Anggerik Avenue sedia penuhi impian mempelai

Julai 4, 2007

Kelengkapan perkahwinan ditawar pada harga berpatutan bolehkan pengantin kurangkan kos

ASAS utama dan paling penting untuk diambil kira dalam merancang majlis perkahwinan adalah bajet atau peruntukan kewangan. Tiada masalah untuk berlebih-lebihan jika bajet mencukupi kerana sememangnya hari bahagia itu datang hanya sekali.

Bagi yang bajet agak terhad, harus beringat kerana kewangan ada lebih diperlukan di kemudian hari. Tidak guna bergaya sakan tetapi akhirnya terpaksa menanggung hutang keliling pinggang.

Kekurangan bajet tidak bermakna tidak boleh tampil bergaya sebagai Raja Sehari. Misalnya, persalinan songket untuk bersanding boleh disewa jika tidak mampu dibeli kerana harganya cukup mahal. Tambahan pula, songket hanya dipakai sebentar saja iaitu ketika bersanding. Selepas itu lazimnya, ia hanya terperap di dalam almari begitu saja.

Kunjungan ke Anggerik Avenue, butik persiapan pengantin di Kompleks PKNS, Shah Alam pasti tidak mengecewakan. Di sini, impian anda untuk tampil menawan pasti termakbul kerana ia menawarkan pelbagai kelengkapan perkahwinan pada harga berpatutan.

Pemiliknya, Amnas Ibrahim, berkata butiknya menawarkan pakej kelengkapan pengantin serendah RM450 ke atas. Bermula dengan kain renda Perancis dan Korea, pengantin boleh memiliki sepasang pakaian lengkap untuk pengantin lelaki dan wanita. Anda boleh memilih warna lembut seperti krim dan putih sehinggalah warna ceria seperti ungu, merah jambu, hijau pucuk pisang serta sebagainya.

“Baju pengantin diperbuat daripada kain renda Perancis dan Korea kini menjadi pilihan kebanyakan pasangan berikutan harganya lebih rendah berbanding songket. Sebelum ini, ia biasanya digayakan ketika majlis pernikahan tetapi tidak kurang menarik jika digayakan ketika bersanding di atas pelamin. Hanya dengan RM450, pasangan boleh mendapat satu set pakaian seperti baju Melayu satin dan baju kurung moden daripada kain renda. Warna paling popular adalah lilac atau ungu lembut. Kasut boleh ditempah untuk dipadankan dengan baju dengan harga RM150 saja,” katanya.

Katanya, jika ingin membeli kain renda Korea saja, harga bermula RM199 sepasang untuk lelaki dan perempuan. Anda boleh memiliki kain renda 2 1/2 meter untuk renda dan 8 1/2 meter untuk satin. Promosi ini terhad sehingga stok masih ada.

“Harga ini berpatutan berbanding harga biasa untuk renda dan lining iaitu RM150. Jika tidak mahu di buat baju, ia juga sesuai untuk dibuat hantaran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya bagi yang masih ingin menggayakan songket, terdapat pakej harga patut iaitu bermula dengan RM600. Harga ini merangkumi sepasang pakaian pengantin untuk lelaki yang merangkumi tanjak dan keris manakala pengantin perempuan pula turut disediakan dengan layah dan tiara.

“Songket bunga tabur didatangkan dengan potongan kebaya labuh yang dihiasi jahitan sulaman di bahagian leher, depan dan lengan baju. Aksesori tambahan seperti tiara, kerongsang dan layah daripada kain jaring turut disediakan di dalam pakej ini. Ia boleh dipadankan dengan kasut daripada songket dengan warna serupa yang didatangkan dalam bentuk bertali, sarung atau bertutup di bahagian depannya,” katanya.

Anggerik Avenue turut menyediakan peralatan perkahwinan lain seperti songkok, tanjak dan samping. Manakala pengantin perempuan juga boleh mendapatkan tiara, rantai dan kerongsang dalam bentuk serta gaya terkini. Selain itu, terdapat aneka baju Melayu dan baju kurung potongan moden serta tradisional untuk digayakan pengantin semasa bertandang atau ketika menghadiri acara lain.

INFO
Anggerik Avenue

Lokasi: Lot 01-152-3, Tingkat 1, Kompleks PKNS, Shah Alam
Tel: 03-55116800
Pemilik: Amnas Ibrahim
Khidmat disediakan: Pakej pakaian pengantin dan kelengkapan perkahwinan.


Tiara lebih diminati berbanding cucuk sanggul

Jun 17, 2007

Oleh Zuraini Mat Yusoff

Aksesori kepala untuk perkahwinan turut melalui proses evolusi bersesuaian dengan zaman moden

PERHIASAN diri ketika bersanding sangat penting khususnya pengantin perempuan untuk menyerlahkan kecantikan dan menaikkan seri. Umumnya, pengantin inginkan penampilan berbeza dan menonjolkan diri berbanding hari biasa kerana pada hari itu mereka sepatutnya menjadi raja sehari.

Dalam masa sehari itulah mereka ingin kelihatan cantik, pesona dan menawan pada mata tetamu yang hadir. Jadi, tidak hairanlah ada pengantin yang menghiaskan diri mereka dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Bagi pengantin perempuan khususnya, barang hiasan diri khususnya kepala amat penting kerana dengan adanya hiasan sebegitu mempelai tampak lebih berseri bersesuaian dengan hari penuh bersejarah.

Jika dulu, lazimnya hiasan rambut bagi pengantin perempuan ialah cucuk sanggul, kini penggunaan bahan berkenaan jarang diguna pakai dan diganti dengan tiara atau mahkota yang kelihatan lebih moden.

Bagi perunding perkahwinan, Che Berhah Harun, 65, berkata pemakaian tiara pada masa kini adalah bagi mengikut peredaran masa yang mana kebanyakan pengantin ingin kelihatan lebih moden berbanding cucuk sanggul yang tampak ketinggalan zaman.

“Ini zaman moden, jadi pengantin lebih suka kepada pemakaian aksesori yang menampakkan gaya kontemporari. Jadi, tidak hairanlah jika pengantin zaman sekarang lebih suka dan meminati tiara berbanding cucuk sanggul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di kediamannya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika dulu cucuk sanggul dipakai oleh pengantin yang tidak memakai tudung kerana ia perlu dicucuk di belakang sanggul. Namun, hari ini dandanan rambut tidak lagi terhad kepada sanggup, sebaliknya pelbagai gaya dandanan diperkenalkan sebagai pilihan.

Malah, katanya, pemakaian tiara juga lebih sesuai dipakai bagi menghiasi kepala terutama pengantin bertudung..

“Perubahan waktu juga mengubah cara pemakaian barangan hiasan diri pengantin ini. Kebanyakan pengantin pada zaman sekarang sudah tidak berminat untuk menyanggul rambut lantaran itu mereka lebih suka memakai kain layah.

“Oleh itu, bila layah dikenakan cucuk sanggul tidak sesuai dikenakan lagi kerana kelihatan terlalu sarat. Namun begitu, pemakaian layah dan tiara dapat disesuaikan kerana ia akan dapat menambahkan lagi keanggunan hiasan kepala itu,” katanya.

Bagaimanapun, Berhah berkata, pemakaian tiara yang sesuai dengan tubuh badan pengantin juga amat penting untuk dititikberatkan. Bagi pasangan pengantin yang berbadan besar, tiara atau mahkota yang sesuai bagi mereka adalah tiara yang sederhana besar.

Jika mereka memakai tiara yang besar atau terlampau kecil, aksesori bagi hiasan kepala akan tampak ‘tenggelam’ dengan keadaan tubuh badan mereka.

“Rupa bentuk dan saiz tiara harus dititikberatkan oleh pengantin. Mereka tidak hanya boleh memilih tiara yang mereka inginkan, tetapi harus juga menitikberatkan saiz tiara dengan keadaan badan. Ini kerana pemakaian tiara yang tidak sesuai akan mencacatkan seluruh keayuan dan kecantikan pengantin itu,” katanya.

Selain itu, pemakaian tiara juga harus dipadankan dengan pakaian yang sesuai dengan konsep keseluruhan. Jika pengantin memilih untuk mengenakan tiara, sebaiknya mereka turut mengenakan pakaian moden busana pengantin tradisional yang diberi nafas baru. .

“Jika tiara dipakai dengan pakaian tradisional, ia kelihatan tidak seimbang kerana tiara adalah hiasan kepala moden. Pakaian tradisional sesuai dipadankan dengan hiasan kepala zaman dulu seperti cucuk sanggul.

“Keadaan rambut sama ada dilepaskan atau disanggul kelihatan lebih cantik jika diletakkan tiara ke atas rambut. Ini untuk memperlihatkan hiasan kepala itu lebih menonjol,” katanya.

Begitupun, bagi memastikan kelangsungan cucuk sanggul, ada pengeluar yang kini tampil dengan rekaan moden. Tidak lagi dicucuk di belakang sanggul rambut, sebaliknya diletakkan di atas kepala.

FAKTA TIARA

Pelbagai jenis batu permata yang digunakan seperti delima, nilam, zamrud dan berlian untuk menambahkan lagi serinya.

Tiara disesuaikan dengan tudung dan selendang panjang, persiapannya ringkas namun gaya keseluruhan membuatkan si pengantin begitu sopan dan anggun.

Sesuai untuk busana pengantin moden.

Pemakaian tiara juga sesuai bagi pengantin yang melepaskan rambut dan rambut yang disanggul.

Cucuk sanggul

Elemen aksesori klasik Melayu.

Peranan utama ialah untuk menyemat dan menahan sanggul supaya tidak terburai.

Menjadi antara perhiasan diri bagi orang Melayu, Portugis, India dan Nyonya peranakan untuk mendandan rambut mereka.

Satu ketika dulu, di kalangan masyarakat yang miskin, cucuk sanggul mereka diperbuat daripada kayu atau buluh saja.

Direkabentuk daripada berbagai-bagai jenis logam seperti tembaga, perak, suasa dan emas.

Ada cucuk sanggul yang dibuat dari berlian, nilam, zamrud, delima dan mutiara, lazimnya digunakan golongan bangsawan dulu kala.

Ada tiga hingga enam batang pin berbeza ukuran, ukiran halus dan bertatah intan, manakala bertatah mutiara khas untuk upacara perkabungan.


44 pantang larang bakal pengantin

Jun 13, 2007

Apabila telah ditetapkan hari perkahwinan bermakna bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu. Apa yg ditetapkan harus diikuti utk kebaikan diri mereka. Ia bukanlah menjaid kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dlm masyarakat melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini kepada mereka, tidak rugi jika apa-apa pantang larang yg difikirkan sesuai masih boleh diikuti.

1. Jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijabkabul utk mengelakkan tohmahan masyarakat. Selain itu ia bertujuan utk mengawal nafsu. Ia juga utk menimbulkan perasaan rindu dendam. Perasaan yg timbul akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.

2. Jgn tidur dirumah orang takut terkena ilmu. Ia juga utk menjaga nama baik keluarga.

3. Jgn bebas keluar kemana-mana kerana takut disantau oleh mereka yg mempunyai niat tidak baik.

4. Jgn makan nasi dgn gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin bagi mengelakkan perut buncit.

5. Elakkan makan ulam yg berbau busuk seperti petaidan jering.

7. Jgn bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelak diri dari perkara sihir.

8. Jgn membuang air kecil dan air besar serentak di dlm air contohnya dlm sungai, kolah kerana ia boleh melemahkan organ seks.

9. Elakkan minum air bergas kerana ia mempunyai gula dan gas yg tinggi dan boleh menyebabkan kencing manis.

10. Kurangkan makan makanan yg manis kerana jika terkena kencing manis, lelaki tersebut menghadapi masalah berat tika bersama.

