Suami gagal di malam pertama

Mac 29, 2012

Kisah Dari Mahkamah Syariah

Kes 1

Mahkamah Rendah Syariah
Wilayah Persekutuan

Seorang suami mengaku di Mahkamah Rendah Syariah di sini bahawa beliau tidak pernah bersetubuh dengan isterinya sepanjang sembilan bulan usia perkahwinan mereka.

Menurut Zaifuddin Zakaria, beliau telah cuba melaksanakan tanggungjawab ‘malam pertama’ terhadap isterinya, Sharifah Safiah Syed Ibrahim tetapi gagal.

“Yang Arif, saya tak mampu (melakukan hubungan kelamin dengan isteri) kerana saya tidak ada perasaan terhadapnya,” katanya.

Plaintif, 37, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes permohonan cerai terhadap isterinya, Sharifah Safiah, 31.

Beliau hanya bersama isterinya pada malam pernikahan dan kemudian meninggalkan defendan hingga ke hari ini.

Sharifah Safiah hadir di mahkamah dengan diwakili Peguam Syarie Husin Ali.

Perbicaraan dikendalikan Hakim Syarie Mohd. Tawadzo Abbas.

Hakim: Kenapa kamu mahu bercerai?

Zaifuddin: Yang Arif, di antara kami tiada persefahaman. Itu saja.

Hakim: Alasan itu terlalu umum. Takkanlah sebab tak ada persefahaman
sampai nak bercerai?

Zaifuddin: Saya tidak dapat meneruskan hidup dengan dia (Sharifah Safiah).

Hakim: Kenapa?

Zaifuddin: Saya tidak mampu untuk beri kebahagiaan kepada dia.

Hakim: Yalah. Kebahagiaan itu luas maksudnya.

Zaifuddin: Saya tidak mampu bina kehidupan bersamanya.

Hakim: Mahkamah tidak boleh meluluskan permohonan cerai kalau alasan yang dikemukakan tidak kukuh. Kebahagiaan yang kamu maksudkan dari segi zahir ke batin?

Zaifuddin: (diam)

Bagaimanapun, selepas ditegur oleh hakim, plaintif mengakui bahawa beliau tidak punya apa-apa perasaan terhadap isterinya, Sharifah Safiah yang merupakan gadis pilihan ibunya sendiri.

Hakim: Ada berlaku persetubuhan pada malam pertama?

Zaifuddin: (Dalam nada yang tersekat-sekat) Pada malam pertama, saya cuba bersama (isteri). Bagaimanapun, perasaan (berahi) saya terhadapnya tiada. Saya cuba melakukan (hubungan kelamin), tetapi tidak boleh.

Sementara itu, Husin berkata, plaintif hanya bersama defendan pada malam bernikah.

“Esoknya, plaintif meninggalkan defendan dan mereka tidak pernah bersama,” katanya.

Husin berkata, Zaifuddin juga mengaku bahawa beliau memang tiada perasaan kasih sayang atau cinta terhadap isterinya.

Malah, plaintif juga mendakwa bahawa beliau berkahwin kerana desakan keluarga.

Sementara itu, defendan dalam keterangannya berkata, plaintif bukan sahaja gagal memberinya nafkah batin tetapi juga nafkah zahir.

“Dia (suami) tidak pernah menunjukkan kasih sayang sebagai suami dan tidak pernah beri saya nafkah,” katanya.

Hakim Mohd. Tawadzo kemudiannya menetapkan tarikh untuk membenarkan plaintif melafazkan cerai berikutan defendan dalam keadaan tidak suci.


Suami bernafsu pada lelaki

Mac 20, 2012

Emak saya meninggal dunia ketika saya di tingkatan lima. Walaupun saya sedih, tetapi saya berjaya dalam SPM dan dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tamat pengajian, ayah suruh sambung belajar, tetapi saya tolak, sebab adik-adik masih belajar. Dan masalah ini selesai setelah ayah kahwin lagi dengan seorang wanita yang baik menjadi ibu tiri kami.

