Menantu, mertua mesti saling memahami

DALAM kehidupan berumah tangga menjaga hubungan dengan mertua menjadi antara tanggungjawab besar kepada seseorang yang sudah bergelar suami atau isteri. Islam sendiri turut menyarankan kita agar menghormati dan menyayangi mertua seperti ibu bapa kandung.

Bagi sesetengah orang, mertua sering kali dianggap menjadi penyebab timbulnya konflik dalam rumah tangga.

Bagaimanapun, tidak semua berfikiran sedemikian kerana ada mertua menjadi sahabat paling akrab dan benar-benar membantu dalam rumahtangga.

Ini diakui sendiri penceramah bebas, Yusnor EF’s ketika menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Menantu, Ibu Bapa dan Mertua pada Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga ‘Rumah Tangga Umpama Irama dan Lagu.’

Kursus anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu diadakan di Tingkat 22, Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam ceramah yang disampaikan, beliau menegaskan konflik atau hubungan yang tidak baik antara mertua dan menantu dikatakan semakin memuncak apabila mereka tinggal serumah.

Katanya, apabila bakal menantu tidak mampu menjalin hubungan yang akrab sebelum berkahwin dengan bakal mertua, keadaan ini menyebabkan hubungan dingin antara mereka berterusan.

Sedangkan katanya, hakikat yang perlu diterima seseorang sebaik sahaja selesai diijabkabul, tanggungjawab dan peranan semakin bertambah.

“Kalau dahulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami atau isteri yang sah.

“Mereka sebenarnya bukan hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang dicintai, bahkan juga seluruh anggota keluarganya,’’ katanya.

Menurut Yusnor , sekiranya menantu atau mertua memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, sebarang konflik rumah tangga yang boleh membawa kepada penceraian tidak akan timbul.

Beliau yang menjadikan filem dan muzik sebagai rujukan dalam setiap sesi ceramahnya turut menayangkan visual filem-filem era 60-an dan 70-an sebagai membuktikan bahawa masalah yang wujud antara mertua dan menantu telah berlaku sejak zaman tersebut lagi.

Meskipun hari ini jarang anak menantu memilih untuk tinggal dengan mertua, konflik rumah tangga akibat campur tangan mertua masih tetap berlaku.

Bagaimanapun situasi dan cara penyelesaiannya sahaja yang berbeza.

Dalam ceramahnya itu juga, Yusnor menyenaraikan sikap mertua dari sudut negatif yang menyumbang permasalahan dalam rumah tangga anak menantu, tidak terkecuali dari sudut positif.

Antara sikap negatif mertua ialah, suka campur tangan dalam urusan rumah tangga anak menantu, suka menghasut atau mengapi-apikan, tidak terkecuali sering memandang rendah kebolehan menantu.

“Paling menyedihkan apabila masih ada mertua yang bersikap membenci menantu secara terus-terusan biarpun selepas diijabkabulkan. Apabila pasangan ini mempunyai anak, mereka hanya sayangkan cucu tetapi menantu tetap disisihkan,’’ ujarnya.

Bagaimanapun kata Yusnor, tidak semua mertua bersikap sedemikian, sebaliknya sikap positif seperti bertolak ansur dan memahami, mampu menjernihkan rumah tangga anak menantu.

Mertua yang dimaksudkan bukan sahaja bertindak sebagai penasihat, tetapi tidak pernah membezakan kasih sayang antara anak menantu yang lain.

Dari sudut menantu pula katanya, terdapat juga sikap negatif dan positifnya.

Sikap negatif seorang menantu termasuklah suka mengapi-api, suka berpura-pura dan tidak menghormati mertua.

Sebagai menantu kata beliau, ada baiknya jika hubungan baik dengan bakal mertua dibina sejak awal iaitu sebelum berumah tangga lagi.

Untuk memastikan adanya ikatan mesra sejak awal, ada baiknya seseorang itu mencari sebanyak mungkin maklumat tentang keluarga suami, ibu bapa atau adik beradiknya.

“Apabila telah berkahwin menantu digalakkan untuk bertanya khabar dengan mertua melalui perkara-perkara kecil seperti apa yang dilakukan hari ini dan sebagainya.

“Sebagai menantu juga kita perlu pandai mengambil hati. Anggaplah mertua seperti ibu bapa kandung sendiri. Mertua juga perlu mendapat layanan dan kasih sayang sama rata seperti mereka. Contoh paling mudah jika kita membeli barang kepada ibu kandung kita sendiri, mengapa tidak kita membeli barang yang sama kepada mertua kita ,’’ ujarnya.

Secara kesimpulan kata Yusnor, tidak ada perselisihan yang tidak ada jalan penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, penyelesaian kepada masalah itu bergantung kepada setiap individu.

“Sekiranya kita menyedari bunga- bunga kebencian itu sudah ada pada peringkat awal perkenalan, ia perlu dibajai dengan ikatan yang baik.

“Ini kerana kita sendiri yang bertanggungjawab kepada masalah yang timbul dan kita sendiri yang bertanggungjawab menyelesaikan. Orang lain sekadar memberi nasihat, kita yang membuat keputusan,’’ ujarnya.

Sebelum itu pada sesi pertama ceramahnya yang bertajuk ‘Realiti Perkahwinan’ , beliau turut menjelaskan latar belakang pasangan yang berbeza turut menjadi punca kepada keretakan rumah tangga.

Antaranya, perbezaan dari segi tahap pendidikan, status dan keluarga, tidak terkecuali persekitaran.

Bagaimanapun, ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang untuk mendirikan rumah tangga asal sahaja memahami erti dan maksud perkahwinan itu sendiri.

Perkahwinan yang juga membawa maksud percantuman dua insan yang berlainan latar belakang itu juga memerlukan antara satu sama lain memahami peranan dan tanggungjawab sebagai isteri mahupun suami.

“Seperti dalam pekerjaan, berkahwin juga perlu ada minat dan kesungguhan. Tanpa ada kesungguhan, tidak mungkin keinginan untuk membina sebuah rumah tangga yang aman bahagia terlaksana,’’ ujarnya

Oleh: ROSLAH OTHMAN

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: