Memahami kanak-kanak pintar

Oleh: DR. TEOH HSIEN-JIN

AZMIR, 8 tahun, menghadapi masalah di sekolah. Dia resah, tidak menumpukan perhatian, dan sentiasa menyakiti rakan sekelas. Pada satu ketika, dia ditangkap kerana masuk ke kelas tahun 5. Dia tidak mempunyai ramai kawan di kalangan rakan sekelas, dan lebih suka berkeliaran dengan anak-anak sekolah yang lebih tua. Ibu bapanya gagal mendisiplinkan dia. Bila dikurung dalam perpustakaan, dia seolah-olah menyukainya pula. Sebagai langkah terakhir, dia dibawa bertemu seorang pakar psikologi klinikal untuk diuji sama ada dia mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Diagnosis adalah negatif. Ibu bapa Azmir lebih terkejut bila diberitahu tiada apa-apa yang tidak kena dengannya, malah dia sebenarnya adalah seorang anak yang terlalu pintar. Mereka berasa sungguh gembira dan teruja, namun keliru dan tidak tahu apa patut dilakukan.

Kepintaran (gifted) merupakan satu situasi di mana perkembangan seseorang anak adalah lebih pantas berbanding kanak-kanak seusianya. Kemampuan mentalnya lebih maju dan mampu menyerap serta mengasimilasikan maklumat dengan cepat dan lebih imaginatif berbanding normal. Ada yang membesar lebih pantas di segi fizikal dan mewujudkan masalah seperti akil baligh sebelum masanya. Ada pula yang berhadapan dengan maklumat yang minda mereka belum bersedia di segi emosi.

Sering kali guru-guru tidak sependapat ketika memutuskan sama ada seseorang anak itu pintar atau tidak kerana walaupun intelektualnya jauh di hadapan rakan-rakan sebaya, namun kemampuannya berbeza di segi minat dan juga daripada subjek ke subjek. Sebagai contoh, seorang anak lelaki berusia 8 tahun mungkin boleh membaca buku teks tingkatan 1, tetapi yang dapat difahaminya mungkin seperti seorang anak berumur 10 tahun. Dalam bidang matematik pula, dia mungkin boleh membuat darab dan bahagi tetapi masih lagi mengira dengan jari. Hobinya mungkin termasuk astronomi, muzik klasik dan catur tetapi masih kencing malam dan menghisap ibu jari ketika hendak tidur.

Seseorang anak boleh dikatakan pintar jika, di antara lainnya, dia kurang memerlukan tidur, mampu menumpukan perhatian ke atas maklumat yang kompleks, boleh mengingati banyak perkara, tahap aktiviti tinggi, perkembangan yang pantas, boleh bercakap pada usia agak awal, berminat dengan buku-buku, taakulan abstrak, kemahiran menyelesaikan masalah dan mempunyai daya imaginasi yang kuat (vivid imagination).

Kepintaran kanak-kanak selalunya disahkan secara formal melalui ujian psikologi bersistem ke atas kemampuan mental, sosial dan perkembangan. Ia dilakukan oleh pakar psikologi klinikal, psikologi perkembangan atau psikologi pendidikan yang bertugas dengan kanak-kanak, dan memahami bidang kepintaran. Kanak-kanak yang mendapat markah melebihi paras 1 peratus julat kemampuan intelektual untuk kumpulan usia mereka mempunyai sesetengah kemampuan mental yang lebih maju berbanding rakan sebaya.

Walaupun keperluan asas kanak-kanak pintar sama seperti kanak-kanak lain, dia berbeza di segi cara berfikir, bertindak dan tingkah laku. Dia melihat dunia secara terperinci yang tidak dilihat dengan jelas oleh orang lain, menyerap setiap butiran seperti span, dan menganalisis semua situasi. Rakan-rakan mereka kecewa kerana gagal memahami melihat situasi atau maklumat pada tahap yang sama seperti anak pintar tersebut.

Anak pintar perlu menerima diri sendiri seadanya dan berasa selesa. Dia perlu diberi peluang memajukan kebolehan istimewanya. Pada usia yang sangat awal, anak pintar berminat memajukan potensinya, tetapi sering tertahan disebabkan oleh sistem pendidikan, dan dimarahi kerana mahu belajar lebih banyak. Akhirnya, dia hilang semangat. Satu kebolehan yang dahulunya istimewa kini hilang selama-lamanya.

Di segi emosi, anak pintar sedar dia memang berbeza di segi cara berfikir, bercakap dan bertindak berbanding rakan sebaya. Kerana tiada persamaan dia menganggap mereka membosankan. Lalu rakan sebaya meninggalkannya. Akibatnya, dia sukar mengekalkan persahabatan.

Mendidik anak pintar memang mencabar kebolehan ibu bapa. Bagaimanapun, beberapa cadangan berikut boleh dilakukan supaya hidup mereka menjadi lebih bererti.

Jangan galakkan anak anda “menunjukkan prestasi” di khalayak ramai. Anggaplah pencapaian luar biasa anak itu seadanya. Adalah lebih mudah baginya untuk melihat pencapaian itu sebagai normal, walaupun dia sebenarnya berbeza.

Berkomunikasi dengan anak mengikut tahapnya. Akui bahawa kemampuan anak itu adalah lebih maju, oleh itu biarkan dia mengembangkan ideanya pada tahap itu. Jangan tahan kemampuannya kerana nanti anda dan dia juga yang kecewa.

Berbincang dengan guru di sekolah supaya memberikan anak anda kerja sekolah yang lebih mencabar. Anak pintar belajar lebih pantas dan berbeza berbanding yang lain. Minda mereka cepat menyerap maklumat dan menangani masalah yang kompleks. Memberikan maklumat yang ringkas akan mengecewakannya. Bila dipaksa mengikut kaedah dan rentak sekolah yang tipikal, keistimewaan anak pintar akan merosot.

Cuba bantu guru mereka bentuk tugasan kerja rumah mingguan yang mencabar anak pintar anda. Untuk mengajar anak pintar, pengetahuan, maklumat dan naluri anda memang berguna dan penting. Ia harus dipergunakan sebaik-baiknya ketika mereka bentuk sesuatu program sekolah.

Berkomunikasi dengan sekolah dengan cara yang tidak mengancam. Berikan cadangan, bukan memaksakan idea anda ke atas guru-guru. Patut diingat bahawa ramai guru mungkin tidak pernah berhadapan dengan anak pintar, dan tidak tahu cara menanganinya. Menghulurkan bantuan dalam pendidikan anak anda mungkin membuat guru lebih mudah menerima, berbanding cuba memaksa guru mengubah sistem semata-mata untuk anak anda.

Jika boleh cuba letakkan anak itu di dalam kelas yang lebih maju. Meletakkan anak dengan kanak-kanak lebih tua yang berkongsi minat mungkin bermanfaat di segi sosial dan intelektual dan menghasilkan kurikulum yang lebih sesuai.

Bantu anak anda mencari rakan yang mempunyai minat yang sama. Sebagai contoh, Azmir suka main catur. Lebih bermanfaat jika dia dimasukkan ke kelab catur, juga kelas lakonan dan drama di mana ada kanak-kanak yang lebih tua, berbanding hanya duduk di rumah dan bermain buaian dengan kanak-kanak berusia 8 tahun yang lain di padang permainan.

Menjaga dan hidup bersama dengan anak pintar mungkin tinggi kosnya, meletihkan di segi fizikal dan mental, dan pengalaman yang memerlukan keintelektualan ibu bapa. Bantuan dan bimbingan daripada profesional kesihatan mental dan pendidikan yang memahami memang diperlukan.

Malangnya, masyarakat tidak berapa menerima individu yang kemampuannya berlainan. Seseorang dianggap genius berdasarkan sama ada masyarakat mahu atau tidak mahu menerima kebolehan istimewanya, dan jarang sekali berdasarkan sama ada seseorang itu benar-benar mempunyai kebolehan luar biasa atau tidak. Inilah cara masyarakat menangani kebimbangan.

1 thoughts on “Memahami kanak-kanak pintar

  1. Terimakasih atas penjelasan di atas. Anak saya berumur 2 tahun. Saya ingin tahi lebih lanjut lagi adakah anak saya ini tergolong dalam anak yg gifted. Dia sudah boleh membaca buku Peter and Jane book 1a,1b dan sedang membaca 2a. dia terlalu berminat dgn buku dan boleh di katakan setiap harinya dia sentiasa meminta saya membaca buku untuk nya.
    Dia sudah boleh menghafal sikir satu dan saya tak tahu adakah wajar bagi saya untuk mengenalkannya sifir dua. Dia menghafal banyak lagu2 kanak kanak dan juga termasuk lagu cahaya cinta nynyian siti nurhaliza. Dia mengenali basic shapes, warna, dan mcm2 lagi.Daya tumpuan nya amat tinggi.
    Saya ingin tahu bagaimana untuk mengajarnya dgn lebih teratur. Mohon kerjasama dari anda ataupun anda ada mana2 pertubuhan yang dapat membantu saya dan anak saya.
    terima kasih

Tinggalkan komen