Setelah bekerja, macam ibu bapa lain, ayah suruh saya kahwin. Saya pulak memang tak ada teman lelaki. Walaupun saya moden tetapi bab mencari jodoh saya memang konservatif. Atas desakan ayah dan keluarga mereka cadangkan saya kahwin dengan Shahril. Kebetulan keluarga Shahril sibuk satu kampung mencarikan jodohnya, sebab dah dekat 40 tahun pun masih bujang. Kebetulan kampung kami berhampiran. Dan saya muda lebih 10 tahun darinya.

Saya tolak permintaan ayah sebab saya baru bekerja, masih muda, dia 10ntahun lebih tua dari saya. Tapi ayah terus mendesak. Dalam tempoh bertunang, memanglah Shahril tunjuk baik, tetapi saya rasa ada sesuatu tak kena tentang dirinya.

Setiap kali balik kampung saya beritahu ayah tak mahu kahwin, saya menangis tapi ayah pujuk katanya, marriage is something beautiful. Akhirnya kerana tidak mahu mengecewakan ayah, saya kahwin juga. Shahril pula ingat saya ini damn excited to be married to a Timbalan Pengarah.

Ini masuk bab hubungan suami isteri. Minggu pertama di rumah ayah lepas kahwin, sekali pun dia tak sentuh saya, katanya dia tak suka, ini bukan rumah dia. Bertandang ke rumah emaknya pun sama. Tetap tak sentuh saya, dengan alasan sama. Ok! Fine! Saya tak kisah! Tak ada bulan madu pun tak apa. Alasannya sibuk. It took him more than one month after marriage to touch me.Shahril dah jadi air batu. Dia tak berminat, tak berselera dan tak bernafsu. Jangan cakap pasal nak belai-belai, bermanja-manja, tak ada intimacy langsung.

Mula-mula pindah duduk rumah saya (rumah pemberian ayah) tak sampai sebulan ajak pindah ke tempat lain. Katanya, tak sesuai. Sebagai isteri saya ikut aja. Rumah kedua pun tak lama katanya, tak sesuai.

Saya menurut, lagipun di kondo tu satu tingkat cuma tiga buah unit ada penghuni, yang lain kosong. Depan, kiri, kanan semuanya kosong. Memang menyeramkan. Saya tak takut kalau dia ada di rumah, tetapi dia balik rumah pukul 2 atau 3 pagi setiap hari. Sabtu dan Ahad dia hilang entah ke mana.

Bila saya tanya kenapa balik lewat alasannya trafik jam. Mustahil jalan jam balik pukul 2 atau 3 pagi. Saya yang kerja lebih jauh boleh balik cepat, dapat sembahyang maghrib di rumah. Dia memang tak pernah sembahyang langsunglah.

Kadang-kadang tu rasa pelik juga saya baru kahwin, tapi suami selalu tak ada di rumah. Di pejabat ramai kawan suruh balik cepat. Kata mereka, pengantin baru kalau malam Jumaat mesti balik cepat. Saya senyum aja. Mereka pasti terkejut beruk kalau saya ceritakan apa yang terjadi antara kami.

Kerana saya selalu tanya dia kenapa balik lewat, dia pindah rumah lagi, kali ketiga ini dekat dengan tempat kerjanya. Tapi masalahnya di kawasan rumah baru ini tak ada grill, dahlah rumahnya besar, jauh dari orang macam tempat jin bertandang. Cuma ada seorang jiran di kanan, tapi pandang kiri kosong, depan lengang. Belakang menyeramkan. Ada rumah kongsi.

Bayangkan dia boleh tinggalkan saya sendirian 3 pagi baru balik. Bila tanya kenapa, dia bagi 1,001 alasan. Bila saya kata takut, dia suruh belajar beranikan diri. Saya suruh dia bubuh grill, dia pekakkan telinga, sebab dia terlalu berkira. Akhirnya demi keselamatan saya terpaksa pasang grill.

Selepas setahun kahwin barulah saya mengandung, itu pun lepas ramai kawannya tanya dia bila lagi nak dapat anak. Saya mengandung kerana dia nak buktikan dia lelaki normal dan tidak mandul, tak lebih daripada itu. Semasa mengandung dan lepas bersalin dia langsung tak sentuh saya. Dia tetap kepada tabiat lamanya.

Saya yakin saya wanita normal, ada rupa, seorang profesional, saya tak gemuk kerana dia benci dan jijik tengok orang gemuk. Boleh dibawa ke majlis dan tidak memalukan dia. Dan saya telah mencuba pelbagai cara untuk menarik perhatiannya tetapi dia tetap bencikan saya, dia lebih suka memuji isteri orang, sedangkan orang luar sering memuji kami perfect couple.

Itu bab nafkah batin dia memang tak sukakan saya. Bab makan minum pun teruk juga. Enam bulan pertama lepas kahwin dia beli barang makan. Enam bulan lepas tu dia cuma beli barang-barang makan yang penting saja, lepas setahun dia tak ambil pusing langsung, katanya, dia dah sediakan tempat tinggal sudah cukup baik.

Dia bagi alasan saya tak pandai masak, tapi saya belajar dan cuba masak makanan kesukaannya, tapi bila saya masak dia tak balik. Janji nak balik, pukul 3 pagi baru sampai. Kata saya tak pandai cuci dan gosok pakaiannya. Saya hantar dobi guna duit saya sendiri bukan duit dia, baru dia suka.

Dia tuduh saya tak sapu rumah, bila saya sapu dia kata saya tak mob, bila mob dia kata tak bersih. Sebenarnya dia tak perlukan isteri, dia perlukan maid. Kalau maid pun kena bayar RM400 atau RM500 sebulan, tapi dia tak beri sesen pun. Sedangkan dia berjawatan besar, dapat rumah semi-D.

Nak jadikan cerita masa tengah hamil ayah sakit teruk di hospital, saya kena bagikan masa antara kerja, lawat ayah di hospital, balik kena masak dan berkemas rumah. Waktu saya sibuk itulah dia nak makan di rumah. Kalau lambat masak, dia terus keluar, katanya, saya lebih pentingkan ayah dari dia. Bila ayah dah sihat balik rumahnya, dia tak makan kat rumah pun.

Memang dia sengaja menyakitkan hati saya. Sehinggalah ayah masuk hospital lagi. Sepanjang masa ayah sakit dan keluar masuk hospital, cuma sekali saja dia lawat ayah. Ketika adik saya nak kahwin, dia kata, kenapa adik kahwin jauh-jauh nanti masa pergi sana ayah saya padam macam mana? Patut ke dia cakap macam tu?

Masa mengandung, dia betul-betul sakitkan hati saya, setiap kali waktu tengah syok makan, dia cakap, If you get fat like your mum after this (lepas bersalin) I will leave u – u watch out!! Terbantut selera. Tapi saya taklah gemuk biasalah orang hamil.

Saya pernah tanya mengapa dia benci kat saya. Dia kata, Hoi! Fikir muka u lawa ke? Badan u cantik ke? Rambut u cantik ke? Tak bertudung. Pakaian tak sesuai. Saya jawab kalau gitu bawa saya shopping belikan pakaian yang dia suka. Tapi dia pandai cakap aja, tak pernah belikan baju pun.

Kerana sedih saya menangis lari ke dapur, dengan kuasa Allah depan mata saya ada telefon. Dia tertinggal. Saya jumpa message sayang-sayang dengan kawan baiknya who is a guy. Another guy friend sent SMS how is ur wife… how come she got pregnant, i thought u said u never get it up while with her?” Pelbagai ragam SMS jokes yang saya jumpa berbaur gay. Dan saya hairan semua kawan gaynya harap saya lahirkan anak lelaki termasuk Shahril.

Saya terkejut betul bila baca SMS tu, tapi saya tak mahu percaya, namun saya terus menyiasat. Masa tu saya sarat mengandung tujuh bulan. Dengan kuasa Allah juga saya jumpa bekas kondom, alat-alat untuk sexual intercourse yang tak ada kena-mengena dengan saya dan video-video lucah gay dalam beg kerja dia termasuklah Kyjelly.

