Gaji Adalah Hak Individu

Adakah gaji isteri adalah hak mutlak suami, bermakna setiap perbelanjaan isteri terhadap gajinya sendiri perlu meminta izin suami terlebih dahulu dan isteri tidak boleh berbelanja tanpa pengetahuan suami?

Jawapan:

Gaji isteri bukan hak mutlak suami, begitu juga gaji suami bukan hak mutlak isteri. Gaji yang diperoleh oleh setiap individu melalui pekerjaan yang dilakukan adalah hak individu.

Ini adalah kerana gaji adalah hasil titik peluh masing-masing dan tidak boleh dianggap gaji isteri sebagai gaji suami dan gaji suami sebagai gaji isteri.

Dalam urusan rumah tangga maka suamilah yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyedia makan minum, tempat tinggal dan keperluan-keperluan asas bagi sebuah keluarga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.(al-Nisa’:34)

Namun hari ini, kita lihat kebanyakan suami isteri berkerja. Adakalanya selepas perkahwinan suami meminta isteri berhenti kerja supaya dapat memberi tumpuan kepada urusan rumah, lebih-lebih lagi sekiranya sudah mempunyai zuriat.

Ada pula suami yang meminta isterinya kerja supaya dapat meringankan tanggungannya memandangkan pendapatannya yang sangat terhad.

Biarpun kaum lelaki sepatutnya bertanggungjawab dalam semua hal urusan rumah tangga lebih-lebih lagi dalam urusan mencari rezeki, namun tidak salah kalau dibantu oleh isteri bagi meringankan bebanan suami.

Kadang-kadang lahir pandangan bahawa duit gaji masing-masing punya, gaji suami untuk keperluan suami manakala gaji isteri bagi keperluan isteri, maksudnya suami jangan campur pendapatan isteri dan isteri tidak akan mencampuri pendapatan suami.

Sebenarnya pandangan sebegini boleh merosakkan keharmonian rumah tangga, ini kerana suami isteri mula hidup berkiblatkan material dan hidup untuk kepentingan peribadi.

Dari awal lagi, sebagai seorang suami kena faham bahawa isteri berkerja untuk meringankan suami bukan untuk melepaskan tanggungjawab suami. Adalah salah sekiranya suami menggangap bahawa gaji isteri adalah hak mutlaknya.

Antara yang perlu difahami ialah suami berpendapatan tinggi dan isterinya juga berkerja tidak melepaskan si suami daripada menanggung keperluan isteri, anak-anak dan rumah.

Soalan 2:

Sekiranya gaji isteri adalah hak mutlak suami, bolehkah disamakan gaji isteri sebagai nafkah? Bermaksud sudah memadai sekiranya isteri menggunakan gaji sendiri untuk keperluan diri dan anak-anak, maka suami tidak perlu lagi memberi nafkah?

Jawapan:

Pendapatan isteri tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak suami ini kerana pendapatan itu hak isteri secara mutlak. Hak mentadbir kewangan isteri akan berpindah sekiranya isteri gagal mentadbir kewangan secara betul. Selain dari itu adalah hak isteri mengurus kewangannya.

Pendapatan isteri atau gaji isteri adalah untuk membantu suami dalam meringankan bebanan itupun jika suami tidak mampu menanggung kesemua kos pengurusan keluarga.

Namun, sekiranya ada suami yang beranggapan gaji isteri untuk menanggung segala kos keluarga dan suami lepas tangan adalah tidak betul dan sikap sebegini sikap yang tidak bertanggungjawab.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.(al-Talaq: 6-7).

Di dalam kedua-dua ayat ini Allah SWT memperincikan tanggungjawab seorang suami ke atas isteri dan keluarganya. Apa yang penting dalam mengemudi bahtera rumah tangga, ialah memahami peranan masing-masing, suami memahami peranannya dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, isteri juga perlu faham dan memahami tanggungjawabnya dalam membantu dan meringankan bebanan suami. Inilah di antara kunci keharmonian rumahtangga.

Derita isteri didera

Saya telah berkahwin selama 10 tahun. Kami mempunyai tiga anak. Pada mulanya kehidupan kami bahagia, tetapi selepas kelahiran anak kedua, suami mula berubah sikap. Dia menjadi semakin kasar terhadap saya.

Asyik memukul dan menerajang saya. Tidak boleh salah sikit, saya ditamparnya. Walaupun dia tidak memukul anak-anak tetapi dia sering kali memukul saya di hadapan mereka menyebabkan anak-anak juga takut kepadanya. Saya pernah cuba melawan kata-katanya dan memberitahu suami saya mahu memohon penceraian tetapi suami mengugut akan membunuh saya jika saya berani membuat laporan polis atau ke mahkamah menuntut cerai. Keluarga sendiri tidak memberikan sokongan. Bantulah saya.

Jameelah Yassin, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Di dalam Islam, penganiayaan di antara sesama manusia adalah amat dilarang, apatah lagi penganiayaan terhadap seorang isteri. Surah an-Nisa’ ayat 19 memperuntukkan yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, tiada dihalalkan bagimu mempusaka perempuan dengan paksaan dan janganlah kamu bertindak kejam terhadap mereka, sebaliknya bergaul dengan mereka secara baik-baik lagi adil. Kalau kamu benci kepadanya mungkin kamu benci akan sesuatu sedangkan Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa: “Yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya”.

Suami puan telah bersikap zalim terhadap puan. Seorang isteri adalah tempat suami berkasih-sayang dan bersenang-senang dan suami diberi tanggungjawab ke atas kesejahteraan isterinya. Tanggungjawab ini haruslah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Isteri adalah amanah, bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Di sini suami puan telah bersikap tidak adil. Dari segi perundangan, suami puan melakukan kesalahan menurut Seksyen 127 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 iaitu suami yang menganiayai isterinya maka boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya. Puan boleh mengadu kepada mahkamah syariah bagi tujuan ini dengan membawa bersama laporan polis, laporan perubatan, gambar dan bukti-bukti lain yang berkaitan untuk menunjukkan puan dianiaya.

Selain Akta tersebut di atas, Akta Keganasan Rumahtangga 1994 juga boleh dirujuk. Di bawah Seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 ada dinyatakan bahawa sekiranya seorang suami telah memukul sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal atau; memaksa isteri melakukan atau tidak melakukan sesuatu yang mendatangkan rasa ketakutan atau; mengurung isteri tanpa kerelaan diri atau; memaksa dan melakukan hubungan seks yang mendatangkan ketakutan, maka isteri boleh memohon perintah perlindungan dari mahkamah dan suami boleh dihukum ke atas kesalahannya.

Melihat kepada situasi puan, kami nasihatkan puan membuat laporan ke balai polis yang berdekatan di tempat puan bermastautin. Beritahu mereka bahawa suami puan telah mengugut untuk membunuh jika puan membuat laporan polis. Selain itu, puan juga perlu membuat laporan perubatan di hospital kerajaan dan melaporkan sekali kepada jabatan agama. Ini dapat membantu pihak mahkamah dalam pendakwaan mereka. Pastikan bahawa puan sentiasa menyimpan salinan laporan-laporan tersebut.

Pihak polis mempunyai bidang kuasa untuk bertindak ke atas suami puan yang melakukan keganasan ke atas puan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.

Puan boleh mendapatkan perlindungan dari mahkamah dengan memohon Perintah Perlindungan Sementara. Seksyen 4 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 memberikan peruntukan untuk perlindungan sementara. Ia merupakan suatu perintah mahkamah yang melarang suami dari melakukan keganasan terhadap puan atau anak-anak.

Jika puan telah tekad untuk bercerai kerana tidak tahan dengan perangai suami yang ringan tangan, puan boleh memfailkan tuntutan perceraian melalui cara taklik atau fasakh. Taklik adalah perceraian yang boleh dituntut oleh isteri apabila suami mengingkari syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin.

Selain itu, puan boleh memohon fasakh. Fasakh ialah perceraian yang boleh dipohon oleh pihak isteri atas salah satu alasan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Perkara penting yang perlu diutamakan sekarang adalah keselamatan puan dan anak-anak. Terdapat beberapa pertubuhan wanita yang boleh membantu dan ada yang mempunyai rumah perlindungan. Antaranya, Women‘s Aid Organisation (WAO). Puan boleh menghubungi mereka di talian 03-79585287.

Wajib bergaul baik dengan isteri

Adakah dikira sudah menunaikan tanggungjawab kalau suami hanya memberikan wang kepada isterinya sedangkan tidak bergaul dengan baik dan tiada kemesraan dan asyik mencari kesalahan dan keburukan isteri semata-mata?

Jawapan:

Islam sentiasa menyuruh umatnya berbuat kebaikan. Ini termasuklah dalam perhubungan dan pergaulan suami dan isteri.

Maksud bergaul baik dalam syariah Islam adalah diambil daripada perintah Allah SWT di dalam al-Quran, firman yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…(al-Nisa’: 19).

Al-Quran melalui perintah mahukan setiap suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan cara yang baik atau makruf.

Di dalam meneladani kehendak ayat ini ahli tafsir mengemukakan beberapa pandangan melalui pengamatan masing-masing.

l Di antara mereka ialah Ibn Kathir. Beliau berpendapat bahawa ayat ini, “… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…” bermaksud: para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466).

~ Al-Zamakhsyariy dan Fakhruddin al-Raziy berpendapat: “bermalam dengan isteri (memenuhi hak-hak batin bagi si isteri) melangsaikan nafkah dan bercakap baik dengan mereka”. (al-Zamakhsyariy, jld:1,hlm:490, Fakhruddin al-Raziy, jld:10,hlm:12).

~ Al-Jashsas dalam tafsirnya berpendapat: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para suami supaya bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan baik, perkara yang baik itu ialah menunaikan hak-hak seorang isteri dengan membayar mas kahwinnya serta nafkah dan pemberian antara isteri-isteri (jika lebih dari seorang), juga tidak menyakiti isteri dengan bahasa yang kesat dan kasar serta ditegah dari memalingkan wajah dari si isteri”. (al-jashsas, Ahkam al-Quran, jld: 2, hlm: 109).

~Tafsir Muhammad Rasyid Reda menarik dalam huraian ayat ini, beliau menjelaskan bahawa: “Wajib ke atas kamu wahai orang-orang yang beriman supaya berbuat baik dengan isteri-isteri kamu dalam pergaulan, dengan menjadikan persahabatan kamu serta pergaulan kamu dengan mereka dengan cara yang baik sesuai dengan dengan tabiat mereka sebagai wanita.

“Pergaulan itu mestilah yang tidak ditegah oleh syarak dan adat dan tidak bertentangan dengan maruah seseorang. Adapun menyempitkan pemberian nafkah (bersikap kedekut/ berkira dalam nafkah) serta menyakiti mereka dengan perkataan dan perbuatan, semua itu adalah bertentangan dengan bergaul baik dengan isteri dan bertentangan dengan al-Quran.

“Sesungguhnya setiap seorang dari pasangan suami isteri ialah membawa kegembiraan dan kebahagiaan”. (Muhammad Rasyid Reda, Tafsir al-Manar, jld:4,hlm:456).

Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib. Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya”. (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:326 ).

Dalam hadis yang lain daripada ibn Abbas r.a baginda bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku”. (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:325).

Di dalam kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.

Berperangai buruk

Jika seorang suami dengan isterinya baik maka dia juga baik dengan orang lain, dan sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya maka dia juga akan bersikap hodoh dengan orang lain.

Di antara perkara yang dapat membantu suami menjadi baik dengan isterinya mesti memiliki kemahiran-kemahiran berikut.

Pertama: Mengenal tabiat wanita; ini kerana Allah SWT menjadi Adam dan hawa dengan tabiat fizikal yang berbeza. Berbeza dari sudut perasaan dan emosinya. Orang lelaki tabiatnya kasar, orang perempuan tabiatnya lembut.

Baginda SAW telah banyak berpesan kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga mereka.

Kedua, mengenang kebaikannya. Kalau diadili dengan penuh kewarasan setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.

Walaupun isteri mempunyai kesilapan dan kesalahan itu kerana emosinya dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil, ini tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

Saya yakin bahawa isteri banyak sumbangannya kepada suami oleh itu fikir-fikirkan ketika mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.

Sesungguhnya manusia tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Tutuplah kesalahannya dengan kebaikannya.

Ketiga, menutup keaibannya; tiada yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.

Mengaibkan

Jangan diaibkan isteri kepada sesiapa pun, walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami, apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.

Keempat, kemungkinan kebaikan ada pada isteri yang dibencinya; jangan dibenci atau dicaci mungkin isteri yang dibenci oleh si suami itu ada kebaikan padanya, yang lambat laun pasti akan zahir.

Kelima, mengenal kedudukan isteri di rumah. Dalam banyak keadaan si isteri tinggal di rumah, adakalanya selepas berumahtangga ada di kalangan isteri yang tiada lagi baginya kehidupan bersosial, kerana suami dan anak-anaklah segala-galanya.

Berlaku adillah kepada isteri-isteri yang berada di bawah jagaan anda supaya amanah Allah SWT tidak terabai.

Isteri enggan rujuk

Hubungan saya dan isteri menjadi renggang sejak saya berhenti kerja pada awal tahun lepas. Isteri telah banyak membantu menanggung semua perbelanjaan rumah. Namun pada minggu lepas, akibat salah faham, kami telah bergaduh besar dan saya telah melafazkan talak terhadap isteri. Saya merasa kesal dengan sikap panas baran saya dan ingin merujuk bersama isteri. Tambahan pula, saya telah berjaya mendapatkan pekerjaan. Namun isteri enggan untuk bersama. Saya keliru. Bukankah jika masih dalam tempoh idah, saya boleh merujuk pada bila-bila masa?

Suami Kesal,
Kuala Kubu Baru, Selangor.

Jawapan:

Terima kasih kerana mengemukakan kemusykilan saudara kepada kami. Terdapat dua perkara yang saudara telah timbulkan di sini iaitu pengesahan lafaz cerai dan rujuk. Perceraian haruslah dilakukan dengan cara berhemah dan menurut undang-undang sedia ada iaitu dengan melafazkan talak di dalam mahkamah syariah.

Dalam kes saudara, perceraian yang telah berlaku adalah di luar mahkamah dan dengan tanpa kebenaran. Perceraian sebegini adalah satu kesalahan menurut seksyen 125 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mana saudara boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Saudara haruslah memohon kepada mahkamah untuk mengesahkan perceraian telah berlaku. Apabila mahkamah telah mendapati bahawa perceraian yang berlaku di luar mahkamah itu adalah sah dan sabit maka barulah timbul isu berkenaan rujuk.

Rujuk adalah satu proses di mana suami dan isteri berbaik semula setelah berlakunya perceraian. Suami hanya boleh merujuk kembali bekas isterinya sekiranya isteri dicerai dengan talak satu atau talak dua atau talak rajie dan bukan di luar tempoh idah. Tempoh idah bagi seorang wanita adalah selama tiga kali suci daripada haid.

Rujuk kembali

Apabila pasangan yang telah bercerai mahu rujuk kembali, maka pihak isteri haruslah bersetuju untuk rujuk tersebut. Seorang suami tidak boleh menganggap bahawa oleh kerana suami mahu rujuk maka ia akan terjadi secara automatik. Sekiranya isteri tidak bersetuju, maka tiada rujuk bagi pasangan tersebut.

Adalah lebih baik sekiranya pasangan dapat berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi dengan cara dewasa dan tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila berlaku persengketaan di dalam perkahwinan.

Sekiranya perbincangan di antara dua belah pihak gagal, maka keluarga masing-masing boleh dibawa sebagai pengantara.

Perkara ini ada diperuntukan dalam Seksyen 52(8) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mana mahkamah boleh melantik jawatankuasa pendamai untuk mencuba mencari jalan perdamaian jika pihak isteri tidak bersetuju untuk dirujuk semula. Perkara ini haruslah dimohon oleh saudara di mahkamah syariah.

Jawatankuasa pendamai adalah terdiri daripada seorang pegawai agama, seorang wakil isteri dan seorang wakil suami. Saudara boleh melantik sesiapa untuk mewakili saudara tetapi keutamaan akan diberikan kepada saudara karib dan pihak yang mengetahui hal keadaan saudara.

Sekiranya jawatankuasa tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk suami isteri untuk berbaik semula, maka mereka akan mengeluarkan satu perakuan mengenai hal tersebut.

Mereka juga seharusnya melampirkan syor-syor mengenai nafkah, hak penjagaan anak dan pembahagian harta sepencarian. Jawatankuasa juga boleh mengeluarkan syor-syor lain mengenai hal-hal yang berhubungan dengan perkahwinan tersebut.

~ Utusan

Suami nusyuz

Suami saya seorang yang panas baran dan bertindak ganas jika berlaku perselisihan. Apa yang membimbangkan saya ialah setiap kali berlaku pertengkaran, bukan saya sahaja yang terima sepak terajang, malah anak-anak juga. Baru-baru ini saya lari ke rumah keluarga saya untuk melindungi diri dan anak-anak daripada dipukul. Suami menuduh saya nusyuz. Apakah yang perlu saya lakukan untuk melindungi diri dan anak-anak? Adakah perbuatan saya dianggap nusyuz dan apakah kesannya?

Lia Kamila,
Sentul, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Islam menganjurkan kehidupan berumahtangga yang harmoni, saling hormat-menghormati dan kasih sayang antara suami isteri. Kitab suci al-Quran menekankan nilai-nilai ini malah melarang dengan keras sebarang bentuk kezaliman sesama manusia. Dalam surah Ar- Ruum 30:21, “Antara hikmahNya: Dia menjadikan jodoh untukmu dari dirimu (bangsamu), supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia mengadakan sesama kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir.”

Keganasan rumah tangga boleh ditakrifkan sebagai sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan, mencederakan secara fizikal, memaksa atau mengancam melakukan perbuatan seksual atau selainnya, mengurung atau menahan tanpa kerelaan dan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran.

Untuk menangani masalah ini, satu akta khusus telah digubal iaitu Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Apa yang boleh puan lakukan ialah membuat laporan polis di balai polis berhampiran tentang keganasan yang telah dilakukan terhadap diri dan anak-anak puan.

Di samping itu, rawatan dari hospital kerajaan adalah perlu sebagai laporan kecederaan yang dialami. Puan juga boleh memohon perlindungan sementara di bawah seksyen 4 Akta Keganasan Rumahtangga. Perintah perlindungan ini bertujuan untuk menghalang dan melindungi mangsa daripada terus dianiayai.

Pegawai Penyiasat (polis) akan mengeluarkan satu surat yang menyarankan bahawa puan perlu memohon perlindungan sementara ini. Surat ini ditujukan kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat yang akan merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah tersebut.

Di mahkamah syariah pula, puan juga boleh memohon perintah tegahan mengikut seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi menghalang suami menceroboh diri, anak dan harta puan.

Manakala seksyen 59(2) memberikan definisi nusyuz itu sebagai enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain –

lApabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;

lApabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau

lApabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang mengikut hukum syarak.

Kesan seksyen ini adalah seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah jika dia dibuktikan nusyuz. Namun, mahkamah akan melihat kepada fakta kes sebelum mensabitkan nusyuz ke atas isteri. Hak nafkah isteri berkenaan tidak luput jika dalam keadaan terpaksa dan bertepatan dengan syarak.

Dalam kes ini tindakan puan tidak dianggap nusyuz kerana puan keluar dari rumah untuk menyelamat dan melindungi diri dan anak-anak dari terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Istilah nusyuz pada kebiasaannya digunakan sebagai bererti nusyuz oleh pihak isteri, akan tetapi perlu diingatkan bahawa ayat al-Quran juga menggunakan istilah nusyuz bagi merangkumi pihak suami juga. Dalam surah al-Nisa istilah nusyuz diterangkan dalam ayat 4:34 yang menyatakan maksud: “…Dan wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, (kemudian) pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, (dan akhir sekali) pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak menyakiti) Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi dan Maha Besar

Namun ia sebenarnya tidaklah terbatas kepada wanita sahaja. Malah, dalam surah al-Nisaa’, ayat 4:128 ditujukan kepada lelaki. Sebahagian ayat ini bermaksud, “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian antara mereka berdua…”

Oleh yang demikian, nusyuz tidaklah mungkin membawa pengertian tentang keengkaran isteri terhadap suaminya, sebagaimana yang sering disangkakan. Menurut Syed Qutb dalam bukunya In the Shade of the Qur‘an nusyuz bererti terganggunya kerukunan rumah tangga.

Suami juga boleh dianggap nusyuz jika tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dengan baik. Oleh itu, kedua-dua suami dan isteri adalah bertanggungjawab menjaga kerukunan rumah tangga.