Tersilap kahwin penagih

Julai 2, 2009

Ada mulanya amat berat hati saya hendak menulis tentang masalah besar yang saya hadapi kini yang bermula sejak lebih 5 tahun lalu. Tetapi setelah saya membaca kisah Norshahira yang suaminya juga penagih dadah kira-kira dua bulan lalu, terbuka pintu hati saya untuk meluahkan isi hati, biarlah wanita yang senasib saya boleh berfikir, dan janganlah jadi bodoh macam saya.” Demikian cerita Sharika dala e-melnya kepada penulis.

”Saya ingin berkongsi masalah dengan pembaca bukan bertujuan untuk memburuk-burukan suami dan keluarganya, tetapi mengharapkan keluarga mertua saya faham masalah yang saya hadapi sejak sekian lama yang mungkin mereka tidak mengetahuinya ataupun memang sengaja mahu saya menanggung biawak hidup ini.

”Namun saya tak nafikan semuanya bermula dari kesilapan diri saya sendiri, yang mudah sangat jatuh hati, cepat bersimpati dan menaruh perasan kasihan yang keterlaluan, yang akhirnya membinasakan diri sendiri.

”Saya mengenali Shazman ketika kami sama-sama menghadiri satu kursus yang dihantar oleh jabatan tempat kami bekerja, tetapi kami datang dari berlainan negeri. Sejak perkenalan hari itu, hubungan kami menjadi begitu akrab, dan telefonlah menjadi sahabat baik yang sentiasa menghubung kami bila ada kesempatan.

”Perkenalan tak sampai setahun berakhir dengan lamaran dari keluarga Shazman. Waktu itu umur saya dekat 30an tahun, dia pun dah lebih 30 tahun nak tunggu apa lagi, dengan sedikit rundingan keluarga, mereka bersetuju supaya kami segera disatukan.

”Bertunang tak sampai enam bulan kami pun berkahwin, memang waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati saya untuk menjadi seorang isteri, kerana saya sudah lama bersedia, lagi pun Shazman memang ciri-ciri lelaki yang saya idamkan, tinggi, baik hati, tak banyak kerenah dan sentiasa bersetuju denga apa sahaja yang saya perkatakan.

”Bukan tujuan saya nak queen control tetapi dia memang baik, tak membantah, dan biasanya dia menerima sahaja cadangan saya terutama apabila saya mencadangkan dia memohon bertukar ke KL kerana kebetulan saya sudah sudah pun membeli rumah, cuma belum siap sepenuhnya lagi. Cadangan saya hendak berpindah ke rumah tersebut bila siap nanti.

”Tak sampai setahun kami berjauhan akhirnya Shazman dapat bertukar ke KL. Walaupun tempat kerja dan pejabat kami berjauhan, tetapi saya bersyukur kerana akhirnya kami dapat tinggal serumah, walaupun menumpang di rumah emak kerana rumah saya belum siap.

”Nak jadikan cerita bila kerja berjauhan tentulah Shazman selalu balik lewat tambah-tambah bila hari hujan, kerana kami sama-sama menggunakan pengangkutan awam. Kerana simpati setelah lebih 4 bulan akhirnya adik beradik saya mencadangkan supaya Shazman membeli sebuah motorsikal untuk memudahkan dia berulang alik ke tempat kerja.

”Walaupun cadangan itu baik, tetapi kata Shazman dia ada motor kecil di kampungnya, tetapi tak sesuai untuk digunakan di KL sebab pertama pejabatnya jauh kedua akan menyakitkan badan sahaja, jadi dia mencadangkan untuk membeli kereta sahaja kalau pun motorsikal biarlah yang lebih besar kuasanya.

”Selepas berunding dengan adik beradik dan ayah dua bulan kemudian kami dapat membeli sebuah kereta kecil untuk kegunaan saya dan sebuah motor untuk Shazman. Kami tak perlu bayar duit muka kerana dibantu oleh saudara mara, cuma kami bayar ansuran bulanannya sahaja. Namun saya lebih teruk lagi kerana perlu menyediakan duit untuk ansuran rumah bila siap dan kami berpindah nanti

”Mempunyai kenderaan sendiri ke pejabat memang memudahkan, tetapi memerlukan perbelanjaan yang tinggi juga. Tak ada minyak tak jalan.

