Luntur kesetiaan, dorong kecurangan

April 28, 2010

Makna open relationship dalam bahasa Inggeris yang membawa makna perhubungan secara terbuka semakin menjadi amalan golongan muda masa kini. Kemunculan laman-laman sosial terutama Facebook mahupun Twitter menyemarakkan lagi pengaruh ke atas konsep perhubungan seperti itu.

Namun, ramai antara anak muda hari ini mungkin tidak begitu arif akan erti kata sebenar perhubungan yang popular dalam budaya masyarakat barat itu.

Menurut Pakar Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Suradi Salim konsep perhubungan terbuka tidak menuntut komitmen dan ikatan perkahwinan antara pasangan. Sepasang suami isteri ataupun kekasih bebas mempunyai hubungan dengan sesiapa yang mereka minati.

Sungguhpun jenis perhubungan itu semakin menjadi trend di negara ini tetapi ia tetap bercanggah dengan amalan budaya dan agama masyarakat di sini. Budaya dan pegangan agama kita lebih menggalakkan perhubungan yang halal melibatkan perkahwinan serta komitmen yang teguh antara pasangan.

Ini bukan sahaja memberi impak negatif kepada institusi keluarga yang perlu dibina dengan elemen kejujuran, kepercayaan dan kasih sayang, malah meluntur elemen moral dalam generasi muda.

Walau bagaimanapun, Suradi berkata, bagi anak muda yang baru ingin mencari pasangan hidup, jenis perhubungan seumpama itu sedikit sebanyak boleh membantu mereka membuat pilihan yang terbaik.

Ini kerana tahap kematangan generasi muda masih hijau dan lebih baik mereka tidak terburu-buru menjalin hubungan serius bersama seseorang tanpa mengenali dan memahami dengan baik. Apabila mereka berkawan sebelum terikat dengan apa-apa komitmen hubungan itu juga lebih sihat dan praktikal.

Bagaimanapun, setiap remaja masih perlu meletakkan sempadan dalam perhubungan agar ia tidak melebihi batas sepatutnya yang mendorong kepada zina dan kegiatan sosial yang merosakkan.

Oleh sebab itu, bagi golongan muda yang cenderung terlibat dalam perhubungan terbuka itu, mereka sewajarnya mendalami dahulu beberapa pro dan kontra mengenai perhubungan tersebut sebelum mereka meneruskan perhubungan ke tahap yang lebih serius.

* Tiada komitmen dan selamat

Perhubungan terbuka yang dijalin tanpa sebarang komitmen boleh dikatakan selamat daripada aspek kekecewaan yang berlaku akibat putus hubungan setelah terjalin lebih serius. Senario kekecewaan adakalanya mengundang kepada stres, hilang fokus kerja, kemurungan dan insiden bunuh diri.

* Dapat ramai

Kawan baru

Seseorang dapat menemui kawan-kawan baru bukan sahaja di kalangan orang tempatan, malahan sehingga ke seberang laut sekiranya praktis hubungan ini dipanjangkan menerusi alam maya. Dengan ini, mereka dapat berkongsi pendapat dan keinginan masing-masing lebih terbuka tanpa sebarang kongkongan.

* Kekeliruan

Besar kemungkinan akan wujud kekeliruan dalam jiwa seseorang untuk meneruskan sesuatu hubungan ke tahap yang lebih serius. Oleh sebab, dia mempunyai banyak pilihan maka, adakalanya ia sukar untuk memilih yang terbaik. Kadangkala kekeliruan itu mengakibat seseorang tidak selesa dalam perhubungan terbuka atau juga sebaliknya.

* Berlaku kecurangan

Unsur kecurangan akan menjadi perkara biasa dalam perhubungan terbuka. Apabila pasangan bebas menjalin hubungan dengan orang lain maka elemen kejujuran dan keikhlasan boleh dikatakan semakin luntur. Mereka juga tidak peduli dan mengambil berat antara satu sama lain. Perasaan marah dan cemburu turut timbul sehingga menimbul konflik.

* Bercanggah hukum

Perhubungan terbuka sememangnya bercanggah dengan ajaran agama dan budaya di negara ini. Selain Islam, agama dan kepercayaan lain juga menggalakkan perhubungan diteruskan dengan ikatan perkahwinan. Selain itu, hubungan terbuka pula jika terlanjur akan mengundang masalah yang lebih besar dan mencemar nama baik keluarga.

