Persoalan Sebelum Berkahwin

Disember 13, 2007

ADA banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan dalam hubungan anda sebagai pasangan kekasih kerana ia akan mempengaruhi masa depan kehidupan anda bersama.

Perkahwinan bukan sekadar berpandukan kepada cinta semata-mata. Jika cinta yang dijadikan asas, besar kemungkinan perkahwinan yang didirikan berhadapan dengan pelbagai masalah.

Pandangan keluarga, perancangan masa depan, persamaan dan perbezaan antara anda dan teman perlu dibincangkan bersama sebelum anda mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

Bak kata orang, perkahwinan bukan sekadar anda dan pasangan, sebaliknya ia membabitkan banyak pihak dan isu. Ketika bercinta semuanya indah, tetapi apabila sudah melangkah ke alam perkahwinan barulah tampak kepincangan masing-masing.

Tanpa perbincangan, anda akan mengalami pelbagai masalah kelak, justeru tetapkan hala tuju anda dan pasangan sebelum mengambil langkah lebih serius. Persoalan berikut mungkin boleh dijadikan pertimbangan.

Pengalaman ketika kecil ketika bersama keluarga.

Apakah pengalaman duka masa kanak-kanak akan menjejaskan perkahwinan anda?

Kasih sayang daripada ibu bapa.

Apakah ibu bapa anda mesra, mengambil berat dan penyayang atau adakah mereka sering berselisih faham?

Latar belakang agama.

Adakah anda seorang yang beriman dan bertakwa?

Pendidikan.

Apakah anda dan pasangan memiliki taraf pendidikan yang sama? Apakah anda berasa tergugat jika pasangan anda memiliki taraf pendidikan yang lebih tinggi? Apakah anda bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran?

Latar belakang budaya dan sosioekonomi.

Bandingkan latar belakang masing-masing – lebih besar perbezaan antaranya maka lebih besarlah kemungkinan wujudnya masalah berkaitan adat resam, kehidupan berkeluarga, harapan tradisi dan sebagainya.

Kepintaran.

Apakah anda lebih pintar daripada pasangan anda atau sebaliknya? Apakah ini mungkin mencetuskan rasa iri hati?

Hubungan dengan mentua.

Apakah pandangan saudara mara anda mengenai calon pilihan anda dan bagaimana hubungan anda dengan mentua?

Sikap dari segi kewangan.

Apakah anda akan berbincang mengenai cara menguruskan kewangan selepas berkahwin?

Bilangan anak.

Apakah anda dan pasangan bercanggah pendapat mengenai bilangan anak dan perancangan keluarga? Apakah anda berbincang mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa dan cara membesarkan anak?

Masalah seksual.

Apakah perasaan anda dan pasangan terhadap kemampuan seksual masing-masing? Anda berdua patut menjalani pemeriksaan fizikal dan khidmat kaunseling bagi memastikan tiada masalah seksual.

Pemilih tempat tinggal.

Di manakah anda berdua akan tinggal selepas berkahwin – di rumah sendiri atau mentua. Jika memilih untuk tinggal di rumah mentua dapatkah anda menyesuaikan diri dengan mereka?

Anda Bersedia Untuk Menjadi Ibu Bapa?

Dalam perkahwinan, pasangan biasanya akan merancang untuk mempunyai anak. Perkara ini wajar dibincangkan ketika anda merancang untuk berkahwin. Ada banyak persoalan yang perlu dijawab terlebih dulu. Adakah anda benar-benar mahukan anak? Berapa ramai? Bila? Anda dan pasangan wajar membincangkan tahap persediaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, juga sama ada anak akan melengkapi kehidupan berkeluarga serta beban kewangan yang bakal dihadapi.

Panduan berumah tangga Smartstart Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara


Majlis kahwin wajar tepati syariat Islam, ikut kemampuan

November 26, 2007

Sinonim dengan musim cuti persekolahan, ramai yang mengambil kesempatan mengadakan walimah atau kenduri kahwin bagi menggambarkan kegembiraan dan kesyukuran apabila bercantum dua hati insan yang dinobatkan sebagai raja sehari dalam ikatan pernikahan.

Kemeriahan akan lebih terasa kerana sesuai dengan pengertian walimah itu sendiri yang bermaksud mengadakan suatu majlis makan yang turut mengundang sanak-saudara dan sahabat-handai sama ada dekat atau jauh untuk turut sama menyerikan majlis diadakan.

Anas bin Malik dalam hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan juga untuk Zainab.

Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan oleh agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas ditetapkan syariat Islam.

Berdasarkan pandangan Syed Sabaq dalam salah kitabnya, beliau menerangkan bahawa walimah dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akan nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.

Hadis diriwayatkan Bukhari menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengundang sahabat Baginda untuk menghadiri majlis walimah sesudah Baginda mencampuri isterinya Zainab.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati walimah yang dilakukan beliau iaitu Rasulullah SAW menghadirinya, Abu Usaid menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya. Kurma itulah yang dihidangkan kepada tetamu lain yang datang.

Ini bermakna, walau jenis makanan apa sekalipun yang ingin dihidangkan pihak keluarga yang mengadakan walimah, itu terpulanglah kepada kemampuan mereka. Pun begitu, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin ini, jangan mengadakannya dengan melampau batas syariat.

Antaranya menyerlah sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan kemudiannya, melakukan pembaziran dan berhutang semata-mata kerana menurut nafsu serta keinginan yang melampau.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itulah saudara syaitan. Syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’)

Sudah menjadi budaya masyarakat, apabila golongan mewah dan kaya mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis berkenaan.

Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya saja, orang fakir dan miskin tidak pula diundang untuk makan bersama.”

Dari aspek memenuhi tuntutan sebagai orang dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin pula, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, maka hendaklah ia mendatangi majlis itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Walau apapun, jika diteliti hadis berkenaan, menghadiri jemputan ke majlis kenduri kahwin adalah dituntut Islam sebagai sunat muaakad. Dalam sebuah kitab tulisan Syed al-Bari menyatakan syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain hendaklah meliputi perkara berikut:

- Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.

- Tidak dikhususkan kepada orang kaya saja.

- Orang yang mengundang beragama Islam.

- Tidak ada kemungkaran pada majlis itu.

- Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.

Usahlah dicemari majlis perkahwinan dengan perkara yang bercanggah syariat Islam. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pertuturan keji dan lucah, nyanyian dan tarian melalaikan, senda gurau melampau adalah contoh beberapa situasi sering berlaku pada majlis kenduri kahwin.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Perbezaan antara majlis perkahwinan yang halal dan haram ialah adanya nyanyian dan pukul rebana.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu, perlu kita menepati kehendak syariat Islam apabila ingin memeriahkan majlis walimah atau kenduri kahwin dengan persembahan hiburan supaya tidak tercemar dengan unsur ditegah agama dan melanggar ketertiban budaya orang Melayu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Walimah pada hari pertama adalah suatu hal yang benar. Pada hari kedua adalah suatu perkenalan, sedangkan pada hari ketiga adalah pamer dan mencari kemasyhuran.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Sesuatu yang tersirat ingin disampaikan Baginda ialah sikap berpada-pada apabila mengadakan majlis kenduri kahwin supaya tidak dipandang serong oleh orang lain. Sentiasa bersederhana dalam melakukan apa juga kerana kesederhanaan itulah dituntut Islam.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli


Tanggungjawab Sebelum Berumahtangga

September 7, 2007

Untuk menolong kita di dalam usaha-usaha membina rumah tangga yg Islami, Islam telah memberikan petunjuk kepada kita. Diantaranya adalah:

SATU: Pernikahan kita haruslah kerana Allah.

Iaitu bertujuan utk:
-membina sebuah rumah tangga yg Islami-melahirkan keturunan yg soleh-membina keluarga yg sanggup memikul amanah dan dapat melaksanakan kewujudan hidayah Allah sehingga hidayah tersebut akan terus berlanjutan.

DUA: Pernikahan ditujukan untuk menjaga pandangan & kehormatan kita sehingga kita betul-betul bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW telah bersabda:
“Allah berhak menolong tiga golongan: orang yg berjihad di jalan Allah,hamba mukatab yg ingin membayar harga tebusannya, dan orang yg menikah dgn tujuan utk memelihara kehormatan dirinya.” (HR Tirmidhi, Ibn Hibban, dan Al-Hakim).

Sabda Rasulullah SAW yg lain:

“Barang siapa yg menikah bererti dia telah menyempurnakan sebahagian agamanya, maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah yg merupakan sebahagian lainnya lagi.” (HR al-Baihaqi)

TIGA: Kita haruslah bijak dalam memilih pasangan hidup yg akan menjadi teman hidup kita yg diharapkan dapat seiring dan sejalan. Ini memerlukan usaha yg sungguh-sungguh.

Rasulullah SAW telah bersabda:
“Pilihlah (yg terbaik) utk keturunanmu karena (kegagalan dari) satu generasi akan menuju kepada krisis.” (HR Ibnu Majah dan Abu Mansur)

EMPAT: Kita hendaklah memilih pasangan hidup yg memiliki akhlak yg baik & berpegang teguh kepada agama, jadi kekayaan dan wajah bukanlah ukuran utama.

Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah kamu menikahi wanita kerana kecantikannya; boleh jadi kecantikannya itu akan membuat mereka hina. Janganlah kamu menikahi wanita kerana hartanya; boleh jadi hartanya itu akan membuat mereka zalim. Tapi nikahilah mereka kerana agamanya. Wanita hamba sahaya yg tuli namun beragama adalah lebih baik.” (HR Ibnu Majah)

LIMA:

Seperti yg disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:
“Siapa yg menikahi wanita kerana ketinggian kedudukannya, pernikahan itu tidak akan membawa sesuatu kepadanya kecuali kehinaan. Barangsiapa menikahi wanita kerana hartanya maka itu tidak akan menambah sesuatu kepdanya kecuali kemiskinan. Barangsiapa yg menikahi wanita kerana keturunannya, perkawinan itu tdk akan menambah sesuatu kepadanya kecuali hina dina. Dan barang siapa yg menikahi wanita dg tujuan agar dapat menahan pandangannya, memelihara kehormatannya atau menghubungkan silaturahim, Allah akan memberikan berkah kepadanya bersama wanita itu dan memberikan berkah kepada wanita itu bersamanya.” (HR Abu Nuaim)

Wallahualam…


Pemberian barang hantaran mengikut adat Melayu

Ogos 22, 2007

Dalam adat atau majlis pertunangan mahupun perkahwinan Melayu, membawa serta membalas barang hantaran, adalah satu kemestian antara kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Selain memenuhi adat tradisi dan syarat untuk mengikat dua hati yang ingin disatukan, berbalas-balas dulang hantaran antara kedua-dua pihak itu turut dianggap sebagai simbolik untuk mengukuhkan lagi perhubungan yang terjalin.

Barang hantaran adalah hadiah yang berupa wang atau mas kahwin dan biasanya diiringi barang lain seperti manisan, buah-buahan dan pakaian. Lebih unik dan istimewa, setiap barang hantaran itu akan digubah cantik serta penuh daya kreativiti sebelum diletakkan di atas dulang yang beralas cantik dan dihiasi indah.

Tiada had dalam menetap jumlah barang hantaran, tetapi kebiasaannya pihak perempuan akan menambah dua dulang lebih daripada pihak lelaki. Misalnya, jika pihak lelaki membawa tujuh dulang, pihak perempuan pula mestilah membalasnya dengan sembilan dulang.

Perunding dan penggubah barang hantaran perkahwinan, Rose Sury’s dari Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, Rosuri Abas, berkata pada masa kini membawa dan membalas barang hantaran bukan saja bertujuan melengkapkan adat budaya, tetapi juga menyerikan lagi acara yang dilangsungkan sama ada majlis pertunangan atau pun perkahwinan.

Beliau berkata, bersesuaian dengan arus perubahan moden, pemberian barang hantaran antara kedua-dua belah pihak pada masa kini tidaklah terlalu terikat dengan syarat dan adat yang telah ditetapkan sebelum ini. Sebaliknya, apa yang lebih penting kedua-dua belah pihak perlu saling muafakat dan berusaha memenuhi hati masing-masing ketika membawa dan membalas barang hantaran berkenaan.

“Jika dulu, pasangan sering ditekankan tidak membawa dan memberi barang hantaran dalam jumlah yang genap. Tetapi kini, soal jumlah genap atau ganjil bukan persoalan besar bagi kebanyakan pasangan. Begitu juga tambahan dua dulang lebih yang perlu diberikan pihak perempuan kepada pihak lelaki tidak lagi menjadi syarat utama.

“Sebab itulah kadang-kadang kita lihat hari ini, dulang hantaran yang diberi dan dibalas, sama banyak antara pihak perempuan dan lelaki. Mungkin ia lebih adil dan dapat memuaskan hati kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Rosuri yang sudah 10 tahun menggubah hantaran dan menawarkan perkhidmatan tempahan membuat gubahan berkata, hari ini antara barang hantaran wajib daripada pihak lelaki kepada perempuan biasanya adalah hantaran wang mas kahwin, telekung dan sejadah, alat solek, manisan serta pakaian.

Bagi pihak wanita kepada lelaki pula, barang hantaran yang dibalas tidak jauh bezanya kecuali tiada wang mas kahwin diberikan.

Mengenai gaya gubahan katanya, pada masa kini kebanyakan pasangan lebih senang menempah rekaan hantaran yang ringkas, tetapi mampu menonjolkan daya kreativiti. Gubahan gaya ringkas itu khususnya yang membabitkan seni rekaan melipat seperti telekung, sejadah dan tuala.

“Dulu barang hantaran seumpama itu digubah menjadi pelbagai bentuk seperti buah-buahan, bunga, masjid, menara dan sebagainya. Tetapi kini kebanyakan pasangan lebih gemar gubahan yang mampu menonjolkan gaya korporat dan abstrak. Untuk itu, seni lipatan bukan menjadi keutamaan,” katanya.

Perbezaan ketara lain dalam pemberian barang hantaran ialah amalan berdasarkan tema perkahwinan yang sudah ditetapkan. Misalnya, jika tema yang dipilih mewajibkan rona merah jambu, maka barang hantaran juga perlulah digubah menggunakan warna demikian.

Rosuri berkata, selain tema yang menekankan pilihan warna, ada juga yang pasangan menetapkan konsep tertentu untuk rekaan gubahan hantaran seperti tradisional, nusantara, Victoria dan juga gaya Inggeris.

Pilihan mengikut konsep dan warna sememangnya ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri kerana ia lebih teratur, tampak seragam dan menyerlahkan lagi hantaran.

Misalnya, jika memilih gaya Inggeris sudah tentu gubahan hantaran lebih memperlihatkan warna lembut dan segar. Begitu juga dengan gaya nusantara, akan memperlihatkan gubahan bercirikan klasik dan semula jadi.

“Namun, untuk menepati pemberian barang hantaran pihak lelaki kepada wanita, gubahan dan barangan dipilih perlulah mengambil kira beberapa aspek tertentu termasuk, dari segi warna, gaya rekaan dan penggunaan bahan lain seperti reben dan renda yang boleh membangkitkan keindahan rekaan gubahan.

“Jika daripada pihak lelaki kepada wanita barang hantaran yang diberi perlulah menonjolkan gaya feminin yang menepati jiwa orang menerimanya dan begitulah sebaliknya. Untuk itu, pihak lelaki bolehlah memilih warna sesuai seperti merah jambu, krim dan ungu. Penggunaan renda dan riben memang sesuai sekali untuk melambangkan kelembutan jiwa nurani wanita.

“Untuk memberi pihak lelaki pula, pihak wanita pula memilih gaya maskulin dan warna paling sesuai untuk barang yang ingin dijadikan hadiah ialah warna bumi, biru dan ungu gelap. Seandainya, kedua-dua pihak inginkan rona barang hantaran yang sama, pastikan warna muda adalah untuk wanita, manakala pihak lelaki menerima warna tua,” katanya.

Beliau berkata, dulu kerja menggubah barang hantaran dibuat secara beramai-ramai bagi mengeratkan tali persaudaraan, tetapi kesibukan masa menyebabkan kebanyakan pasangan hari ini lebih suka menempah dan mengupah individu yang mahir membuatnya. Malah, ada yang menyerahkan bulat-bulat kepada perancang perkahwinan untuk menyediakannya kerana tidak mahu fikiran berserabut menjelang hari bahagia, di samping ketiadaan peralatan dan kelengkapan seperti dulang serta alas bagi memastikan barang hantaran tampak sempurna.

Harga tempahan untuk menggubah barang hantaran pula berbeza-beza dan biasanya ia berdasarkan bahan yang digunakan. Bayaran dikenakan adalah mengikut jumlah dulang barang hantaran dan kebanyakan penggubah mengenakan harga serendah RM40 untuk satu dulang.

Pemberian barang hantaran mengikut adat Melayu

  • Pada zaman silam ketika adat menghantar tanda dan adat menghantar mas kahwin dan belanja dilakukan oleh pihak lelaki, biasanya dibawa bersama cincin emas atau berlian. Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung, selipar atau kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya.
  • Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan.
  • Penerimaan cincin dan hadiah iringan secara tradisi bermaksud, penerimaan syarat perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak;
  • Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik.
  • Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya.
  • Di antara barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding.
  • Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin itu terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
  • Sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
  • 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
  • Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.
  • Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
  • Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
  • Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.

  • Teliti keperluan diri sebelum pilih pasangan hidup

    Ogos 17, 2007

    PERKAHWINAN dipenuhi dengan tanggungjawab dan pasangan perlu sentiasa berusaha untuk menjayakannya. Perpisahan sering meninggalkan kesan yang memeritkan. Jika pasangan sentiasa bersifat terbuka dan mengamalkan sikap yang betul tanpa harapan yang keterlaluan terhadap pasangan masing-masing, maka perkahwinan itu sudah mempunyai asas kukuh untuk mewujudkan kebahagiaan dan berjaya.

    Bagaimanapun, pasangan perlu tahu satu tujuan perkahwinan ialah untuk memenuhi keperluan bersama. Oleh itu, adalah wajar anda menilai diri sendiri dan mengetahui keperluan hidup yang penting bagi anda. Senarai berikut boleh membantu anda. Tentukan keperluan itu sama ada `rendah’, `sederhana’ atau `tinggi’ bagi anda. Maklumat ini juga boleh membantu anda dalam memilih pasangan hidup.

    Menilai sendiri keperluan penting hidup anda:

    Tetapkan tahap keperluan penting hidup anda dan tanda dalam kotak yang sesuai. Setelah anda meneliti pelbagai keperluan penting hidup, gunakanlah ia untuk membantu anda memilih pasangan hidup.

    1. Keperluan untuk dilindungi

    Keperluan fizikal dan kewangan.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )

    2. Keperluan dalam perhubungan

    Ingin difahami, dicintai dan dibantu orang lain.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )

    3. Keperluan hubungan yang intim

    Ingin berkongsi sesuatu.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )

    4. Keperluan kasih sayang

    Inginkan hubungan perasaan yang positif
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )

    5. Keperluan rasa diterima

    Menyedari bahawa setiap insan adalah anggota dalam sesuatu keluarga, anutan agama dan organisasi masyarakat.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )

    6. Keperluan Komunikasi

    Keinginan untuk menyuarakan dan mendengar pendapat.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )

    7.Keperluan harga diri

    Ingin dipuji dan dihargai oleh orang lain.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )

    8. Keperluan beriadah

    Ingin terbabit dalam sukan, permainan dan kegiatan riadah lain.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )
    9. Keperluan memenuhi matlamat diri

    Memahami dan membahagiakan hidup orang lain, mencapai tahap tertinggi dalam potensi diri.
    Rendah ( ) Sederhana ( ) Tinggi ( )
    Mitos dalam perhubungan:

    i. Saya hanya perlukan seorang lelaki/wanita dalam hidup ini.

    Anda perlu cuba bergaul dan mengenali peribadi sejumlah orang sebelum menentukan pilihan anda.

    ii. Saya akan mengubah sikap pasangan saya selepas berkahwin.

    Adalah sangat sukar mengubah sikap dan tingkah laku pasangan anda. Tindakan itu biasanya akan meningkatkan ketegangan dalam perkahwinan anda.

    iii. Perkahwinan akan menyelesaikan segala masalah kewangan.

    Masalah kewangan adalah antara punca utama keretakan rumahtangga. Adalah lebih baik jika membuat perancangan kewangan sebelum berkahwin.

    iv. Jangan melukai hati insan lain.

    Jika anda tidak menyukai seseorang yang meminati anda, jangan memaksa diri untuk terus keluar dengannya. Adalah wajar memutuskan sesuatu perhubungan yang bersifat bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
     


    Persediaan Perkahwinan

    Ogos 15, 2007

    Perkahwinan adalah hubungan intim yang paling mencabar, namun ia juga sumber kegembiraan dan kepuasan jiwa. Bagaimanapun, suka untuk mencapai apa yang semua manusia mahukan daripada perkahwinan itu. Satu perkara buruk yang menjadi mimpi ngeri ialah perkahwinan yang tidak bahagia. Oleh itu, setiap keputusan untuk memilih pasangan hidup dan berkahwin adalah keputusan yang paling rumit untuk dibuat.

    Bagaimana Mengetahui Si Dia Adalah Jodoh Anda?

    Boleh menerima perbezaan yang wujud pada pasangan anda

    Ciri utama dalam perkahwinan bukan terletak pada keupayaan menyelesaikan perbezaan, tetapi kemampuan menerima dan menyesuaikan diri dengan perbezaan itu. Bagi sesetengah perkahwinan adalah penting suami isteri menerima perbezaan itu, malah mungkin ia menceriakan lagi kehidupan berumahtangga.

    Misalnya, si isteri sukakan suasana rumah yang kemas dan teratur namun suami pula sering meletakkan barangan miliknya di merata tempat. Si isteri mungkin merungut tetapi menerima hakikat bahawa itu adalah tabiat suaminya.

    Mengenali diri anda

    Sebelum memilih pasangan hidup dan membentuk keluarga adalah berguna jika anda lebih menyedari kekurangan dan kelebihan diri sendiri. Ia amat membantu dalam usaha anda memilih pasangan yang sesuai. Senaraikan kekurangan dan kelebihan diri supaya anda mendapat gambaran seimbang mengenai diri sendiri.

    Anda juga boleh melakukannya bersama pasangan anda supaya dapat mengukuhkan lagi hubungan cinta anda. Ini membolehkan anda membuat andaian terlebih dulu apa yang akan berlaku jika anda mengahwininya serta merangka jalan penyelesaian yang sesuai.

    Mengenali personaliti antara satu sama lain

    Antara faktor yang sering dikaitkan dalam permasalahan perkahwinan adalah sikap mudah terasa atau sensitif. Di kalangan kita, kira-kira 15 peratus hingga 20 peratus adalah Manusia Terlalu Sensitif (MTS) dan selebihnya bukan MTS. Sikap ini ditentukan oleh keturunan dan bukan kerana dipengaruhi oleh apa yang berlaku di sekeliling kita dan wujud tanpa mengira jantina anda.

    MTS biasanya mudah terasa apabila dikritik, namun mereka juga memiliki ciri positif seperti berfikir dulu sebelum bertindak dan sanggup menerima pandangan orang lain.

    Kemungkinan ketara dalam perkahwinan antara MTS dengan bukan MTS adalah wujudnya percanggahan pendapat. Misalnya, apabila ingin membeli rumah, individu bukan MTS mahukan keputusan yang segera, manakala individu MTS mahu berfikir terlebih dulu, mungkin mengenai kemampuan membayar balik pinjaman, kesesuaian tempat dan sebagainya. Oleh itu, adalah bijak jika anda menetapkan terlebih dulu ciri teman hidup yang anda impikan.

    Mengetahui masalah zaman kanak-kanak masing-masing

    Antara punca wujudnya perkahwinan yang tidak bahagia adalah kemungkinan pasangan anda didera semasa kanak-kanak, sama ada secara emosi, fizikal atau seksual. Penganiayaan seperti ini akan menyebabkan seseorang itu sering mengalami tekanan perasaan walaupun sudah dewasa.

    Biasanya individu seperti ini akan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan berumahtangga dan menyebabkan kesengsaraan hidup terhadap pasangan dan anaknya.

    Anda patut berusaha mendapatkan bantuan pakar jika menghadapi masalah. Jangan cuba mengandaikan bahawa perkahwinan mampu menyelesaikan segala masalah anda. Masalah itu jika dibiarkan mungkin menjadi lebih buruk dan menjejaskan masa depan anda.

    Mengetahui keupayaan dan kelemahan diri sendiri

    Fikirkan dulu mengenai keupayaan dan kelemahan diri anda dari segenap sudut sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Jika anda lemah dari segi kemahiran dalam perhubungan anda mungkin mengalami tekanan untuk mewujudkan keharmonian perkahwinan. Malah, mereka yang mahir dalam perhubungan pun menghadapi cabaran dalam perkahwinan.

    Ada pelbagai cara untuk menilai kemahiran perhubungan anda. Tanyalah diri sendiri sama ada mudah atau sukar untuk anda mengekalkan hubungan persahabatan. Jika jawapannya sukar, maka anda patut berusaha meningkatkan kemahiran perhubungan sebelum mendirikan rumah tangga.

    Mengetahui keperluan penting hidup anda

    Antara tujuan perkahwinan ialah untuk memenuhi keperluan bersama. Oleh itu, langkah seterusnya dalam menilai diri sendiri adalah mengetahui keperluan hidup yang penting bagi anda.

    —————————————————————————————–


    Konsep pelamin moden pilihan bakal mempelai

    Ogos 1, 2007

    Majlis persandingan dianggap acara kemuncak dalam sesebuah perkahwinan. Bagi menyerikan acara sebelum majlis persandingan dijalankan, pelamin yang berbentuk seperti suatu singgahsana akan disiapkan terlebih dulu dan ia dianggap antara persiapan paling utama.

    Ini penting kerana ketika pasangan mempelai disandingkan di atas singgahsana itulah beberapa acara adat dilakukan. Pelamin yang dibina akan dilengkapi dengan bangku (kaus) atau dua kerusi dipanggil, peterakna dan di situlah tempat duduk kedua-dua pengantin semasa bersanding.

    Pelamin dulu lazimnya, diperbuat daripada kayu dan kertas tebal yang dibalut serta dihiasi dengan kertas bunga dan kain sutera yang berwarna-warni. Untuk lebih menarik, terdapat pelbagai pelita kecil yang bermacam warna diletakkan di sekeliling bagi menambah keindahannya.

    Besar mahupun kecil, mahal atau murah, dan elok atau buruknya pelamin itu semua bergantung kepada kemampuan tuan rumah serta kepandaian tukang pelamin. Bagaimanapun, ketinggian pelamin biasanya adalah dua atau tiga tingkat dan setiap satu tingkat hanyalah lebih kurang satu kaki saja tingginya.

    Bagi menambahkan keindahan pelamin, peterakna atau kaus tempat duduk pengantin ketika bersanding akan dibalut dengan kain sutera atau baldu berwarna-warni dan bertekat sulam yang indah.

    Peterakna itu diletakkan di tingkat atas sekali dan di hadapannya diletakkan satu pahar berisi nasi kunyit serta dihiasi dengan bunga telur. Kemuncak gubahan nasi kunyit itu dicacakkan sejambak karangan bunga yang diperbuat daripada kertas perada dan manik jemeki berwarna-warni serta berkilauan.

    Uniknya, ketika bersanding di atas pelamin, acara adat bersuap-suapan antara kedua-dua pengantin di lakukan di samping, tepung tawar serta merenjis air mawar yang dilakukan oleh keluarga terdekat. Begitulah pentingnya dan kegunaan pelamin bagi sesebuah majlis perkahwinan.

    Pemilik D’YusZa Galeri Pengantin, Saliza Shamsudin berkata, perubahan arus semasa hari ini masih tetap memperlihatkan, kepentingan menyediakan pelamin dalam sesebuah majlis perkahwinan.

    Beliau yang sudah beberapa tahun membuka butik perkahwinan dan turut memberikan perkhidmatan menyediakan pelamin berkata, dulu kepakaran tukang amat diperlukan untuk menyediakan pelamin memandangkan kerja menyiapkannya agak rumit dan memerlukan kemahiran tinggi.

    Kini, peranan tukang pelamin tidaklah menjadi keutamaan kerana tugas untuk menyiapkan pelamin sudah jauh lebih mudah berbanding dulu. Bagaimanapun, kemahiran dan kreativiti tetap diperlukan bagi individu yang membuat pelamin supaya ia bukan saja sempurna tetapi tampak cantik, berseri serta mendapat perhatian atau tumpuan tetamu.

    “Peralatan membuat pelamin dulu berat dan memerlukan ramai tenaga kerja manakala kebanyakan kerja yang dibuat memerlukan kemahiran untuk bertukang. Berbanding hari ini, kebanyakan peralatan untuk membuat pelamin didatangkan daripada besi yang boleh dipasang siap dan mudah dicantum-cantumkan sekali gus, kerja menjadi lebih mudah serta cepat,” katanya ketika ditemui di butiknya di pusat beli Shah Alam City Center (SACC) di Shah Alam, baru-baru ini.

    Saliza berkata, begitu juga dengan kelengkapan barang lain bagi menghiasi pelamin seperti bantal kecil dan kipas. Zaman dulu, pastinya begitu mementingkan hasil kerja seni yang tinggi dengan memaparkan keindahan tekat sulaman emas pada bantal kecil dan kipas. Untuk menyiapkan semua itu, sudah tentu mengambil masa dan memerlukan kemahiran tinggi. Berbeza hari ini, kelengkapan seumpama itu banyak yang sudah diubahsuai dan tidak rumit lagi disediakan.

    Beliau berkata, secara umumnya reka bentuk pelamin yang disenangi bagi kebanyakan bakal mempelai hari ini ialah gaya hiasan ringkas dan kontemporari, tanpa perlu menggunakan terlalu banyak hiasan. Penggunaan lampu hiasan pula lebih ketara kerana ia mampu memberikan impak lebih menarik.

    “Dari segi menghias pelamin juga sudah berbeza dan perubahan itu berlaku secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian arus zaman serta cita rasa terkini. Misalnya, suatu ketika dulu penggunaan bunga plastik yang berwarna warni begitu popular bagi menambahkan seri hiasan pelamin tetapi kini penggunaan riben dan renda semakin digemari. Untuk gaya lebih anggun, pelbagai jenis fabrik polos digunakan untuk menghiasi latar belakang pelamin.

    “Malah, pilihan warna pada pelamin juga ada perubahan ketara. Dulu, rona kuning menjadi pilihan utama bagi kebanyakan mempelai bagi memperlihatkan konsep ‘Raja Sehari’ tetapi hari ini pilihan warna dan gaya pelamin lebih banyak dipengaruhi tema sesebuah majlis perkahwinan itu,” katanya.

    Saliza berkata, apa pun pilihan warna untuk pelamin memang penting dan pasangan perlu membuat keputusan tepat dan bijak. Selain memilih warna berdasarkan tema majlis perkahwinan, pasangan pengantin juga perlu mengambil kira padanannya dengan warna pakaian dipakai mereka.

    Rona sama pada pelamin dan pakaian, katanya boleh menyebabkan pasangan tampak ‘tenggelam’ ketika bersanding di atas singgahsana itu. Untuk pilihan tepat, rona antara pelamin dan pakaian seelok-eloknya biarlah kontra tetapi harmoni. Jika hendak pilih senada, pastikan pilihan warna pelamin lebih lembut daripada pakaian atau sebaliknya.

    “Fungsi pelamin juga ada perubahan kerana selain menumpukan acara adat bersanding, pelamin juga seolah-olah menjadi ‘studio’ bagi pasangan pengantin merakamkan gambar detik bersejarah mereka ataupun sesi bergambar kenangan bersama ahli keluarga serta rakan,” katanya.

    Saliza berkata, untuk memberi pilihan kepada pelanggan, perkhidmatan pelamin disediakan menawarkan beberapa gaya hiasan pelamin. Selain pelbagai gaya rekaan pelamin, mempelai juga boleh memilih gaya reka bentuk kerusi yang digemari ketika duduk bersanding. Ini termasuk gaya kerusi Cleopatra, besi kerawang dan kerusi berasingan. Pakej perkhidmatan set pelamin yang ditawarkan berharga dari RM700 hingga RM900.

    Selain itu, D’Yusza Galeri Pengantin turut menawarkan perkhidmatan lain seperti menyewa dan menjahit pakaian pengantin, membuat gubahan hantaran, solekan pengantin, menyewa dulang dan alas dulang, hiasan meja makan serta sebagainya.

    INFO: D’Yusza Galeri Pengantin
    Lokasi: Tingkat 2 SACC Mall, Shah Alam, Selangor
    Pakej: Menyediakan pelamin, solekan dan pakaian terbahagi kepada empat iaitu:
    i. Pakej Suasa
    ii. Pakej Perak
    iii. Pakej Emas
    iv. Pakej Platinum
    No telefon: 019 3367716/019 3681710

    Oleh Nor Affizar Ibrahim


    Ikut

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 349 other followers