Betulkan Tanggapan Poligami

Sebarang perbincangan mengenai isu poligami sebenarnya boleh menarik perhatian ramai golongan Hawa. Ia adalah isu yang paling sensitif dibandingkan dengan isu-isu lain yang berkaitan dengan wanita.

Dan yang terbaharu bantahan yang disuarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap kerajaan negeri Terengganu yang bercadang untuk memberi anugerah khas kepada lelaki yang berpoligami. Manakala di Indonesia pula tindakan Aa Gym (tokoh pendakwah terkenal) mengahwini Alfarini Eridani bekas model dan janda beranak tiga telah mencetuskan kemarahan golongan wanita di sana.

Sesungguhnya kebanyakan orang yang fanatik menentang Islam dan orang-orang yang tidak memahami jiwa syariat lslam menganggap bahawa lslam ialah suatu agama yang pertama mengharuskan poligami. Ini adalah merupakan suatu anggapan yang salah yang menunjukkan kejahilan mereka terhadap sejarah dan terhadap agama-agama lain.

Tegas

Islam bukanlah agama pertama yang membawa atau memperkenalkan poligami tetapi Islam adalah agama pertama yang menyusun undang-undang perkahwinan (secara sistematik) dan menggariskan batas-batas poligami dengan jalinan-jalinan yang ketat dan syarat-syarat yang tegas.

Islam mengadakan peraturan perkahwinan dan menggariskan batas tertentu untuk poligami dan menjadikan bilangan paling banyak (maksimum) wanita yang boleh dikahwini dalam satu-satu masa ialah empat orang dengan syarat individu itu mempunyai kemampuan yang cukup serta boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Maka kahwinlah wanita-wanita yang halal bagimu dua, tiga atau empat (surah an-Nisa ayat 3). Dengan menitikberatkan kepentingan manusia baik secara individu mahupun masyarakat, lslam membolehkan lelaki berkahwin lebih dari seorang.

Islam telah menentukan keperluan individu dan masyarakat dan menentukan ukuran kepentingan kemaslahatan manusia seluruhnya hak lelaki berpoligami dalam lslam bukan persoalan hak lelaki ke atas wanita. Tetapi, ia adalah hak Allah s.w.t. terhadap makhluk-Nya. Hak ini bukan dipaksakan Allah. Ia peruntukan yang diharuskan dengan bersyarat ke atas lelaki yang ingin berpoligami.

Di antara manusia ada yang mandul atau sakit sehingga tidak mempunyai anak. Dan, ada juga di kalangan para isteri yang tidak dapat menjalankan kewajipan sebagai isteri. Bukankah ia suatu kehormatan bagi si isteri dan keutamaan bagi si suami kalau dia berkahwin lagi dengan seorang wanita tanpa menceraikan isteri pertama dengan memenuhi hak-haknya?

Di kalangan feminis lslam mereka melihat umumnya poligami yang terjadi adalah semata-mata untuk pemuasan nafsu semata-mata bukan atas faktor-faktor yang disebut di atas.

Malah semua alasan yang membolehkan suami berpoligami hanya dilihat dari perspektif kepentingan suami dan sama sekali tidak pertimbangkan perspektif kepentingan perempuan apa lagi kepentingan sosial (kemasyarakatan) yang lain. Mereka menyimpulkan bahawa prinsip perkahwinan dalam lslam adalah monogami, bukan poligami. Malah menurut mereka kemampuan untuk berlaku adil ke atas isteri dari segi fakta sejarah membuktikan hanya nabi s.a.w. yang mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Sementara itu ada juga lelaki yang mempunyai nafsu seks yang luar biasa, tapi isterinya hanya bersikap dingin atau sakit, atau masa haidnya itu terlalu panjang dan sebagainya, sedangkan si suami tidak dapat menahan nafsunya. Apakah dalam situasi begini mereka tidak boleh kahwin dengan perempuan lain secara yang halal sebagai tempat mencari kawan tidur dan teman hidupnya?

Syarat

Jika poligami itu boleh memberikan jalan ke arah keghairahan nafsu kaum lelaki tanpa menyebabkan wabak zina, maknanya ia telah membentuk perlakuan seks yang sihat. Apakah kita harus menyempitkan pandangan mengenainya sehingga gejala perzinaan menjadi berleluasa.

Bagi sesetengah kaum wanita mereka mungkin menentang poligami kerana mereka tidak memahami istilah akad nikah sebagai (perjanjian kontrak) yang bukan maksud lelaki dan perempuan itu milik mereka. Apabila ia berupa kontrak (ikatan perjanjian) ini bermakna lelaki tersebut boleh membuat kontrak atau akad nikah dengan perempuan lain apabila memenuhi ciri-ciri dan syarat-syarat yang dikenakan oleh Islam.

Pada hakikatnya agama kita membenarkan cara halal tadi sekalipun dengan isteri yang lain iaitu kaum sejenisnya sendiri. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingin selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampau batas (al-Mu’Minun ayat 5-7).

Di sini jelas dinyatakan bahawa hubungan suami isteri itu dihalalkan dan diberi kebebasan sepenuhnya dan yang dicela ialah dengan orang lain secara yang di luar batas agama. Malangnya ada juga sebahagian para isteri itu masih ragu-ragu untuk sentiasa menjalin kasih sayang dan membina kehidupan yang intim dan romantis, sekalipun dengan pasangan mereka sendiri. Ini memungkinkan perhubungan itu menjadi tidak harmonis sehingga boleh menyebabkan keretakan rumah tangga atau boleh menimbulkan kerenggangan dalam rumah tangga.

Pada masa ini, bancian penduduk seluruh dunia menunjukkan bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki. Keadaan ini menimbukan kebimbangan berlakunya ke’aifan dan kerosakan (akhlak antara kedua-dua jenis ini) menyebabkan diharuskan lelaki berpoligami dengan syarat dapat melakukan keadilan dan kecukupan nafkah zahir dan batin. Di negara barat hari ini mereka merungut tentang kemerosotan keturunan mereka serta merebaknya penyakit AIDS kerana perbuatan zina dan liwat yang kalau tidak dikawal akan menghancurkan seluruh masyarakat itu sendiri.

Bagaimana untuk melahirkan generasi minda kelas pertama yang menjadi idaman negara kalau ia lahir dari genetik dan benih yang kotor dan jahat. Sebaliknya benih yang baik itulah yang dapat melahirkan generasi yang baik dan berapa ramai kaum wanita yang mempunyai genetik atau benih yang baik dan subur terbiar begitu sahaja kalau tanpa ada kemudahan atau laluan untuk berpoligami sebagaimana yang dibenarkan oleh agama.

Kita tidak mahu manusia yang akan lahir nanti ialah manusia yang liar dan sukar dididik. Islam itu bersih. Apa pun alasannya, poligami merupakan alternatif yang dapat menghindari daripada berlakunya kejahatan. Sehubungan ini Allah mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: (Biasanya) wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat itu untuk wanita yang jahat (begitu juga sebaliknya) wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik-baik (surah an-Nur ayat 26).

Generasi

Justeru itu kita dapati orang tua kita dahulu tidak memilih sangat pasangan untuk anak mereka asalkan bakal suami itu orang baik dan soleh. Mereka terima sahaja apa lagi kalau bakal menantu mereka itu daripada kalangan para ulama terkenal pula dan terbukti selalunya generasi keturunan mereka terdiri dari manusia berminda kelas satu yang amat diperlukan oleh negara hari ini.

Kepentingan pendidikan kepada masyarakat perlu dilakukan bagi menyedarkan bahawa poligami itu adalah suatu yang baik dan menjadi sunah nabi. Segala-galanya telah nabi tunjukkan kerana poligami dibolehkankan dalam lslam.

Apa pun pandangan dan alasan, penentangan terhadap poligami akan membawa kepada kepincangan akidah. Pandangan serong terhadap poligami hendaklah diperbetulkan semula dengan harapan masyarakat benar-benar peka dan faham mengenainya. Ia sangat penting kerana poligami bukan ciptaan manusia, sebaliknya bersumberkan perintah Allah.

Oleh Mohd. Shauki bin Abdul Majid

2 thoughts on “Betulkan Tanggapan Poligami

  1. “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai.”
    Menurut ulama, adil dalam poligami adalah dari segi pembahagian masa, giliran dan keperluan. Tercenderungan kasih sayang tidak termasuk dalak syarat poligami

Tinggalkan komen