Mati pucuk berkait penyakit kronik

BIASANYA masalah ketidakupayaan ereksi (ED) atau mati pucuk hanya dilihat sebagai kelemahan yang sangat digeruni lelaki kerana tidak boleh ‘beraksi’, sedangkan hakikatnya ia boleh menjadi penunjuk kepada pelbagai gangguan kesihatan lain.

Malah rata-rata lelaki (mungkin semuanya) lebih gerun kepada gangguan ED berbanding sakit kronik lain seperti masalah jantung, kanser, kencing manis, tekanan darah tinggi mahupun kesan racun asap rokok terhadap badan.

Alasannya mudah — ED dianggap sebagai kegagalan lelaki, menyebabkan tidak ramai sanggup buka mulut mengakui mereka sebenarnya menghadapi masalah ini, apatah lagi untuk membincangkannya.

Jika tidak terpaksa, siapa yang sanggup mengakui kelemahan yang dialami ini kerana ia seolah-olah menjatuhkan air muka. Namun, sikap lebih mementingkan air muka dan menjaga keegoan menyebabkan banyak penyakit yang bersangkut-paut dengan ED tidak dapat dikesan.

Andainya anda tergolong dalam kumpulan ini, tahukah bahawa anda sebenarnya secara tidak langsung menyebabkan isteri berasa tertekan?

Malah, sikap lebih suka membiarkan masalah kesihatan bersarang dalam badan juga akan memburukkan kesihatan isteri.

Berlengah

Presiden Persatuan Andrologi Malaysia dan Kajian Penuaan Lelaki (MSASAM), Datuk Dr Tan Hui Meng, berkata kebanyakan lelaki lebih suka berlengah untuk berjumpa doktor sehingga masalah tidak tertanggung dan menjadi kritikal.

Katanya, ED harus dilihat sebagai penanda kepada masalah kesihatan lain kerana ia berkait rapat dengan penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, obesiti, penyakit prostat, tekanan dan kemurungan.

“Jangan terlalu mementingkan kebolehan seksual saja kerana masalah ED perlu dilihat lebih menyeluruh. Malangnya masyarakat, terutama lelaki, menganggap ED sebagai satu masalah tersendiri, sedangkan ia saling berkait dengan penyakit kronik lain.

“Memang susah mengajak lelaki menjalankan pemeriksaan kesihatan, walaupun pemeriksaan ke atas mereka jauh lebih singkat dan mudah berbanding wanita. Ini adalah masalah lelaki di seluruh dunia, terutama di Malaysia.

“Sikap ini perlu diubah. Menjalani pemeriksaan kesihatan tidak merendahkan martabat anda sebagai lelaki, sebaliknya menguntungkan diri. Tambahan pula jika mereka mengamalkan gaya hidup tidak sihat, jarang bersenam dan merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan awal mengenai forum umum Kesihatan Lelaki 2005 kali pertama anjuran Eli Lilly (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama MSASAM dan Kementerian Kesihatan yang akan diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 26 Jun ini.

Hasil kajian MSASAM bersama Pusat Perubatan Universiti Malaya Malaya (PPUM) dan Persatuan Kajian Penuaan Lelaki Asia Pasifik (APSSAM) terhadap 351 lelaki di Lembah Klang berusia melebihi 50 tahun mendapati, 45 peratus lelaki merokok dan 69 peratus daripadanya mengalami masalah ED.

Kajian lain menunjukkan hampir 2.2 juta lelaki Malaysia mengalami ED dengan 10 peratus berjumpa doktor dan daripada jumlah ini, hanya empat peratus mendapatkan rawatan.

Hampir 75 peratus pesakit kardiovaskular dan 70 peratus pesakit tekanan darah tinggi turut mengalami masalah ED. Malah, kencing manis yang tidak terkawal memang dikenal pasti menjadi punca ED, selain masalah obesiti dan prostat.

Ini sebabnya mengapa ED menjadi petanda penting kepada pelbagai gangguan kesihatan di kalangan lelaki.

Tabiat merokok mendedahkan lelaki kepada risiko dua kali ganda mendapat ED selain memendekkan umur 10 tahun, diserang strok, kanser paru-paru dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

Bahkan, tinggal serumah bersama perokok (yang tentu merokok berkali-kali dalam rumah) dianggap 10 kali lebih berbahaya daripada menghidu udara dalam suasana berjerebu.

Katanya, inilah masa paling sesuai untuk lelaki mengimbas kembali kesihatan mereka, terutama selepas sekian lama mengamalkan gaya hidup tidak sihat, banyak makan (melebihi keperluan) dan kurang bersenam.

“Masih belum terlambat untuk membuat perubahan pada kesihatan, walaupun mencecah pertengahan umur. Perubahan pada umur begini boleh memberi kesan jangka panjang, terutama ketika tua.

“Perlu diingat, bukan semua masalah ED perlu dirawat dengan pengambilan ubat. Ada yang disebabkan tekanan kerana hampir 10 peratus lelaki di Lembah Klang mengalami kemurungan. Ambil peluang ini untuk benar-benar mengenali kesihatan anda,” katanya.

Antara topik yang akan dibincangkan termasuk pemeriksaan keseluruhan, sakit jantung, obesiti, kesihatan lelaki dan andropaus, ED, ketidakupayaan seksual dan penyakit berkaitan prostat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s