Lelaki malu perkenalkan isteri

“ISTERIKU bau bawang. Malulah nak bawa. Lagipun, mana orang rumah aku itu tahu hendak bersosial macam ini. Balik nanti, mesti dia bersungut dan ada saja yang tidak kena. Sebab itulah aku lebih suka bawa Tina untuk temankan aku,” bisik seorang lelaki kepada rakannya ketika menghadiri satu majlis sosial.

Aduh! Seandainya kata-kata suami itu didengari isteri, pasti hancur luluh hatinya mendengarnya. Tergamak seorang lelaki bergelar suami mengeluarkan kata-kata seumpama itu kerana ia tidak ubah melontar lembing beracun dan menusuk tepat ke jantung isterinya.

Apapun, memang ada lelaki bersikap seperti itu yang lebih suka mengagungkan dan membawa teman wanitanya ke hulur ke hilir serta bangga ‘menayangkannya’ kepada teman lain. Peliknya, tiada sekelumit perasaan bersalah dalam diri lelaki sebegitu.

Sedangkan, isterinya yang tidak tahu apa-apa cerita dan percaya bulat-bulat kepada suami, ‘disorok’ dalam rumah untuk menjadi penunggu setia. Pada teman, si suami memberikan alasan isterinya tidak suka hendak menemaninya kerana majlis dihadiri lebih ramai rakan pejabat yang tidak dikenalinya.

Alangkah kasihan nasib si isteri kerana sedang suami seronok dan ‘tenggelam’ dalam keasyikan dengan sentuhan belaian wanita lain, dirinya pula terpaksa bersengkang mata atau sibuk menguruskan anak sementara menunggu kepulangan suami tercinta.

Bagaimanapun, persoalan isteri tidak boleh menyesuaikan diri dengan majlis dihadiri suami mungkin sekadar dijadikan alasan. Realitinya, memang ada suami malu dan tidak begitu suka hendak memperkenalkan isteri kepada rakannya, sebaliknya berasa megah ditemani wanita lain. Lebih-lebih lagi, jika yang dikepit masih anak dara dan jauh lebih cantik serta muda daripada isterinya.

Bagi suami yang berperangai begini barangkali mereka ada alasan lain dan tersendiri untuk berbuat demikian, misalnya ingin bebas, tidak mahu diri terkongkong, sudah jemu dengan isteri dan ada pula yang berasakan isteri sudah tidak padan dan sesuai lagi berjalan beriringan dengannya.

Penceramah bebas, Mohd Noor Mohd Yusofe atau lebih dikenali Yusnor Ef, berkata memang ada segelintir suami yang bersikap sedemikian dan tidak pernah hendak mempedulikan perasaan isteri walaupun menyedari perbuatan dilakukan salah.

Beliau berkata, lelaki yang lebih gemar membawa teman wanita menemaninya ke mana saja berbanding isteri, bukan saja tidak menghormati pasangan, tetapi seolah-olah meletakkan wanita dikahwininya itu sebagai kelas kedua. Walhal, sebelum mendirikan rumah tangga kedua-duanya bagaikan belangkas ke mana-mana saja dan seakan langsung tidak boleh berpisah.

“Mengapa boleh jadi begini? Suami dan isteri sepatutnya memerlukan antara satu sama lain, tidak kira senang atau susah mahupun dulu atau kini. Jika masing-masing sudah meletakkan kepentingan diri sendiri, sudah tentu jalannya tidak betul lagi.

“Dalam rumah tangga apabila sudah diijabkabulkan, suami dan isteri mestilah tahu memainkan peranan masing-masing. Walau bergaduh suami isteri sekalipun, janganlah melakukan perkara di luar batas agama dan menyalahi tata susila budaya,” katanya.

Yusnor turut menyelar sikap suami yang malu membawa isteri kerana berpendapat wanita yang dikahwininya itu tidak pandai menyesuaikan diri atau tidak cocok jalan bersama untuk diajak ke sesuatu majlis.

Katanya, mengapa hanya selepas berkahwin perkara seumpama itu menjadi satu masalah besar sedangkan ketika manis bercinta, semua itu tidak pernah diambil berat.

“Suami tidak boleh cepat lupa diri terutama apabila hidup sudah senang berbanding ketika baru berkahwin dulu. Sepatutnya, jika isteri tidak pandai atau tidak tahu, suamilah yang kena memberi tunjuk ajar dan bukan mengenepikannya. Jika susah boleh bersama dan biarlah ketika senang, masih tetap bersama.

“Selain itu, mengapa sekarang baru sedar isteri itu tidak sesuai dijadikan pasangan hidup. Walau sekalipun, pasangan hidup itu pilihan ibu bapa dan dulunya tidak bersetuju, lelaki berkenaan mesti akur wanita itu sudah menjadi isterinya dan ada anak hasil perkahwinan itu. Jadi, dia kenalah terima isteri itu seadanya,” katanya.

Bagaimanapun, Yusnor turut menasihatkan isteri supaya mencari kelemahan diri sendiri supaya kasih sayang dan kemesraan yang pernah wujud dengan suami tidak padam atau berubah. Kes suami yang membawa haluan sendiri mungkin juga berlaku berpunca daripada kesilapan dan kelemahan isteri seperti tidak pandai mengambil hati, mementingkan diri sendiri dan sebagainya.

Bagi wanita yang suka berdamping dengan lelaki yang sudah bergelar suami orang, beliau berpesan supaya menjauhkan diri daripada menjalinkan perhubungan seperti itu kerana perbuatan dilakukan tidak wajar apatah jika sehingga menghancurkan rumah tangga orang lain.

“Wanita jika sudah tahu lelaki itu hak orang, buat apalah hendak meneruskan perhubungan itu kerana nanti dirinya boleh dituduh sebagai perosak. Lagipun, lelaki ini macam ayam, pantang saja dicucuk jika keimanan dan agama tidak kuat mulalah terpikat. Jadi, wanita itu kena juga fikir nasibnya pada masa akan datang, lebih-lebih lagi dirinya tiada ikatan apa-apa dengan lelaki itu berbanding isterinya,” katanya.

Selain soal hati dan perasaan, Yusnor berkata, ada pasangan suami isteri yang kononnya mengamalkan sikap keterbukaan dan berfikiran moden dalam melayari bahtera rumah tangga. Justeru, ada suami atau isteri sememangnya tidak kisah jika pasangan masing-masing ditemani orang lain apabila berada di luar rumah.

Katanya, walaupun pasangan suami isteri berkenaan boleh menerima cara hidup bersosial seperti itu, hakikatnya konsep dan falsafah yang dipegang itu, tidak sesuai untuk dijadikan amalan masyarakat di negara ini. Bagi umat Islam pula, sudah tentu perkara itu dilarang sama sekali agama.

1 thoughts on “Lelaki malu perkenalkan isteri

Tinggalkan komen