Anak angkat

Oktober 8, 2010

Setiap bayi lahir ke dunia ibarat kain putih. Ibu dan bapalah selepas itu mencorakkan anak itu dengan lukisan indah mendamaikan atau rupa abstrak yang sukar difahami.

Bersyukur bagi anak yang dilahirkan menerusi ikatan perkahwinan. Tetapi bagi anak dilahirkan tanpa ikatan sah suami isteri atau digelar anak luar nikah, tidak seharusnya anak itu terpalit keburukan, dek kejahilan ibu dan bapanya.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan seramai 17,303 anak luar nikah atau tidak sah taraf didaftarkan di kalangan Melayu seluruh negara pada 2009, iaitu peningkatan 762 kes berbanding 2008 (seramai 16,541 orang), manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Menyelamatkan anak luar nikah ini daripada terus menerima palitan dosa daripada ibu bapanya, diambil sebagai anak angkat mungkin jalan terbaik, tetapi tidak dinafikan ada stigma buruk terhadap anak angkat.

Walaupun anak angkat diambil di kalangan anak luar nikah, anak yang lahir ke dunia adalah suci, cuma didikan yang mempengaruhi cara kelakuan anak itu kelak.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Felo Pusat Kajian Zakat Malaysia, Dr Mohd Afendi Mat Rani berkata, melihatkan jumlah anak luar nikah meningkat, tidak salah pasangan suami isteri budiman mengambil anak itu sebagai anak angkat lantaran perbuatan murni itu amat dituntut syarak.

Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggungjawab adalah digalakkan di sisi syarak. Jika diambil anak angkat kerana sifat kasihan kepadanya seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan oleh orang yang bertanggungjawab adalah disuruh di sisi syarak.
Cuma perlulah dijaga peraturan syarat syarak sebagaimana berurusan dengan bukan mahram, seperti tidak boleh melihat auratnya dan tidak boleh bersunyian dengannya.

Keluarga angkat yang membela anak angkat dengan penuh kasih sayang akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat nanti. Sebaiknya jika anak angkat itu belum berusia dua tahun, hendaklah dijadikannya mahram dengan jalan susuan.

Jika bapa angkat masih bujang, berikan saudaranya yang perempuan menyusukan anak itu sebanyak lima kali kenyang. Dengan itu anak angkat berkenaan akan menjadi anak saudara susunya dan apabila menjadi mahram susuan maka haruslah ia tinggal bebas di dalam rumah dan auratnya sama seperti aurat saudara kita sendiri, katanya mengulas mengenai pengambilan anak angkat.

Hari ini bukan saja anak luar nikah semakin banyak bilangannya didaftarkan, pada masa sama wanita hamil luar nikah yang tidak mahukan anak berkenaan akibat terlanjur dibuang ke tempat tertentu. Menangani masalah ini, ramai pasangan serta orang dewasa yang ingin mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

Mohd Afendi berkata, pada asalnya, dalam Islam mengambil anak angkat adalah perkara yang diharuskan, namun ada kalanya dilarang dan ada kalanya disuruh syarak.

Mengulas lanjut, katanya, mengambil anak angkat untuk dijadikan sama seperti anak sendiri adalah dilarang oleh syarak seperti mana dilarang menukar bin anak angkat berkenaan.

Anak angkat tetap bukan anak kita sekali pun kita tersangat sayang kepadanya. Hukumnya tetap tidak sama dengan anak sendiri. Anak angkat adalah ajnabi (bukan anak sendiri) manakala anak sendiri adalah mahram. Dalam keadaan tertentu, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat, katanya.

Isu digalak atau tidak mengambil anak angkat, sebenarnya, terpulang kepada keluarga angkat yang mungkin memerlukan anak kerana kesunyian dan sebagainya.

Mohd Afendi berkata, ibu bapa wajar menjelaskan kedudukan anak berkenaan kerana adalah tidak baik jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, iaitu pada kira-kira usia baligh.

Tetapi ia tidaklah perlu dihebohkan satu kampung. Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Namun begitu, menjadi keharusan bagi seseorang yang mengambil anak angkat untuk meletakkan namanya pada kanak-kanak itu tanpa ada perkataan bin atau binti. Sebagai contoh, nama anak itu diletakkan sebagai Siti Aminah Abdul Rahman dan bukan Siti Aminah Binti Abdul Rahman, katanya.

Tidakkah anak itu berasa ragu kelak melihat namanya tiada bin atau binti? Perkara itu, kata Mohd Afendi tidak akan menjadi isu jika bapa angkat menjelaskan secara jujur berhubung keadaan sebenar. Ini kerana sewajibnya anak itu hendaklah di bin atau binti nama bapanya yang sebenar jika anak sah taraf.

Di dalam Islam mengambil anak angkat adalah perkara yang diharuskan, namun dari segi meletakkan nama bapa angkat sebagai bapa adalah haram. Ini kerana wajib meletakkan nama bapa yang sebenar. Hal ini adalah berkaitan dengan anak yang sah taraf, namun jika anak itu adalah anak yang tidak sah taraf seperti anak yang dikandung dan dilahirkan sedangkan ibunya tidak berkahwin lagi, maka anak itu hendaklah diBINkan atau diBINTIkan dengan Abdullah atau ibunya, katanya.

Mengenai isu pemberian nafkah kepada anak angkat dan anak sendiri serta keperluan lain, ia tetap tertakluk pada ibu bapanya. Tiada perbezaan antara anak sendiri dan anak angkat namun jika tidak mahu menanggung anak angkat, hendaklah melepaskan tanggungjawab berkenaan dengan menyerahkan semula anak angkat itu kepada ibu bapanya atau warisnya yang sah atau mana-mana individu atau pertubuhan yang bertanggungjawab ke atas anak angkat itu. Apa yang penting kebajikan, keselamatan dan pendidikan anak angkat itu terjamin sehinggalah dia dewasa.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada, katanya.

Proses mengambil anak angkat

* Pengesahan anak angkat ialah melalui dua kaedah, iaitu pertama, permohonan dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas menerima seseorang kanak-kanak untuk dipelihara. Permohonan perlu dibuat kepada Mahkamah Seksyen atau Mahkamah Tinggi dengan melantik peguam untuk urusan mendaftar Notis Pengangkatan.
* Akta yang diguna pakai bagi proses pengesahan pengangkatan cara ini merujuk kepada Akta Pengangkatan 1952 (akta 257).
* Kedua ialah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (akta 253).
* Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam penjagaan keluarga pelihara.
* Bagi keluarga yang beragama Islam, permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan saja.
* Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara.
* Pengambilan anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM menurut Seksyen 35 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada seminggu selepas pengambilan. Jika gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan, denda maksimum adalah sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
* Merujuk kepada permohonan bagi mendapatkan anak pelihara, dari 2006 hingga 2008, sejumlah 176 orang pemohon mengemukakan permohonan kepada JKM; iaitu 112 pemohon berbangsa Melayu, 48 pemohon berbangsa India dan 16 pemohon berbangsa Cina.


Adab anak angkat:

* Menerima hakikat kedudukannya sebagai anak angkat dengan sebaik mungkin dan tidak sama sekali menganggap kedudukan itu sebagai kekurangan. Bahkan ia hendaklah dianggap sebagai kelebihan kerana ia berpeluang menikmati peluang hidup dan membesar dalam sebuah keluarga yang sempurna.
* Apabila mengetahui kedudukan itu, seseorang anak angkat hendaklah memastikan ia memelihara aurat dan batas pergaulan dengan anggota keluarga angkat, iaitu berasaskan kedudukan mereka sebagai bukan mahram. Bagi menyelesaikan isu pergaulan dan aurat ini, dicadangkan supaya ibu angkat menjadikan anak angkat sebagai anak susuan.
* Ia hendaklah berusaha berbakti dan berbuat baik dengan sepenuh daya serta usaha kepada keluarga angkatnya sebagai tanda berterima kasih atas segala jasa serta bakti mereka memelihara dan memenuhi segala keperluannya selama ini.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


www.orphancare.org.my – OrphanCare lindungi bayi dibuang

Mac 2, 2010

Dari semasa ke semasa media melaporkan tentang kes bayi dibuang dengan keadaan yang menyayat hati, pelbagai perasaan melanda masyarakat.

Marah, sedih, geram dan sebagainya. Pendek kata kita akan terus diselubungi kekecewaan kerana perkara tersebut sudah pun berlarutan sekian lama.

Sebagai ahli masyarakat, walaupun perkara tersebut berlaku bukan di kalangan ahli keluarga sendiri, tempiasnya tetap terasa.

Justeru apa yang boleh kita mampu lakukan untuk membendung gejala keji ini? Jika keterlanjuran sudah berlaku apakah yang boleh dilakukan supaya nyawa yang lahir ke dunia ini tidak diragut dalam keadaan yang amat menyedihkan?

Di negara luar seperti di Jepun dan Jerman sebuah pusat khas yang dikenali dengan istilah Baby Hatch ditubuhkan bagi memberi sokongan kepada ibu tunggal yang tidak boleh membesarkan anak mereka sendiri.

Di pusat-pusat perlindungan itu, bayi akan diletakkan dalam jagaan pengasuh hinggalah ada pasangan suami isteri atau keluarga yang tampil untuk mengambil mereka sebagai anak angkat.

Di Malaysia, sebuah pertubuhan beroperasi tanpa berasaskan keuntungan yang diberi nama OrphanCare yang fungsinya hampir sama seperti Baby Hatch, diwujudkan bertujuan untuk memberikan kasih sayang sebuah keluarga kepada anak-anak yatim dan juga bayi-bayi yang terbuang.

Menurut Presidennya, Datuk Adnan Mohd. Tahir, OrphanCare kini hampir selesai menyiapkan sebuah pusat perlindungan bayinya sendiri (baby hatch) di Petaling Jaya, Selangor.

Usaha itu katanya, akan diperluaskan di seluruh negeri di tanah air.

“Pusat perlindungan ini akan memberikan perlindungan yang sebaiknya untuk bayi yang tidak mahu dijaga oleh ibu mereka sendiri.

“Saya kira hal ini (pembinaan pusat perlindungan bayi) lebih baik daripada melihat bayi dibuang di dalam longkang, tong sampah atau di merata-rata tempat,” jelas beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah penubuhan pusat ini akan mencetus kontroversi apabila masyarakat mungkin melihatnya sebagai menggalakkan lebih banyak kelahiran bayi luar nikah, Adnan menyangkal andaian tersebut.

Sebaliknya beliau berpendapat, pusat tersebut harus dilihat sebagai alternatif bagi membendung kejadian pembuangan bayi.

“Apa yang dilaporkan dalam media dan yang diketahui masyarakat sebenarnya jumlahnya kecil berbanding jumlah sebenar yang berlaku.

“Kita tidak mahu nasib bayi-bayi ini dibiarkan begitu sahaja. Di luar sana ramai pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata sanggup mengambil bayi malang itu sebagai anak angkat.

“Bayi yang tidak berdosa tidak sepatutnya mati hanya kerana si ibu tidak tahu kemana arah yang ingin dituju selepas melahirkan anak tersebut,” jelas beliau lagi.

Mengenai urusan pengambilan anak angkat yang diletakkan di bawah perlindungan OrphanCare beliau berkata, pihak akan membantu menguruskan pelbagai urusan seperti dokumentasi yang biasanya mengambil masa paling lama hingga seminggu.

“Setakat ini kami telah menguruskan sebanyak lima bayi kepada keluarga angkat masing-masing.

“Bagi saya, rumah-rumah anak yatim patut dianggap sebagai satu tempat kediaman transit bagi anak-anak yatim sebelum diambil sebagai anak angkat.

Setiap bayi perlu membesar dengan keluarga

Tujuan utama penubuhan OrphanCare adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak yang dilahirkan tidak mengira apa juga latar belakang agama atau bangsa mereka mendapatkan keluarga yang sesuai melalui proses pengambilan anak angkat yang cepat dan teratur.

“Kami mahu mengubah pemikiran dan tanggapan masyarakat terhadap anak-anak ini apabila masyarakat seringkali beranggapan bahawa mereka sepatutnya ditinggalkan di rumah anak-anak yatim atau kebajikan untuk selama-lamanya.

“OrphanCare adalah pusat transit atau penempatan sementara sebelum anak-anak ini dijaga oleh keluarga angkat masing-masing dan sekali gus memberi peluang kepada mereka membesar dalam sebuah institusi kekeluargaan yang sempurna.

“Dalam pada itu kami akan membina sebuah pangkalan data di mana segala maklumat lengkap mengenai anak-anak ini dan keluarga-keluarga mereka direkodkan.

“Pangkalan data ini juga bagi memudahkan OprphanCare memadankan anak-anak tersebut dengan keluarga yang sesuai selain menyediakan khidmat kaunseling sebelum dan selepas pengambilan anak angkat untuk kedua-dua pihak iaitu anak dan keluarga angkat,” katanya.

Dengan cara ini menurut Adnan, OrphanCare juga dapat membuat pemantauan yang berterusan untuk memastikan proses pengambilan anak angkat berjalan dengan lancar.

Selain itu pusat tersebut juga akan melantik pegawai pemantau untuk melihat keadaan keluarga dan anak yang telah diamanahkan agar mereka dijaga dengan baik.

“Kami sebuah NGO Islam yang mementingkan pengambilan anak angkat mengikut cara Islam. Justeru kami turut menyediakan seorang pakar rujuk yang terdiri daripada ustaz untuk memberi khidmat nasihat tentang urusan agama berkaitan anak angkat ini,” ujar Adnan lagi.

OrphanCare juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada bulan Ogos tahun lalu dalam kerja sama hal pengambilan anak angkat dan ibu bapa angkat.

Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pusat tersebut boleh melayari laman web http://www.orphancare.org.my.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers