeh.

Rawatan

Sebaik sahaja saraf-saraf dirosakkan oleh diabetes, sensasi tidak dapat dipulihkan kembali. Kaki yang telah menjadi kaku perlu dilindungi daripada tekanan tidak normal.

Jika tekanan ini tidak dilegakan, ulser akan datang semula. Rehat yang ringkas dan penggunaan plaster khas merupakan antara sebahagian cara melegakan tekanan.

Apabila bekalan darah lemah, rawatan yang boleh diberikan adalah untuk menyekat pembuluh darah atau sebaliknya, meningkatkan aliran darah.

Jangkitan kaki perlu dirawat dengan antibiotik yang bersesuaian, jika ada. Kadangkala, tisu-tisu yang dijangkiti juga terpaksa dibuang.

Bagi meningkatkan peluang penyembuhan, glukos darah hendaklah dikawal ketat manakala faktor-faktor komplikasi lain yang mungkin berlaku, perlu dirawat.

Ulser dan luka perlulah ditutup dengan kasa atau pembalut dan dicuci setiap satu atau dua hari sekali dengan air bergaram. Kejadian semula ulser dapat dielakkan jika punca ulser dikenal pasti dan langkah-langkah yang sewajarnya diambil.

Apa yang boleh dilakukan – apa yang tidak

– Periksa kaki anda setiap hari jika terdapat luka, repuh, lebam atau perubahan warna, bengkak dan kudis terbuka. Segeralah berjumpa doktor. Gunakan cermin untuk melihat luka pada kaki atau jika ia sukar dilakukan, dapatkan bantuan seseorang.

– Elakkan pemakaian kasut bertumit tinggi, bermuncung tajam, bertumit halus, tidak bertali dan terbuka di belakang.

– Sentiasa lindungi kaki anda. Pakai kasut atau selipar yang sesuai baik di dalam mahupun luar rumah bagi mengelakkan kecederaan kaki.

– Jangan pakai stoking yang ketat. Periksa dalam kasut anda kalau-kalau ada batu, objek tajam dan tempat-tempat kasar sebelum memakai kasut.

– Berhati-hati apabila membasuh kaki. Jangan gunakan air yang terlalu panas.

– Beli kasut baru pada lewat petang kerana kaki membengkak menjelang penghujung hari. Oleh itu, anda akan lebih pasti tentang ukuran kasut yang benar-benar sesuai dan tidak terlalu ketat.

– Jangan gunakan alat pemanas atau botol air panas untuk menghangatkan kaki anda.

– Pemakaian stoking dapat membantu mengelakkan kecederaan. Pastikan ia tidak terlalu ketat dan dibasuh setiap hari. Pastikan juga, stoking tidak berlubang.

– Elakkan berjalan kaki ayam. Sekiranya tidak dapat dielakkan atas alasan budaya atau agama, anda hendaklah begitu berhati-hati dan elakkan risiko terbakar kerana permukaan yang panas dalam cuaca yang juga panas.

– Selalulah membasuh kaki menggunakan air dan sabun serta di celah-celah jari. Keringkan kaki terutamanya di antara celah-celah jari. Gunakan minyak atau losen untuk mengekalkan kelembutannya.

– Jangan cuba merawat kaki sendiri menggunakan ubat-ubatan kematu atau mata pisau. Dapatkan bantuan profesional jika ada masalah.

– Potong kuku kaki secara lurus dan kikir mana-mana tepi yang tajam.

– Elakkan pertambahan berat badan. Lakukan pemeriksaan kaki profesional secara berkala.

– Jangan merokok kerana ia mempengaruhi bekalan darah ke kaki.

– Balut luka dengan pembalut yang bersih. Jangan pakai barangan kemas di kaki.

Ingat! Jika masalah kaki anda tidak mendatangkan kesakitan sekalipun, ia masih sesuatu yang serius.

Tinggalkan komen