Jangan pinggirkan kanak-kanak istimewa

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Golongan kurang upaya perlu dapat layanan saksama dalam sistem pendidikan demi masa depan

RAMAI daripada kita yang sering terlepas pandang atau mungkin tidak menyedari, bahawa satu peratus penduduk Malaysia adalah kanak-kanak istimewa dan mereka memerlukan perhatian khusus atau pendidikan khas dalam pembelajaran.

Sikap tidak peka atau langsung tidak mengambil endah terhadap masalah pembelajaran dihadapi kanak-kanak istimewa itu, sekali gus menyebabkan golongan berkenaan sering kali ketinggalan jauh atau keciciran dalam menerima pendidikan di negara ini sehingga memberikan masa depan yang gelap.

Pensyarah Pendidikan Khas di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Norani Md Salleh, berkata kanak-kanak istimewa tidak boleh dipinggirkan, malah seperti kanak kanak normal yang perlu diberikan pendidikan sempurna demi memastikan kebaikan dan menjamin masa depannya, begitulah juga dengan golongan itu.

Beliau berkata, seiring dengan pendidikan untuk semua yang diwajibkan kerajaan, kanak-kanak istimewa juga tidak terkecuali dan mereka perlu diberi perhatian serta mendapat hak sewajarnya di dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Kanak-kanak istimewa ini mestilah mendapat layanan saksama dan sewajarnya dalam pendidikan khas atau bersesuaian dengan keperluan mereka. Malah, kita harus ingat apabila seseorang anak istimewa itu dilahirkan, perubahan bukan saja kepada keluarganya, tetapi seluruh komuniti.

“Ini bermakna, apa saja yang orang normal nikmati, golongan istimewa juga mesti dapat sama dan berhak mendapatkannya. Contohnya, dari segi kemudahan pengangkutan awam, peluang pekerjaan dan sebagainya. Begitu jugalah dalam pendidikan, kanak-kanak istimewa turut berhak mendapatkan kemudahan dan kelengkapan yang sesuai dengan keperluan mereka supaya sesi pembelajaran dapat berjalan lancar,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudi Pelan Pembangunan Pendidikan Khas Open Minds.

Pelan Pembangunan Pendidikan Khas Open Minds ialah kempen yang direka dan dilancarkan oleh Procter & Gamble (P&G) Malaysia pada 1999. Program ini diperkenalkan bagi membantu kanak-kanak istimewa mendapat pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka.

Kajian oleh jabatan pendidikan khas Kementerian Pelajaran menunjukkan, ada kira-kira 314,000 murid sekolah rendah di seluruh negara mengalami disleksia, iaitu sindrom yang mampu merencatkan kebolehan individu membaca dan menulis sehingga jauh lebih rendah daripada tahap kebolehan sebenar.

Secara perbandingan, jumlah penduduk yang menghadapi masalah disleksia di negara ini lebih tinggi daripada penghidap asma, iaitu satu bagi setiap 20 orang atau lima peratus daripada jumlah penduduk.

Mengikut statistik pula, ketika ini ada kira-kira 47,000 orang di Malaysia menghidap autisme yang menyebabkan diri atau ketidakupayaan memahami perkara di sekeliling selain daripada dirinya sendiri. Kajian menunjukkan, bilangan yang menghidapi autisme tulen adalah empat hingga lima dalam 10,000 orang dan 10 hingga 15 dalam 10,000 orang mempunyai ciri tertentu autisme.

Dr Norani berkata, justeru pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa di negara ini hendaklah diberikan dengan seikhlas hati dan semua pihak perlulah bekerjasama supaya pelaksanaan serta matlamat sebenarnya tercapai.

Beliau berkata, pada masa kini pemikiran kebanyakan ibu bapa sudah pun berubah dan mereka yang mempunyai anak istimewa juga semakin sedar mengenai keperluan pendidikan khas untuk anak mereka. Berbanding dulu, ada yang tergamak menyembunyikannya atau ‘menyimpan’ anak istimewa di rumah kerana malu dan tidak tahu bagaimana untuk membantu meningkatkan pembelajaran serta perkembangan diri anak mereka.

“Hari ini, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mahukan anak mereka boleh berdikari dan sekurang-kurangnya ada pendapatan sendiri. Ini kerana kebanyakannya risau, apa akan terjadi kepada anak istimewa itu sekiranya mereka tiada atau meninggal dunia suatu hari nanti.

“Hakikatnya, dalam membina pembangunan modul insan kita perlu memikirkan masa depan anak istimewa ini. Pada masa kini, pendidikan khas di negara ini banyak yang belum diterokai bagi membantu mengupayakan sepenuhnya golongan kurang upaya ini, sedangkan anak istimewa sebenarnya ada potensi untuk memajukan diri sendiri mahupun berdikari.

“Bagaimanapun, kita perlulah kenal pasti dan gilap keistimewaan yang mereka ada, malah mengenal pasti masalah pada peringkat awal amat penting agar pendekatan dalam strategi belajar kanak-kanak istimewa ini dapat diubahsuai,” katanya.

Melalui pendidikan khusus, pendedahan dan latihan berterusan, katanya, golongan berkenaan boleh berdikari. Tetapi apa yang lebih penting, kerjasama semua pihak perlu ada termasuk, individu, guru dan ibu bapa.

Mengulas mengenai pendidikan khas di negara ini, Dr Norani berkata, Malaysia tidaklah terlalu mundur dan jika diperhatikan perkembangannya dari semasa ke semasa, ia mengarah kepada keadaan yang lebih baik. Sehinggakan, ada beberapa golongan kurang upaya yang sudah pun berjaya dan menunjukkan kemajuan yang setara dengan orang normal.

Bagaimanapun, beliau berkata kejayaan golongan kurang upaya di negara ini kebanyakannya bukan atas pertolongan sesiapa, tetapi lebih didorong oleh semangat dan daya usaha mereka sendiri. Justeru, dalam memastikan kejayaan dan keberkesanan pendidikan khas dan lebih ramai anak istimewa yang berjaya di negara ini, ia bukan saja tertumpu merangka program pembelajaran, tetapi termasuklah menyediakan prasarana yang khusus untuk golongan berkenaan di samping, memberi sokongan kepada tenaga pendidik kanak-kanak istimewa.

“Bilik pembelajaran untuk kanak-kanak istimewa di kebanyakan sekolah tidak kondusif. Pada asasnya, nisbah satu kelas ialah empat murid bagi memudahkan guru untuk bergerak dan memberikan perhatian kepada setiap murid. Selain itu lazimnya, di dalam kelas ada banyak bantuan peralatan pembelajaran yang perlu digunakan untuk mengajar kanak-kanak ini. Jika kanak-kanak normal boleh belajar dalam suasana selesa dan teratur, sudah tentu kanak-kanak istimewa berhak mendapat semua itu.

“Untuk mengajar kanak-kanak istimewa ini juga bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi memerlukan kemahiran tertentu dan kesabaran yang tinggi. Oleh itu, jika boleh berilah insentif yang sewajarnya kepada guru yang mengajar kanak-kanak istimewa kerana bukan calang-calang individu yang sanggup memikul tugas dan tanggungjawab berat itu,” katanya.

INFO

Cadangan meningkatkan keberkesanan pendidikan khas bagi kanak-kanak istimewa

Pendidikan khas perlu diwujudkan di setiap sekolah rendah dan menengah bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa menghantar anak mereka yang jaraknya dekat antara sekolah dan rumah.

Menyediakan sekolah yang suasananya selesa, sesuai dan memenuhi keperluan kanak-kanak istimewa.

Menyediakan kelengkapan dan kemudahan bilik terapi serta alat bantu pembelajaran di sekolah.

Memberi latihan dan kemahiran kepada individu yang benar-benar ikhlas dan berminat untuk mendidik kanak-kanak istimewa.

Bidang pendidikan khas perlu diperluaskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dan cenderung mendalami bidang berkenaan.

Bagi memastikan anak istimewa mendapat pembelajaran berterusan di rumah, pihak sekolah mungkin boleh memberi kebenaran untuk membawa balik atau meminjam alat bantu pembelajaran kepada ibu bapa.

9 thoughts on “Jangan pinggirkan kanak-kanak istimewa

  1. sebagai bapa kepada anak istimewa yang menghidapi autisma, saya menyeru pihak kerajaan menyediakan lebih informasi kepada rakyat terutamanya yang berada di luar bandar tentang kesedaran penyakit-penyakit seperti autisma,disleksia yang boleh membawa kepada masalah yang rumit apabila mereka dewasa kelak. jika ia awal ditangani saya percaya masalah akan dapat dikurangkan dan tidak membebankan keluarga yang berkenaan. kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak istimewa sekeliannya, saya berharap kita semua segera bangun dan berusaha mendapatkan pertolongan seperti berjumpa dengan mereka yang lebih arif seperti doktor-doktor pakar supaya mereka boleh membimbing kita. Pergilah ke saluran yang betul, insyaallah anak-anak kita akan mendapat bantuan yang sewajarnya.

  2. Saya rasa terharu membaca akhbar hari ini apabila kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan untuk anak-anak istimewa, sebagai negara yang sedang menuju kemajuan seharusnya Malaysia tidak mengenepikan pelajaran dan pendidikan untuk anak-anak istimewa sekiranya kita mahu menjadi bangsa Malaysia yang gemilang dan terbilang di mata dunia.

  3. artikel sebegini harus di tonjolkan. ramai orang di luar tidak tahu atau menganggap kanak-kanak istimewa ini tidak berguna.mereka silap. jika sesiapa dapat bantu saya dalam mengetahui lebih terperinci tentang kanak-kanak ini.lebih-lebih lagi dalam hal-hal penjagaan@sikap yang harus ada pada ibu bapa dalam menjaga anak-anak seperti ini.(cara paling berkesan menghadapi anak-anak istimewa).lebih bagus jika ada ibu bapa yang mempunyai pengalaman dalam hal sebegini.emel saya.

  4. Saya sangat bersetuju dgn pendapat ini bahawa kanak-kanak istimewa seharusnya mdpt perhatian sepenuhnya tidak kira dari keluarga,masyarakat mahupun bdn kerajaan dan bkn kerajaan..saya jg mempunyai seorng adik yg dikategorikan sbg pelajar “slow learner”. Jadi saya mengharapkan lebih banyak lagi kaedah dan tindakan yg dijlnkan agar golongan seperti mereka ini tak dipinggirkan begitu sahaja.

  5. saya daripada universi malaya dalam coiurse early childhood education. kami tengah wat satu website untuk kank-kank yang mempunyai masalah dalam pembelajaran like disleksia n so on…so blh ker anda menjadi slh seorng yang akan memberi sedkit pndpt dalam ruangan website kami??sila hantarkan jawapan di warak_lina@yahoo.com

  6. salam,

    nak tanya satu soalan. Apakah pernyataan masalah dalam pendidikan khas. Maksud saya apakah isu-isu yang sering terjadi kepada guru pendidikan khas?

    sekian

Tinggalkan Jawapan kepada aisyah Batal balasan