Tepak sirih pembuka kata

Oleh Hidayah MohamMad 

 
SENI WARISAN: Tepak sirih moden pelbagai jenis material dan bentuk serta warna.

MASYARAKAT Melayu memang terkenal dengan sifat sopan santun dan berbudi bahasa. Malah, kaya juga dengan adat istiadat budaya dalam menjalani kehidupan seharian. Adat lebih diutamakan, bak kata pepatah ‘biar mati anak jangan mati adat’, lebih-lebih lagi ketika mengadakan majlis meminang, bertunang dan pernikahan.

Bagi mendahului upacara merisik, tunang dan nikah, masyarakat Melayu menggunakan tepak sirih sebagai pembuka kata. Tidak kurang juga, tepak sirih dikategorikan sebagai ‘kepala’ atau ibu kepada barang hantaran untuk majlis pertunangan dan pernikahan yang lain.

Pembuka bicara

BERSUA kembali dalam ruangan Direnjis-renjis dengan wajah baru Ratu. Kali ini, saya diberi peluang mengendalikan ruangan ini yang memaparkan mengenai alam perkahwinan bermula dari awal hingga akhir.

Secara keseluruhan, Direnjis-renjis membantu bakal pengantin dalam mempelajari dan mempersiapkan diri baik dari segi kelengkapan perkahwinan, hantaran, pelamin mahupun bilik tidur yang disediakan di galeri perkahwinan yang ditawarkan.

Kali ini, saya dahulukan dengan penggunaan tepak sirih yang tidak lengkap tanpanya pada majlis perkahwinan.

MEWAH: Tepak sirih dua tingkat berkerawang emas dihiasi dengan bunga hirisan pinang dan kapur.

Juruandam veteran, Rohani Shahabudin, berkata sebelum meneruskan majlis pertunangan dan pernikahan, terlebih dulu tepak sirih dibawa ke rumah mempelai perempuan untuk tujuan meminang. Penuh dengan santun dan budi bahasa, tepak sirih lengkap dengan isi dibalut dalam kain songket sebelum diserahkan kepada keluarga perempuan.

“Keluarga perempuan yang menerima pinangan itu akan membuka balutan songket dan mula memakan daun sirih bersama pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur yang diisi di dalam cembul tepak sirih. Bagaimanapun, tepak sirih turut berfungsi memutuskan hubungan antara pasangan yang sudah bertunang sekiranya wanita tunang orang itu melakukan perkara tidak baik.

“Caranya, keluarga lelaki menghantar tepak sirih yang lengkap isinya dan diterbalikkan dalam kain selain songket. Maka, apabila dibuka pihak keluarga perempuan sudah mengetahui apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengikut sejarah, pada zaman awal Kesultanan Melayu Perak, ada dua buah tepak sirih yang diperbuat dari emas diberi nama Puan Bujur dan Puan Naga Taru. Alat berkenaan dijadikan sebagai alat kebesaran diraja atau regalia dan masih tersimpan sebagai khazanah berharga istana Sultan Perak hingga kini. Ada juga beberapa bentuk tepak sirih dan masyarakat Melayu menamakan tepak sirih berbentuk bujur sebagai puan dan bentuk empat segi bujur sebagai tepak.

PELBAGAI: Tepak sirih dipelbagaikan dan bentuk ini nampak lebih bergaya moden tetapi masih bercirikan adat Melayu lama.

Rohani yang berkecimpung dalam dunia andaman sejak lebih 30 tahun lalu berkata, di dalam tepak sirih terdapat enam cembul yang digunakan untuk menyimpan ramuan sirih seperti pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Paling utama ialah daun sirih. Susunannya perlu betul bagi menunjukkan tertib ketika mengapur sirih.

“Dalam tepak, sirih dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya serta disusun dalam satu baris. Sirih wajib dilipat supaya mengelak daripada terlihat ekor sirih itu dan juga mengelak tanggapan sebagai kurang sopan dan tidak menghormati tetamu.

“Tepak sirih yang lengkap diserikan dengan hiasan bunga segar dan dibungkus dengan kain songket. Tepak sirih seperti itu pula dinamakan tepak sirih adat,” katanya.

Beliau berkata, hantaran tepak sirih bukan sekadar memenuhi adat, tetapi ia adalah makanan berkhasiat untuk badan. Selain dikatakan wajib bagi pihak lelaki menghantar tepak sirih bersama hantaran lain untuk majlis pertunangan dan pernikahan, wanita juga perlu membalasnya dengan tepak sirih pada dua majlis itu. Cuma bezanya, pihak perempuan tidak memberi bingkisan tepak sirih ketika menerima pinangan daripada pihak lelaki.

Amalan memberi dan menerima tepak sirih masih dijalankan ketika majlis pertunangan dan pernikahan. Namun, kini, masyarakat bagaikan alpa dengan adat menghantar tepak sirih ketika merisik dan hanya menyerahkan sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda.

Bagaimanapun, tepak sirih yang menjadi barang kebanggaan masyarakat Melayu dan tidak akan lapuk dek zaman.

INFO
Sejarah tepak:

  • Alat kebesaran dan tanda kebudayaan Raja-Raja dan masyarakat Melayu turun temurun.
  • Diletakkannya di dalam sebuah pahar beralas kain baldu kuning Raja.
  • Komponan tepak sirih:

  • Bekas sirih – saiznya hampir serupa dan berbentuk pipih, lebar pada bahagian mulut (8 sm) dan menguncup pada bahagian bawah (6 sm) dan tinggi (10 sm). Ada berbentuk segi lapan atau segi enam.
  • Cembul – komponen di dalam tepak sirih terdiri daripada lima ramuan untuk pinang, kapur, gambir, tembakau dan bunga cengkih.
  • Kacip – berfungsi untuk membelah buah pinang yang keras.
  • Gobek – berperanan seperti antan dan lesung untuk melumatkan sirih. Nenek tua yang sudah tidak mempunyai gigi akan berdamping rapat dengan gobek bagi membolehkannya menghilangkan ketagihan makan sirih.
  • Celepa – untuk mengisi tembakau atau piak sirih. Sesuai digunakan untuk seseorang itu merantau jauh.
  • Ketur – dikenali sebagai tempat berludah dan menjaga kebersihan.
  • Makna tersirat:

  • Sirih – Diertikan sifat rendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain.
  • Kapur – Melambangkan hati seseorang yang putih bersih serta tulus, tetapi jika keadaan tertentu yang memaksanya ia akan berubah lebih agresif dan marah.
  • Gambir – sifatnya yang kelat kepahit-pahitan memberikan erti kecekalan hati.
  • Pinang – Digambarkan sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, tinggi darjatnya serta jujur.
  • Tembakau – Melambangkan seseorang yang berhati tabah dan sedia berkorban dalam segala hal.
  • Pantang larang bakal pengantin Melayu

    APAKAH anda sudah bertemu pasangan yang serasi dengan diri anda?

    Bagi yang bertunang atau bakal bergelar raja sehari, ada banyak pantang larang yang harus diikuti.

    Dalam masyarakat Melayu, sebaik ditetapkan hari perkahwinan, bermakna bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu.

    Apa yang ditetapkan harus diikuti demi kebaikan diri mereka. Orang Melayu yang terkenal dengan adat resamnya yang tinggi mempunyai amalan tertentu untuk kebaikan semua pihak.

    Ia bukanlah menjadi kewajipan tetapi satu budaya masyarakat Melayu. Walaupun bakal pengantin masa kini jarang mengamalkan petua itu, tidak rugi jika ia diikuti.

    Cuba selami betul-betul supaya anda dapat mendalaminya. Jika anda merasakan ia bersesuaian, mungkin anda bersetuju dengan apa yang dikemukakan. Jika sebaliknya, abaikan saja.

  • Jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijab kabul untuk mengelakkan tohmahan masyarakat. Selain itu ia bertujuan untuk mengawal nafsu. Ia juga untuk menimbulkan perasaan rindu dendam. Perasaan yang timbul akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.
  • Jangan tidur di rumah orang takut terkena ilmu. Ia juga adalah untuk menjaga nama baik keluarga.
  • Jangan bebas keluar ke mana-mana kerana takut disantau oleh mereka yang mempunyai niat tidak baik.
  • Jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin bagi mengelakkan perut buncit.
  • Elakkan makan ulam yang berbau busuk seperti petai dan jering.
  • Jangan bercermin terutama selepas Maghrib ke atas bagi mengelak diri dari terkena sihir.
  • Jangan membuang air kecil dan air besar serentak di dalam air contohnya dalam sungai, kolah kerana ia boleh melemahkan organ seks.
  • Elakkan minum air mengandungi gas kerana ia mempunyai gula dan gas yang tinggi dan boleh menyebabkan kencing manis.
  • Kurangkan makan makanan yang manis kerana jika terkena kencing manis, lelaki akan menghadapi masalah ketika bersama.
  • Elakkan mandi malam kerana tidak elok untuk sendi-sendi.
  • Kawal makan iaitu sekali makan setiap hari (mengikut sesetengah adat).
  • Kaum lelaki elakkan memakai seluar dalam yang ketat pada waktu malam dan tidur meniarap kerana tidak bagus untuk organ seks kerana darah tidak mengalir.
  • Elakkan terlalu banyak makan makanan laut kerana ia mengandungi banyak toksid.
  • Tiga bulan sebelum berkahwin, mula membuat urutan supaya pengantin mempunyai tenaga yang cukup sebagai persiapan.
  • Amalkan makan telur ayam kampung dua kali seminggu yang dicampur madu dan lada hitam yang ditumbuk untuk menambah tenaga.
  • Bagi mereka yang banyak angin, minum air halia untuk membuang angin.
  • Belajar ilmu rumah tangga daripada orang yang berpengalaman dan sudah berkahwin tentang rahsia memikat isteri supaya rumah tangga aman dan damai.
  • Jangan memuaskan nafsu dengan cara sendiri.
  • Cukupkan waktu tidur tujuh hingga lapan jam sehari.
  • Elakkan minum minuman keras dan merokok.
  • Elakkan terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.
  • Elakkan minum air soya kerana ia sejuk dan tidak elok untuk alat kelamin.
  • Amalkan makan jamu supaya malam pengantin tidak mengecewakan.
  • Banyakkan baca surah-surah bagi mengelakkan gangguan syaitan. Sentiasa mengingati Allah.
  • Jangan makan sebebas-bebasnya kerana ketika ini sistem dalaman tidak stabil.
  • Jangan terlalu terdedah kepada keluarga lelaki (simpan diri).
  • Jangan berembun atau keluar malam bagi mengelak unsur jahat.
  • Jangan bercelak serta memotong rambut seminggu sebelum ijab kabul.
  • Jika sudah nikah gantung tidak boleh bersama.
  • Selepas nikah mesti ada peneman tidur sebelum bersama. Ia bertujuan menghangatkan lagi kemesraan.
  • Bilik lelaki atau wanita jangan dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalam bagi mengelak daripada dikhianati.
  • Jangan buat kerja yang berat kerana apabila pengantin membuat kerja berat, dia akan berasa penat dan mudah terjadinya gangguan emosi.
  • Jaga pertuturan agar tidak menimbulkan rasa sakit hati.
  • Elakkan makan dan minum seperti sayur bersifat sejuk seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu dan air kelapa agar muka nampak segar.
  • Jangan cukur kening ditakuti akan menghilangkan seri muka.
  • Sebelum menjadi pengantin, katil kelamin tidak boleh ditiduri oleh pengantin kerana tidak manis.
  • Lempar baju di atas bumbung rumah tanpa diketahui orang lain bagi mengelak hujan turun ketika majlis berlangsung.
  • Dilarang memandang cermin ketika disolek kerana dikhuatiri hilang seri.
  • Kedua pengantin dilarang bercakap ketika bersanding kerana kurang manis dipandang tetamu.
  • Jangan makan leher ayam nanti dikhuatiri kepala senget masa bersanding.
  • Dilarang membuang alis kerana perbuatan tersebut akan menghilangkan seri wajah buat pengantin lelaki.
  • Elakkan keluar rumah tanpa tujuan menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin mengalami kemalangan jika berada di luar.
  • Bunga tangan buat sang pengantin

    SEJARAH asal mencatatkan bahawa karangan bunga tangan menjadi sebahagian daripada perkara yang perlu ada pada majlis perkahwinan tanpa mengira bangsa mahupun agama. Ia sebenarnya menjadi simbol kegembiraan dan kebahagiaan.

    Dalam adat perkahwinan Inggeris, mereka percaya bahawa jika wanita masih bujang menangkap bunga yang dicampakkan oleh pengantin perempuan, mereka bakal mendirikan rumah tangga selepas itu.

    Tidak kira warna kulit, bangsa atau agama kini semuanya inginkan bunga tangan untuk melengkapi penampilan ketika bergelar raja sehari.

    Selain dapat menaikkan seri pengantin, rata-rata pengantin perempuan berpendapat, memegang bunga tangan dapat mengurangkan rasa gugup mereka yang menjadi tontonan tetamu pada hari bersejarah tersebut.

    Karangan bunga yang indah dan menarik menjadi keutamaan yang menjadikan penampilan seseorang pengantin itu bertambah ceria dan segar.

    Hasil kreativiti penggubah bunga, tercipta pelbagai jenis bunga tangan yang memang cantik lagi menawan.

    Ditambah pula dengan penggunaan bunga segar dan aksesori, menjadikan bunga tangan antara salah satu keperluan pengantin yang tidak lagi dipandang ringan.

    Pemilik Flora, Etc…, Razak Ahmad berkata, gubahan bunga tangan tidak semestinya berbentuk bulat, ia boleh dihasilkan dalam beberapa bentuk mengikut tema, warna dan konsep perkahwinan pasangan pengantin itu.

    “Di Flora, Etc… idea yang digunakan adalah daripada gaya sendiri dan lain daripada yang biasa. Ada juga yang digubah mengambil inspirasi daripada gaya Inggeris.

    “Namun, kebanyakan pengantin lebih gemar memilih karangan bunga ros putih, merah, merah jambu untuk dijadikan bunga tangan mereka,” jelas beliau.

    Sebelum memutuskan bunga segar yang dipilih untuk dijadikan bunga tangan, Razak akan memastikan konsep perkahwinan, pakaian pengantin dan warna tema perkahwinan untuk disesuaikan dengan pemilihan bunga dan warnanya.

    Bagaimanapun pendapat pengantin tetap diutamakan agar mereka dapat merasakan lebih kepuasan pada hari bersejarah kelak.

    “Dinasihatkan kepada bakal pengantin yang ingin menempah bunga tangan daripada bunga segar agar menghubungi dua atau tiga hari lebih awal dari tarikh perkahwinan. Berikan semua maklumat kepada penggubah bunga dan kemudian boleh menetapkan waktu untuk mengambil bunga tersebut.

    Kami juga akan memberi cadangan kepada pelanggan jika bunga tangan tersebut perlu dicampurkan dengan bunga tiruan atau sebarang aksesori tambahan lain,” kata beliau yang pernah menghasilkan jambangan bunga untuk artis Hollywood seperti Jennifer Aniston dan Cameron Diaz ketika berkerja di Amerika Syarikat satu ketika dulu.

    Tambah Razak, bunga tangan yang diperbuat daripada bunga segar biasanya kekal segar dan cantik hingga lapan hari. Harga untuk tempahan bunga tangan pula bermula daripada RM250 ke atas. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 03-21668090 atau layari laman web http://www.floraetc.com.my.

    Hantaran tanda cinta

    Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

    Dalam adat perkahwinan orang Melayu, selain tarikh, mas kahwin dan wang hantaran, perkara yang menjadi topik perbincangan ialah barang hantaran. Barang hantaran yang lebih membawa maksud sebagai hadiah kepada pasangan, turut ditentukan untuk dibawa oleh kedua-dua pihak sama ada sepersalinan atau serba satu. Kemudian jumlah bilangannya, inilah yang unik dalam perkahwinan masyarakat Melayu.

    Adat berbalas-balas hantaran adalah simbolik kepada tanda kasih sayang kedua-dua pasangan tersebut.

    Kini, hantaran turut mempunyai konsep dan warna yang ditentukan oleh pasangan pengantin. konsep moden, Inggeris, tradisional menjadi pilihan. Manakala warna-warna seperti perak, emas, firus, hijau epal, merah samar malah untuk kelihatan unik, warna hitam turut dipilih.

    Konsep tradisional bersangkar separuh menjadi pilihan kali ini. Bakul mengkuang yang disaluti dengan kertas krep hijau epal diindahkan lagi ikatan reben dan ranting perak dan emas menceriakan lagi hantaran yang diletakkan buah-buahan, alat solek, beg tangan, jam tangan dan pewangi.

    Manakala bagi yang gemar dengan warna perak, kuning, emas dan firus, gabungan permainan reben dan bunga-bungaan akan menaikkan seri hantaran tersebut dan ia dilihat lebih eksklusif.

    Sementara itu, kini trend penggunaan bungaan segar lebih kepada pemberian lelaki kepada wanita manakala pemberian wanita kepada lelaki menggunakan bungaan tiruan.

    Tahniq dan akikah

    KITA mungkin sering mendengar budaya ‘belah mulut’ dalam masyarakat Melayu. Ia dikhususkan untuk bayi.

    Lazimnya budaya ‘belah mulut’ di kalangan orang Melayu ini diadakan setelah seseorang bayi itu dilahirkan. Begitu juga dengan akikah.

    Sebenarnya ia adalah antara amalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW (sunah) ke atas cucu baginda dan ia dinamakan tahniq.

    Cuma cara dan konsep ‘belah mulut’ kalangan orang Melayu agak kurang bertepatan dengan sunah Nabi.

    Ini kerana tahniq yang menjadi sunah adalah menyuap atau memasukkan manisan (tamar) yang dikunyah oleh Nabi (orang soleh) ke lelangit bayi.

    Cara ini diharap doa dan air liur daripada mulut Nabi dan orang-orang soleh yang sentiasa membesarkan Allah SWT dan ayat-ayat al-Quran ketika melakukan tahniq akan diwarisi oleh bayi berkenaan.

    Ketika itu juga bayi dinamakan dan dicukurkan rambut. Diikuti dengan akikah dengan menyembelih seekor kambing tanpa dipatah-patahkan tulang (kecuali potong pada sendi) untuk dijamu kepada orang ramai sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan Allah SWT dengan kelahiran seorang bayi. Ia dilakukan selepas tujuh hari bayi dilahirkan.

    Sebelum itu Rasulullah SAW diriwayatkan turut memperdengarkan azan serta iqamat ke telinga cucu baginda sebaik anaknya, Fatimah r.a. melahirkan Hassan bin Ali.

    Sunah dalam melaksanakan akikah bagaimanapun ialah selepas tujuh hari kelahiran sehingga seseorang anak itu belum mencapai usia baligh.