Sifat rendah diri benteng tamakkan dunia

Oleh Zahari Hasib

TAMAKKAN dunia ialah kecenderungan untuk memburu dan mengejar kehidupan duniawi termasuk mengumpul benda, mengejar kedudukan pangkat dan darjat, menyintai kemewahan hidup dan melupakan tanggungjawab terhadap Allah.

Islam tidak menegah atau menghalang umatnya mencari kekayaan dan kebahagiaan hidup di dunia, sebaliknya apa yang ditekankan ialah memburu kebahagiaan hidup di dunia janganlah sampai lupa tanggungjawab mempersiapkan diri dengan amalan serta bekal kehidupan di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan carilah kurniaan Allah untuk kebahagiaan di akhirat di samping itu jangan pula engkau lupa kepada kebahagiaan di dunia.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari.” (Hadis riwayat Al-Asyakin)

Jelas Islam adalah agama yang radikal serta tidak pasif, ia menyarankan perspektif luas supaya wujud keseimbangan antara kepentingan dunia dan akhirat antaranya menerusi kewajipan berzakat – yang kaya membantu golongan memerlukan.

Malah, selain ganjaran pahala amalan zakat menjadikan umat Islam bersifat rendah hati dan mereka yang rendah hati tergolong dalam golongan sangat dikasihi Allah.

Sejarah Islam sudah menunjukkan bukti jelas bahawa orang yang tamakkan dunia akan menerima pembalasan daripada Allah, bukan saja di dunia, tetapi di akhirat seperti berlaku terhadap Qarun seorang hartawan yang hidup pada zaman Nabi Daud.

Disebabkan sifat tamak dan haloba atas rezeki yang Allah kurniakan, Qarun bersama hartanya ditelan bumi. Begitu juga Firaun yang bongkak hingga mengaku dirinya tuhan akhirnya mati dihanyutkan arus lautan yang bergelora.

Marilah kita menyedari hakikat bahawa segala kekayaan dimiliki seseorang adalah suatu ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana kesyukuran serta ketakwaan kita dalam menerima anugerah itu.

Bagi yang tebal rasa keimanannya tentu saja mereka akan menerima segala kekayaan dan harta benda itu sebagai pemberian perlu disyukuri, manakala mereka yang tamak dan haloba sering berasa tidak pernah cukup lalu akhirnya kekayaan menjadikan ia bertambah sombong, bongkak, kikir dan kedekut serta berpaling menjauhkan diri daripada Allah.

Oleh itu, sifat rendah hati amat ditekankan Islam kerana sifat rendah hati boleh menjadi benteng mencegah daripada rasa tamak haloba terhadap dunia.

Firman Allah yang bermaksud: “Bahawa kebanyakan manusia itu sentiasa bersifat tamak serta tidak pernah bersyukur, jika kami berikan satu lembah emas nescaya dia akan meminta lagi, kemudian bila kami berikan dua lembah emas sekalipun, namun dia tidak juga berasa cukup lalu memintanya lagi.”

Sementara dalam kumpulan riwayat (Al-Futahal Makkiyah) Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu kebanyakannya berada di dalam kecukupan tetapi mereka masih mencari akan apa yang membawanya kepada kedurhakaan, sesungguhnya manusia itu juga tidak pernah berasa cukup dengan sedikit, tetapi tidak pula mereka berasa puas dengan yang banyak.”

Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat bernama Abu Saalabah yang hidup dalam keadaan miskin, tetapi terkenal sebagai seorang cukup taat mengerjakan sembahyang berjemaah bersama nabi serta sahabat.

Nabi Muhammad SAW hairan kerana Abu Saalabah tidak pernah mahu ikut bersama jemaah lain untuk mengaminkan doa dibacakan Baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat.

Pada suatu hari ketika Abu Saalabah hendak bangun meninggalkan jemaah yang sedang mengaminkan doa, tiba-tiba Rasulullah SAW memanggilnya seraya bertanya: “Wahai Saalabah, mengapa aku lihat engkau tidak pernah mahu menunggu bersama orang lain untuk mengaminkan doaku.”

Maka Saalabah pun menjawab: “Wahai Rasulullah, sebenarnya hamba ini seorang yang sangat miskin, kebetulan hanya inilah saja sehelai kain (sambil dia memegang kain yang dipakainya) yang hamba miliki, oleh itu hamba tidak sempat untuk menunggu lama bagi mengaminkan doa tuan, sebab kain ini jugalah yang hendak dipakai oleh isteri hamba yang kini sedang menunggu untuk bersembahyang di rumah.”

Mendengarkan jawapan itu, Rasulullah SAW tercengang lalu baginda bertanya kepada Abu Saalabah: “Jika demikian miskinnya kamu, maka mahukah engkau aku doakan supaya menjadi kaya?” Lalu Abu Saalabah menjawab: “Demi engkau sebagai nabi dan kekasih Allah, doakanlah supaya aku menjadi kaya.”

Selang tidak berapa lama, dengan berkat doa Nabi Muhammad SAW maka kehidupan Saalabah beransur-ansur senang akhirnya dia menjadi kaya raya selaku seorang saudagar dan tuan punya biri-biri dan unta yang banyak.

Selepas kekayaannya Abu Saalabah tidak lagi kelihatan datang ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah bersama nabi serta golongan sahabat lain. Ketika beberapa sahabat menanyakan Nabi Muhammad SAW mengenai ketiadaan Saalabah sembahyang berjemaah, lalu Baginda menjawab: “Kesibukan menguruskan harta benda dan kecintaan Saalabah kepada dunia ini menyebabkan dia terlupa untuk mencari jalan ke masjid.”

Kisah Saalabah menunjukkan bahawa kemewahan hidup serta sifat tamakkan dunia bisa menggugat ketakwaan serta keimanan seseorang.

Dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai perbandingan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka jawab baginda: “Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam syurga, maka dunia sebenarnya adalah tak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing.”

Sementara dalam sebuah hadis lain, bertanya pula seseorang kepada Rasulullah SAW mengenai perbandingan antara dunia dengan akhirat, maka jawab baginda: “Celupkan jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat.”

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: