Perunding perkahwinan bantu lancarkan majlis

Ogos 13, 2010

Majlis perkahwinan sempurna sememangnya impian setiap mereka yang akan bergelar mempelai atau raja sehari kerana ia menjadi detik paling bersejarah dalam hidup seorang insan.

Bagi yang tinggal di desa, konsep gotong royong dan majlis perkahwinan secara tradisional masih terus diamalkan, namun keadaan mungkin berbeza bagi mereka yang tinggal di bandar.

Kebanyakan pengantin hari ini lebih mengadakan majlis perkahwinan yang mempunyai tema atau konsep. Ada di antara mereka yang mahukan konsep perkahwinan dalam taman tidak kurang mahu mengadakan secara moden dengan memilih hotel untuk meraikan hari bersejarah.

Namun untuk melaksanakan sebuah majlis perkahwinan ia bukanlah seperti yang diimpikan kerana banyak perkara perlu diambil kira dan mengambil masa panjang.

Bukan saja pasangan pengantin, malah ahli keluarga juga turut menerima tempias rasa pening apabila memikirkan persiapan untuk menggayakan gaun pengantin, tema bersesuaian, warna menarik, perhiasan bunga yang menghiasi pelamin, kamar tidur, ruang makan untuk tetamu dan menu menyelerakan.

Untuk mendapat kesempurnaan pada majlis itu, pihak pengantin lelaki dan perempuan perlu memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya dari segi pendapat dan idea.

Bagi yang berkemampuan dan inginkan hari perkahwinan nampak hebat, mereka boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan perunding perkahwinan.

Perkhidmatan itu bukan saja dapat mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, bahkan dapat memberi kepuasan kepada bakal mempelai untuk mencapai impian dalam perkahwinan.

Perunding perkahwinan akan memudahkan pihak pengantin kerana mereka kebiasaannya mahir dan dapat membantu menyiapkan majlis perkahwinan seperti yang diinginkan bakal pengantin.

Dalam mengendalikan hari perkahwinan pelanggan, perunding harus memikirkan banyak cara untuk memberikan majlis perkahwinan terbaik di samping menjadi orang tengah sekiranya berlaku sebarang masalah.

Pasangan pengantin yang memilih untuk mengadakan hari bahagia di hotel, perunding perkahwinan kebiasaannya lebih arif memilih hotel mana yang dapat menyediakan sebuah majlis dengan baik.

Bagaimana ada juga di antara hotel yang turut menyediakan perkhidmatan perunding perkahwinan bagi memudahkan pasangan membuat persediaan.

Pasangan pengantin juga boleh menggunakan perkhidmatan perunding perkahwinan memilih katering sekiranya mahu mengadakan majlis di dewan atau di rumah.

Apapun dalam keghairahan memilih perunding perkahwinan, pengantin juga perlu berhatihati kerana terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj perkhidmatan tinggi tetapi hasilnya mengecewakan.

Sebaliknya carilah perunding perkahwinan yang sudah dikenali dan mendapat kepercayaan orang ramai supaya anda tidak menyesal di hari bahagia.


Persediaan melayari alam rumah tangga

Disember 21, 2009

Persediaan melayari alam perkahwinan

Sebelum membuat keputusan berumah tangga, setiap pasangan perlu menyelidiki dan menggariskan beberapa tugas yang perlu dipenuhi bagi menjamin kesejahteraan serta keharmonian rumah tangga agar terus subur.

Antara tanggungjawab yang perlu dipenuhi suami ke atas isteri dan anak-anak mereka termasuk:

1. Menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada isteri dan anak.

2. Memberi nafkah batin termasuk bergaul dengan isteri secara baik.

3. Melindungi isteri dan anak-anak berkenaan dari segi keselamatan dan kesihatan mereka.

4. Melindungi maruah dan harta benda keluarga.

5. Membimbing isteri dengan ajaran Islam dalam mendapat keredaan Allah s.w.t

6. Mendidik anak-anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

7. Menjadi penasihat dalam menyelesaikan masalah yang menimpa keluarga dan jiran tetangga.

Tugas dan tanggungjawab isteri juga penting bagi mengekalkan hubungan yang dibina. Antara peranan dan tanggungjawab isteri :

1. Isteri perlu menjaga kehormatan diri mereka terutama apabila suami tiada di rumah.

2. Patuh terhadap arahan suami selagi ia bukan arahan untuk melakukan maksiat.

3. Memberikan kasih sayang kepada suami dan anak-anak.

4. Menjaga kebersihan rumah dan kesihatan diri dan anak-anak.

5. Menyimpan rahsia pergaulan dengan suami.

6. Tidak meninggalkan rumah tanpa izin atau pengetahuan suami.

7. Berhias serta menjaga kesopanan buat tatapan suami dan tidak untuk orang lain khususnya apabila berada di khalayak ramai.


Rahsia Malam Pertama. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Rahsia Malam Pengantin. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Mas kahwin cermin kasih sayang

Oktober 6, 2008

Saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Tetapi saya dan pasangan masih tidak dapat membuat kata putus tentang mas kahwin dan wang hantaran. Bakal suami saya mahu memberi sekali gus, kerana katanya tidak ada beza dan memudahkan dia untuk membayar.

Dia juga mahu menetapkan harga yang mahu dibayar. Ibu bapa saya agak tidak bersetuju kerana kata mereka kita harus menurut penetapan, adat dan silah agama.

Saya agak keliru kini. Sebenarnya, apakah perbezaan antara mas kahwin dan wang hantaran? Adakah wajib bagi bakal suami untuk menyediakan kedua-duanya? Bolehkah jika saya ingin menetapkan mas kahwin lebih daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan kerana bakal suami saya mampu untuk membayar lebih.

Rose Anieda

Alor Star, Kedah

Jawapan

Tahniah diucapkan kepada saudari kerana bakal melangsungkan perkahwinan kelak.

Setiap perkahwinan yang sah adalah berdasarkan rukun-rukun nikah yang terkandung di dalam Hukum Syarak iaitu pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali, saksi, ijab dan qabul. Manakala mas kahwin atau pemberian adalah salah satu syarat yang dikenakan sebagai mahar pembayaran yang diberi atau dijanjikan dibayar kepada pengantin perempuan itu.

Mas kahwin pada asalnya merupakan wang yang dibayar oleh pihak pengantin lelaki kepada ibu bapa pengantin perempuan untuk membantu kos perbelanjaan kenduri perkahwinan.

Tetapi pada zaman kini dan setelah kompromi antara undang-undang Islam dan adat Melayu, mas kahwin adalah mahar pembayaran yang diberi kepada pengantin perempuan itu sendiri.

Manakala wang hantaran atau pemberian lebih merupakan adat Melayu yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Wang hantaran ini adalah hadiah yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Ini tidaklah diwajibkan seperti mas kahwin.

Memberi mas kahwin kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah dan mazhab Syafie, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah.

Pemberian mas kahwin suami dianggap sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu, ia mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.

Walau bagaimanapun mas kahwin tidak termasuk di antara rukun-rukun nikah atau syarat sahnya sesuatu pernikahan.

Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil (yang sepadan).

Manakala wang hantaran seperti yang dinyatakan di atas, iaitu lebih merupakan adat Melayu. Wang hantaran yang lazim diberi di kalangan masyarakat kita adalah berupa wang atau hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu.

Hantaran tidak wajib tetapi merupakan adat dan hukumnya harus. Wang hantaran ini lebih merupakan keikhlasan pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai membantu menampung perbelanjaan kenduri kendara.

Sekiranya bakal suami saudari mahu memberikan mas kahwin dan hantaran sekali gus, tidak ada salahnya. Malah, seperti yang banyak dilakukan oleh pasangan pada zaman ini, mereka hanya memberikan mas kahwin dalam jumlah yang agak besar dan menganggapnya sebagai hantaran juga.

Ini bertepatan dengan hukum syarak kerana mas kahwinlah yang wajib kepada bakal suami. Malah mas kahwin merupakan hak mutlak isteri dan boleh dianggap sebagai hutang jika suami gagal memberikan mas kahwin tersebut. Mas kahwin juga boleh diberi dalam bentuk wang atau barangan.

Bagi kadar mas kahwin dan hantaran, hukum syarak tidak menetapkan kadar serta hadnya. Kadar dan had ini bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat.

Manakala merujuk kepada perundangan Islam di Malaysia, setiap negeri telah memberi garis panduan terhadap kadar minimum mas kahwin. Kadar ini berbeza-beza mengikut negeri. Majlis Agama Kedah tidak menetapkan sebarang jumlah minimum dalam kadar mas kahwin. Oleh itu, terpulanglah kepada pasangan untuk menetapkannya.


Pilih pasangan ikut syariat

Julai 9, 2008

Islam agama yang menjamin kesejahteraan kepada ma nusia dunia dan akhirat.

Dalam memilih pasangan, Islam turut memberikan garis panduan supaya rumah tangga yang dibina memberikan kerahmatan, ketenangan dan keharmonian.

Justeru, Islam menasihati umatnya memilih pasangan yang sesuai supaya kebahagiaan dan ketenangan diidamkan men jadi kenyataan di alam rumah tangga.

Antaranya, memilih calon pasangan berdasarkan agama, taat dan berakhlak dengan keperibadian Islam.

Bagi orang yang kefahaman agamanya kurang, perbezaan pendapat menjadi melarat, bertambah kusut, dihambur ka ta-kata kesat dan diungkit segalanya, sehingga kemanisan menjadi pudar, berganti dengan kebencian.

Nabi Muhammad s.a.w ada memberikan penekanan kepada sesiapa yang ingin berkahwin agar memilih pasangan yang beragama.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, ke cantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang ber agama, nescaya kamu akan diberkati Allah.” (Riwayat Bu khari, Muslim dan lain-lain)

Rasulullah s.a.w menasihati keluarga anak gadis supaya menyegerakan perkahwinan apabila dilamar calon suami daripada kalangan yang beragama dan berakhlak, malah berkemampuan memenuhi hak isteri dan anak.

Sabda baginda bermaksud: “Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar akan berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa.”

Fitnah akan menimpa maruah agama dan umat Islam, jika seorang pemudi beriman terperangkap dengan suami yang tidak beriman, tiada pegangan akidah, tidak bertakwa dan tiada kesedaran.

Pasangan suami isteri yang ideal juga bermula dengan keturunan yang baik-baik dan kerana itu Islam menasihati umatnya memberikan keutamaan kepada keturunan yang baik.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Jangan dekati tum buhan hijau di tempat kotor. Lalu bertanyalah kalangan pendengar kepada Rasulullah. Apa dia tumbuhan hijau di tempat kotor wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pe rempuan cantik yang membesar di rumah yang penuh kejahatan serta keburukan.” (Riwayat ad-Dar al-Qutni, al-As kari dan Ibnu ‘Adi)

Bagi lelaki, jangan kerana senyuman seorang gadis yang menawan, rupa yang cantik dan bentuk badan yang menarik membuatkan seseorang tidak berfikir panjang, malah terus melupakan kriteria ditegaskan Rasulullah secara berkias itu.

Calon pasangan suami isteri juga seeloknya bukan daripada kaum kerabat keluarga bagi memelihara kecerdikan zuriat dan menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan ke turunan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Janganlah menikah dengan kaum kerabat, kerana anak daripada pernikahan itu akan membesar kurus, lemah tubuh badannya dan tidak cerdik.”

Sabda Baginda lagi: “Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah me ngahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat.”

Bagi lelaki, Islam juga menasihati supaya mengutamakan wanita yang masih dara.

Bagi wanita yang pernah berkahwin kemungkinan ada penilaian lain pada suaminya, seperti membuat perbandingan antara suami dan bekas suaminya yang dulu.

Dalam hadis diriwayatkan Ibnu Majah dan al-Baihaqi, maksudnya: “Kahwinlah anak dara sesungguhnya mereka ini selalu berkata dengan baik, lemah lembut, kemungkinan kesuburan mereka amat besar (mendapat anak), kurang tipu helah mereka (jujur) dan mudah reda dengan yang sedikit.”

Aspek kesuburan juga elok diberikan keutamaan dalam memilih pasangan.

Tanda kesuburan ini boleh juga diperhatikan keadaan ibu dan adik-beradiknya yang sudah berkahwin. Jika keluarganya besar, ramai ahli keluarga, besar kemungkinan dia begitu juga.

Dalam hubungan ini ada seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w bermaksud: “Wahai Rasulullah saya jatuh cinta dengan seorang perempuan yang berketurunan baik, berkedudukan dan kaya, cuma dia tidak boleh beranak. Adakah boleh saya berkahwin dengannya? Terus Rasulullah s.a.w melarangnya.

Kemudian lelaki itu datang dan bertanya kepada Rasulullah kali kedua. Rasulullah menjawabnya sama dengan pertama.

Lelaki itu datang dan bertanya kali ketiga. Lalu Rasulullah menjawab dengan sabdanya yang diriwayatkan Abu Daud, an-Nasai dan al-Hakim: “Berkahwinlah dengan perempuan yang boleh beranak ramai dan bersifat lemah lembut serta bermesra, sesungguhnya aku akan bermegah dengan kamu terhadap umat yang ramai.”


Bunga tangan buat sang pengantin

Jun 15, 2008

SEJARAH asal mencatatkan bahawa karangan bunga tangan menjadi sebahagian daripada perkara yang perlu ada pada majlis perkahwinan tanpa mengira bangsa mahupun agama. Ia sebenarnya menjadi simbol kegembiraan dan kebahagiaan.

Dalam adat perkahwinan Inggeris, mereka percaya bahawa jika wanita masih bujang menangkap bunga yang dicampakkan oleh pengantin perempuan, mereka bakal mendirikan rumah tangga selepas itu.

Tidak kira warna kulit, bangsa atau agama kini semuanya inginkan bunga tangan untuk melengkapi penampilan ketika bergelar raja sehari.

Selain dapat menaikkan seri pengantin, rata-rata pengantin perempuan berpendapat, memegang bunga tangan dapat mengurangkan rasa gugup mereka yang menjadi tontonan tetamu pada hari bersejarah tersebut.

Karangan bunga yang indah dan menarik menjadi keutamaan yang menjadikan penampilan seseorang pengantin itu bertambah ceria dan segar.

Hasil kreativiti penggubah bunga, tercipta pelbagai jenis bunga tangan yang memang cantik lagi menawan.

Ditambah pula dengan penggunaan bunga segar dan aksesori, menjadikan bunga tangan antara salah satu keperluan pengantin yang tidak lagi dipandang ringan.

Pemilik Flora, Etc…, Razak Ahmad berkata, gubahan bunga tangan tidak semestinya berbentuk bulat, ia boleh dihasilkan dalam beberapa bentuk mengikut tema, warna dan konsep perkahwinan pasangan pengantin itu.

“Di Flora, Etc… idea yang digunakan adalah daripada gaya sendiri dan lain daripada yang biasa. Ada juga yang digubah mengambil inspirasi daripada gaya Inggeris.

“Namun, kebanyakan pengantin lebih gemar memilih karangan bunga ros putih, merah, merah jambu untuk dijadikan bunga tangan mereka,” jelas beliau.

Sebelum memutuskan bunga segar yang dipilih untuk dijadikan bunga tangan, Razak akan memastikan konsep perkahwinan, pakaian pengantin dan warna tema perkahwinan untuk disesuaikan dengan pemilihan bunga dan warnanya.

Bagaimanapun pendapat pengantin tetap diutamakan agar mereka dapat merasakan lebih kepuasan pada hari bersejarah kelak.

“Dinasihatkan kepada bakal pengantin yang ingin menempah bunga tangan daripada bunga segar agar menghubungi dua atau tiga hari lebih awal dari tarikh perkahwinan. Berikan semua maklumat kepada penggubah bunga dan kemudian boleh menetapkan waktu untuk mengambil bunga tersebut.

Kami juga akan memberi cadangan kepada pelanggan jika bunga tangan tersebut perlu dicampurkan dengan bunga tiruan atau sebarang aksesori tambahan lain,” kata beliau yang pernah menghasilkan jambangan bunga untuk artis Hollywood seperti Jennifer Aniston dan Cameron Diaz ketika berkerja di Amerika Syarikat satu ketika dulu.

Tambah Razak, bunga tangan yang diperbuat daripada bunga segar biasanya kekal segar dan cantik hingga lapan hari. Harga untuk tempahan bunga tangan pula bermula daripada RM250 ke atas. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 03-21668090 atau layari laman web http://www.floraetc.com.my.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers