Ibu terkecil dunia hamil lagi

November 10, 2009

Ibu terkecil dunia hamil lagi

Stacey bersama seorang anak sulungnya.

LOUISVILLE – Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS), Stacey Herald, 35, yang dianggap ibu paling kecil di dunia bakal melahirkan anak ketiganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang tinggi 71 sentimeter diberi amaran sekali lagi oleh doktor mengenai risiko kehamilan itu biarpun pernah bersalin anak sulung, Kateri pada 2006 dan Makaya pada tahun lalu.

Suaminya, Will memiliki ketinggian normal 1.75 meter.

Namun mereka meneruskan hasrat untuk menimang anak bongsu itu serta menganggapnya sebagai hadiah daripada Tuhan.

“Kami tidak pernah merancang untuk mendapat lebih dua anak namun beranggapan anak-anak ialah hadiah paling bernilai di dunia,” katanya.

Pasangan itu mula bertemu pada tahun 2000 ketika bekerja di sebuah pasar raya yang sama di bandar asal mereka, Dry Ridge, 111 kilometer dari ibu negeri Kentucky, Louisville.

Mereka berkahwin pada 2004 dan sudah membesarkan dua anak perempuan bersaiz normal.

Wanita itu menderita penyakit Osteogenesis Imperfecta yang menyebabkan tulang tumbesaran terbantut.

- Agensi


Elak jadi mangsa lelaki

September 13, 2009

Tujuan saya menulis ke ruangan ini bukan untuk menghina atau menyalahkan sesiapa, terutama merendahkan martabat serta maruah kaum wanita, tetapi sekadar pesan berpesan supaya mereka terlibat tidak meneruskan perbuatan terkutuk dan berdosa itu.

‘‘Besar harapan saya sempena bulan ramadan yang mulia ini supaya tulisan saya ini dibaca oleh mereka terlibat juga kalangan mereka yang seangkatan dengannya agar insaflah bahawa perbuatan mereka itu semata-mata merosakkan diri sendiri, di samping menjadi mangsa kepada kekejaman kaum lelaki.

‘‘Ingatlah cinta yang anda lafazkan, simpati yang anda tagih tidak dipedulikan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka sentiasa berusaha mendapatkan apa yang mereka kehendaki secara percuma, selepas itu anda akan ditinggalkan,’’ demikian cerita Johari dalam e-mel yang dikirimkan kepada penulis.

‘‘Saya mempunyai ramai kenalan lelaki dan wanita yang berpelajaran dan berpangkat tinggi, yang bertugas di beberapa buah syarikat korporat terkemuka juga kakitangan kerajaan yang bertugas sama ada di JB mahupun di KL. Merekalah yang menceritakan pengalaman dan masalah mereka setelah apa yang dihajati tidak diperolehi sementara kaum lelaki riang gembira bercerita kejayaannya menghancurkan hati kaum wanita.

‘‘Dari perbualan saya dengan kaum adam, mereka dengan bangga menceritakan kejayaannya memperdaya wanita terutama isteri-isteri yang bermasalah kerana perbuatan suami masing-masing atau gadis-gadis yang terpedaya dengan pujukan kekasihnya.

‘‘Apa yang saya kesalkan kawan lelaki saya ini tanpa segan silu malah dengan bangga menceritakan pengalaman mereka memadu asmara dengan isteri-isteri orang dan gadis-gadis hingga ke ranjang dengan bangga tanpa menyedari bahawa mereka telah berzina dan telah melakukan dosa besar, kerana mereka orang Islam.

‘‘Lebih menyedihkan saya mereka melakukan dengan persetujuan kedua belah pihak, seolah-olah mereka lupa kepada dosa yang dilakukan dan pembalasan yang akan diterima baik di dunia mahupun diakhirat. Sebagai contoh ditempat saya bekerja kawan wanita saya ini isteri orang bercinta hingga berzina dengan majikannya sendiri.

‘‘Apa yang menyedihkan kedua-dua mereka adalah orang Melayu dan beragama Islam. Si wanita sudah berkeluarga dan ada tiga orang anak, sementara si majikan bukan sahaja sudah berkeluarga dan cucu malah umurnya sudah hampir pencen.

‘‘Dari apa yang saya tahu, kawan wanita saya ini bercinta kerana mempunyai masalah rumah tangga dengan suami. Matlamat utama perbuatannya adalah hendak membalas dendam selain mencari kepuasan nafsu sendiri. Sedihnya suaminya sampai sekarang tidak sedar akan perbuatan sumbang isterinya.

‘‘Saya rasa sedih sanggup kawan saya ini melakukan perbuatan terkutuk itu dan tergamak dia melakukan dosa besar tanpa sedikit pun rasa bersalah. Kerana saya tahu dia seorang yang baik pekerti, dan mendapat pendidikan agama dari kecil lagi. Dan saya tak sangka wanita yang baik seperti ini boleh bertukar menjadi wanita yang amat kejam.

‘‘Setelah saya fikirkan bahawa wanita yang emosinya tidak stabil amatl mudah menjadi mangsa lelaki zalim. Lelaki jenis ini akan mengambil kesempatan berbaik-baik dengan wanita yang bermasalah rumahtangga untuk memuaskan nafsu mereka.

‘‘Kepada wanita yang dilanda masalah seolah-olah mendapat sokongan emosi bila ada pihak ketiga melayan perasaannya. Akhirnya wanita ini akan terparangkap dalam permainan cinta lelaki pemangsa tadi.

‘‘Lelaki mana yang tak mahu ‘barang free’ Tak perlu masuk meminang ,keluar wang hantaran atau berbelanja untuk majlis pernikahan. Cari sahaja isteri yang bermasalah buat-buat simpati, hamburkan kata-kata cinta dan janji manis akhirnya tubuh badan dengan rela menjadi korban pemangsa tadi.

‘‘Jika termengandung hasil perzinaan, bayi tersebut akan dibin atau bintikan dengan nama suami si wanita tadi kerana wanita ini juga pandai melayan suaminya. Yang untung adalah di pemangsa tadi tidak perlu keluarkan duit ringgit, cukup kata-kata pujuk rayu, rupa paras yang tampan, rasa simpati yang berlebihan, akhirnya nafsunya terlaksana.

‘‘Sebenarnya bukan seorang dua wanita yang jadi mangsa seperti ini, dari pengakuan ramai kawan-kawan lelaki saya dia telah mengorbankan ramai isteri orang bermasalah.

‘‘Kepada kaum wanita nasihat saya jangan ikut nafsu, jangan emosi kalau bertengkar dengan suami, walau sejahat mana dia tetap suami anda. Bercinta dan berzina dengan lelaki lain untuk membalas dendam bukanlah jalan terbaik , sebaiknya hentikanlah perbuatan itu bertaubatlah. Kerana anda akan terima musibah bala dari Allah.

‘‘Dan lagi jangan luahkan masalah rumahtangga kepada orang lelaki. Kerana anda tidak tahu dia kawan atau pemangsa. Lelaki zalim tidak kenal isteri orang, tunang atau adik ipar, pada mereka dia perempuan yang akan menjadi mangsanya.

‘‘Seorang rakan lelaki saya menceritakan bagaimana dia mengadakan hubungan sulit dengan adik iparnya. Mula-mula buat aksi-aksi ringan lepas itu…! Sedihnya isterinya masih belum tahu hubungan jahat suaminya lagi. Si suami depan isterinya dialah suami penyayang, setia dan romantik. Belakang isterinya, adik ipar jadi isteri kedua.

‘‘Kepada gadis-gadis berumur 20an nasihat saya elakkan buat hubungan cinta dengan suami orang walau bagaimana hebat romantik, kaya, tampan, atau caring nya dia kerana lelaki pandai bermain kata-kata dan berjanji manis. Tapi niatnya tidak pernah ikhlas.

‘‘Wanita tetap akan rugi kerana lelaki jika dia meniduri 100 wanita, dia adalah lelaki jaguh, Jika seorang wanita ditiduri seorang lelaki, dia adalah pelacur. Ini hakikat yang perlu wanita sekarang faham.

‘‘Kepada suami-suami budiman, memang benar anda perlu membantu wanita yang di dalam kesusahan. Tetapi bantu setakat yang anda mampu sahaja. Utamakanlah isteri dan anak-anak anda dahulu. Hadkan batas anda sebelum anda terjebak.

‘‘Memang anak-anak dara sekarang tidak dinafikan sangat cantik, lawa dan menawan, malah ada yang meminati suami orang, tetapi jika anda berupaya mengelakkan dari membuat hubungan sulit walau hebat mana godaannya, anda adalah seorang ayah, suami yang “muslim” yang sangat hebat.

‘‘ Sebaliknya kalau lelaki berzina, status anda seumpama bangkai. Anda berhak direjam. Jangan bangga sangat dengan pencapaian anda meniduri ramai isteri dan anak dara orang, ingat suatu hari nanti, isteri dan anak perempuan anda mungkin akan dianiaya orang.

‘‘Bila suami isteri tidak aman, anak terbiar rumahtangga porak peranda bangsa Melayu Islam ini akan hancur suatu hari nanti kerana mengutamakan nafsu diri. Siapa yang rugi? Pembaca budiman sekelian fikirkanlah.’’Demikian nasihat Johari kepada wanita yang bermasalah, lelaki pemangsa juga anak-anak gadis yang gilakan suami orang.

Kepada anda yang dimaksudkan tidak ada bahagianya kalau hidup mengambil hak orang, kerana anda akan dihantui bayangan ketakutan. Lebih parah kalau ditimpa bala oleh Allah, kerana penderitaannya membawa ke akhir hayat.

www.dcckmona.com


Elak H1N1 gugat Hari Raya anda!

September 13, 2009

Virus H1N1

Balik kampung! Dinantikan ramai warga kota yang merantau mencari rezeki dan juga keluarga mereka di kampung.

Namun, di sebalik kemunculan wabak Influenza A (H1N1) tahun ini, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan supaya tidak dijangkiti mahupun menjangkiti orang tersayang.

Pulang

Virus H1N1 boleh menjangkiti kita semasa dalam perjalanan pulang, atau kita mungkin membawa pulang virus tersebut kepada keluarga di kampung.

Oleh itu, jangan alpa dan sentiasa berwaspada demi keselamatan diri dan keluarga. Pastikan anda sentiasa membawa bersama topeng mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan antiseptik untuk waktu-waktu yang memerlukannya.

Bagi yang mempunyai gejala selesema atau tergolong sebagai individu berisiko tinggi mengalami komplikasi jika dijangkiti H1N1, anda perlu memaki topeng mulut dan hidung di tempat tumpuan umum yang sesak. Pastikan juga tangan anda sentiasa bersih.

Jika sudah mula demam atau menunjukkan gejala selesema, pastikan anda mengasingkan diri demi keselamatan ahli keluarga, saudara mara dan juga masyarakat umum.

Bersabarlah sekitar satu minggu dari hari mula mengalami gejala selesema untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga dan rakan. Jangan jadikan nyawa mereka sebagai pertaruhan.

Berhemah

Gunakan masa pengasingan diri untuk berehat dan memulihkan badan. Tetapi, jika keadaan semakin teruk atau tanda amaran mula muncul, dapatkan rawatan dengan secepat mungkin.

Jangan pentingkan diri! Jika ada mempunyai gejala selesema, elakkan ke tempat tumpuan seperti rumah terbuka, majlis kenduri mahupun sembahyang berjemaah bagi mengelakkan virus H1N1 disebarkan kepada orang lain.

Dengan amalan bersalam di musim perayaan, pastikan juga anda sentiasa membawa dan menggunakan pencuci tangan antiseptik, atau basuh tangan dengan air dan sabun sekerap mungkin selepas bersalam.

Jika tidak sihat atau gejala selesema timbul selepas pulang dari kampung halaman, anda dinasihatkan menyambung cuti dan elakkan diri pergi ke sekolah, institusi pengajian atau ke tempat kerja.

Bagi pengendali sistem pengangkutan awam pula, pastikan anda menyediakan pencuci tangan antiseptik serta topeng mulut dan hidung untuk penumpang yang memerlukannya.

Jika ada penumpang yang sakit, usahakan supaya penumpang berkenaan tidak bergaul rapat dengan penumpang lain yang tiada gejala selesema.

Ingatlah, pencegahan Influenza A H1N1 bukan hanya untuk melindungi diri, malahan untuk keselamatan bersama keluarga dan sahabat handai.

Bersama kita mengawal penularan wabak ini dan melindungi diri, keluarga dan negara dari pandemik Influenza A H1N1.


Keturunan Megat Terawis? Keluarga Kartika dicabar

September 4, 2009

Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia mencabar keluarga Kartika Sari Dewi Shukarnor supaya mengemukakan bukti bahawa ibunya, Wan Badariah Meor Abdul Salim, 53, berasal dari keturunan mereka.

Menurut setiausaha persatuan itu, Megat Iskandar Megat Zaharuddin, jika mereka gagal berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga terbabit.

“Tindakan undang-undang dibuat kerana mereka telah mengaitkan susur galur yang diterajui oleh persatuan ini dengan keluarga beliau yang dilihat semata-mata ingin membuktikan ‘kerakyatannya’ kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Memetik laporan akhbar baru-baru ini, keluarga Kartika mendedahkan mereka merupakan keturunan Ngah Ibrahim daripada sebelah bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib sementara ibunya, Wan Badariah adalah waris kepada Megat Terawis.

Shukarnor telah bertindak mengeluarkan kenyataan itu setelah mendapati ada segelintir individu termasuk ‘cakap-cakap’ di laman blog yang mendakwa mereka berasal dari negara jiran.

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan MOHD. AZLI ADLAN


Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (SIDIM)

Ogos 28, 2009

Alamat :
Rumah Sahabat SIDIM (RSS)
No. 56, Jalan Orkid 2
Kelab Golf Bukit Beruntung
48300 Rawang
Selangor Darul Ehsan.

Ibu Pejabat :
No. 9, Medan Selera Sg. Pusu
53100 Gombak
Selangor Darul Ehsan.
No. Tel : 013-668 2940 (Ustaz Mohamed Hanafiah)
019-3554513 (Ustaz Fauzi)
013-2229851 (Ustaz Zubir)
Emel : hanafi_sidim@yahoo.com

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia atau nama singkatannya “SIDIM”.

OBJEKTIF PENUBUHAN PERTUBUHAN KEBAJIKAN SIDIM

# Menubuhkan pusat-pusat pemulihan bagi tujuan merawat,memulih serta mendidik generasi umat islam yang terjebak dengan gejala sosial supaya kembali ke pangkal jalan.

# Membentuk serta menanam sifat-sifat keimanan dalam memulihkan generasi muda islam yang jauh terpesong dan dapat dijadikan insan contoh rakan sebaya yang akan membimbing rakan atau kenalan mereka dahulu.

# Memberi pembelaan kepada pemuda dan pemudi islam yang terjebak dalam anasir-anasir yang tidak sihat,supaya kembali sebagai insan yang akan dihormati dalam konsep modal insan.

# Memberi pendedahan kepada ahli-ahli dari segi latihan serta semangat supaya dapat disampaikan kepada masyarakat dalam membentuk generasi yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

# Sentiasa menjaga kebajikan ahli-ahli dalam konteks ukhuwwah dan membantu dalam membina hidup baru yang lebih bermakna.

# Membentuk satu jaringan kerjasama dengan semua pihak tidak kira dari badan kerajaan ataupun pihak swasta serta kesemua badan bukan kerajaan (NGO) dalam membentuk modal insan yang berkualiti.

KLASIFIKASI PELATIH DI SIDIM

Saban hari berlaku peningkatan pencemaran moral remaja yang kekadang mengerikan. Cerita-cerita remaja bersekedudukan, hamil anak luar nikah, lari dari rumah, minum arak, hisap dadah, terlibat kongsi gelap, melacur, dan sebagainya bagaikan tak berkesudahan. Remaja yang terjebak menghabiskan hidup dengan sia-sia persis haiwan tak berakal. Dunia kotor menjadi sebati sampai ke dalam jiwa. Akhirnya tak ubah laksana bangkai bernyawa.

Menyedari kecelakaan remaja yang menghidap penyakit sosial boleh merenggut iman yang ada, menjahanamkan maruah agama, dan memalukan keluarga, maka langkah-langkah berkesan perlu diketengahkan dan bukan lagi dibahas dan dibincangkan. Justeru Rumah Sahabat SIDIM Bukit Beruntung diusahakan dengan kudrat yang ada demi melihat calar-calar moral remaja ini dibersihkan, digilap, dan dicanai sebaik mungkin dengan nur agama menjadi insan yang berhamba disisiNya.

Rumah kebajikan telah beroperasi 3 tahun. Bermula di Gombak dan kini di Bukit Beruntung. Faktor kesesuaian, fasiliti, dan keselamatan menjadi isu utama perpindahan ini demi melihat keselesaan penghuninya untuk dididik dalam suasana yang tenteram, aman, dan damai. Penghuninya silih berganti, yang datang berjaya dipulihkan dan kembali ke pangkuan keluarga untuk memulakan hidup baru dengan menjauhi perkara lalu. AlhamdulilLah rumah ini telah berjaya memulihkan hampir 280 orang remaja. Remaja ini terdiri daripada penagih dadah, black metal, skin head, murtad, kongsi gelap, kes bunuh, mencuri, sakit jiwa, dan sebagainya.

Kejayaan memulihkan remaja sebegini kembali bertaubat dan rasa berTuhan mendorong pihak kami melihat keupayaan rumah ini dengan lebih besar lagi ke arah menyelamatkan para remaja terlanjur yang ingin kembali ke pangkal jalan. Hasrat suci ini menjadi agak lembab disebabkan kekangan kewangan dan aset lain yang diperlukan. Maka menjadi harapan kepada insan-insan yang sudi menghulurkan bantuan menyahut agenda perjuangan menyelamatkan umat Islam kini terutamanya remaja yang bakal menjadi tonggak kekuatan negara pada masa mendatang.

Bantuan kewangan boleh disalurkan ke dalam akaun Bank Islam :
RUMAH SAHABAT SIDIM BERNOMBOR (12-113-01-003029-1)

Untuk maklumat lanjut, sila ke laman rasmi SIDIM.

http://sidim.nas.my