Amalan Riba Aniaya Dan Menindas Orang Susah

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

RIBA adalah masalah paling rumit menurut kebanyakan ulama. Ini kerana Islam bukan saja menentang orang yang memakan riba, malah mereka yang menjadi wakil, saksi dan pencatat yang menyebabkan terhasilnya riba juga ditentang oleh syarak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah melaknat orang yang memakan riba, yang mewakilinya, saksinya dan penulisnya.”

Islam menegah riba kerana ia adalah perbuatan orang jahiliah yang menganiaya dan menindas orang lain. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya setiap riba daripada riba jahiliah itu sudah dihapuskan. Maka bagi kamu modal kamu, kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya.”

Amalan riba ini jelas perbuatan yang diharamkan oleh Allah. Firman Allah bermaksud: Dan Allah s.w.t menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah (2), ayat 275).

Seandainya kita meragui sesuatu perniagaan yang diceburi atau sebarang perbuatan yang dilakukan mengandungi riba atau tidak, maka Rasulullah SAW mengajar kita supaya meninggalkan perbuatan itu. Nu’man bin Basyir menceritakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu telah jelas, yang haram pun telah jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar. Barang sesiapa menjaga dirinya daripada perkara yang diragukan, bererti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan barang sesiapa yang terjerumus ke dalam keraguan, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara yang haram seperti pengembala yang menggembalakan ternaknya di sekitar kawasan yang dilarang, lambat laun ia akan masuk ke dalamnya.”

Ramai antara kita barang kali terkeliru atau tidak jelas mengenai sesuatu perbuatan yang dilakukan sama ada mengandungi riba atau sebaliknya, melakukan sewenang wenangnya tanpa melakukan pemeriksaan terlebih dulu.

Perkara ini menyebabkan ada umat Islam yang terjebak dengan amalan riba. Gambaran ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Akan datang suatu masa, di mana manusia banyak memakan riba. Ditanyakan kepada Rasulullah SAW: Apakah manusia secara keseluruhan. Baginda menjawab: Yang tidak memakannya pun akan terkena debunya.”

Gambaran di atas menunjukkan bahawa riba adalah perkara yang sangat halus yang seakan-akan manusia tidak terasa mengamalkannya umpama debu yang melekat pada pakaian atau tubuh badan.

Oleh itu, sebagai tanda beriman kepada Allah, kita perlu berhati-hati supaya tidak terjerumus sebagai pengamal riba. Ini kerana mereka yang mengamalkan riba akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat seperti orang gila yang dirasuk syaitan.

Balasan ini dijelaskan Allah melalui firman-Nya, juga dalam surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: “Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran penyakit gila.”

Mereka yang meninggalkan amalan riba dilabelkan Allah sebagai golongan yang beriman kepada-Nya. Status ini dijelaskan Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 278 bermaksud: “Dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut), jika kamu orang yang beriman.”

Kita perlu segera meninggalkan larangan memakan dan menyertai perbuatan riba kerana tiada nilai yang lebih berguna dalam hidup melainkan mentaati perintah Allah.

Tinggalkan komen