Dari semasa ke semasa media melaporkan tentang kes bayi dibuang dengan keadaan yang menyayat hati, pelbagai perasaan melanda masyarakat.
Marah, sedih, geram dan sebagainya. Pendek kata kita akan terus diselubungi kekecewaan kerana perkara tersebut sudah pun berlarutan sekian lama.
Sebagai ahli masyarakat, walaupun perkara tersebut berlaku bukan di kalangan ahli keluarga sendiri, tempiasnya tetap terasa.
Justeru apa yang boleh kita mampu lakukan untuk membendung gejala keji ini? Jika keterlanjuran sudah berlaku apakah yang boleh dilakukan supaya nyawa yang lahir ke dunia ini tidak diragut dalam keadaan yang amat menyedihkan?
Di negara luar seperti di Jepun dan Jerman sebuah pusat khas yang dikenali dengan istilah Baby Hatch ditubuhkan bagi memberi sokongan kepada ibu tunggal yang tidak boleh membesarkan anak mereka sendiri.
Di pusat-pusat perlindungan itu, bayi akan diletakkan dalam jagaan pengasuh hinggalah ada pasangan suami isteri atau keluarga yang tampil untuk mengambil mereka sebagai anak angkat.
Di Malaysia, sebuah pertubuhan beroperasi tanpa berasaskan keuntungan yang diberi nama OrphanCare yang fungsinya hampir sama seperti Baby Hatch, diwujudkan bertujuan untuk memberikan kasih sayang sebuah keluarga kepada anak-anak yatim dan juga bayi-bayi yang terbuang.
Menurut Presidennya, Datuk Adnan Mohd. Tahir, OrphanCare kini hampir selesai menyiapkan sebuah pusat perlindungan bayinya sendiri (baby hatch) di Petaling Jaya, Selangor.
Usaha itu katanya, akan diperluaskan di seluruh negeri di tanah air.
“Pusat perlindungan ini akan memberikan perlindungan yang sebaiknya untuk bayi yang tidak mahu dijaga oleh ibu mereka sendiri.
“Saya kira hal ini (pembinaan pusat perlindungan bayi) lebih baik daripada melihat bayi dibuang di dalam longkang, tong sampah atau di merata-rata tempat,” jelas beliau ketika ditemui baru-baru ini.
Ketika ditanya adakah penubuhan pusat ini akan mencetus kontroversi apabila masyarakat mungkin melihatnya sebagai menggalakkan lebih banyak kelahiran bayi luar nikah, Adnan menyangkal andaian tersebut.
Sebaliknya beliau berpendapat, pusat tersebut harus dilihat sebagai alternatif bagi membendung kejadian pembuangan bayi.
“Apa yang dilaporkan dalam media dan yang diketahui masyarakat sebenarnya jumlahnya kecil berbanding jumlah sebenar yang berlaku.
“Kita tidak mahu nasib bayi-bayi ini dibiarkan begitu sahaja. Di luar sana ramai pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata sanggup mengambil bayi malang itu sebagai anak angkat.
“Bayi yang tidak berdosa tidak sepatutnya mati hanya kerana si ibu tidak tahu kemana arah yang ingin dituju selepas melahirkan anak tersebut,” jelas beliau lagi.
Mengenai urusan pengambilan anak angkat yang diletakkan di bawah perlindungan OrphanCare beliau berkata, pihak akan membantu menguruskan pelbagai urusan seperti dokumentasi yang biasanya mengambil masa paling lama hingga seminggu.
“Setakat ini kami telah menguruskan sebanyak lima bayi kepada keluarga angkat masing-masing.
“Bagi saya, rumah-rumah anak yatim patut dianggap sebagai satu tempat kediaman transit bagi anak-anak yatim sebelum diambil sebagai anak angkat.
Setiap bayi perlu membesar dengan keluarga
Tujuan utama penubuhan OrphanCare adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak yang dilahirkan tidak mengira apa juga latar belakang agama atau bangsa mereka mendapatkan keluarga yang sesuai melalui proses pengambilan anak angkat yang cepat dan teratur.
“Kami mahu mengubah pemikiran dan tanggapan masyarakat terhadap anak-anak ini apabila masyarakat seringkali beranggapan bahawa mereka sepatutnya ditinggalkan di rumah anak-anak yatim atau kebajikan untuk selama-lamanya.
“OrphanCare adalah pusat transit atau penempatan sementara sebelum anak-anak ini dijaga oleh keluarga angkat masing-masing dan sekali gus memberi peluang kepada mereka membesar dalam sebuah institusi kekeluargaan yang sempurna.
“Dalam pada itu kami akan membina sebuah pangkalan data di mana segala maklumat lengkap mengenai anak-anak ini dan keluarga-keluarga mereka direkodkan.
“Pangkalan data ini juga bagi memudahkan OprphanCare memadankan anak-anak tersebut dengan keluarga yang sesuai selain menyediakan khidmat kaunseling sebelum dan selepas pengambilan anak angkat untuk kedua-dua pihak iaitu anak dan keluarga angkat,” katanya.
Dengan cara ini menurut Adnan, OrphanCare juga dapat membuat pemantauan yang berterusan untuk memastikan proses pengambilan anak angkat berjalan dengan lancar.
Selain itu pusat tersebut juga akan melantik pegawai pemantau untuk melihat keadaan keluarga dan anak yang telah diamanahkan agar mereka dijaga dengan baik.
“Kami sebuah NGO Islam yang mementingkan pengambilan anak angkat mengikut cara Islam. Justeru kami turut menyediakan seorang pakar rujuk yang terdiri daripada ustaz untuk memberi khidmat nasihat tentang urusan agama berkaitan anak angkat ini,” ujar Adnan lagi.
OrphanCare juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada bulan Ogos tahun lalu dalam kerja sama hal pengambilan anak angkat dan ibu bapa angkat.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pusat tersebut boleh melayari laman web http://www.orphancare.org.my.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Dikirim oleh Admin 










