Ritual menyambut zuriat

Zuriat adalah anugerah Allah. Memperoleh zuriat adalah matlamat terpenting dalam kehidupan keluarga. Zuriat adalah nikmat yang memberi kesejahteraan dan ketenangan dalam kehidupan.

ALLAH menegaskan: “Harta dan anak pinak itu adalah perhiasan hidup dunia” – surah al-Khaf:18. Menyambut kehadiran zuriat merupakan saat yang paling bahagia kepada ibu bapa khususnya bagi menyambut kelahiran anak pertama.

Anak disifatkan sebagai cahaya mata ibu bapa. Firman Allah: “Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami daripada isteri-isteri kami dan keturunan kami cahaya-cahaya mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”- surah al-Furqan:75.

Adalah menjadi galakan dalam agama Islam agar umatnya melahirkan zuriat. Firman Allah: “Maka sekarang setubuhilah mereka dan perolehlah apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kamu”- surah al-Baqarah:187. Rasulullah menegaskan bahawa: “Berkahwinlah kamu semua dan lahirkan anak banyak-banyak. Kerana aku akan berbangga dengan kamu semua di hadapan umat-umat lain di hari kiamat”- hadis riwayat al-Hakim.

Dalam hubungan ini, al-Quran menjelaskan akan tanggungjawab agar ibu-ibu yang mengandung diberi layanan yang baik. Firman Allah: “Tempatkanlah mereka (para isteri yang menjalani idahnya) iaitu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka di tempat tinggal itu) dengan tujuan kamu hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusahkan anak-anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya”- surah at-Talaq: 6.

Antara amalan yang digalakkan setelah anak dilahirkan adalah disunatkan azan dan iqamat, memberi nama yang baik, belah mulut (tahnik), mencukurkan rambut dan akiqah.

Azan dan iqamatSetelah anak dibersihkan, bapa bolehlah azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri (anak perempuan iqamat di telinga kiri sahaja).

Amalan ini pernah dilakukan oleh Rasululah terhadap cucunya Hasan dan Hussin. Sabda Rasulullah: Dari Abi Rafik berkata: “Aku telah lihat Rasulullah melakukan azan di telinga Hasan bin Ali setelah baru dilahirkan oleh ibunya Fatimah” – hadis riwayat Timizi.

Sabda Rasulullah diriwayat oleh Baihaqi dan Ibnu Sunni dari Hasan bin Ali dari Nabi s.a.w: “Sesiapa yang melahirkan anak maka hendaklah ia melakukan azan di telinga anaknya yang kanan serta iqamat pada telinga kiri, nescaya anak tidak dicabuli oleh Ummu Sibyan”. Ummu Sibyan adalah nama jin perempuan yang mengganggu kanak-kanak.

Seterusnya sunat baca ayat Qulhuwallah (surah al-Ikhlas dan ayat 36 dalam surah al-Imran). Rahsia dan kelebihannya adalah agar anak dihindari daripada gangguan dan tipu daya syaitan, menandakan kehebatan alam semesta ciptaan Allah, mengajar syariat Islam (melalui kalimah syahadah) dan menanamkan kalimah mulia dalam hati.

Memberi nama yang baikMerupakan upacara tahniah yang selalu menjadi amalan Rasulullah terhadap anak yang baru lahir. Abu Budah meriwayatkan Abu Musa berkata: “Saya mendapat seorang anak lelaki, lalu saya pergi menemui nabi. Baginda pun menamakan bayi itu dengan nama Ibrahim serta mentahniknya dengan buah tamar dan mendoakan keberkatan baginya. Kemudian Baginda beri balik anak itu kepada saya”- hadis riwayat al-Bukhari.

Nama yang baik adalah nama-nama yang ada hubung kait dengan Islam atau pengertian yang indah. Tegas Rasulullah: “Nama-nama kamu yang kamu paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman”- hadis riwayat Muslim. Rasulullah pernah mengubah nama salah seorang nama anak Ibnu Umar r.a yang bernama ‘Asiah’ (yang bererti derhaka) kepada ‘Jamilah’ (yang cantik).

Tahnik (Belah Mulut)Menggunakan buah tamar dimamah lumat dan disuapkan sedikit kepada bayi dan gerakan ke kanan dan ke kiri. Ini bertujuan untuk mendidik bayi agar mudah menyusu dan dengan amalan ini adalah untuk menjana sifat taqwa, kesejahteraan dan kefasihan lidah.

Sabda Rasulullah s.a.w : Dari Abi Musa r.a berkata: “Aku telah mendapat seorang anak lelaki, aku bawa datang kepada Nabi serta mendoakan kepadanya dengan keberkatan, bila selesai Baginda pun mengembalikan kepadaku semula”.

Cukur rambutSemasa bayi berusia tujuh hari, sunat rambutnya dicukur. Berat rambut ditimbang sama dengan nilai emas atau perak dan disedekah dengan nilainya kepada fakir miskin. Bercukur dari segi kesihatan boleh melebatkan rambut, menguatkan kulit kepala, menyuburkan pancaindera (mata, penglihatan, pendengaran dan deria bau). Saidatina Fatimah pernah menimbang rambut Saidina Hassan dan Hussain serta rambut Saidia Zaiab dan Umi Kalthum serta menyedekahkan perak bersamaan beratnya. Adalah dilarang membuat jambul. Rasululah s.a.w menegaskan: Dari Abdilah bin Omar r.a berkata: “Rasululah s.a.w telah melarang meninggalkan rambut bertompok-tompok”- hadis riwayat al-Sahihain

Aqiqah Aqiqah adalah amalan sunat yang biasanya boleh dilakukan pada hari ketujuh selepas anak dilahirkan. Dari Samrah bin Jundub r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiap-tiap bayi itu tergadai dengan aqiqahnya. Disembelih kambing atau biri di hari yang ketujuh dan dicukurkan rambut serta diberi nama ke atasnya” – hadis riwayat Abu Daud.

Bagi anak lelaki disunatkan sembelih dua ekor kambing atau biri-biri dan satu ekor bagi anak perempuan (kambing atau biri sampai umur seperti untuk korban). Dari Habibah binti Maisarah: “Ia pernah mendengar Rasululah s.a.w berkata untuk lelaki dua ekor kambing yang sama besar dan untuk perempuan seekor kambing”- hadis riwayat Abu Daud. Daging aqiqah digalakkan di masak gulai manis dan tulangnya tidak dipatahkan. Sabda Rasululah: “Dari Aisyah r.a yang sunat dua ekor kambing yang sekupu (sama besar) untuk bayi lelaki dan bayi perempuan seekor dimasakkan secara berangkai-rangkai dan jangan dipatah-patahkan”- hadis riwayat al-Baihaqi.

Oleh Dr Jamaludin (Kosmo Online)

2 thoughts on “Ritual menyambut zuriat

  1. Sebagai ibu muda yang cetek dengan ilmu keagamaan serta bingung dengan adat2 campur di masakini, saya amat berbesar hati dengan ilmu dan sedikit pengetahuan seperti ini. wasallam…..

  2. saya telah menimbang rambut anak…rambut nya agak tebal dan saya tidak mmpu menyedekahkan nilai berat rambut=harga emas kini kepada fakir miskin.tapi saya sudah berniat untuk bersedekah.oleh itu…berapakah nilai yang wajid saya sedekahkan kalau ikut kemampuan saya…

Tinggalkan komen