* Tidak kekal lama

Perhubungan terbuka bermakna anda bebas bergaul dan menjalinkan hubungan. Ia biasanya akan mendorong kepada cemburu, kecewa dan sebagainya. Akibatnya hubungan anda tidak dapat kekal lama.

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN


Rahsia Kecurangan Pasangan. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Lelaki anggap wanita ‘lauk’

April 19, 2010

Hakikatnya, setiap hari sepuluh wanita menjadi mangsa dera di negara ini. Namun, itu hanya melibatkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi, demikian menurut pendedahan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan dalam satu seminar tidak lama dahulu.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, kawasan awam, jalan raya dan di dalam kenderaan.

“Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan oleh individu yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih,” katanya.

Bicaranya lagi, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.

“Gejala ini berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.

“Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan,” katanya.

ISTERI kepada ‘hartawan’ Lebanon, Dr. Elie Yousef Najem, Farinnie Mohd. Farid mendakwa menjadi mangsa dera dan liwat suaminya.

Sementara itu, Ketua Wanita Pusat, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diwujudkan serta dilaksanakan pada 1996 nasib wanita yang didera suami tidak banyak berubah.

“Pada tahun 2005 sahaja terdapat 18,079 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan. Jika dibahagikan, terdapat 50 kes dilaporkan setiap hari sepanjang tahun itu.

“Saya yakin angka ini meningkat setiap tahun. Saya telah berjuang berhubung keganasan terhadap wanita ini lebih 10 tahun tetapi tidak banyak yang berubah,” katanya.

Kata Harlina, semua pihak harus kembali kepada hukum Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana agama ini lengkap dari segala aspek kehidupan dunia malah di akhirat jua.


Makin lama kahwin pasangan makin ‘senyap’

April 14, 2010

Satu kajian dijalankan sebuah laman web di Britain mendapati, pasangan yang sudah berkahwin selama 50 tahun atau lebih, hanya bercakap satu sama lain selama tiga minit bagi setiap sejam. Percakapan mereka biasanya pada waktu makan tidak melebihi 150 perkataan.

Kajian turut mendapati pasangan kekasih menghabiskan 50 minit sejam untuk bercakap, pasangan berkahwin 10 tahun, 29 minit.

“Jelas sekali perkahwinan yang panjang ‘membunuh’ minat untuk bercakap,” kata laman web itu. – Agensi


Sukarnya berbahagi suami

Februari 15, 2010

menangis
Bermadu, perkataan yang manis di mulut namun pedih di hati. Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja tahu kesukaran yang perlu dihadapi.

Ditanya pada setiap wanita pasti tidak mahu dan seboleh-bolehnya mengelak daripada berada dalam situasi tersebut.

Tidak kira sama ada menjadi isteri tua mahupun isteri muda. Kedua-duanya pasti akan merasai pahit dan maungnya bermadu.

Namun sebagai makhluk Tuhan, siapalah kita untuk menolak takdir Maha Pencipta, menepis qada dan qadar yang telah tertulis.

Walaupun cuba dielak dan ditepis, jika itulah takdirnya maka harus didepani dengan reda. Mungkin setiap yang berlaku pasti ada sebab dan musabab yang terselindung oleh-Nya kepada kita.

Menurut Perunding Motivasi Kaunseling, Hushim Salleh, wanita bermadu perlu mempunyai kekuatan yang tersendiri terutama bagi yang bergelar isteri muda.

“Wanita yang mengambil keputusan untuk menjadi isteri muda perlu mempunyai jati diri yang kuat serta sabar dalam menangani dugaan hidup.

“Hal ini penting dalam menangani suasana kehidupan yang normal seperti orang lain,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, semua tohmahan dan cemuhan itu tidak akan berlaku sekiranya suami boleh mengatasi permasalahan ini dengan aman tanpa menyakitkan hati di kedua-dua belah pihak.

Tegasnya, bagi mewujudkan perkahwinan yang bahagia biarpun hidup berpoligami, setiap isteri perlulah saling faham memahami dan hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Bagi isteri tua, dia perlu bersabar biarpun hatinya remuk ekoran suaminya memiliki insan lain. Kesabaran adalah penting meneruskan hubungan rumah tangga.

“Sementara isteri muda pula perlu kuat dalam menghadapi dugaan hidup selepas memilih untuk meneruskan hubungan walaupun mengetahui lelaki tersebut sudah beristeri,” katanya.

Selain itu katanya, sebagai isteri kedua, perlulah membuatkan hati sentiasa sibuk. Jika ia dibiarkan kosong nanti yang duduk di dalamnya adalah iblis.

Sebenarnya, wanita kini sukakan lelaki yang matang dan sudah pasti ciri-ciri itu hanya ada pada lelaki yang berusia dan berpengalaman dalam rumah tangga.

Namun, faktor utama mengapa wanita sanggup menjadi isteri kedua adalah kerana kesunyian, kesepian dan juga faktor usia yang semakin matang.

Akuinya lagi, tidak salah bergelar isteri muda asalkan pandai membawa diri.

Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan dalam firmannya yang bermaksud: ‘Kahwinlah kamu dengan perempuan baik bagi kamu, dua, tiga atau empat. Sekiranya kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (terhadap mereka) cukuplah satu sahaja’- Surah al-Nisa':3.

Berdasarkan pengertian ayat ini menunjukkan bahawa amalan bermadu merupakan satu cara hidup berumah tangga berasaskan landasan syariat yang menghendaki agar sentiasa wujud keharmonian hidup dalam keluarga.

Namun harus diingatkan, biarpun bergelar isteri kedua atau ketiga dan keempat, hak sebagai isteri tetap sama.

Islam tidak membezakan isteri pertama, kedua atau sebagainya. Selagi dia bernikah secara sah, hak kesemua isteri adalah sama.

“Tidak ada bezanya, hak mereka juga sama. Cuma yang berbeza adalah status seseorang wanita itu selepas diijabkabulkan.

“Jika anak dara haknya lain manakala seorang janda haknya juga berbeza.

Bagaimanapun hak di sini bermakna bilangan hari selepas diijabkabul. Jika yang dikahwini itu adalah seorang dara maka bilangan hari bersama suami adalah tujuh hari berbanding pula status janda bilangan hari bersama suami adalah tiga hari,” jelasnya.

Namun dari segi tanggungjawab dan sebagainya, kata Hushim, hak isteri tetap sama .

Dalam mengamalkan permasalahan poligami, suami pula harus memainkan peranan seadil-adilnya terhadap kedua-dua isteri.

“Kecacatan poligami sebenarnya bukan dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaan yang menyimpang daripada syariat .

“Ini terbukti daripada statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu mempunyai masalah rumah tangga adalah kaum Hawa, ini secara langsung membuktikan bahawa krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian kaum Adam,” jelasnya lagi.

Secara fitrah dan nalurinya, emosi isteri pertama sudah tentu akan terganggu akibat daripada berbahagi kasih.

“Oleh itu, peranan suami amat penting dalam membahagikan kasih sayang dan juga menjalankan tanggungjawab,” katanya serius.

Jelasnya, dalam menjalani cabaran kehidupan wanita yang bergelar isteri muda haruslah tabah mengharunginya.

“Lupakan kesedihan dengan banyak mengingati anugerah Allah yang dikurniakan kepada diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, nikmat Allah bukan sekadar harta semata-mata tetapi juga kebahagiaan dalam kehidupan seharian.

“Atasilah masalah hati dengan membuat aktiviti-aktiviti supaya sentiasa sibuk.

“Jika hati disakiti, carilah tempat selamat. Sibukkan diri dengan memanfaatkan setiap detik yang berlalu agar ia membuahkan pahala,” terangnya lagi.

Bagaimanapun jelasnya lagi, kebahagiaan rumah tangga itu bermula daripada hati dan juga tubuh badan yang sihat.

“Jika hati sakit pastinya boleh menjejaskan kesihatan jasmani juga, hiduplah dengan dengan aktiviti yang bermanfaat .

“Selain itu, tanamkan azam di dalam diri untuk atasi segala dugaan dan bersyukur apa yang ada, malah jalan yang paling penting mohon pada Yang Maha Esa supaya merestui perkahwinan itu ke jalan bahagia,” katanya.

Oleh ZUHAYATI YAZID


Cinta plastik perempuan penggoda

Februari 8, 2010

Di hati seorang isteri, apa yang sentiasa didoakan adalah untuk mengecap kebahagiaan rumah tangga hingga ke akhir hayat bersama suami tersayang.

Namun dugaan Allah tidak siapa tahu, ia akan datang tanpa diduga untuk menguji kesabaran seorang isteri dalam melayari bahtera rumah tangga.

“Tujuan saya hanyalah untuk memberi amaran dan nasihat kepada kaum lelaki supaya tidak terpedaya dengan kecantikan, kelembutan yang ditonjolkan oleh sesetengah perempuan. Selamilah akhlak mereka sebelum terpedaya.”

Begitu amaran yang dikirim oleh Zara (bukan nama sebenar) kepada saya untuk dikongsi bersama pembaca setia minggu ini.

Kita ikuti kisah Zara untuk teladan bersama;”Saya seorang isteri dan ibu berusia awal 30-an. Telah berkahwin hampir 15 tahun. Rumah tangga saya bahagia sebelum ini tetapi hujung tahun lalu ia mula dilanda badai.

“Satu hari, suami pulang dengan keadaan marah dah kecewa. Saya menjadi amat hairan sebab dia mengamuk tanpa sebab.

“Berkali-kali ditanya, akhirnya dia mengalah dan menceritakan sesuatu yang membuat jantung saya bagaikan terhenti seketika. Rupanya ada rahsia yang dia sembunyikan daripada saya.

“Dia marah sebab teman wanitanya yang berasal dari Pantai Timur menjalin hubungan istimewa dengan lelaki lain. Lelaki itu juga kekasih orang.

“Semuanya bermula ketika suami bekerja satu pejabat dengan perempuan itu di sebuah syarikat automotif terkenal di Shah Alam. Setelah mengetahui hubungan mereka saya telah bersemuka dengan perempuan itu. Ketika itu saya sedang sarat mengandung.

“Saya berjumpa dengannya kerana dia adalah tunangan orang dan bercinta pula dengan suami orang. Saya sangka dia akan berubah dan malu dengan saya tetapi tidak… dia semakin galak mahu hubungan mereka diteruskan. Di hadapan saya dia merayu-rayu suami saya supaya jangan tinggalkan dia.

“Tidak cukup dengan itu dia juga mengirim SMS kepada saya meminta supaya membenarkan dia menjadi madu saya, tetapi saya tidak layan.

“Dalam keadaan penuh kecewa saya mengumpul kekuatan, memohon petunjuk daripada Yang Esa dan mendapatkan nasihat daripada motivator, ustaz-ustaz, ibu bapa, sahabat-sahabat dan melalui pembacaan buku-buku motivasi dan membaca al-Quran.

“Sebagai usaha terakhir suami saya telah bertemu dengan teman lelaki baru perempuan itu dan bercakap dari hati ke hati dengan dia sebagai lelaki.

“Daripada pertemuan ini, barulah mereka tahu yang perempuan yang mereka cintai itu telah menipu mereka. Padan muka mereka!

“Malang menimpa perempuan itu apabila bapanya meninggal dunia pada hari terakhir Ramadan. Di dalam keadaan berkabung , ibunya telah menelefon dan memarahi saya dan meminta saya supaya jangan mengganggu anaknya.

“Dia marah kerana saya menghalang cinta anaknya dengan suami saya. Adakah kerana dia sendiri telah bermadu, dia harus menggalakkan anaknya mengikut jejak langkahnya ?

“Ibunya telah mengetahui yang anaknya berkawan dengan suami saya dan teman lelaki barunya secara serentak tetapi kenapa tidak ditegah dari awal-awal lagi. Atau adakah ibunya memang menggalakkan anaknya menjadi perampas suami dan kekasih orang?

“Tindakan si ibu seolah-olah tidak melihat perjalanan hidup anaknya yang tidak menentu – bertunang selama 8 tahun dan kecundang dalam hidupnya. Jenis ibu apakah yang merestui semua ini?

“Setelah disiasat akhirnya baru saya dapat tahu rupanya memang perempuan ini memang makhluk perosak, hobinya bercinta dengan suami orang!

“Sepatutnya dia perlu berfikir panjang dan matang dalam menyelesaikan masalah ini dan memberitahu ibunya yang dia berkawan dengan suami orang.

“Bukan dengan cara mementingkan diri sendiri sehingga tidak memikirkan akibatnya. Kenapa dia tidak bersetuju apabila suami saya hendak memutuskan perhubungan mereka secara baik suatu ketika dulu?

“Yang dia tahu hanyalah memujuk rayu untuk menyambung kembali hubungan dengan suami saya dan apabila berjumpa dengan lelaki yang lebih baik dia terus melayannya. Apabila diberitahu lelaki itu telah ada kekasih dia akan menangis.

“Air mata sinonim dengan perempuan plastik ini. Mungkin disebabkan air matanya juga, ibunya telah memilih untuk memarahi dan menghina saya tanpa menyiasat latar belakang dan perangai buruk anak perempuannya terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana Allah telah memberi petunjuk kepada suami saya yang mana benar dan yang mana salah sebelum dia tersesat jauh.

“Saya bersyukur kerana kini dia telah kembali ke pangkal jalan. Tapi itu tidak bermakna saya akan menerimanya sepenuh hati seperti pada mula-mula dulu.

“Walaupun tiada kepercayaan lagi terhadap suami, saya hanya mampu berdoa semoga cinta akan kembali berputik di hati kami demi masa depan rumah tangga dan kehidupan anak-anak.

“Semoga pengalaman saya dapat memberi iktibar kepada para isteri supaya sentiasa melakukan yang terbaik untuk keluarga.

“Dan yang paling penting, jadilah ibu yang baik untuk anak-anak gadis anda agar mereka tidak terjebak dalam kehidupan kotor seperti gadis plastik yang hadir dalam hidup saya,” kata Zara.

Itulah tabiat kebanyakan lelaki! Tidak pernah puas dengan apa yang ada. Bak pepatah, tiada beban batu pula yang hendak digalas. Bukankah baik jika tumpuan seratus peratus diberikan kepada isteri dan anak-anak yang sedia ada?

Kemampuan? Semua orang boleh mengaku ada kemampuan tetapi sejauh mana kemampuan dan tanggungjawab itu boleh dilaksanakan juga perlu diambil kira. Bukan seperti bertukar pakaian, kotor basuh sudah jemu ditolak ke tepi.

Insan yang bernama wanita, isteri dan ibu bukan barang mainan, bukan juga untuk dijual beli. Oleh itu wahai kaum Adam dan suami, hargailah isteri anda. Jika sepuluh pun wanita yang anda temui dan boleh membahagiakan anda, ia hanya bersifat sementara kerana yang pertama itu adalah yang terbaik anugerah Allah S.W.T kepada anda. Di situlah kebahagiaan abadi sebenarnya!.

Salam

~ Utusan


Atasi baran dengan bacaan ruqyah

Februari 7, 2010

Saya mempunyai suami yang panas baran. Dulu tidaklah sebaran ini, ia masih boleh dikawal. Sekarang tak boleh tanya atau tegur sikit pasti dia melenting. Kalau bergaduh dia suka keluar malam dan balik pukul 2-3 pagi. Saya cuba berlembut dengan mengikut rentak dia tapi saya rasa tertekan. Beban keluarga diletakkan di atas bahu saya. Anak sakit, perbelanjaan anak-anak, duit dapur hampir semua saya yang urus.

Perasaan syak kuat menguasai saya. Mana tidaknya dia pernah ada perempuan lain. Banyak kali perkara ini terjadi tapi saya maafkan dia kerana fikirkan anak-anak. Saya cuba berbincang tapi semua usaha saya berakhir dengan pergaduhan. Sikapnya itu membuatkan saya tawar hati dengannya. Namun saya masih sayangkan dia dan pernah ajak dia dapatkan kaunseling tapi saya dimarahi.

