Keredaan ibu bapa penting dalam perkahwinan

SAYA berkenalan dengan seorang wanita Inggeris ketika belajar di luar negara dan berhasrat untuk berkahwin dengannya dalam masa terdekat. Beliau sanggup tinggal di Malaysia dan memeluk Islam tetapi semua keluarga saya terutama ibu bapa membantah. Saya berpendapat pilihan saya adalah baik dan dia sendiri ikhlas untuk memilih Islam dan berkahwin dengan saya. Soalan saya, bolehkah saya berkahwin walaupun tidak mendapat izin ibu bapa? Apakah sekiranya saya berkahwin juga tanpa restu ibu bapa, saya dianggap anak derhaka dan apakah ada peruntukan undang-undang syariah di negara kita berkenaan perkara ini.

Anak Lelaki Tunggal

————————-

SEBELUM memutuskan untuk berkahwin, lebih wajar kita melihat konsep perkahwinan itu sendiri. Perkahwinan menurut agama kita bukan sekadar menjadi penentu halal kepada hubungan kelamin tetapi mempunyai maksud yang lebih dalam lagi. Akad perkahwinan menghalalkan pergaulan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dan menimbulkan hak dan kewajipan antara mereka. Ia adalah penyatuan dua jiwa dan dalam skop lebih luas membabitkan penyatuan antara dua keluarga, dua keturunan serta apa-apa yang berkaitan seperti penyatuan budaya dan pemikiran. 

Dari sudut hukum, saudara seorang lelaki dan tidak memerlukan wali untuk menjalankan akad nikah. Tetapi bakal isteri perlu menggunakan wali hakim untuk berkahwin kerana dia tidak mempunyai wali keturunan kerana baru memeluk agama Islam. Namun begitu, sesebuah perkahwinan seharusnya bukan melihat dari segi sah kerana menepati rukun saja tetapi melihat kepada restu ibu bapa, sekufu di antara dua pengantin, kemampuan dan kesediaan berumah tangga, kesanggupan untuk saling tolong-menolong, toleransi dalam menjayakan hak dan tanggung jawab yang akan ditempuh.

Sebagai anak lelaki, saya berpendapat restu dan keredaan ibu bapa perkara penting yang tidak boleh saudara ambil mudah. Dengan restu mereka, rumah tangga terbina lebih dinaungi barakah dan membawa pula kepada keredaan Allah. Apatah lagi sekiranya bapa saudara meninggal, maka tanggungjawab memastikan kebajikan ibu berada di tangan saudara.

Saya sarankan usaha memujuk dan berbincang diutamakan sehingga ibu bapa melihat kesungguhan saudara di samping tidak mengetepikan pandangan mereka. Saudara boleh menggunakan orang yang lebih dihormati seperti imam kampung saudara atau datuk dan sebagainya untuk meyakinkan ibu bapa dan memujuk mereka dengan ganjaran Allah janjikan sekiranya kita berjaya mendakwahkan seseorang daripada agama lain kepada Islam dan tunduk dengan rela hati untuk memeluk Islam.

Bergaduh, meninggikan suara, menggertak dan memutuskan hubungan kekeluargaan dengan ibu bapa jika mereka membantah bukan tindakan yang baik. Ia boleh membawa perasaan kecil hati kepada ibu bapa. Ini berlawanan dengan suruhan Allah yang menyuruh ibu bapa ditaati sehingga jangan mengatakan perkataan ‘uh’ kepada mereka. (al-Israa: 23-24)

Andaikan saudara berkahwin, saudara sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar untuk membimbing dan melayannya dengan baik serta membawanya menghayati ajaran agama yang suci ini. Menjayakan usaha ini akan lebih mudah dengan bantuan ibu bapa yang merestui perkahwinan tersebut.

Saya menyarankan saudara menangguhkan hasrat berkahwin sehingga berjaya diselesaikan. Sekiranya bakal isteri berada di Malaysia, saudara boleh menggalakkannya membaca buku agama dan memperkenalkannya dengan ‘support group’ saudara baru yang dianjurkan oleh badan-badan Kerajaan dan bukan kerajaan seperti Perkim, Hidayah Centre anjuran Jemaah Islah Malaysia (JIM), MACMA dan sebagainya. Semoga dengan kefahaman yang kukuh dan keikhlasan yang sebenar akan membawanya kepada memeluk Islam dengan penuh rela hati.

Dari segi undang-undang syariah, tidak ada peruntukan mengenai keredaan ibu bapa, yang ada hanya peruntukan umum mengenai syarat dan rukun untuk dipenuhi bagi menjadikan sesuatu akad perkahwinan adalah sah dan boleh didaftarkan mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga terbabit. Pada masa sama, saya juga menyarankan saudara sendiri berusaha mendapatkan sokongan dan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak lain yang berjaya dalam perkahwinan lain bangsa dan budaya untuk mengambil manfaat atas pengalaman mereka.

Jawapan disediakan oleh Nurhidayah Muhd Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang soalan dan komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

1 thoughts on “Keredaan ibu bapa penting dalam perkahwinan

  1. assalammualaikum..
    saya berasal dari kedah.sekarang saya berkawan dengan f.baru 3 bulan berkawan.saya dah kenalkan pada mak saya tapi mak saya tidak suka saya berkawan dengan f sebab berbadan besar dan hanya bekerja guard.pada mulanya saya tidak kisah sebab hanya sebelah pihak sahaja yang tidak restu hubugan kami.tapi baru-baru ini belaku kejadian yang saya tidak ingin ia belaku.ibu bapa f memberitahu f yang mereka tidak suka f berkawan dengan saya kerana sikap family saya yang selalu befikiran negatif terhadap anak mereka.f memberitahu pada saya yang dia mahu teruskan hubungan ini.kami sayang antara satu sama lain,tp saya dalam di lema kerana jikalau ibu bapa tidak restu saya takut nanti perkahwinan kami tidak dapat berkat.saya tidak tahu bagaimana nak selesaikan masalah ini.soalan saya,adakah saya harus meneruskan hubungan ini atau saya perlu meninggalkan dia.bantulah saya….

    dalam dilema

Tinggalkan komen