11. Elakkan mandi malam kerana tidak elok untuk sendi-sendi.

12. Kawal makan iaitu sekali makan setiap hari (mengikut sesetengah adat)

13. Kaum lelaki elakkan memakai seluar dalam yg ketat pada waktu malam dan tidur meniarap kerana tidak bagus utk organ seks kerana darah tidak mengalir.

14. Elakkan terlalu banyak makan makanan laut kerana ia mengandungi banyak toksid.

15. Tiga bulan sebelum berkahwin, mula membuat urutan supaya pengantin mempunyai tenaga.

16. Amalkan makan telur ayam kampung seminggu 2 kali yg dicampur madu dan lada hitam yg ditumbuk utk menambah tenaga.

17. Bagi mereka yg banyak angin, minum air halia utk membuang angin.

18. Belajar ilmu rumahtangga drpd org yg berpengalaman dan sudah berkahwin tentang rahsia memikat isteri supaya rumahtangga aman dan damai.

19. Jgn memuaskan nafsu dengan cara sendiri.

20. Cukupkan waktu tidur tujuh hingga lapan sehari.

21. Elakkan minum minuman keras dan merokok.

22. Elakkan terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.

23. Elakkan minum air soya kerana ia sejuk dan tidak elok utk alat kelamin.

24. Amalkan makan jamu supaya malam pengantin tidak mengecewakan.

25. Banyakkan baca surah-surah bagi mengelakkan gangguan syaitan. Sentiasa mengingati Allah.

26. Jgn makan sebebas-bebasnya kerana ketika ini sistem dalaman tidak stabil.

27. Jgn terlalu terdedah kepada keluarga lelaki (simpan diri).

28. Jgn berembun atau keluar malam bagi mengelakkan unsur jahat.

29. Jgn bercelak atau berlangir serta memotong rambut seminggu sebelum ijabkabul.

30. Jika telah nikah gantung tidak boleh bersama.

31. Selepas nikah mesti ada peneman tidur sebelum bersama. Ia bertujuan utk menghangatkan lagi kemesraan.

32. Bilik lelaki atau wanita jgn dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalam bagi mengelak dr dikhianati org.

33. Jgn buat kerja yg berat. Bila pengantin membuat kerja berat, dia akan berasa penat dan mudah terjadi nya gangguan emosi.

34. Jaga pertuturan agar tidak menimbulkan rasa sakit hati.

35. Elakkan makan dan minum seperti sayur bersifat sejuk seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu dan air kelapa agar muka nampak segar.
36. Jgn cukur kening ditakuti akan menghilangkan seri muka.

37. Sebelum menjadi pengantin, katil kelamin tidak boleh ditiduri oleh pengantin kerana tidak manis.

38. Lempar baju di atas bumbung rumah tanpa diketahui oleh org lain bagi mengelakkan hujan turun ketika majlis berlangsung.

39. Dilarang memandang cermin ketika disolek oleh juruandam kerana dikhuatiri hilang seri.

40. Kedua pengantin dilarng bercakap ketika bersanding kerana kurang manis dipandang tetamu.

41. Jgn makan kepala ayam nanti mengantuk masa bersanding.

42. Dilarang membuang alis kerana perbuatan tersebut akan menghilangkan seri wajah buat pengantin lelaki.

43. Jgn makan bersulam air kerana dikhuatiri menyebabkan perut menjadi buncit.

44. Elakkan keluar rumah tanpa tujuan kerana angan-angan yg tinggi menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin mengalami kemalangan jika berada diluar.

~utk pengetahuan saja…


Peranan Mak Andam Di Majlis Perkahwinan

Jun 13, 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bakal pengantin perempuan kini lebih gemar guna khidmat jurusolek moden

MELANGKAH ke alam perkahwinan bagi kebanyakan bakal pengantin ia adalah sesuatu yang mendebarkan. Malah, semakin hampir tarikh yang ditetapkan, semakin itulah kencangnya debaran di hati apabila menantikan saat itu.

Menyedari perkara itulah pada zaman dulu, mak andam adalah antara individu yang sangat penting di dalam sesebuah majlis perkahwinan orang Melayu. Sebut saja hal perkahwinan mesti ada mak andam yang bertanggungjawab secara menyeluruh; daripada menjaga protokol majlis hinggalah kepada kesempurnaan penampilan pengantin termasuk, menjaga pengantin secara rohani dan jasmani.

Apa yang pasti, pengisian rohani bagi bakal pengantin yang akan menaiki jinjang pelamin oleh mak andam dilihat begitu penting dijaga agar mempelai berasa lebih tenang, tidak gemuruh dan yakin khususnya ketika bersanding di atas pelamin.

Begitu juga dengan penjagaan jasmani supaya pengantin kelihatan cantik, berseri dan sopan. Detik itu, pengantin akan dilihat mulia apabila dijaga oleh mak andam dan ia ibarat Mak Inang yang menjaga puteri raja.

Lebih unik dan menariknya, bagi masyarakat Melayu zaman dulu, adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan dibuat lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan.

Anak dara yang akan memasuki alam perkahwinan akan diandam oleh juruandam dan sudah dikenali memang kerjanya mengambil upah menjadi ‘emak pengantin’.

Juruandam, Meriam Sedit atau lebih dikenali sebagai Kak Yan, berkata walaupun adat berandam jarang dilakukan hari ini, ia sewajarnya dikekalkan sebagai persediaan awal bakal pengantin menghadapi segala kemungkinan hari bersejarah iaitu pada hari perkahwinannya.

Kak Yan, berkata ramai daripada kalangan kita yang tidak mahu berandam kerana menganggapnya kerja remeh dan lebih-lebih lagi kebanyakannya sibuk dengan urusan harian serta sering diburu masa walaupun hari perkahwinan sudah semakin dekat.

“Ada juga yang tidak mempercayai mengenai adat berandam ini dan menganggapnya sebagai karut semata tanpa mengetahui kepentingan kepada bakal pengantin itu sendiri. Tetapi bagi saya, pengantin mesti berandam kerana adat ini adalah proses menaikkan seri pengantin dan perbezaan wajah akan ketara jika bakal pengantin tidak diandam berbanding dengan yang diandam,” katanya ketika di temui di butik andaman milik sendiri yang dikenali Yan Seri Andam.

Beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang mengandam berkata, berandam sebenarnya membentuk disiplin, di samping membantu pengantin memadamkan rasa gelisah dalam diri dan supaya tampak manis serta sentiasa tertib atau tidak ‘lepas laku’ ketika bersanding.

Katanya, pada masa kini ramai yang menganggap, kerja mengandam sekadar membuat solekan muka dan dandanan rambut saja. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa mak andam ada tanggungjawab tersendiri dan seharusnya melengkapkan diri dengan keperluan yang lengkap apabila memulakan urusan mengandam. Tugas mengandam pula merangkumi dari hujung rambut hingga ke kaki.

“Apabila memperkatakan berandam pengantin, ramai di kalangan kita yang hanya mengaitkannya memantis dan mencukur kening, tetapi sebenarnya ada beberapa perkara penting yang perlu dilakukan Mak Andam.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan dalam adat potong andam sememangnya perkara sedemikian dilakukan kepada pengantin dan antara tujuan utamanya, diumpamakan sebagai mencari ketenangan di dalam diri mereka.

“Aspek psikologi dalam diri bakal si pengantin harus diambil kira memandangkan dia akan melangkah ke alam baru yang lebih bermakna,” katanya.

Kak Yan berkata, oleh kerana pasangan yang hendak berkahwin dihimpit ujian oleh godaan syaitan maka ayat dan surah al-Quran akan digunakan serta dibaca kepada pengantin sebagai ‘pendinding’ supaya dapat menempuh hari perkahwinan tanpa ada sebarang kecacatan.

Bacaan dan surah yang biasa digunakan seperti ayat Kursi, al-Fatihah, surah Yusuf serta selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Membaca doa seumpama itu penting untuk memantapkan rohani pengantin dan sebagai usaha memohon kepada Allah agar sempurna semuanya sehinggalah ke akhir majlis perkahwinan itu.

“Pokoknya, doa yang dibaca adalah untuk meminta kesejahteraan pengantin dan memastikan dirinya cantik seperti bidadari atau hebat setiap kali tetamu memandangnya serta dijauhkan daripada sebarang khianat dan malapetaka,” katanya.

Mengenai acara yang dilakukan dalam adat berandam, Kak Yan berkata, antaranya termasuklah mandi bunga. Biasanya pelbagai jenis bunga digunakan dan ia diramas terlebih dulu untuk mengambil pati sarinya kemudian dicampurkan ke dalam air sebelum pengantin berendam di dalamnya.

Antara tujuan mandi bunga ialah meredakan emosi dan menyegarkan badan. Malah, secara saintifik dan mengikut hukum fizik tenaga air dan haruman bunga sebenarnya memang berupaya untuk memberikan keharmonian dan kesejahteraan pada minda serta fizikal.

Ketika ditanya tujuan mencukur bulu roma pada wajah katanya, ia membolehkan solekan tampak lebih daripada biasa di samping, jika pengantin berpeluh ia tidak mengalir di celah bulu roma sehingga menjejaskan solekan. Memantis kening pula adalah bertujuan untuk membezakan antara lelaki dan perempuan.

Bagaimanapun, apa yang pasti hari ini peranan mak andam walaupun dilihat masih penting dan diperlukan, tugas dipikul tidaklah seberat dulu yang terpaksa menjaga bakal pengantin dari awal hingga selesai majlis perkahwinan.

Tugas utama yang dilakukan juruandam hari ini sebaliknya, lebih menitikberatkan dandanan dan menyolek paras wajah pengantin supaya tampak jelita serta berbeza daripada solekan hari-hari biasa serta memastikan persalinan pakaian mempelai lengkap dan secocok digayakan.

Malah, bagi masyarakat bandar dan individu yang dilingkari gaya hidup moden, kebanyakan tugas Mak Andam lebih banyak diganti atau diambilalih oleh jurusolek. Selain itu dulu mak andam lazimnya di kalangan orang tua yang berkemahiran dan berpengetahuan luas, khususnya berkaitan rahsia serta hal rumah tangga dan membuatkan dirinya dihormati masyarakat.

Kini, usia bukan lagi persoalan utama untuk bergelar mak andam dan ada kala individu yang menjadi juru andam masih lagi anak dara atau belum ada pengalaman melalui gerbang perkahwinan. Apa yang lebih penting, selagi mempunyai kemahiran bersolek dan berdandan, ia sudah cukup syarat untuk melaksanakan tugas sebagai juru andam.

Menarik mengenai adat berandam zaman dulu

Pengertian berandam itu sebenarnya ialah wanita yang hendak dikahwinkan perlu dicukur dan diperelokkan bentuk bulu keningnya dan dicukur andam anak rambut di sepanjang dahinya.

Kemudian, gigi anak dara itu akan diasah dengan sejenis batu pengasah gigi supaya saiz dan kedudukan gigi dapat di sama ratakan. Semua ini dilakukan oleh orang tua-tua zaman dulu dengan tujuan yang baik, iaitu untuk menambah kecantikan dan seri kepada anak dara berkenaan.

Selepas selesai diandam dan diasah gigi, anak dara itu akan dimandikan serta disapukan bedak. Bakal pengantin akan dimandikan dengan air daun buah limau purut dan Mak Andam akan menjalankan upacara sintok langir yang mengikut kepercayaan, upacara itu akan membuang rasa takut, sial, malang dan malapetaka yang bakal mengganggu anak dara berkenaan.

Apabila siap dimandikan, maka hujung sepuluh jari tangan, di tengah-tengah kedua belah tapak tangan dan di sekeliling kedua belah kaki anak dara itu akan diinaikan. Upacara menepek inai ini dilakukan terlebih dulu sebelum adat berinai di pelamin dijalankan.


Menuju Alam Perkahwinan

Jun 12, 2007

Masalah memilih bakal pasangan hidup, perlu diberi perhatian diawal perkenalan dengan pasangan masing masing. Islam sangat bersifat selektif. Sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan. Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar berjalan -jalan dating dan berborak tanpa batasan. Konsep lima `K’ diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu “Kenal”, “Kelas”, “Kufu”, “Kasih” dan akhir sekali “Kahwin”.

KENAL
Kita disuruh kenal/ta’ruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran @ fizikal semata-mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk kenal orangnya, hati budinya, pergilah disuruh dan dicari orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan perangainya. Terdapat kisah seorang sahabat Nabi, Omar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila melantik seorang saksi.

“Apakah kamu kenal lelaki ini?” tanya Omar
“Ya, saya kenal,” jawab lelaki tersebut. Omar bertanya lagi…
“Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?”

Lelaki itu menjawab tidak pernah, Omar bertanya lagi “Pernahkah kamu bermu’amalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan-kawannya” Itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai dengan kita atau sebaliknya. Risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan kewarakannya.. Pada dasarnya, kita boleh kenal melalui dari corak kelakuan sahabat-sahabat yang akrab dengannya….
Adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak BERBOHONG. Apabila sudah saling mengenali, TOLAK-ANSUR dapat dibuat dalam apa juga perkara.

KELAS
Kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja. Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa ‘alert’, sanggup MENERIMA TEGURAN dan MEMBERI TEGURAN dan saling bersifat ‘MEMBINA’ untuk menjaga akhlak dalam Islam.

KUFU
Kufu amat diberatkan, dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbang. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam. Begitu juga daripada segi harta , ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin, susah untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur. Memang betul, soal jarak umur diantara Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna. Dan tidak seperti kita yang serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga.

KASIH
Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin. Merujuk kepada sebuah hadis:-

“Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan perkahwinan”
Andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat Islam.

Rasulullah memberitahu:-

“Pergi lihat dahulu wanita itu, kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu”

Kalau kawan tolong canang kata begitu dan begini amat susah juga.. Sememangnya terdapat ” Orang orang yang benar-benar redha dengan pasangan yang di tentukan oleh Allah tetapi pokok pangkal banyak terletak pada HATI kaum lelaki” Kalau tak berkenan, jangan di paksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok pondok. Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia menjamin kebahagian rumahtangga. Hadis Nabi ada menyatakan:-

“Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEDUDUKAN ia hanya mendapat kehancuran sebagai balasan, Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEKAYAAN, Allah menjanjikan kemiskinan. Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN, Allah akan menghina keturunannya dan Barang siapa yang berkawin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan kemaluannya atau menyambung silahturrahim, Allah akan memberkati kedua duanya.”

Keberkatan memang dititik beratkan. Apabila nawaitu/niat kita dipasakkan dengan betul. InsyaAllah perkahwinan akan diberkati dan dilindungi. Setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham.

REDHA
Redha terhadap pasangan masing masing adalah penting. Rasulullah sering bertanya, Apakah kamu redha dengan pasangan ini? Kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur unsur kebaikan dan keburukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita REDHA dengan pasangan bermakna kita redha dengan KEKURANGAN mereka.

“Apa yang dikatakan baik bukan sekadar mengikut telunjuk isteri @ suami. Baik yang di maksudkan sanggup mengaku kekurangan diri dan mencari jalan mengatasinya” Istilah kufu banyak di tekankan dalam Surah AnNur :ayat 26:-

“Seorang lelaki yang tidak baik itu sesuai dengan wanita yang tidak baik dan seorang lelaki yang baik itu adalah untuk wanita yang baik”

Istilah kufu sangat di tekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang. Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agama tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin, Sikap kurang mahu ini akan menjadi tolak bengit sekiranya pula si isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari masa ke semasa ….Begitu juga sebaliknya masalah berlaku Kata sebahagian lelaki, dah dapat perempuan yang berkenan di hati nanti “AKU UBAHLAH PERANGAINYA”. Tetapi anda perlu ingat, bukan semua perempuan mempunyai hati yang lembut dan mudah di bentuk. Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mesti mencari lelaki yang lebih kuat imannya daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga….

Dipetik dr Portal Perkahwinan


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers