Atasi baran dengan bacaan ruqyah

Saya mempunyai suami yang panas baran. Dulu tidaklah sebaran ini, ia masih boleh dikawal. Sekarang tak boleh tanya atau tegur sikit pasti dia melenting. Kalau bergaduh dia suka keluar malam dan balik pukul 2-3 pagi. Saya cuba berlembut dengan mengikut rentak dia tapi saya rasa tertekan. Beban keluarga diletakkan di atas bahu saya. Anak sakit, perbelanjaan anak-anak, duit dapur hampir semua saya yang urus.

Perasaan syak kuat menguasai saya. Mana tidaknya dia pernah ada perempuan lain. Banyak kali perkara ini terjadi tapi saya maafkan dia kerana fikirkan anak-anak. Saya cuba berbincang tapi semua usaha saya berakhir dengan pergaduhan. Sikapnya itu membuatkan saya tawar hati dengannya. Namun saya masih sayangkan dia dan pernah ajak dia dapatkan kaunseling tapi saya dimarahi.

Kadang-kadang hendak rasanya berpisah dengan dia tapi memikirkan anak-anak, saya batalkan niat itu. Hingga sekarang saya cuma mampu bersabar dan berdoa supaya dia lembut hati dan menjadi suami yang penyayang serta prihatin kepada keluarga. Apa yang merisaukan saya, kadang-kadang marah saya agak keterlaluan dan menyimpan perasaan dendam terhadapnya. Rasa bersalah memang ada tapi bila bergaduh semua itu saya tolak tepi. Apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan:

Saya turut bersimpati di atas apa yang terpaksa puan tempuhi. Namun, begitulah pahit maung ujian kehidupan, bukan hanya puan seorang malah setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti ada suratan ujian masing-masing yang tidak dapat dielakkan seperti firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 2: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup – untuk menguji dan menzahirkan siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun. (67:02)

Walau bagaimanapun, Allah SWT telah memaklumkan kepada kita mengenai hal ini seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 155: Bahawasanya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut serta kelaparan, dan menghadapi masalah kekurangan harta benda, kehilangan jiwa dan berkurangannya hasil tanaman serta buah-buahan. Maka berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT kemudiannya ‘mendidik’ kita tentang apa yang perlu dilakukan apabila ujian kehidupan mengundang dalam ayat seterusnya (2:156): (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka lantas berkata: “Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.

Jadi, perbanyakkanlah lagi sabar sambil berzikir ayat ini: “Inna lillahi wa inna ilayhi raaji’un”. Allah SWT telah menjanjikan orang-orang yang membuat amalan ini dengan tiga perkara: 1. Doa (kurniaan), 2. Rahmat dan 3. Hidayah daripada-Nya di dalam ayat seterusnya (2:157): Mereka itulah orang-orang yang akan dilimpahi dengan berbagai-bagai kurniaan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang sentiasa mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Bagi mengatasi masalah baran suami puan, cubalah membaca ruqyah (sejenis doa atau ‘jampi’ syar’ie) dengan ayat 69 dalam Surah al-Anbiyaa’ ini semasa barannya muncul: Wahai api, jadilah engkau sejuk kepada Ibrahim dan peliharalah kesejahteraannya! (21:69)). Mudah-mudahan Allah menyejukkan barannya seperti mana api yang membakar Nabi Ibrahim disejukkan dengan izin Allah. Amin.

Apabila berhadapan dengan sikap keras hati suami puan, bolehlah mencuba bacaan ruqyah dari Surah al-Naml, ayat 30: Sesungguhnya (perutusan itu) dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (27:30).

Ia bersempena kisah Nabi Sulaiman yang mengajak Ratu Saba’ yang bernama Balqis agar memeluk Islam. Akhirnya, hati baginda menjadi lembut untuk memeluk Islam setelah membaca kepala surat perutusan daripada Nabi Sulaiman di atas. Mudah-mudahan bacaan ruqyah puan walaupun dalam diam akan melembutkan hati suami puan untuk kembali bertanggungjawab kepada keluarga dan bersedia untuk berbincang elok-elok dengan puan dengan izin Allah. Amin.

Bagi pihak puan juga, perlulah melakukan muhasabah diri. Contohnya mengkaji sama ada waktu puan mengajukan cadangan untuk berbincang itu sesuai atau tidak. Orang lelaki biasanya ada anginnya yang tersendiri terutamanya tidak mahu diganggu ketika sedang sibuk dengan sesuatu, dan biasanya apabila puan bertanyakan sesuatu ketika dia lapar, mengantuk, bersedih, penat atau tertekan akan membangkitkan kemarahannya.

Puan juga digalakkan memperbanyakkan istighfar kerana dalam Surah Hud, ayat 3 Allah menjanjikan kebahagiaan dan kesenangan bagi orang-orang yang memohon keampunan dari-Nya dan bertaubat (pulang menyerah diri untuk taat kepada-Nya)

Berdoa adalah sinonim dengan kehidupan seseorang Muslim, hatta solat itu pun maksud asalnya doa. Amalan berdoa menjadi simbol penyerahan diri kita kepada Allah dan betapa kita sentiasa memerlukan Allah al-Samad – tempat bergantung. Puan boleh bermunajat kepada-Nya, pohonlah apa jua permintaan puan dalam bahasa Melayu sekalipun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Allah kan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Serulah dari 99 Nama-nama-Nya yang Indah (Asma’ Allah al-Husna) dalam doa puan, seperti Ya Razzaq Ya Fattah agar Allah melimpahkan rezeki keluarga puan dan seumpamanya, semoga ia segera dimakbulkan. Amin.

Sebagai satu alternatif, puan juga boleh mencuba bacaan ruqyah dari ayat 200, Surah Ali Imraan yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), kentalkanlah daya kesabaranmu, sabarkanlah di antara kamu, perkukuhkanlah ikatan sesama kamu dan bertakwalah kepada Allah. Semoga Allah Menentukan kamu akan Berjaya (akhirnya). (3:200)).

Satu lagi amalan baik untuk perlindungan keluarga puan, bacalah Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi shay’un fil ardhi wa la fissama’ wa huwassami’ul alim. (Maksudnya: Dengan nama Allah yang terpelihara segala sesuatu dengan nama-Nya daripada apa-apa yang memudaratkan sama ada di bumi atau di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.) Menurut baginda, sesiapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu petang; begitu jugalah apabila ia dibaca tiga kali pada waktu petang, maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu pagi. [Sumber: Sunan Abu Daud, juzu’ 3, hal. 132, bil. 5088].

Semoga keluarga puan terpelihara di dalam perlindungan Allah terutamanya anak-anak puan daripada mudarat perceraian. Amin

~ Utusan

Poligami : Buntu pilih isteri pertama atau kedua

Saya berusia 27 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata berusia setahun. Bagaimanapun, belum sempat menyambut ulang tahun kedua perkahwinan, saya berkahwin lagi dengan bekas kekasih. Saya memang tidak mampu menolaknya dan dia juga sanggup membelakangkan keluarga untuk menjadi isteri kedua saya. Sekarang ini saya keliru, memilih isteri pertama atau kedua. Isteri pertama tidak dapat menerima hakikat saya berkahwin lagi dan meminta saya menceraikannya. Isteri kedua pula tidak kisah asalkan saya berlaku adil. Saya pula menyayangi kedua-duanya. Apa saranan puan?

Khiry

Jawapan:
Salam ‘macho’ buat Khiry yang mabuk cinta. Anda adalah lelaki yang sangat prihatin dengan perasaan sendiri dan sangat ghairah untuk melebarkan cinta atas nama lelaki. Sikap ini baik kerana hendak menyelamatkan wanita, tetapi tindakan ini juga sangat melukakan wanita!

Lelaki ialah hadiah daripada Allah SWT dan anda dibekalkan dengan diri yang sasa dan hebat. Namun, perlu diingat, semua ini bukan diberi percuma oleh Allah SWT kepada lelaki. Ini kerana fungsi utamanya untuk membina kebahagiaan keluarga, menjadi anak soleh yang menyenangkan hati dan kehidupan orang tua dan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang.

Kemudian anda diamanahkan jawatan sebagai suami untuk membimbing isteri menjadi isteri solehah, kemudian dinaikkan pangkat sebagai ayah, mendidik dan membimbing serta menjadi contoh terbaik kepada anak agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah, kerana syurga isteri juga di tangan anda. Anda dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak dan isteri agar anda dan mereka mampu menjawab depan Allah SWT nanti atas sebab anda dilahirkan di dunia ini.

Kontrak paling banyak tanggungjawab di hadapan Allah SWT nanti ialah kontrak perkahwinan. Kasih sayang dan cinta kepada manusia yang meluap-luap tanpa disandarkan kepada Allah SWT, bukan kerana Allah SWT dan tidak mohon reda Allah SWT, malah hanya berpaut kepada cinta nafsu saja adalah perkahwinan yang bertunjangkan nafsu. Ia tidak akan membawa anda berasa nikmatnya bahagia baik di dunia dan akhirat.

Oleh itu sebelum anda dilaknat Allah SWT kerana berhasrat berpoligami bukan sebab yang dibenarkan oleh Allah SWT, melukakan hati isteri, menggugat hubungan mesra, ikhlas dalam keluarga, renggang hubungan dengan ibu bapa dan ipar duai, lebih baik berfikir menggunakan alasan agama bukan alasan cinta nafsu yang meluap hingga akhirnya anda bukan menikmati cinta bahagia tapi akhirnya membina istana yang panas bak neraka di dunia. Jika tidak bahagia di dunia, sulit untuk kita menikmati syurga di akhirat.

Cuba bayangkan, bekas kekasih anda sanggup membelakangkan keluarganya kerana mahu menikahi anda, ini bermakna perkahwinan anda tidak direstui orang tuanya. Jarang perkahwinan sebegini akan meraih buah yang namanya bahagia. Oleh kerana restu orang tua amat penting dalam apa saja urusan seorang anak terutama perkahwinan. Sudah dipesan agama, reda Allah SWT ada dalam redanya ibu bapa. Satu lagi cuba fikirkan sikap dan pegangan agama dan keyakinan mempunyai Tuhan bekas kekasih anda itu. Jika dia memahami agama dan mentaati perintah Tuhan dan hidup dengan berpegang kepada prinsip bertuhan, dia tidak akan sanggup melukakan dan membelakangkan ibu bapa dan keluarga yang sudah membesarkan dia dari dua jari telapak kaki sehingga pandai bercinta dengan anda.

Jika jasa yang sebesar ini tidak dapat dihargai dan dibalas dengan baik, malah dia sanggup pula meninggalkan mereka, hanya kerana memburu anda yang sudah bergelar suami dan ayah! Jadi baikkah dia? Hinggakan anda harus melukakan hati isteri yang anda nikahi dengan sah dan dengan restu orang tua. Ingat, jika seseorang sanggup tidak menghormati dan menyayangi kedua orang yang melahir dan membesarkan dan dengan mudah meninggalkan ibu dan ayahnya, dia juga akan senang nanti meninggalkan anda yang hanya berjasa sebagai bekas kekasih saja.

Jika dia sanggup melakukan hal sedemikian, dia juga tidak akan ragu-ragu untuk melakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dia hajatkan di dunia ini tanpa memikirkan perasaan malu dengan kedua-dua orang tuanya, perasaan isteri anda dan perasaan orang yang ada di persekitarannya. Adakah anda yakin dia mencintai anda dengan cinta sejati atau cinta nafsu saja.

Jika dia benar-benar mencintai anda, dia tidak akan mengganggu anda selepas dia mengetahui anda sudah berkeluarga dan dia juga tahu perkahwinan kedua pasti akan menggugat keharmonian rumah tangga pertama anda. Jika dia memegang prinsip hidup beragama yang kental, dia akan melihat perkara itu sebagai tidak ada jodoh. Sebab dia tahu jodoh di tangan Tuhan, bukan di tangannya. Dia juga pasti akan menghormati perkahwinan anda dan sepatutnya dia mampu menganggap anda sebagai sahabat atau melupakan saja anda kerana Allah SWT.

Malah dia sepatutnya mendoakan kebahagiaan anda kerana sudah jelas dan nyata anda dengan dia tidak tertulis jodoh. Ini tanda wanita yang baik hati dan jauh daripada sifat balas dendam atau sifat tamak sesama wanita. Selain itu hormatilah isteri yang sudah anda nikahi dan sudah berkorban untuk menghadiahkan anda seorang cahaya mata.

Ingatlah pesan orang tua ‘bila anda melukakan, anda tidak akan dapat lari daripada dilukai.’ Tambahan pula perkahwinan anda sangatlah baru dan mentah lagi. Mungkin saja anda berasa terhimpit dengan cubaan ini, kerana anda tidak sedar bahawa jalan keluarnya ada di tangan Sang Pencipta. Akhir sekali Umi pesan, jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan ketenangan hati anda.

Oleh sebab itu, jangan habiskan usia muda anda dengan kesedihan, jangan lalui malam anda dengan gelisah dan cemas, dan jangan biarkan minit-minit hidup anda untuk gundah dan jangan berlebihan memburu cinta dalam hidup ini sebab Allah SWT tidak suka orang yang suka berlebih-lebihan.

Sentiasalah bergerak, bekerja, mencari, membaca kitab suci al-Quran hingga waktu anda terisi sebaik-baiknya. Jangan biarkan seminit pun disia-siakan. Ingatlah sehari saja anda tiada aktiviti sehinggakan ada hari yang terbiar kosong nescaya gundah gulana, keresahan, kerenah godaan dan bisikan syaitan akan mudah menyelinap dalam tubuh anda.

Apabila ini terjadi, anda sudah menjadi lapangan permainan syaitan. Berhati-hatilah membuat keputusan, jangan sampai yang diburu tak dapat, yang dikendong berciciran….atau ayam terlepas tangan bau tahi. Cinta yang tidak berlandaskan Tuhan tidak akan membawa kita ke syurga Allah SWT.

Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)

Isteri tuntut hak KWSP

Arwahsuami telah meninggal dunia pada bulan Februari lalu. Kami telah dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Saya adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Arwah suami telah meninggalkan beberapa harta termasuk wang caruman KWSP. Apa yang menyedihkan saya, ibu bapa mertua telah mengeluarkan semua wang dengan alasan saya dan anak-anak tidak berhak menerima wang KWSP tersebut. Ini kerana arwah suami telah menamakan ibunya sebagai penama terhadap wang caruman. Saya ingin tahu hak saya dan anak-anak terhadap wang KWSP dan harta-harta lain.

——–

Perundangan Islam secara jelasnya telah menggariskan panduan bagaimana seseorang boleh membahagikan hartanya. Pembahagian harta bergantung kepada tatacara pembahagian dan berlandaskan hukum syarak dan undang-undang.

Secara lazimnya apabila ada ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah tentu kita dihadapi dengan persoalan pembahagian harta pusaka. Pengurusan harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan.

Lebih-lebih lagi bagi membantu isteri arwah untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri. Antaranya mewujudkan kasih sayang, menanam semangat kemesraan, tolong menolong dan bertimbang rasa di antara ahli waris.

Merujuk kepada fatwa dan amalan semasa, wang simpanan si mati dalam KWSP adalah diiktiraf sebagai harta pusaka.

Pengiktirafan tersebut adalah melalui Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 iaitu wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP maka wang itu adalah milik si mati.

Maka wang milik si mati adalah harta pusaka. Walaupun ibu mertua dinamakan sebagai penama untuk mengeluarkan dan menerima wang itu, wang yang diterima hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Fatwa Kebangsaan juga memutuskan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

Antara prosedur KWSP yang ditetapkan adalah dengan memberi peringatan kepada penerima seperti berikut:

“Bagi ahli yang beragama Islam, penerima waran ini adalah sebagai wasi atau pentadbir dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mentadbir dan membahagikan simpanan KWSP ahli mengikut undang-undang Islam (faraid).”

Bagi orang Islam, penamaan yang dilakukan di dalam akaun caruman KWSP hanya bagi membenarkan KWSP mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak.

Penama diamanahkan oleh orang yang menamakannya untuk mentadbir harta berkenaan supaya ia dapat diagihkan mengikut hukum faraid dengan segera.

Secara dasarnya, wang simpanan yang dikeluarkan oleh Penama dikehendaki menandatangani suatu aku janji bahawa beliau akan mengagihkan wang simpanan itu mengikut faraid.

Kegagalan mematuhi aku janji itu memberi kesan kepada penama dari sudut undang-undang. Tindakan menurut undang-undang boleh diambil terhadap Penama itu.

Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab ibu mertua sebagai penama untuk membahagikan harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak.

Jelaslah di sini bahawa puan adalah salah seorang waris yang berhak terhadap harta-harta pusaka arwah. Maka, puan boleh menuntut wang caruman KWSP bagi kepentingan puan dan anak-anak.

Selain itu, puan juga berhak untuk menuntut harta lain seperti harta sepencarian terhadap harta-harta arwah. Tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan selepas perceraian atau selepas kematian mana-mana pihak.

Puan berhak menuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian walaupun puan tidak bekerja. Tuntutan terhadap harta sepencarian boleh dilakukan pada bila-bila masa tiada had masa yang ditetapkan. Tetapi, sebaik-baiknya dituntut dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

~ Utusan

Berdamai ikut sulh

Suami telah melafazkan cerai pada awal tahun 2009. Saya dimaklumkan bahawa isteri berhak membuat beberapa tuntutan selepas penceraian.

Saya juga telah dimaklumkan mengenai kaedah sulh/majlis sulh yang dilaksanakan di mahkamah syariah.

Oleh itu, saya ingin tahu keberkesanan dan kebaikan mengenai kaedah sulh berbanding tuntutan saman atau notis permohonan di Mahkamah Syariah.

Kaseh Mysara
Shah Alam

Jawapan

Secara amnya, definisi sulh adalah merujuk kepada penamatan sesuatu pertikaian. Pendalilan mengenai kaedah Sulh juga terkandung dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa kaedah sulh digalakkan untuk menyelesaikan persengketaan.

Firman Allah merujuk kepada Surah al-Nisa’ ayat 128 yang bermaksud: Jika seorang perempuan melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, maka tiada berdosa keduanya, jika keduanya mengadakan pendamaian antara keduanya. Berdamai itulah terlebih baik (daripada bercerai). (Memang) manusia itu berperangai kikir. Jika kamu berbuat baik (kepada isterimu) dan bertaqwa, sungguh Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.

Secara umumnya, kaedah penyelesaian melalui konsep sulh telah menunjukkan kesan yang positif. Kajian Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada tahun 2002 mendapati bahawa kaedah ini berjaya mengurangkan hampir 65 peratus kes di Mahkamah Syariah Selangor sejak ia diperkenalkan pada tahun 2001.

Maka, jelaslah bahawa kaedah sulh merupakan salah satu alternatif yang efektif kepada masyarakat selain kaedah perbicaraan dan timbangtara untuk mendapatkan penyelesaian.

Selain itu, kaedah ini merupakan opsyen kepada kaedah perbicaraan yang kebiasaannya memakan masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi.

Keberkesanan pelaksanaan kaedah sulh di Mahkamah Syariah Selangor membuktikan bahawa kaedah ini mampu untuk mengurangkan masalah kes tertangguh yang membelenggu Mahkamah Syariah selama ini.

Perlaksanaan sulh yang digunapakai di Mahkamah Syariah Selangor adalah berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan beberapa peruntukan undang-undang berkaitan yang lain.

Tuntutan atau permohonan yang dibuat mestilah melibatkan hak dan tanggungjawab dalam hal ehwal kekeluargaan Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Antara contoh tuntutan atau permohonan menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah seperti tuntutan berbangkit daripada suatu perceraian seperti mutaah, nafkah idah, nafkah tertunggak, harta sepencarian, hutang mas kahwin dan lain-lain yang difikirkan munasabah.

Manakala tuntutan seterusnya adalah seperti hak jagaan anak (hadhanah) dengan melihat kepentingan anak-anak tersebut dalam tempoh perkahwinan, mahupun selepas perceraian, nafkah anak dan lain-lain perkara yang difikirkan sesuai oleh Pendaftar.

Bagaimanapun, kejayaan sesuatu majlis sulh banyak bergantung kepada faktor pihak bertikai. Oleh itu, setiap pihak hendaklah serius dan bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian.

Setiap pihak juga hendaklah mampu menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang melampau dan tidak relevan. Ketiadaan persetujuan daripada kedua belah pihak merupakan salah satu faktor kegagalan dalam aplikasi kaedah sulh.

Sebagai rumusan sulh yang diamalkan di mahkamah syariah dari sudut undang-undang dan praktikalnya ialah ia suatu kaedah penyelesaian secara damai di antara pihak-pihak bertikai khususnya suami dan isteri.

Secara dasarnya, prosedur kaedah sulh terhadap sesuatu tuntutan atau permohonan ialah pihak-pihak tersebut menghadiri satu proses perbincangan di dalam suatu majlis perundingan yang dipimpin secara rasmi, yang diatur oleh pegawai Mahkamah.

Sebarang penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak akan direkodkan di hadapan hakim dan dijadikan suatu perintah.

Prosedur sulh mesti dipatuhi bagi memastikan proses penyelesaian pertelingkahan ini akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya.

Bertahun Tak Disentuh Suami

Saya ada masalah hubungan intim bersama suami. Perkahwinan saya sudah lima tahun dan suami tidak menyentuh saya hampir tiga tahun.

Pada awal perkahwinan dia menyentuh saya apabila saya memulakan dahulu atau apabila saya bertanya, baru dia menyentuh saya. Selang sebulan, kemudian selang tiga bulan dan terus dia melupakan.

Saya agak suami ada kelemahan batin kerana dia hanya menyentuh saya hanya sekali dan sekali pusingan, tiada ulangan. Cuma seingat saya berlaku beberapa kali ulangan apabila saya mula bersuara, iaitu tiga kali sepanjang perkahwinan.

Kami pernah tinggal berasingan selama tiga bulan, ketika saya meminta perpisahan, tetapi saya tidak merujuk di mana-mana pejabat agama.

Suami mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan apa yang saya alami. Saya sentiasa berasa kekurangan dan sering menangis sendirian memikirkan diri. Berfikir juga adakah saya tidak cantik? Dari segi mana yang saya tidak menawan?

Saya pernah meminta teman memberikan tahap dari 1-10 untuk wanita ‘hot’ (paling laris) dan teman saya berkata saya di tahap 7.

Saya juga wanita yang teratas dari segi rupa dan pakaian di kalangan pekerja wanita di pejabat, jadi cantik bukan masalahnya.

Pelbagai cara saya gunakan, bersemuka dengan suami, bercerita mengenai perkara ini sudah beberapa kali dan meminta suami berubat.

Mungkin suami kurang berusaha atau kecacatan dari awal, kerana kami tidak mempunyai anak.

Saya pernah bertanya ibu mentua, kenapa saya tidak ada anak sedangkan enam abang dan kakak saya mempunyai lebih dari dua anak. Dia hanya berkata, jangan memaksa nanti ia tidak datang.

Saya meminta jasa baik Dr untuk memberikan semangat dan nasihat yang perlu dilakukan.

MARIAM,

———————-
Islam sudah meletakkan tanggungjawab tertentu kepada suami isteri di alam perkahwinan.

Antara tanggungjawab suami ialah memberi nafkah kepada isteri sama ada zahir atau batin. Termasuk nafkah batin ialah kasih sayang dan hubungan seksual.

Apabila suami gagal memenuhi tanggungjawab, rumah tangga menjadi tidak sempurna dan mungkin berakhir dengan perceraian.

Islam tidak menghalang perceraian apabila terbukti ia membawa kebaikan kepada pasangan.

Dalam kes puan, nampaknya suami tidak mampu memberi nafkah batin dalam masa yang agak lama.

Beberapa usaha pernah dilakukan oleh puan seperti berbincang dengan suami dan ibu mentua mengenai perkara berkenaan, namun tiada penyelesaian.

Memandangkan keadaan itu mungkin berterusan, saya mencadangkan supaya puan mengadu kepada hakim atau kadi.

Puan disyorkan berjumpa dengan peguam syarie bagi mendapatkan nasihat dan mengetahui langkah yang perlu diambil.

Dengan mengetahui prosedur yang sebenar, masalah puan dapat diselesaikan dengan baik tanpa timbul rasa permusuhan dan sebagainya.

Dijawab oleh Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad Shukri


Penawar Konflik Rumahtangga. Keterangan lanjut, sila klik sini.