Kadang-kadang hendak rasanya berpisah dengan dia tapi memikirkan anak-anak, saya batalkan niat itu. Hingga sekarang saya cuma mampu bersabar dan berdoa supaya dia lembut hati dan menjadi suami yang penyayang serta prihatin kepada keluarga. Apa yang merisaukan saya, kadang-kadang marah saya agak keterlaluan dan menyimpan perasaan dendam terhadapnya. Rasa bersalah memang ada tapi bila bergaduh semua itu saya tolak tepi. Apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan:

Saya turut bersimpati di atas apa yang terpaksa puan tempuhi. Namun, begitulah pahit maung ujian kehidupan, bukan hanya puan seorang malah setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti ada suratan ujian masing-masing yang tidak dapat dielakkan seperti firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 2: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup – untuk menguji dan menzahirkan siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun. (67:02)

Walau bagaimanapun, Allah SWT telah memaklumkan kepada kita mengenai hal ini seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 155: Bahawasanya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut serta kelaparan, dan menghadapi masalah kekurangan harta benda, kehilangan jiwa dan berkurangannya hasil tanaman serta buah-buahan. Maka berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT kemudiannya ‘mendidik’ kita tentang apa yang perlu dilakukan apabila ujian kehidupan mengundang dalam ayat seterusnya (2:156): (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka lantas berkata: “Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.

Jadi, perbanyakkanlah lagi sabar sambil berzikir ayat ini: “Inna lillahi wa inna ilayhi raaji’un”. Allah SWT telah menjanjikan orang-orang yang membuat amalan ini dengan tiga perkara: 1. Doa (kurniaan), 2. Rahmat dan 3. Hidayah daripada-Nya di dalam ayat seterusnya (2:157): Mereka itulah orang-orang yang akan dilimpahi dengan berbagai-bagai kurniaan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang sentiasa mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Bagi mengatasi masalah baran suami puan, cubalah membaca ruqyah (sejenis doa atau ‘jampi’ syar’ie) dengan ayat 69 dalam Surah al-Anbiyaa’ ini semasa barannya muncul: Wahai api, jadilah engkau sejuk kepada Ibrahim dan peliharalah kesejahteraannya! (21:69)). Mudah-mudahan Allah menyejukkan barannya seperti mana api yang membakar Nabi Ibrahim disejukkan dengan izin Allah. Amin.

Apabila berhadapan dengan sikap keras hati suami puan, bolehlah mencuba bacaan ruqyah dari Surah al-Naml, ayat 30: Sesungguhnya (perutusan itu) dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (27:30).

Ia bersempena kisah Nabi Sulaiman yang mengajak Ratu Saba’ yang bernama Balqis agar memeluk Islam. Akhirnya, hati baginda menjadi lembut untuk memeluk Islam setelah membaca kepala surat perutusan daripada Nabi Sulaiman di atas. Mudah-mudahan bacaan ruqyah puan walaupun dalam diam akan melembutkan hati suami puan untuk kembali bertanggungjawab kepada keluarga dan bersedia untuk berbincang elok-elok dengan puan dengan izin Allah. Amin.

Bagi pihak puan juga, perlulah melakukan muhasabah diri. Contohnya mengkaji sama ada waktu puan mengajukan cadangan untuk berbincang itu sesuai atau tidak. Orang lelaki biasanya ada anginnya yang tersendiri terutamanya tidak mahu diganggu ketika sedang sibuk dengan sesuatu, dan biasanya apabila puan bertanyakan sesuatu ketika dia lapar, mengantuk, bersedih, penat atau tertekan akan membangkitkan kemarahannya.

Puan juga digalakkan memperbanyakkan istighfar kerana dalam Surah Hud, ayat 3 Allah menjanjikan kebahagiaan dan kesenangan bagi orang-orang yang memohon keampunan dari-Nya dan bertaubat (pulang menyerah diri untuk taat kepada-Nya)

Berdoa adalah sinonim dengan kehidupan seseorang Muslim, hatta solat itu pun maksud asalnya doa. Amalan berdoa menjadi simbol penyerahan diri kita kepada Allah dan betapa kita sentiasa memerlukan Allah al-Samad – tempat bergantung. Puan boleh bermunajat kepada-Nya, pohonlah apa jua permintaan puan dalam bahasa Melayu sekalipun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Allah kan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Serulah dari 99 Nama-nama-Nya yang Indah (Asma’ Allah al-Husna) dalam doa puan, seperti Ya Razzaq Ya Fattah agar Allah melimpahkan rezeki keluarga puan dan seumpamanya, semoga ia segera dimakbulkan. Amin.

Sebagai satu alternatif, puan juga boleh mencuba bacaan ruqyah dari ayat 200, Surah Ali Imraan yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), kentalkanlah daya kesabaranmu, sabarkanlah di antara kamu, perkukuhkanlah ikatan sesama kamu dan bertakwalah kepada Allah. Semoga Allah Menentukan kamu akan Berjaya (akhirnya). (3:200)).

Satu lagi amalan baik untuk perlindungan keluarga puan, bacalah Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi shay’un fil ardhi wa la fissama’ wa huwassami’ul alim. (Maksudnya: Dengan nama Allah yang terpelihara segala sesuatu dengan nama-Nya daripada apa-apa yang memudaratkan sama ada di bumi atau di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.) Menurut baginda, sesiapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu petang; begitu jugalah apabila ia dibaca tiga kali pada waktu petang, maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu pagi. [Sumber: Sunan Abu Daud, juzu’ 3, hal. 132, bil. 5088].

Semoga keluarga puan terpelihara di dalam perlindungan Allah terutamanya anak-anak puan daripada mudarat perceraian. Amin

~ Utusan


Bahana kahwin rahsia

Januari 24, 2010

Saya berusia lewat 40-an, sudah berkahwin dan mempunyai enam anak. Masalah saya bermula tujuh tahun lalu. Atas dasar simpati kepada seorang janda, saya mengahwininya secara rahsia. Keluarga isteri kedua menentang keras dan perkahwinan kami akhirnya terbatal kerana saya ditipu sindiket kahwin. Malah perkahwinan itu diketahui isteri pertama dan keluarga mentua isteri kedua. Atas persetujuan bersama, perkahwinan kedua saya tidak diteruskan dan kami berpisah.

Namun, tanpa pengetahuan isteri pertama, bekas isteri terus menghubungi dan mendesak agar kami berkahwin semula. Atas nama kasihan, kami berkahwin semula, juga secara rahsia di selatan Thailand. Sudah tiga tahun kami berkahwin, tetapi jarang berjumpa. Isteri kedua masih tinggal dengan keluarganya di luar negara.

Kini, saya dihimpit rasa berdosa kepada isteri pertama kerana selepas kejadian pertama dulu, dia ada mengingatkan saya agar tidak merahsiakan perkahwinan baru. Malah dia turut mengugut untuk menarik balik nafkah anak yang dikongsi bersama selama ini. Isteri pertama tidak tahu dia dimadukan dan masih menanggung nafkah keluarga. Dia juga tidak tahu rumah yang sepatutnya kami sewakan, sebaliknya saya jadikan tempat pertemuan saya dan isteri kedua.

Puan, perlukah saya berterus terang dengan isteri pertama atau berdiam diri kerana tidak mahu melukakan hatinya? Perlukah saya berterus terang dengan mentua isteri kedua kerana dia masih diberi nafkah kedua-dua ibu bapanya yang tidak mengetahui perkahwinan kami? Keluarga saya dan dia menentang perkahwinan ini kerana berasakan saya tidak dapat memberi nafkah dan keadilan kerana selama ini isteri pertama yang banyak menanggung nafkah keluarga kerana dia pegawai kanan sementara saya cuma pekerja sokongan. Saya juga bersimpati dengan isteri kedua yang hidup terumbang ambing selepas bercerai dan pada masa sama, saya takut kehilangan isteri pertama.

——————–

PERSOALAN yang anda kemukakan adalah masalah yang dibuat sendiri berdasarkan lonjakan nafsu besar, sedangkan kemampuannya kecil. Ibarat pepatah, gajah berak besar, kancil pun nak berak besar juga.

Saya sedih kerana anda sudah terlalu senang dan biasa hidup berbohong yang seakan-akan sudah menjadi darah daging anda. Akibatnya, anda tidak lagi dapat melihat kebenaran dan keberkatan hidup. Anda juga lupa anda dipertemukan isteri yang memberi nafkah anak, sedangkan itu adalah tanggung jawab anda selaku suami!

Sesungguhnya, adalah haram seorang suami menggunakan wang isteri secara tidak beradab. Itu sepatutnya anugerah yang harus disyukuri, bukan dikhianati. Suami jenis apa anda ini? Sanggup meletak najis pada makanan yang anda suap sendiri. Sekarang anda gali pula lubang untuk anda terjun sendiri ke dalamnya.

Pada saya, terlalu banyak pengkhianatan yang sudah anda lakukan terhadap isteri pertama, isteri kedua dan semua keluarga pihak isteri anda. Mengapa anda tergamak melakukan ini semua pada orang yang menyayangi dan mempercayai anda?

Apalah ertinya sayangkan isteri jika pada masa sama, anda sanggup pula mengkhianati cinta wanita yang sudah banyak berkorban untuk mengambil anda sebagai suami walaupun tidak anda tidak setaraf dengannya? Anda seolah-olah lupa diri siapa anda sebenarnya. Allah SWT sudah selamatkan anda dengan membatalkan perkahwinan kedua anda, tapi anda tidak serik masih meneruskan perkahwinan secara muslihat kotor anda seolah-olah tidak berasa takut dengan murka Allah SWT tetapi lebih takut kemarahan isteri.

Pada saya, anda harus berani menerima kenyataan anda sudah melakukan terlalu banyak kesalahan. Pertama, kepada Tuhan kerana sanggup berbohong seolah-olah Tuhan tidak lagi menilai anda.

Kedua, kesalahan terhadap isteri pertama dan keluarganya serta anak-anak anda yang sudah diabaikan nafkah mereka kerana mabuk mengurus isteri kedua anda. Ketiga, kesalahan terhadap mentua anda yang kedua.

Perkahwinan adalah suatu yang kudus dan suci. Jika dimulakan tanpa restu kedua-dua orang tua, maka perkahwinan itu sukar bahagia, apatah lagi jika ditentang mereka. Dalam hal ini, tiada istilah jalan pintas. Suka atau tidak, anda harus berterus terang dengan semua dan berani bertanggung jawab atas semua kesalahan yang sudah anda lakukan, serta bersedia untuk menanggung risiko yang akan mendatang. Ringkasnya, berani buat, berani jugalah tanggung.

Jika tidak, anda akan terus dibelenggu dosa pembohongan dan penipuan diri seumur hidup. Hidup tanpa kejujuran ibarat hidup dalam gelap, terkapai-kapai mencari cahaya, sulit berasakan ketenangan dalam hidup dan akhirnya sebaik mana pun anda sembunyikan keburukan dan kesalahan, pasti akan terbongkar juga pada satu hari nanti kebenarannya.

Ingatlah, lebih lama anda sembunyikan, lebih banyak anda berdosa dan lebih sulit untuk anda dimaafkan. Mengaku sajalah di atas semua kesalahan yang sudah anda lakukan dan nyatakan sebabnya dan terimalah hukuman yang diberikan oleh semua pihak teraniaya. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu berselindung lagi dalam semua urusan hidup anda.

Akhir sekali belajarlah membina hubungan lebih rapat dengan Allah SWT, akui semua kesalahan anda dan mohon pertolongan Yang Maha Esa untuk anda dapat terus dibimbing supaya hidup secara jujur dan ikhlas. Buanglah rasa cemas, rasa sedih kerana Allah SWT sangat dekat dengan kita, malah lebih dekat daripada urat nadi di leher kita sebab itu Allah SWT berpesan kepada hamba-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu bersedih sesungguhnya Allah SWT bersama kita.” (QS At-Taubah:40).

Kemudian Allah SWT berpesan lagi kepada hamba-Nya bahawa kebenaran akan melapangkan dada dan kebatilan akan membuat hati menjadi keras. Insaflah dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.” (QS Luqman:17).

Cukuplah menyakiti hati insan tersayang demi menegakkan benang yang basah yang pada akhirnya terbukti membelit leher kita sendiri. Sampai bila anda mahu hidup dalam sandiwara yang boleh meragut kebahagiaan istana yang dibina?. Buat kesekian kalinya, buktikan rasa cinta dan penghargaan anda terhadap isteri pertama yang sudah banyak berkorban wang, masa dan tenaga demi kesejahteraan anda. Biarlah kemelut ini dileraikan selagi anda diberi Allah SWT peluang bernafas. Ingatlah, berani kerana benar.

- Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) Berita Minggu


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers