Nafkah hak asasi anak

Soalan
Saya dan suami telah mengambil keputusan untuk berpisah. Atas sebab-sebab tertentu, kami sudah tidak dapat hidup bersama. Perceraian kami ini akan dibuat secara baik iaitu suami akan melafazkan talak ke atas saya di mahkamah syariah.

Kami kini sedang berbincang berkenaan hal pembayaran nafkah untuk dua orang anak saya, anak perempuan berumur 10 tahun dan anak lelaki 7 tahun. Suami saya telah bersetuju untuk membayar nafkah buat mereka tetapi kami tidak pasti berapa lama nafkah ini perlu dibayar menurut hukum syarak dan juga undang-undang. Kami ingin mendapat sedikit penjelasan tentang hal ini.

- Mahsuri Kencana & Hamzah Fansuri,Pahang Darul Makmur

Jawapan

Perkahwinan merupakan mahligai indah bagi pasangan suami isteri. Namun, ada keadaan yang memerlukan mereka berpisah demi kebaikan semua pihak.

Selaras dengan ajaran Islam, pasangan yang mahu bercerai seeloknya memutuskan ikatan perkahwinan dengan cara yang baik. Ini dapat kita lihat melalui ayat 229 surah al-Baqarah yang bermaksud; “…Berbaiklah dengan cara yang maaruf atau bercerailah dengan cara yang baik.”

Kami di Sisters In Islam memuji keputusan anda berdua untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang berhemah. Tambah membanggakan lagi apabila suami puan menyedari tanggungjawabnya dan bersetuju memberi nafkah kepada anak-anak walaupun selepas bercerai nanti.

Baik dari segi ajaran mahupun undang-undang Islam ada memperuntukkan bagi pembayaran nafkah oleh bapa untuk anak-anaknya walaupun selepas puan dan suami bercerai.

Selaras dengan seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pahang) 2005, adalah wajib bagi bapa menyediakan nafkah yang merangkumi tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran buat anak-anaknya.

Berkenaan jangkamasa pembayaran nafkah anak, ia bergantung kepada sama ada wujudnya persetujuan antara anda berdua. Jika puan dan suami bersetuju agar nafkah anak-anak dibayar bagi sesuatu tempoh masa, ini tidaklah melanggar apa-apa undang-undang. Begitu juga halnya menurut ajaran Islam yang menggalakkan muafakat.

Namun, mahkamah boleh menetapkan jangka masa tertentu untuk bayaran nafkah anak. Menurut Seksyen 80 Enakmen yang sama, tempoh jangka masa untuk membayar nafkah anak yang boleh diperintahkan oleh mahkamah secara umumnya adalah sehingga anak itu mencapai usia 18 tahun.

Namun, jika anak itu masih belajar, bapanya masih wajib memberi nafkah demi menampung pembelajarannya di peringkat tinggi.

Seksyen tersebut juga memperuntukkan bahawa anak perempuan boleh mendapat nafkah daripada ayahnya sehinggalah dia berkahwin.

Tiada satu kaedah pengiraan yang tetap dalam menentukan nilai nafkah. Jumlah nafkah yang harus dibayar oleh suami puan akan ditentukan oleh mahkamah syariah selaras dengan seksyen 73(1) Enakmen yang sama. Seksyen ini menyatakan bahawa mahkamah syariah akan membuat pentaksirannya berasaskan nilai yang munasabah menurut kemampuan dan taraf hidup suami puan tetapi dengan mengambil kira keperluan anak-anak puan.

Puan dan suami bolehlah berbincang tentang tempoh masa pembayaran nafkah anak dan juga jumlah yang difikirkan patut. Nafkah anak merupakan hak asasinya. Oleh itu, kebajikan dan kepentingan anak haruslah diutamakan.

Suka kami nasihatkan agar persetujuan ini dapat dibuat secara bertulis dan boleh diajukan ke mahkamah semasa permohonan perintah persetujuan ini dibuat kelak.

Perjanjian bertulis ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dan kesulitan yang mungkin timbul kelak.

Diharap penjelasan di atas sedikit sebanyak membantu puan dan suami akan undang-undang berkenaan pembayaran nafkah anak.

Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No 7, Jalan 6/10, 46000,

Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau laman web kami iaitu www.sistersinislam.org.my

One Response to Nafkah hak asasi anak

  1. Muhammad Dennis berkata:

    Saya dan bekas isteri saya telah bercerai selama 8 tahun dan selepas perceraian dia telah pun berkahwin semula setahun selepas bercerai..Saya memberi nafkah hidup sebanyak RM1500 sebulan untuk kedua -dua anak saya yang ber usia 8 dan 9 tahun walau pun ini adalah suatu amaun yang kurang saya mampu.
    Tiga tahun yang lalu saya berkahwin semula and kini mempunyai dua lagi anak dengan isteri saya yang ber umur 2+ tahun and seorang bayi berumur 5 bulan.Bolehkah saya membuat rayuan untuk mengurangkan pembiayaian nafkah hidup untuk kedua anak saya bersama bekas isteri sebab sebab kurang mampu untuk menyara keluarga baru saya ini.Dimana boleh saya mendapat pertolongan untuk perkara ini.?

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: