Ejen nikah palsu bijak tabur janji

Oleh Safuri Kamarudin

Kebanyakan mangsa sindiket jurunikah palsu di selatan Thailand terpengaruh menggunakan khidmat mereka apabila ejennya di negara ini bijak menabur janji manis dan memberi jaminan pernikahan itu akan disahkan jabatan agama Islam.

Selain itu, ejen sindiket terbabit di negara ini juga berjanji akan membantu pasangan yang dikendalikan jika timbul masalah selepas itu.
Perkara itu diakui seorang mangsa sindiket berkenaan, Mohd Khairul Nizam Abd Wahab, 23, yang menggunakan khidmat seorang juru nikah di selatan Thailand pada November 2006.

Dia yang berasal dari Kampung Rambung Batu Tujuh, di sini, menggunakan khidmat sindiket itu bagi memudahkan urusan pernikahannya dengan seorang pekerja asing dari Medan, Indonesia, Rani Haryani Saepudin, 25.

Katanya, dia mengenali ejen terbabit di Pengkalan Hulu, Perak melalui isterinya yang bekerja di sebuah kedai makan di sini dan mengenakan bayaran RM1,000 sebagai upah membawanya ke Betong, Thailand.

“Ejen itu bijak bermain kata-kata dan menabur janji manis. Dia memberi jaminan pernikahan kami sah di sisi agama dan dari segi undang-undang kedua-dua negara.

“Malah, bagi meyakinkan kami, dia berjanji akan membantu jika kami menghadapi sebarang masalah yang timbul selepas pernikahan berkenaan.

“Namun saya kecewa apabila dia bersikap lepas tangan dan tidak mengaku membantu menguruskan pernikahan kami apabila saya tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak pertama kami yang kini berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mohd Khairul Nizam yang bekerja kampung berkata, dia menghadapi masalah mendapatkan sijil lahir anaknya, Mohd Haikal Hakimi yang berumur enam bulan apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menolak permohonannya kerana tidak mempunyai sijil nikah yang disahkan Pejabat Agama Daerah Baling.

“Pejabat agama pula enggan mengesahkan status pernikahan kami kerana sijil nikah yang dikeluarkan itu palsu dan bukannya oleh kadi bertauliah yang dilantik kerajaan negara ini.

“Pejabat konsulat Malaysia di Selatah Thai juga tidak dapat mengeluarkan surat pengesahan nikah kerana jurunikah itu tidak bertauliah,” katanya.
 

Tinggalkan komen