”Di sinilah bermula masalah yang tidak saya ketahui. Mulanya saya terperasan duit saya dalam beg duit saya selalu hilang. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelumnya.

”Yang peliknya duit saya hilang selang tiga atau empat hari, paling sikit RM20, pernah juga hilang hingga RM100. Tapi saya tak pernah tuduh adik beradik saya, kerana kejadian ini tidak pernah terjadi sebelumnya.

”Satu hari saya bertanya kepada emak dan menceritakan masalah saya, emak tersenyum, kerana katanya dia juga pernah menghadapi masalah yang sama, bukan emak saja, ayah pun mengadu perkara yang sama. Lagi pelik, siapa yang punya angkara. Tetapi waktu itu saya tak terfikir langsung perbuatan suami saya Shazman, kerana saya perrcayakan dia seratus peraus. Saya mula mereka ini mungkin perbuatan toyol. Sekali lagi emak ketawa.

”Bila rumah siap kami pindah ke rumah baru, saya kena keluar duit lebih banyak sebab nak beli perabut dan barangan keperluan yang lain. Maklum bila dah berumah sendiri kita memerlukan banyak benda untuk memudahkan urusan di dapur.

”Setelah duduk sendiri baru saya sedar memang duit saya selalu hilang terutama bila dah hujung bulan. Nak kata toyol tak mungkin kerana di rumah baru itu belum ramai penghuninya lagi.

”Akhirnya kerana terdesak baru saya tanyakan Shazman, terkejut saya bila dia menengking menafikan dia nampak apalagi ambil duit saya. Saya tak tuduh, tetapi mengapa dia harus marah. Sejak itu saya lebih berhati-hati bila menyimpan duit. Rumah bukan lagi tempat yang selamat. Perubahan dan sikapnya membuatkan saya terus meneka bahawa Shazman yang mengambil duit saya. Lebih tepat dialah pencuri dalam rumah.

”Satu hari saya tanya emak tentang kehilangan duitnya, Lagi besar emak tersenyum, katanya ayah saya juga menghadapi masalah yang sama, sering kehilangan duit setiap kali kami suami isteri datang bertandang. Kata emak dia dah lama syak orang yang bertanggung jawab, tetapi dia tak berani nak bersuara takut saya kecil hati. Dan emak takut nak tuduh suami saya yang mencuri duitnya. Sebab tak ada bukti.

”Cuma emak kata dia dah lama sedar perubahan itu dan kehilangan duit dalam rumah emak berlaku sejak saya mula berkahwin lagi. Sejak saya menumpang di rumah emak. Bukan emak dan ayah sahaja yang kecurian, malah adik lelaki saya juga menghadapi masalah yang sama.

”Malah adik lelaki saya dah lama nak beritahu saya sebab dia dah tak tahan duitnya selalu hilang, tetapi emak yang larang adik daripada memberitahu saya sebab takut saya kecewa. Lagi pun saya baru saja berkahwin dan belum pun dapat anak.

”Kata emak dia terpaksa simpan rahsia ini kerana emak tak mahu saya sedih dan takut saya tidak percaya dan berkemungkinan hubungan kami sekeluarga akan berpecah belah.

”Bila emak berkata demikian baru saya teringat satu hari emak menelefon saya bertanya adakah saya nampak duit RM800 atas meja kecil di dalam biliknya. Kerana duit itu telah hilang. Duit milik ayah yang diperlukan untuk membayar insuran kereta.

”Sedihnya saya cuma kata pada emak saya tak tau dan tak nampak, sekarang baru saya teringat mungkin duit itu Shazman yang ambil, habis tu sapa lagi. Kerana sejak kami berkahwin masalah kehilangan duit ini sering berlaku.

”Lepas dapat anak keadaan hidup saya semakin tertekan, saya sering tak berduit sebab terpaksa berbelanja banyak untuk ansuran rumah, kereta dan segala bil rumah selain makan minum kami dan bayi yang baru lahir. Saya cuba memujuk Shazman membantu, tetapi dia sering memberi alasan tak cukup duit kerana terpaksa membantu emaknya menyelesaikan hutang semasa menguruskan perkahwinan kami dahulu.

”Saya terfikir juga takkan setelah empat tahun berkahwin, emaknya masih belum habis bayar hutang sedangkan semasa perkahwinan kami dahulu, mereka cuma buat kenduri kecil saja, dan hantaran saya tak pun sampai RM6,000. Jadi macam mana dia boleh mendakwa terpaksa bayar hutang sepanjang hayat. Untuk memuaskan hati saya jalankan siasatan secara senyap-senyap bila balik ke rumah emaknya.

”Setelah saya teliti pergerakan adik-beradiknya setiap kali kami balik, begitu juga emaknya baru saya perasan mereka tidak sukakan suami saya. Bila kami balik mereka akan buat pelbagai alasan untuk keluar dari rumah emaknya. Begitu juga bila Hari Raya, mereka cuma datang tak tidur pun rumah emak. Masing-masing kata tidur di rumah saudara dan sebagainya, bila kami balik ke KL baru mereka tidur rumah emaknya. Hubungan mereka memang tak mesra.

”Lama-lama baru saya tahu bahawa Shazman adalah seorang penagih dadah. Dia juga mencuri duit adik beradiknya untuk mencukupkan perbelanjaan dadahnya. Adik beradiknya memang suka sangat Shazman berkahwin dan pindah KL sebab mereka dah tak sanggup tanggung masalah Shazman lagi,”.

Demikian cerita Shakirah, sebenarnya dalam masalah rumah tangga hanya suami isteri terlibat sahaja yang boleh menyelesaikan masalah mereka. Mereka yang layak membuat penentuan, orang lain cuma boleh mendengar. Janganlah jadi penasihat yang boleh menghancurkan hidup orang lain.

ARKIB UTUSAN: 28/06/2009


Suami terima SMS ajak tidur!

Julai 1, 2009

Kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah sering diucapkan mereka yang menghadapi masalah rumah tangga.

Tidak kena pada hidung sendiri, maka kita tidak akan tahu, itu juga yang dilaungkan para isteri yang tercalar hati kerana sikap suami menduakan kasih.

Amy (bukan nama sebenar) berusia 25 tahun, baru dikurniakan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan lelaki yang dicintainya selama tujuh tahun semasa menuntut di universiti.

Berulang kali Amy menelefon saya untuk berbual tentang rumah tangganya, kebetulan panggilan ketiganya dapat saya layan. Hampir sejam kami berbual.

Banyak yang Amy luahkan dalam esak tangis dan ketawa yang menyimpan pelbagai kisah suka duka setelah baru setahun jagung bergelar isteri.

Jodohnya dengan lelaki yang dipanggilnya Ari kini goyah gara-gara suami kaki perempuan. Beratus-ratus kali berjanji akan ubah perangai, sayangnya tidak menjadi. Itu juga yang berlaku.

Kelahiran bayi sulung juga tidak membawa banyak perubahan sebaliknya kata Amy dia yang terus makan hati. Di rumah perangai suami lain, di belakang pula lain.

Apa kata, kita kongsi masalah Amy seperti yang diluahkan kepada saya. Begini kisah Amy:

“Sebelum bernikah suami seorang kaki perempuan, tapi dia berjanji akan berubah setelah kami berkahwin. Saya memilih dia kerana dia memahami saya, penyayang dan mengambil berat.

“Pelbagai dugaan saya lalui sebelum berkahwin dengannya. Kami berkenalan semasa menuntut di universiti. Masa hendak mendapatkan suami dulu saya terpaksa korbankan hati dan perasaan sebab perangai kasanovanya itu.

“Walaupun ramai yang ingin mendekati saya, tetapi hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya. Setelah bercinta hampir tujuh tahun, akhirnya kami dinikahkan pada November 2007.

“Saya sangka inilah pemberian terbaik Allah SWT untuk saya. Gembiranya hati saya hanya Allah saja yang tahu. Bukanlah saya tidak mensyukuri apa yang Allah kurniakan, saya benar-benar bersyukur.

“Tetapi sudah takdir saya begini. Lima bulan selepas bernikah, saya disahkan mengandung. Hati saya sangat gembira kerana doa saya untuk menimang anak secepat mungkin dikabulkan Yang Maha Esa.

“Saya mengalami alahan teruk semasa mengandung. Suami menjaga saya dan kandungan dengan baik. Tidak nampak tanda-tanda dia mengabaikan saya.

“Namun dalam usia kandungan baru mencecah dua bulan saya mula menerima dugaan yang hebat. Suatu hari saya terbaca e-mel suami yang masih berhubung dengan rakan Internetnya, seorang jururawat yang mengajak suami saya tidur bersamanya!

“Bingung saya seketika sebab tidak percaya suami saya sanggup menerima dan mengirim mesej seperti itu. Hancur luluh hati saya saat itu. Saya menangis semahu-mahunya. Kami bergaduh besar. Saya adukan sikap suami kepada mertua.

“Mujurlah saya mempunyai mertua yang sangat baik. Mertua membantu menyelesaikan kekusutan yang berlaku dan menyelamatkan perkahwinan kami.

“Masuk enam bulan kandungan, suami terpaksa keluar daerah kerana urusan kerja. Saya memberi sepenuh kepercayaan kepadanya walaupun berat rasa hati untuk melepaskan dia berjauhan dengan saya sebab saya tahu dia akan berubah sikap apabila di belakang saya.

“Sepanjang berada jauh dari saya, setiap masa dia menghubungi saya. Namun pada waktu malam, khidmat pesanan ringkas (SMS ) dan telefon saya tidak berjawab.

“Kemusykilan mula timbul dalam hati. Apa yang sedang berlaku? Saya dapat rasakan yang dia melakukan perkara buruk di belakang saya.

“Tekaan saya betul. Sebaik dia pulang, saya terjumpa rakaman hubungan seks suami dengan seorang wanita di dalam telefon bimbitnya.

“Ya Allah, amat berat dugaan yang Engkau berikan padaku. Hancur hati saya melihat suami sendiri menjamah wanita lain. Saya menangis dan meraung.

“Di rumah kami bergaduh besar, saya menunjukkan telefon bimbit yang merakamkan aksi melampau itu. Dia buat-buat macam tidak bersalah dan cuba berbaik-baik dengan saya, sekali lagi kami hampir bercerai kerana saya tidak sabar lagi diperlakukan begitu.

“Demi memikirkan masa depan bayi yang bakal lahir kami berbaik semula. Disebabkan terlalu tertekan, saya telah bersalin lebih awal lima minggu.

“Melihat sendiri saya melahirkan dan kesakitan yang dialami, menyebabkan suami berubah baik seketika dan lebih menghargai saya. Sepanjang berpantang di kampung dua bulan saya berjauhan dengan suami tetapi hujung minggu dia datang menjenguk kami dua beranak.

“Saya gembira kerana sangka suami telah bertaubat. Sebaik kembali ke rumah sehabis pantang, saya telah dikejutkan lagi dengan cerita baru. Rupa-rupanya suami ada lagi satu telefon bimbit lain yang disorok.

“Setelah memeriksa, saya dapati semuanya nombor wanita dan SMS berunsur lucah. Sepanjang saya berpantang, rupanya, suami menjalin hubungan sulit dengan seorang jururawat.

“Saya berjaya menghubungi wanita tersebut dan menghentikan hubungan terlarang itu dan menghamburkan kata-kata kesat kepadanya kerana melayan suami saya.

“Belum pun sebulan reda kes itu, saya mendapat khabar suami ada skandal dengan kerani baru di tempat kerjanya. Saya juga berjaya menghubungi wanita tersebut, tetapi dia enggan mengaku.

“Di depan saya dia menyatakan tiada apa-apa hubungan dan berjanji menjauhi suami saya. Tetapi rupanya semakin hari mereka semakin intim.

“Keadaan rumah tangga kami semakin genting sebab kami selalu bergaduh. Dia nekad untuk bersama wanita itu walaupun terpaksa meninggalkan saya dan anak kami.

“Tiada pilihan, saya akhirnya reda dengan apa yang berlaku sebab tidak mahu anak tidak mendapat kasih sayang bapanya. Pada masa sama, suami terus rapat dengan wanita itu sebab mereka selalu berjumpa di pejabat.

“Saya hilang daya untuk menangani masalah ini tetapi akan kuatkan semangat menanganinya. Nampaknya menyalahkan wanita lain juga tidak patut sebab kadang-kadang suami kita juga pandai cucuk jarum, kata orang bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.

“Air mata saya mengalir laju saat membaca semua SMS yang suami terima. Betapa murahnya wanita sekarang, boleh tawar diri untuk ditiduri oleh suami orang.

“Saya berdoa agar Allah SWT memberi kekuatan untuk saya menghadapi dugaan dan ujian hebat ini. Saya nekad, jika ditakdirkan jodoh saya sampai setakat ini, saya reda.

“Saya sanggup kehilangan suami yang tidak tahu menghargai isteri dan terus dijadikan barang mainan dalam rumah tangga.

“Kadang-kadang saya terfikir, anak yang saya lahirkan akan lebih sempurna hidupnya jika tidak mempunyai bapa seperti suami saya. Dengan kerjaya yang saya miliki, saya mampu memberi segala kesenangan kepadanya. Cuma yang saya tak mampu beri adalah kasih sayang seorang bapa.

“Kepada kaum wanita yang suka mengganggu suami orang, tolonglah hormat hak kaum sejenis anda. Jangan guris hati dan perasaan orang kerana satu masa nanti hati anda bukan setakat terluka malah akan terkoyak kerana perbuatan anda sendiri,” Amy menutup cerita dengan kata-kata sinis.

Apa pun saya mengharapkan Amy akan terus tabah menjalani hidupnya bersama bayinya yang baru mengenal dunia serta berusaha menyelamatkan masjid yang dibina dengan kasih sayang dan rasa cinta.

Mengundur diri, pesanan saya, hidup tidak boleh hanya bergantung kepada soal hati dan perasaan kerana ada masa ia boleh menjahanamkan diri sendiri sebaliknya, kita harus memikirkan bagaimana menerima atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan situasi yang dilalui. Salam

ARKIB UTUSAN: 22/06/2009 <!–         –>


Petua Menyemai Kasih Sayang Suami

Jun 30, 2009

Tip untuk menanam kasih sayang suami. Ikhlas

Ikhlas
Ikhlas dan berbakti kepada lelaki bernama suami dan dengan harapan mendapat pahala dari Allah. Kerjaya yang dimiliki, kedudukan dalam masyarakat dan kesibukan melakukan aktiviti diluar rumah tidak membuatkan dirinya lalai bahawa dia memiliki peluang untuk ke syurga dengan berbakti kepada suami. “Apabila seorang perempuan menunaikan solat, puasa, memelihara kemaluannya dan berbakti, mentaati suaminya, dia akan dimasukkan ke dalam syurga”. Isteri seperti ini memiliki nilai yang tinggi di mata suami dan dia akan selalu dicintai oleh suaminya.

Berhias
Berhiaslah untuk suami dan bukan untuk orang lain. Sederhana dalam penampilan adalah lebih menarik dan memancarkan kecantikan sebenar seorang wanita. Setiap kali keluar bersamanya, sesuaikan penampilan anda mengikut apa yang disukai suami.

Sabar
Berusaha untuk selalu sabar dan tidak menyakiti hati suami. Perselisihan atau perbezaan pendapat antara suami isteri kadang kala menjadi punca pertengkaran. Jika anda menghadapi situasi ini ingatlah anda sedang berhadapan dengan seorang yang Allah berikan kepadanya hak yang besar keatas diri anda. “Seorang perempuan belum dianggap menunaikan hak Tuhannya sehingga ia menunaikan hak suaminya”. Kerana itu apa pun yang bergelora di hati anda, berusaha untuk terus sabar dan menahan diri untuk tidak menyakiti hati suami.

Tolak Ansur
Berusaha untuk menjadi isteri yang bertolak ansur dalam nafkah. Tidak banyak menuntut malah menerima dengan rasa syukur atas setiap pemberian suami mengikut kemampuannya dan tidak berlebihan dalam membelanjakan nafkah yang diberikan suami. Jika anda sanggup bersikap seperti ini, cinta suami akan selalu tercurah untuk anda.

Berdamping
Dapat mendampingi suami dalam suka dan duka. Kadang kala manusia mengalami saat-saat menggembirakan di mana kehidupan berjalan seperti yang diimpikan. Namun jika mengalami perkara sebaliknya, berusahalah mendampingi suami dan berbincanglah masalah-masalah yang dihadapi.

Agresif
Berusahalah untuk menjadi pasangan yang menyenangkan di kamar tidur. Ramai wanita masih merasa malu untuk bersikap agresif kepada suaminya. Belajarlah cara dan teknik menyenangkan suami ditempat tidur dan anda akan mendapati suami selalu melimpahkan cintanya untuk anda.

Namun dengan tetap menjaga akhlak dan adab Islam. Ini dilakukan dengan tetap menjaga peranannya yang utama yaitu mendidik anak, menjaga keluarga yang dibangun atas mawaddah dan rahmah, juga tetap menciptakan suasana tenang dan damai dalam rumah tangga.

Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah dari kulit binatang ternak yang kamu merasa ringan nya di waktu kamu berjalan dan waktu kamu bermukim dan dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumah tangga dan perhiasan sampai waktu. (Q.S. An-Nahl: 80)

Lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada.

Wanita-wanita yang kamu kuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (Q.S. An Nisa: 34)


Anak bukan tanggungjawab pembantu rumah

Jun 29, 2009

Fellow Kanan, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial IKIM, Siti Fatimah Abdul Rahman yang membentangkan kertas kerja berjudul, ‘Pembantu Rumah Asing: Penyelamat atau Penyengat’, berkata ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan segala tugas kepada pembantu rumah, khususnya dalam mendidik dan membimbing anak-anak.

“Pembantu rumah boleh menguruskan pakaian sekolah anak, tetapi wajarkah jika pembantu rumah yang taraf pendidikannya lebih rendah daripada majikan, membantu anak dengan kerja sekolah mereka? Berilah pembantu rumah tugas yang tidak memerlukan sentuhan peribadi majikan dan gunakan masa serta tenaga itu untuk meluangkan masa dengan ahli keluarga yang lain, di samping sentuhan kasih sayang kepada anak-anak. Jika segala keperluan anak diserah kepada pembantu rumah, anak akan merasakan mereka tidak dipedulikan ibu bapa,” katanya.

Katanya, ibu bapa tetap perlu memainkan peranan mengajar anak melakukan kerja rumah asas untuk kemudahan mereka pada masa depan seperti mengemas katil sendiri, mengangkat pinggan selepas makan, membasuh kasut sekolah dan sebagainya.

Penyelidik Kanan Pasca Doktoral, Institut Pengajian Sains Sosial UPM, Dr Khadijah Alavi, berkata peranan datuk dan nenek amat penting bagi tumbesaran cucu atau cicit serta secara tidak langsung membantu meringankan beban anak dewasa dalam menjaga dan membesarkan anak terutama yang tinggal di bandar dan bekerja sepenuh masa.

“Datuk dan nenek yang sihat dapat mengurangkan beban penjagaan bahkan dapat membantu suami isteri dwi-kerja. Selain menjadi tempat mereka berlindung sementara menghabiskan sisa usia, datuk dan nenek juga menjadi tempat cucu bermanja ketika ibu bapa mereka keluar bekerja. Kehadiran datuk dan nenek penting terutama di dalam menghadapi dilema keruntuhan akhlak remaja yang dikatakan berpunca daripada kurang penumpuan dan pemberian kasih sayang oleh ibu bapa.

“Keadaan hari ini mewujudkan keluarga ‘skip generation’ iaitu datuk dan nenek mengambil peranan keibubapaan di dalam mendidik dan menjaga cucu khususnya apabila keluarga mengalami krisis seperti perceraian dan sebagainya,” katanya.

Menghantar anak ke taska adalah antara pilihan terakhir bagi pasangan dwi-kerja walaupun ada banyak isu negatif yang timbul membabitkan keselamatan dan kualiti pengasuh. Tahap pendidikan pengasuh adalah antara persoalan yang ditimbulkan, tetapi sekali lagi ia membabitkan isu lain seperti gaji dan sebagainya.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaysia, Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata realitinya budaya kebanjiran menghantar anak ke pusat asuhan memaksa keadaan untuk mengaji tenaga yang kurang berkualiti tanpa mengira latar belakang mereka.

“Pengasuh yang tidak berkualiti menyebabkan anak terbiar kerana mereka hanya bekerja dengan baik bila ada tuan. Ini boleh menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak kerana pertumbuhan ini sepatutnya dijaga oleh pengasuh sama ada dari segi berat, gigi, rambut dan sebagainya. Perkembangan kanak-kanak juga perlu diasuh khususnya dari segi mental. Sosio emosi kanak-kanak akan meningkat dengan baik sekiranya mendapat asuhan yang baik. Justeru, ciri menjaga dan mengasuh perlu ada dalam diri pengasuh.

“Sekiranya ada pengasuh yang tidak tahu mengasuh, dia boleh mewujudkan kanak-kanak pemberontak atau pembuli cilik. Pengasuh perlu tahu tanggungjawab. Perasaan menjadi ibu bapa penting untuk disemai dalam diri pengasuh. Sebaliknya pengasuh adalah remaja yang tidak dapat menghayati kerja kerana tidak mempunyai jiwa keibubapaan. Pengasuh sepatutnya tidak boleh hilang fokus sepanjang melaksanakan tanggung jawab itu,” katanya.


Isteri Takut Seks

Jun 26, 2009

Saya berusia 31 tahun dan telah berkahwin kira-kira dua tahun. Masalah saya ialah sehingga kini saya masih lagi dara. Untuk pengetahuan doktor, suami saya berusia 32 tahun dan tidak mempunyai masalah. Beliau juga penyabar. Sebaliknya, masalahnya berpunca daripada saya.

Pada awal hubungan, saya dapat merasakan berahi tetapi apabila suami ingin memasukkan zakar, saya menjadi seperti kaku dan berasa amat sakit seolah-olah terdapat halangan.

Apakah yang perlu saya lakukan? Perlukah saya menjalani pembedahan membuka selaput dara? Adakah selaput dara terlalu tebal?

RISAU
Nilai

————————

Persoalan ini mungkin kurang sesuai dibincangkan secara terbuka. Walau bagaimanapun, anda usah berasa rendah diri kerana sebenarnya ada ramai pasangan yang datang mendapatkan nasihat serta rawatan masalah yang sama, malah ada yang memakan tempoh lebih lama.

Pengalaman peribadi saya pernah merawat pasangan yang sudah berkahwin melebihi sembilan tahun. Berjumpalah dengan pakar untuk mendapatkan panduan, seelok-eloknya bersama suami.

Lazimnya, penerangan secara visual dan pemahaman dapat meredakan kebimbangan/ketakutan yang menjadi punca utama masalah ini dan bukannya disebabkan masalah fizikal seperti selaput dara yang terlalu tebal. Pemeriksaan doktor juga dapat mengesahkan keadaan ini serta menghilangan gambaran/bayangan yang bukan-bukan.

Jarang pasangan yang memerlukan prosedur pembedahan mengoyakkan selaput dara. Ini juga bukanlah pilihan rawatan pertama, lebih-lebih lagi apabila memahami bahawa ‘kesakitan’ itu lebih berpunca daripada pengaruh psikologikal sahaja.

Usah tunggu lebih lama, berjumpalah doktor anda.