Ada empat keadaan hukum berkaitan talak

Wajib

Menjadi satu hukum wajib suami mentalak isteri jika perselisihan dalam rumah tangga tidak dapat diselesaikan dan berlakunya kezaliman dalam rumah tangga. Islam mengutamakan kasih sayang dan menegah sama sekali kezaliman. Sebab itu, Islam memerintahkan suami mentalak isterinya demi kebaikan kedua-dua pihak.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman.” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Hukum wajib ini hanya lahir setelah segala usaha mencari perdamaian tidak dapat dicapai. Islam menganjurkan agar pasangan yang berdepan krisis rumah tangga menemukan jurupendamai daripada kedua-dua pihak.

Firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara kedua-duanya, maka kirimkan hakam (jurupendamai) daripada keluarga lelaki dan perempuan. Jika kedua-dua hakam itu bermakusud mengadakan kebaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu.” (Surah an-Nisa, ayat 35).

Sunat

Hukum sunat bagi talak apabila suami tidak mampu lagi memberi nafkah kepada isteri sama ada zahir mahupun batin. Dengan cara itu dapat memberi peluang kepada isteri yang ditalak itu mencari pasangan lain yang mampu memenuhi kedua-dua keperluan nafkah itu.

Suami juga sunat menceraikan isteri yang tidak menjaga kehormatan dan tidak menjalankan tanggungjawab, sedangkan telah dinasihatkan mengubah tabiat buruk itu. Namun, suami tidak wajar terburu-buru menceraikan isteri dengan sebab tingkah laku buruk isteri.

Firman Allah bermaksud: “Kemudian jika kamu berasa benci kepada mereka (isteri) disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang baik untuk kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 19).

Haram

Hukumnya haram suami menjatuhkan talak terhadap isteri ketika haid. Ulama sepakat mengatakan talak ketika haid adalah haram berdasarkan riwayat berikut. Salim daripada ayahnya menerangkan: “Ibnu Umar telah mentalak isterinya ketika isterinya haid. Hal itu disampaikan oleh Umar kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda bersabda: “Suruhlah dia rujuk isterinya, diceraikan dalam keadaan suci atau dalam keadaan hamil.” (Hadis riwayat sebahagian besar ulama, kecuali Bukhari).

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan sama ada talak yang dilafazkan ketika haid itu sah atau tidak. Setengah pendapat mengatakan sah berdasarkan kepada Rasulullah menyuruh rujuk kembali. Sedangkan ada pendapat mengatakan tidak sah disebabkan sesuatu yang hukumnya haram, maka adalah tidak sah.

Makruh

Makruh bagi suami menjatuhkan talak tanpa apa-apa alasan munasabah.

Dua keadaan untuk menjatuhkan talak. Pertamanya dilakukan secara sharih, yakni terang-terang. Kalimah talak yang diucapkan itu jelas membawa maksud talak tanpa kiasan atau berselindung. Contoh perkataan ‘aku ceraikan kamu’ atau ‘aku talakkan kamu’. Kalimah itu sah biarpun diucapkan secara bergurau, marah, tertekan atau sekadar menakut-nakutkan isteri.

Manakala secara kinayah atau sindiran pula dilakukan secara tidak jelas. Perkataan yang diucapkan tidak membawa maksud jelas yang boleh difahami oleh pihak lain sama ada talak atau tidak. Perkataan talak kinayah ialah seperti ‘pulanglah kepada keluargamu’ atau ‘aku tidak memerlukan kamu lagi’.

Perkataan kinayah itu dianggap sah talak jika diniatkan untuk menalak isterinya. Bagaimanapun, dianggap tidak sebagai talak jika perkataan itu dimaksudkan untuk tujuan lain.

Sama ada secara sharih atau kinayah, talak tidak boleh dibuat main-main. Semua bentuk media boleh menyebabkan talak dianggap sebagai sah. Selain dilakukan secara ucapan, talak dianggap sah jika dilakukan dalam bentuk tulisan seperti surat, khidmat pesanan ringkas dan e-mel. Untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berumah tangga penting bagi suami dan isteri mengamalkan sikap tolak ansur serta memahami fungsi masing-masing. Suami isteri perlu mengutama dan mengharapkan kebahagiaan hidup berumah tangga sebagai matlamat utama hidup.

Allah menjelaskan fungsi perkahwinan yang bertujuan memberi kebahagiaan hidup kepada lelaki dan perempuan melalui ikatan sah dan halal. Keberkatan perkahwinan terpancar melalui kerukunan rumah tangga dan melahirkan zuriat umat manusia di muka bumi ini.

5 thoughts on “Ada empat keadaan hukum berkaitan talak

  1. ASSALAMMUALAIKUM…
    DI SINI SAYA ADA SOALAN, SEANDAINYA IKATAN PERKAHWINAN SAYA BERLANDASKAN PERJANJIAN…CTH, ANDAI KATA SUAMI MELANGGARNYA ADAKAH TALAK AKAN JATUH. KERANA PERJANJIAN INI ADALAH PERSETUJUAN KEDUA BELAH PIHAK..HARAP PIHAK ANDA DAPAT MEMBANTU SAYA DALAM HAL INI.

  2. suami saya ketika bertengkar selalu berkata:’sana nikah lg ak izinin,biar ak sm n (anak kami),apakah perkataan tsb termasuk talak?

  3. askum..sy nak tanya..beberapa soalan..
    1 – apakah hukum dan sah jika talak atau menceraikan isteri ketika mengandung ..??
    2- isteri selalu minta cerai pada suami dengan alasan tidak kukuh disbbkan isteri berkerjaya dan mempunyai pendapatan yg lebih besar dari suami …
    3- keluarga mertua suka campur tangan dlm urusan rumahtangga dan pernah menyuruh isteri minta cerai dari suami…
    3- apakah hukum seorang isteri yg tidak menjaga suami dgn baik dari segi batin suami….??
    4- apakah hukum isteri yg tidak mendgr nasihat suami supaya bersolat dan beriman pada allah….??
    5-apakah hukum isteri yg tidak taat pada suami iaitu tidak mendgr nasihat suami….tidak bertegur dgn suami…sering sangka buruk pada suami…..pentingkan keluarga sendiri dari suami….

    • Assalamualaikum,

      Saya ingin bertanya sekiranya suami saya berkata ‘aku ceraikan engkau’ dalam keadaan saya yang hamil adakah jatuh talak tersebut?

Tinggalkan komen