Untuk memastikan lagi saya menyamar jadi lelaki menggoda dia melalui SMS. Saya ikut trend SMS yang dia biasa terima dari lelaki gay. Dari situ saya tahu cara dia buat hubungan, di mana tempat dia buat projek. Kemudian dia ajak saya buat maksiat selepas beberapa hari berSMS akhirnya dia kantoi. Rahsianya terbongkar.

Untuk menegakkan benang basah, dia beritahu emaknya saya bukan perempuan baik dibuat isteri. Tak macam emaknya walaupun bekerja, sebelum 8 malam anak- anak dah dapat makan. Tapi dia tak cerita dia selalu balik pagi, tak sembahyang, pakaian tak senonoh dan seorang gay.

Emak dia bekerja sebelah rumah, di desa, tak ada trafik jam. Sedangkan saya di KL, seorang profesional, kerja private sector, pukul 5.30 petang baru keluar pejabat, harung trafik jam, dekat sejam baru sampai rumah. Itu lebih baik daripada dia pukul 2 pagi baru sampai rumah. Dulu masa cari calon isteri kriteria pilihannya gadis itu mesti cantik, graduate, bekerja, pandai speaking. Of course I fit all the criterias.

Dia memang suka memalukan saya, pernah satu hari Ahad dia ke pasar beli tulang, bukan suruh saya masak tapi bagi isteri jiran masak sup. Lepas masak, jiran tu panggil mereka makan ramai-ramai. His! Memalukan. Itu belum dia reka cerita memalukan saya. Dari hujung rambut sampai hujung kaki, tak ada yang baik tentang saya.

Walaupun perangainya buruk, sebelum meninggal, ayah nasihatkan saya supaya berusaha baiki keadaan, jadi berpegang kepada pesanan itu saya sabar. Tetapi bila rahsia terbongkar, dia hantar e-mel halau saya keluar rumah kerana katanya, saya bukan isteri yang baik. Dia juga ceraikan saya.

Saya rujuk masalah saya pada doktor pakar dan pejabat agama, tapi dia tak pernah pergi kaunseling. Dia buat donno aja. Never bother to attend any sessions. Kalau dia tak mahu mengubati dirinya siapa pun tak boleh paksa.

Mahkamah Syariah dah lama nasihatkan saya mohon cerai, sebab tak bagi nafkah zahir batin semasa hamil dan selepas bersalin hinggalah anak berusia setahun lebih, tapi saya tak mahu. Tetapi setelah saya fikirkan tentang anak, jika saya teruskan jugak perkahwinan ini, mungkin anak saya akan dibesarkan oleh ibu yang sakit mental. Kerana saya boleh jadi gila dapat suami macam ni.

To me marriage should be very wonderful and enjoyed by both husband and wife. Mesti hormat pasangan masing-masing. Tapi bukan Shahril. Malah dia hina saya jadi ibu tunggal. Tapi saya gembira dengan keadaan saya sekarang. Keluarganya mungkin tak tahu mungkin juga tahu dia gay, sebab dia selalu membawa pulang teman lelakinya balik kampung. Dan semua itu dia tutup dengan limpahan wang yang dicurahkan kepada ibu dan keluarganya.

Kini dalam usia 40-an, dia gembira tinggal bersama lelaki yang lebih muda. Dia juga mengaku that he is a straight acting gay. Tu pasal saya tak pernah sempurna baginya, sebab saya tidak ada apa yang dia mahukan. Kini bersepah golongan macam dia. It s like a trend. To him marry just to have kid only and to prove to society that they are normal, demikian cerita NorElyna. Dia cukup bimbang ketika Shahril ambil anak, kerana dia akan dijaga dan dimandikan oleh teman lelakinya sepeninggalan Shahril bekerja.

Pembaca tentu sedar tentang pertambahan jumlah golongan gay di kalangan masyarakat bangsa Melayu beragama Islam sekarang. Di mana silapnya? Adakah salah ibu bapa, kurang didikan agama atau pergaulan bebas? Pembaca tentu boleh memberikan jawapannya.

Mona
http://www.dcckmona.com
(Utusan)


Akta undang-undang Islam lindungi isteri ditipu suami

Mac 6, 2012

Penat mengerjakan kenduri kahwin masih terasa. Sakit belakang melayan tetamu yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah masih segar di fikiran. Malah sebahagian hadiah pemberian kawan dan jiran tetangga masih belum pun disentuh Zainab (bukan nama sebenar). Bukan kerana tidak sudi membukanya, tetapi jumlahnya terlalu banyak.

Selesai kenduri di rumah sebelah Zainab, selang tiga hari, dia dan keluarga bergegas ke sebelah keluarga suami pula. Walaupun jaraknya agak jauh tetapi Zainab terpaksa mengikut rentak suaminya itu.

“Abang orang berniaga. Tak mahu buat lambat sangat. Kalau boleh mahu adakan sekali saja majlis kahwin itu. Lagipun kita buat yang wajib. Haram berlebih-lebihan. Hidup kita sebagai suami isteri bermula lepas berkahwin. Ingat tu?,” pesan suaminya yang dituruti.

Pada telinganya suara itu amat lembut menusuk hingga ke jantung hatinya. Walaupun ibu bapa Zainab berkeras mahu ada majlis secara besar-besaran di hotel lima bintang, sepadan dengan status ibu bapa Zainab bergelar Prof Madya, tetapi Zainab enggan.

“Mak bukan nak berlagak. Tapi kita ramai kenalan dan saudara mara. Kalau kita mampu tidak ada salahnya. Zainal tu pun satu, kenapa macam nak berahsia,” katanya sebulan sebelum majlis berlangsung. Peliknya kata-kata ibu sendiri tidak pula dituruti Zainab. Kata Zainal saja didengari. Tidak pernah dia terfikir suaminya `conman’ atau `kerja bukan-bukan.

Zainab sedar, usianya bukan muda remaja. Kalau memilih sangat nanti tidak kahwin pula. Justeru, cakap suami lebih utama apalagi menyedari betapa hebatnya lelaki itu di matanya.

Zainal sendiri terfikir di mana istimewanya Zainab di mata suami sedangkan dari segi paras rupa, Zainab hanyalah dalam kategori biasa dan bukannya jelita.

Lebih-lebih lagi suaminya pula bukan orang sebarangan tetapi ada kedudukan dan gelaran pula. Kalau tetamu yang datang dengan tangan kosong, bukankah malu sendiri? Begitupun kemanisan hidup bergelar isteri kepada Zainal tidak lama. Siapa sangka, seminggu saja dia dapat berasakan getaran kasih sayang Zainal. Selebihnya dia ditinggalkan bersendirian di rumah.

Zainab mulai sedar Zainal sebenarnya seorang yang bengis. Apa saja yang dilakukan langsung tidak boleh ditegur. Dia merasakan dirinya bagaikan mangsa kepada suami tidak bertanggungjawab. Sama seperti kisah keluarga yang kerap di paparkan di skrin televisyen. Keadaan itu menyebabkan dia perlu ambil tahu kegiatan sebenar suaminya.

“Ini sudah salah. Mana boleh suami bersikap macam itu,” tanya Zainab sendiri di dalam hatinya. Secara diam dia memasang perisik peribadi. Walaupun dia tahu suaminya ahli perniagaan, tetapi niaga apa? Tanyanya dalam hati.

Zainab sebetulnya bukan sebarangan orang. Graduan perundangan ini dalam diam mengupah perisik untuk mengetahui kegiatan suaminya. Menerusi perisikan itulah membawanya bertemu seorang Tan Sri.

Tan Sri muda itu membongkarkan segala-galanya kepada Zainab. Berhubung kerja kotor Zainal yang suka menipu orang lain, menerusi kebijaksanaan dan gelaran.

Zainab hanya mengalirkan air mata mendengar satu persatu cerita yang keluar dari mulut Tan Sri muda itu.

Entah betul atau tidak, dia sendiri tidak tahu. Tetapi apa yang pasti bila dengar saja Zainal suka bertukar teman wanita, `bab’ itulah yang paling melekat di hatinya untuk terus bertekad mengucapkan selamat tinggal kepada Zainal.

Dia lebih menyesal lagi kerana tidak pernah terfikir untuk mengupah perisik, mengintip kegiatan Zainal sebelum berkahwin.

“Kalau tahu begini kerja abang, saya memang tak mahu kahwin,” kata Zainab `menghentam’ perbuatan terkutuk suaminya itu.

“Suka hati kaulah Zainab. Kalau kau mahu, aku bila-bila masa saja boleh ceraikan kau,” hati Zainab benar-benar remuk ketika Zainal menuturkan kata-kata kesat itu.

Dan hari itu, Mahkamah Syariah menyaksikan leraikan ikatan perkahwinan mereka berdua.

Mujur Zainab mempunyai orang tua yang sangat membantu. Kepada orang tua itulah dia mengadu segala perkara. Malah mereka turut meyakinkan Zainab bahawa lebih baik hidup sendiri daripada bersuamikan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa inilah keputusan paling wajar. Buat apa tunggu lagi? Silap- silap hari bulan kita yang dijualnya. Bagi wanita yang langsung tidak dilayan sewajarnya sebagai manusia, keluarlah dari keadaan itu. Saya bukan menggalakkan perceraian, tetapi kalau suami tidak bertanggungjawab dan menjadikan perkahwinan sebagai topeng untuk mengaburi orang ramai saja, apalah ertinya,” katanya. Apa kata peguam

Akta undang-undang Islam lindungi isteri ditipu suami

BERDASARKAN fakta kes di atas, jelas Zainal mengingkari sabda Rasulullah dalam sebuah hadisnya bermaksud: Daripada Jabir bin Abdullah, katanya, Rasulullah bersabda:

“Takutlah kamu kepada Allah mengenai tanggungjawab terhadap isteri kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Hendaklah kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Ibn Majah).

Dalam hal ini, Zainal wajib berbuat baik kepada Zainab mengikut suruhan Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara makruf (baik). Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Nisa, ayat 19)

Nabi SAW juga mengingatkan suami dalam hal ini melalui sabda Baginda SAW yang bermaksud: ” Sebaikbaik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sehubungan itu, antara peruntukan undangundang untuk melindungi isteri daripada sikap tidak bertanggungjawab suami adalah Seksyen 127 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan sesiapa yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya, sudah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum mengikut bidang kuasa mahkamah.

Selain itu, Seksyen 128 akta yang sama menyatakan suami yang tidak adil kepada isteri sudah melakukan kesalahan dan boleh dihukum.

Mengenai perangai Zainal yang sering bertukar teman wanita, Zainab boleh membuat aduan di pejabat agama berhampiran supaya siasatan dan dakwaan dapat dilakukan. Sekiranya terbukti benar, Zainal boleh disabitkan dengan pelbagai kesalahan dan hukuman antaranya seperti Seksyen 20 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu perbuatan sumbang ataupun Seksyen 27 akta sama bagi kesalahan khalwat.

Bagi kesalahan Zainal yang serius seperti menipu dan menyalahgunakan gelaran, Zainab boleh membuat laporan polis serta membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara untuk siasatan terperinci untuk tindakan undang-undang.

Bagi menjamin kebajikan selepas bercerai, Zainab boleh membuat tuntutan harta sepencarian, nafkah dan hak jagaan anakanak mengikut seksyen ditetapkan mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam. Zainab pasti lebih arif berkenaan hak dan tuntutan yang perlu dilakukan, memandangkan beliau mempunyai latar belakang bidang perundangan.

Pengajarannya, suami tidak sepatutnya mencontohi sikap Zainal yang amat tidak bertanggungjawab. Suami perlu ada bertanggungjawab dengan perkahwinan dan menunaikan amanah dipikul.

Islam menegah perbuatan menzalimi wanita sebagai mana firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 231 bermaksud “Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka.” Tambahan lagi, Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud, “Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik- baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok- bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskan kamu akan mematahkan, sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)”.


Teman maya Facebook untuk pasangan diabai kasih sayang

November 11, 2011

Golongan yang ketagih melayani ‘teman maya’ melalui laman sosial seperti Facebook di samping khidmat pesanan ringkas (SMS) sehingga mengabaikan tanggungjawab rumah tangga perlu diberi rawatan kaunseling psikologi.

Pensyarah dan Kaunselor Berdaftar di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Haslee Sharil Abdullah berkata, seperti penagih dadah, golongan yang ketagihan melayani ‘teman maya’ juga perlu diberi rawatan psikoterapi pada peringkat awal.

Menurutnya, akibat terlalu tertumpu kepada alam maya, seseorang itu secara tidak sedar telah mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga selain menjejaskan kehidupan sehariannya.

“Jika tidak diberi rawatan psikoterapi, seseorang itu akan hilang kawalan diri dan dalam keadaan tersebut sama ada menghentikan tabiat itu atau terus leka dan hanyut dalam dunia mereka sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim semalam bahawa keasyikan melayani ‘teman maya’ di Facebook sehingga lupa tanggungjawab menjadi antara punca ramai pasangan Islam bercerai.

Beliau menambah, penagih ‘teman maya’ akan hilang pertimbangan sehingga sanggup menolak aspek moral dan agama asalkan apa yang dilakukan memberi kepuasan dan memenuhi nafsu mereka.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, seseorang itu jika merasakan diri mereka terabai setelah tidak mendapat kasih sayang secukupnya daripada pasangan hidup juga akan bertindak melayani ‘teman maya’ di Facebook.

Apabila pasangan hidup merasakan diri mereka diabaikan jelasnya, mereka akan cuba mencarinya menerusi Facebook dan laman sembang di Internet.

Kata Haslee, kadangkala golongan berkenaan hanya memerlukan ayat-ayat cinta menerusi Facebook tanpa bersemuka bagi memenuhi keperluan yang gagal dipenuhi oleh pasangan hidup.

Beliau menambah, perasaan tersisih dan terancam kerana isteri berkedudukan tinggi dan bergaji lebih besar daripada suami juga antara faktor ‘teman maya’ di Facebook sering didampingi.

Berhubung fenomena hari ini yang mana hampir semua remaja mempunyai kenalan di Facebook sebelum berkahwin, Haslee berkata, perceraian tidak akan berlaku sekiranya setiap suami dan isteri saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Katanya, pertalian perkahwinan akan tetap kukuh selagi pasangan tidak berasa diabaikan, tersisih serta tergugat walaupun masing-masing mempunyai ‘teman maya’ di Facebook.


Pentingnya hubungan kekeluargaan dipelihara

September 22, 2011

Sesungguhnya keimanan itu tidak boleh diwarisi dari seorang bapa kepada anaknya. Begitu juga kepada kaum kerabat serta mereka yang mempunyai tali persaudaraan dengannya.

Keimanan dan ketaqwaan merupakan hak individu dan ia akan dinilai oleh Allah SWT mengikut tahap pencapaian masing-masing. Orang yang beriman akan mendapat ganjaran pahala dan syurga sementara orang yang kufur akan mendapat azab siksaan Allah.

Hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan amat penting dalam hidup kita. Walau bagaimanapun, hubungan ini akan terputus di akhirat sekiranya terputus hubungan akidah di antara mereka.

Pada ketika ini kaum kerabat dan anak-anak mereka tidak akan berguna kepadanya kerana tali hubungan yang mengikat mereka telah terputus.Hanya tali akidah sahaja boleh mengikat mereka di sisi Allah.

Realitinya ketika di dunia lagi kita boleh perhatikan kerenggangan hubungan kekeluargaan ini sekiranya salah seorang mereka memutuskan hubungan akidah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala tindakan mereka dan niat yang tersembunyi di dalam hati-hati mereka.

Kesimpulan

Hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan yang teguh amat penting dalam kehidupan kita seharian. Walau bagaimanapun, hubungan ini boleh terputus sekiranya salah seorang daripadanya memutuskan hubungan akidah di antara mereka.

Sekiranya perkara ini terjadi,maka terpisahlah hubungan ibu, bapa, anak-anak serta kaum keluarga yang lain. Ini bermakna mereka tidak dapat mendatangkan apa-apa faedah yang boleh membantu antara satu sama lain ketika di akhirat kelak.

Justeru itu marilah kita bersama-sama saling bantu membantu dalam usaha memelihara akidah di kalangan anggota keluarga khususnya dan keseluruhan umat Islam amnya.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers