Pusat Dialisis PPZ-MAIWP pendekatan dakwah bil hal

Oktober 8, 2009

Pusat Dialisis PPZ-MAIWP untuk pesakit yang tidak berkemampuan

Operasi rawatan hemodialisis di Pusat Dialisis PPZ-MAIWP dijalankan dalam tiga syif bagi memastikan kelancaran rawatan.

MENERIMA berita pemergian Mantan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Abdul Rahim Bakar ke rahmatullah baru-baru ini, begitu mengejutkan penulis.

Sungguhpun tidak pernah bersua atau mengenali Allahyarham secara rapat, tetapi rupa-rupanya Allahyarham adalah antara individu yang telah bertanggungjawab dalam pengkorporatan PPZ.

Bahkan sepanjang 17 tahun Allahyarham menjawat kerusi Pengerusi PPZ, pelbagai sumbangan telah dilakukan dalam usaha memartabatkan institusi zakat tersebut.

Kebetulan pula, semasa membuat liputan mengenai Pusat Dialisis PPZ-MAIWP di Pusat Bandar Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak beberapa hari sebelum umat Islam menyambut lebaran Syawal, penulis telah diberitahu oleh Ketua Unit Kemasyarakatan dan Hal Ehwal Antarabangsa PPZ, Amran Hazali bahawa idea penubuhan Pusat dialisis itu sendiri adalah cetusan ilham Allahyarham lewat sekitar tahun 2004. Al-Fatihah.

Pusat Dialisis PPZ-MAIWP dibuka dengan rasminya oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman pada 12 September 2005.

Menurut Amran, kewujudan pusat dialisis itu adalah atas kesedaran tentang pertambahan pesakit buah pinggang di kalangan orang Islam yang semakin meningkat. Apa lagi bagi mereka yang tidak berkemampuan.

Penubuhan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP merupakan salah satu pendekatan dakwah bil-hal yang akan memberi impak positif kepada perkembangan Islam di Wilayah Persekutuan khasnya dan di dalam negara amnya.

Di sinilah terbukti segala hasil kutipan zakat dan sumbangan masyarakat prihatin digunakan. Kutipan warga kota yang berkelayakan membolehkan PPZ-MAIWP membuka pusat dialisis bagi membantu golongan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan secara percuma.

“Boleh dikatakan kos untuk mendapatkan rawatan hemodialisis agak mahal iaitu antara RM2,700 hingga RM3,000 sebulan.

“Jika dilihat pada jumlah di atas, seorang pesakit terpaksa menanggung lebih RM30,000 setahun. Sudah pasti ia sesuatu yang membebankan. Ditambah komitmen lain serta kos sara hidup kini yang semakin meningkat.

“Kita bermula dengan lima mesin dialisis dan kira-kira lima ke enam pesakit sahaja. Sehingga kini pusat ini mempunyai sembilan mesin dialisis dan menguruskan seramai 42 pesakit.

“Pusat Dialisis PPZ-MAIWP beroperasi seawal pukul tujuh pagi serta bergerak menerusi tiga syif,” jelas Amran yang ditemui selepas majlis sumbangan hamper raya kepada pesakit dan kakitangan pusat dialisis itu pada pertengahan September lalu.

Tambah beliau lagi, uniknya di Pusat Dialisis PPZ-MAIWP ini, ia tidak bermotifkan keuntungan. Ia lebih merupakan tanggungjawab sosial setelah mengetahui kos rawatan hemodialisis yang agak tinggi.

Menyedari hakikat ini, maka PPZ mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan. Setiap sesi rawatan disediakan secara percuma.

Pesakit yang berkelayakan menerima bantuan pembiayaan daripada institusi tertentu, boleh mendapatkan rawatan secara aman dan tenang.

Malah bagi pesakit yang masih belum memperoleh penaja tetapi sudah mendaftar, mereka juga dibolehkan menerima rawatan sementara permohonan pembiayaan sedang dalam proses.

Kata Amran, para penerima bantuan ini bukan sahaja ditanggung kos keseluruhan perubatan mereka tetapi mereka juga ditampung kos pengangkutan untuk ke pusat dialisis. Ini semua bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung oleh para pesakit.

“Sungguhpun rawatan yang diterima para pesakit adalah percuma, aspek kualiti perkhidmatan tidak kami abaikan.

“Bertitik tolak dari itulah, setiap tahun kami akan menjalankan kaji selidik serta menemu bual para pesakit bertanyakan pandangan mereka,” jelas beliau Pusat Dialisis Aiman bertanggungjawab menguruskan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP.

Menjelaskan perancangan akan datang terhadap pusat dialisis ini, kata Amran, PPZ sudah ada perancangan untuk menambah mesin hemodialisis berbanding sembilan buah yang ada sekarang. Ini semua bertujuan memberi keselesaan serta memberi rawatan kepada lebih ramai pesakit yang dilihat trendnya semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Jika berjalan lancar, pada tahun hadapan kita juga merancang menambah jumlah pesakit. Ini kerana sambutan orang ramai yang semakin meningkat kepada pusat ini.

“Pihak kami juga menyeru umat Islam yang mengenali mana-mana individu yang bermasalah dari segi kewangan bagi menampung kos rawatan hemodialisis agar merujuk kes mereka itu ke PPZ.

“Pun begitu, biarlah yang memohon itu, benar-benar berkelayakan dan tidak berkemampuan,” ujar Amran pagi itu.

Pada majlis ini juga, para wartawan diberi kesempatan melihat sendiri bagaimana rawatan kepada pesakit dijalankan, mewawancara dan bertanya khabar pesakit.

Oleh ZUARIDA MOHYIN


Sakit dada – sila ambil peduli

September 29, 2009

Pernahkah anda sakit dada? Adakah ia teramat sakit sehingga anda tidak mampu untuk bernafas atau bergerak? Bagaimanakah perasaan anda sewaktu mengalami sakit dada?

Apakah yang anda lakukan bagi mengurangkan kesakitan dada anda? Adakah anda panik pada ketika itu? Adakah anda terfikir bahawa apa yang anda alami ketika ini ialah serangan jantung atau penyakit jantung koronari? Sebahagian daripada kita lebih mengenalinya sebagai heart attack.

Pernahkah seseorang mengadu sakit dada kepada anda? Apakah tindakan segera anda?

Simptom sakit dada adalah di antara sebab utama pesakit datang ke hospital (Jabatan Kecemasan) untuk mendapatkan rawatan.

Di Jabatan Kecemasan, pesakit yang mengadu sakit dada kemungkinan dikategorikan sebagai pesakit zon merah atau zon kuning bergantung kepada tahap teruknya kesakitan yang dialami.

Pesakit zon merah dianggap pesakit kritikal sementara pesakit zon kuning dianggap separuh kritikal.

Ini menunjukkan sakit dada adalah simptom atau penyakit yang serius dan mempunyai potensi menjadi bertambah teruk atau menyebabkan kematian. Doktor akan memeriksa dan merawat pesakit kategori ini dengan segera.

Kategori

Secara mudah, punca sakit dada dibahagikan kepada 2 kategori:

1) kardio-pulmonari (jantung dan paru-paru)

2) bukan kardio-pulmonari (berpunca daripada otot dada, salur penghadaman dan lain-lain).

Sakit dada berpunca daripada masalah kardio-pulmonari adalah lebih serius. Kegagalan untuk mengenal pasti perkara tersebut boleh mengakibatkan organ jantung gagal berfungsi atau berlakunya kematian mengejut.

Oleh itu, telah menjadi kewajipan bagi seorang doktor untuk memastikan bahawa sakit dada anda bukannya berpunca daripada masalah jantung atau secara khususnya bukan berpunca dari penyakit jantung koronari.

Bila seseorang mengalami sakit dada atau mati mengejut, kebarangkalian besar ia berpunca daripada penyakit kardiovaskular atau jantung.

Ia diterjemahkan sedemikian berdasarkan statistik punca utama kematian dan kemasukan hospital di Malaysia dan di dunia.

Kebarangkalian mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi sekiranya pesakit sudah disahkan oleh doktor mempunyai masalah jantung atau mempunyai faktor-faktor risiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung koronari.

Punca sakit dada disebabkan oleh penyakit kardio-pulmonari yang serius melibatkan:

1. Penyakit jantung koronari atau serangan jantung (heart attack)

2. Salur darah utama terkoyak (aortic dissection)

3. Keradangan jantung (pericarditis/myocarditis)

4. Pendarahan dalam jantung dan paru-paru (cardiac tamponade/hemothorax)

5. Kegagalan fungsi paru-paru (pneumothorax atau pulmonary embolism)

Koronari

Penyakit jantung koronari secara amnya disebabkan oleh pengurangan atau tiada aliran darah yang membawa oksigen ke jantung.

Tanpa oksigen yang cukup, otot jantung akan cedera atau mati. Jantung yang cedera atau mati mengakibatkan kematian melalui tiga cara:

1) Kematian mengejut disebabkan oleh rentak jantung yang tidak normal

2) Kegagalan otot jantung mengepam darah ke seluruh tubuh badan

3) Kegagalan mekanikal disebabkan injap rosak atau dinding jantung terkoyak.

Kajian kes kematian akibat penyakit jantung koronari di Amerika Syarikat (AS) pada 1994 menunjukkan 52 peratus pesakit meninggal dunia di tempat kejadian, lapan peratus meninggal dunia dalam jangka masa 24 jam, 19 peratus meninggal dunia dalam jangka masa 48 jam dan 21 peratus lagi meninggal dunia dalam jangka masa 30 hari.

Apa yang dapat disimpulkan kadar kematian penyakit jantung koronari adalah tinggi dan kebanyakan daripada mangsa meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital.

Andai di AS yang terkenal dengan tahap pendidikan dan kemudahan kesihatan yang tinggi dan canggih, apakah kebarangkalian kematian pesakit jantung koronari di negara kita sebelum tiba di hospital?

Ada beberapa postulasi kenapa kadar kematian di luar hospital adalah tinggi. Di antaranya ialah kegagalan mengenal pasti simptom sakit jantung, kelewatan meminta bantuan atau kelewatan memberi rawatan awal seperti rawatan renjatan elektrik (defibrilasi) dan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Apakah simptom atau manifestasi awal penyakit jantung koronari? Sakit dada semasa rehat atau ketika menjalankan tugas, riadah atau aktiviti adalah antara manifestasi awal.

Ianya sakit yang teramat dan mencemaskan. Ada di antara para pesakit menyatakan ia seumpama terputus nafas atau hampir mati, dada seperti hampir pecah atau seumpama seekor gajah menghempap dada mereka.

Ciri sakit dada penyakit jantung koronari termasuk ketat dada, terbakar dada, tekanan dalam dada, terbakar dalam dada, ketidakselesaan yang teramat dan cengkaman kuat di dalam dada selama lebih dua minit.

Sakit dada penyakit jantung koronari bertambah jika pesakit meneruskan aktiviti atau stres dan ianya berkurangan atau hilang bila pesakit berehat atau menggunakan ubat pengembangan salur darah (GTN) di bawah lidah.

Kadang-kala sakit dada ini dapat dirasa pada bahu, leher, tekak dan tangan. Pesakit juga mungkin berasa susah hendak bernafas, berdebar, pening loya, muntah dan berpeluh.

Ianya adalah suatu pengalaman yang mengerikan. Jika anda mengalami sakit dada selama lebih dari 10 minit semasa rehat, sila dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Tindakan pantas

Apakah yang perlu anda lakukan bila saudara atau rakan anda mengadu sakit dada seperti yang diutarakan di atas?

Anda perlu yakin bahawa ianya adalah disebabkan oleh penyakit jantung koronari. Tindakan pantas anda mendail talian kecemasan 999 untuk mendapatkan perkhidmatan hospital atau segera menghantar pesakit ke hospital berhampiran berkemungkinan akan menyelamatkan nyawa atau mencegah kemusnahan otot jantung pesakit.

Buatlah panggilan secara efektif. Bertenang dan bernafas dengan betul. Jangan tergesa-gesa bila bercakap.

Kenalkan diri anda dan terangkan keadaan pesakit. Jangan lupa memberitahu lokasi anda dengan tepat.

Elakkan membuat panggilan sia-sia kepada kaum kerabat atau berbincang dengan doktor persendirian pesakit.

Masa adalah amat penting dalam rawatan penyakit jantung koronari. Kemusnahan otot jantung makin bertambah setiap minit sehingga aliran darah koronari kembali mengalir dengan efektif.

Tenangkan perasaan dan dudukkan pesakit dalam posisi rehat. Ini mungkin akan mengurangkan kesakitan pesakit.

Tunggu bersama pesakit sehingga bantuan tiba. Kemungkinan pesakit akan tidak sedarkan diri dan tidak bernafas dan anda harus melakukan CPR.

Adalah menjadi harapan penulis di masa hadapan setiap kes sakit dada dinilai dan dirawat oleh kakitangan perubatan terlatih yang membawa peralatan dan ubat-ubatan lengkap ke tempat kejadian. Penulis percaya ianya mampu mengurangkan kadar kematian penyakit jantung koronari.

Setibanya di Jabatan Kecemasan, pesakit akan diperiksa oleh doktor. Elektrokardiografi (ECG) akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit dada dan kategori penyakit jantung koronari.

Hasil keputusan ini membantu doktor memberi rawatan yang tepat kepada pesakit. Ubat-ubatan yang akan diberi kepada pesakit ini termasuk oksigen, aspirin, plavix, GTN, morfin, heparin, streptokinase dan lain-lain.

Pakar jantung akan melakukan Intervensi Jantung Primer (Primary Coronary Intervention) atau pembedahan jika keadaan amat memerlukan.

Kesimpulannya, penyakit jantung koronari adalah pembunuh utama masyarakat Malaysia. Ia mampu dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat – makanan seimbang, melakukan senaman sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali seminggu, tidak merokok atau mengambil alkohol, dan juga selalu berdoa kepada tuhan.

Sila ambil peduli jika anda, ahli keluarga atau rakan anda mengalami sakit dada. Bertindaklah sewajarnya kerana anda mampu menyelamatkan nyawa anda sendiri dan mereka yang tersayang. Allahualam.

~ Dr Rashidi Ahmad (Utusan)


Jangan gugurkan anak!

September 29, 2009

Pengguguran kandungan bakal mengundang risiko pada kemudian hari. Wanita yang melakukan pengguguran sebenarnya berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran yang seterusnya.

Kajian pakar perubatan dari Kanada mendapati wanita yang menjalani proses pengguguran berisiko sebanyak 72 peratus mendapat bayi kurang berat badan dan 93 peratus bayi pramatang.

Pakar Jabatan Pediatrik di Hospital Mount Sinai, Toronto Dr. Prakesh Shah mendedahkan, antara punca utama keadaan itu adalah kerosakan fizikal pada bahagian serviks yang terjadi ketika pengguguran secara konvensional dilakukan.


Rabun jauh rabun dekat

September 16, 2009

Rabun jauh rabun dekat

Rabun antara masalah penglihatan yang paling biasa berlaku kepada semua peringkat umur dalam masyarakat. Kini, masalah rabun juga sering dialami kanak-kanak sebelum tibanya usia persekolahan lagi.

Pun begitu, tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk membantu memperbaiki tahap penglihatan.

*Jenis rabun

Terdapat dua jenis masalah rabun iaitu rabun jauh dan rabun dekat. Rabun jauh ialah keadaan di mana seseorang tidak dapat melihat objek yang jauh dengan jelas, tetapi dapat melihat objek dekat dengan jelas.

Perkara sebaliknya berlaku pada individu yang mengalami rabun dekat iaitu objek yang dekat kelihatan kabur, tetapi objek jauh pula boleh dilihat dengan jelas.

Beberapa gejala kanak- kanak yang mengalami rabun jauh dapat dikesan dengan mudah.

Selalunya mereka akan membaca buku pada jarak dekat dan apabila melihat objek yang jauh, seperti televisyen, mereka akan mengecilkan kedua-dua mata supaya objek itu kelihatan lebih jelas.

*Punca rabun jauh

Setakat ini, tiada teori tepat mengenai punca berlakunya rabun jauh. Bagaimanapun, faktor keturunan mempunyai pengaruh terhadap berlakunya rabun jauh.

Kemungkinan seorang anak yang ibu bapanya menghidap rabun jauh untuk mengalami masalah sama ialah 40 peratus.

Ada teori mengatakan, rabun jauh berlaku jika seseorang gemar membaca pada jarak dekat.

Sesetengah pakar lain pula mengatakan, kerana rabun jauhlah seseorang itu membaca pada jarak dekat.

Rabun jauh bukan sejenis kecacatan. Sebenarnya struktur mata orang yang rabun jauh adalah normal.

Apa yang berlaku ialah, biji mata mereka lebih besar dan panjang berbanding orang yang tidak rabun.

Imej yang masuk ke dalam mata tidak dapat difokus dengan tepat ke atas retina, tetapi terfokus pada kedudukan di depan retina.

Situasi ini dapat diumpamakan dengan perbezaan manusia berambut lurus dan berambut kerinting, ada yang bercermin mata dan ada yang tidak bercermin mata.

Tahap kerabunan tidak bertukar atau bertambah akibat cermin mata selalu dipakai.

Sebenarnya, sama ada cermin mata dipakai atau tidak, tahap kerabunan akan meningkat setiap enam bulan di mana kuasa cermin mata harus ditukar.

Ini satu proses semula jadi yang dialami individu yang rabun. Penambahan tahap kerabunan berlaku sehinggalah individu berkenaan mencapai usia dewasa iaitu apabila meningkat umur 18 hingga 25 tahun.

Oleh itu, adalah penting memastikan kanak-kanak rabun memakai cermin mata untuk memberi keselesaan dan menentukan mereka dapat melihat sejelas mungkin di sekolah.

Faktor pemakanan tertentu memainkan peranan dalam tahap kesihatan mata. Tidak dapat dinafikan, vitamin A diperlukan dalam proses biokimia di dalam retina mata.

Namun, ini tidak bererti vitamin A dapat mengubat kerabunan, seperti mana dilakukan kebanyakan ibu yang memberi anak mereka makan sayur lobak merah dengan harapan masalah kerabunan itu akan hilang. Ini merupakan satu usaha yang tidak memberi manfaat.

*Rawatan

Kaedah rawatan paling mudah untuk masalah rabun adalah melalui penggunaan cermin mata.

Kaedah lain pula ialah menggunakan kanta lekap yang diletakkan di atas lapisan kornea.

Rawatan terbaru ialah rawatan laser atau lasik yang memberi seseorang itu keyakinan dan tidak perlu memakai cermin mata.

Sebilangan daripada mereka yang rabun mungkin mengalami komplikasi kelekangan lapisan retina.

Ini berlaku apabila retina lekang daripada lapisan koroid, menyebabkan gangguan fungsi retina dan menyebabkan buta jika tidak dirawat.

Kelekangan retina boleh berlaku kepada seseorang yang rabun jauh. Pesakit mungkin akan mengalami kehilangan penglihatan di medan penglihatan sebelah bawah.

*Presbiopia

Sejenis masalah rabun yang berlaku apabila seseorang itu dapat melihat objek yang jauh dengan baik, tetapi tidak dapat membaca dengan baik dikenali sebagai presbiopia.

Ia biasanya berlaku pada seseorang yang mencapai umur lebih 40 tahun.

Ini disebabkan proses pengerasan kapsul kanta yang menyebabkan pengurangan pergerakan kapsul kanta ketika melihat objek.

Dalam keadaan seseorang ingin memfokus pada objek yang dekat, kapsul tersebut harus mengendur untuk menjadikan kanta itu lebih cembung.

Apabila berlaku pengerasan, proses ini sukar dilakukan dan keupayaan mata melihat objek yang dekat berkurangan.

Masalah ini perlu diatasi dengan memakai cermin mata untuk membaca yang harus ditukar setiap dua tahun.

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu menghidap presbiopia, kekaburan dekat berlaku pada kedua-dua mata dan ketajaman objek itu menjadi lebih jelas apabila objek dijauhkan sedikit.

Masalah ini juga tidak seharusnya disalahfahamkan dengan masalah katarak mata, terutamanya bagi mereka yang melebihi umur 40 tahun.

Penghidap katarak menghadapi kesukaran melihat objek jauh. Seseorang yang menghidap katarak tidak dapat melihat objek jauh dengan jelas dan objek tersebut masih kelihatan kabur walaupun dengan memakai cermin mata.

*Rabun dekat

Apabila seseorang itu rabun dekat, otot mata mereka harus bekerja kuat untuk memfokuskan objek ke atas retina.

Jika usaha ini terlalu kuat, akan terjadi tanda seperti kekaburan, sakit di atas kening dan mata yang selalu letih dan berair, terutama selepas membuat kerja yang menggunakan penglihatan dekat seperti menjahit dan membaca.

Kanak-kanak yang rabun dekat berkemungkinan mempunyai daya tumpuan yang singkat. Mereka juga mungkin menjadi juling.

Apakah kaitan di antara rabun dekat dan presbiopia? Mereka yang bermasalah rabun dekat atau hiperopia menghidapi presbiopia pada umur lebih muda iaitu sebelum 40 tahun berbanding mereka yang tiada masalah ini.

Seperti rabun jauh, rabun dekat juga dapat dirawat dengan memakai cermin mata atau kanta lekap.

Kadang kala, sebilangan kanak-kanak yang menghidap rabun dekat dapat memulihkan masalah kejulingan mata selepas memakai cermin mata.

~ Utusan


Mengawal peningkatan berat badan

September 14, 2009

Mengurangkan Berat Badan

Selepas membuat pemeriksaan, didapati terdapat peningkatan paras gula yang ketara dalam darah saya.

Doktor menasihatkan saya mengawal pemakanan dengan baik, agar paras gula dapat dikawal dengan cara lebih semula jadi dan juga supaya mengurangkan berat badan saya yang berlebihan. Apakah amalan sihat yang seharusnya saya amalkan?

————

Walaupun terdapat banyak cara yang diiklankan untuk membantu anda mengurangkan berat badan, namun cara yang paling selamat dan berkesan dalam jangka panjang adalah dengan membakar lebih banyak kalori berbanding dengan yang diambil (dimakan).

Ini boleh dicapai dengan mengurangkan pengambilan kalori (kurangkan makan atau mengambil makanan yang sihat) atau meningkatkan penggunaan tenaga (contohnya banyakkan senaman).

Sekiranya anda membuat senaman, pengambilan astaxantin adalah dicadangkan memandangkan ia membantu dari segi stamina dan juga pemulihan otot selepas bersenam dalam usaha mengurangkan berat badan.

Selalunya perubahan gaya hidup seperti mengambil hidangan yang lebih kecil diamalkan untuk mengawal tabiat pemakanan.

Puasa boleh dijadikan langkah permulaan dan apabila dilakukan dengan baik, ia mampu meningkatkan kesihatan tubuh termasuk juga pengawalan berat badan.

Makan secara berhemah semasa dan selepas berbuka puasa merupakan satu faktor penting.

Selain mengurangkan saiz hidangan, pastikan anda mengambil makanan yang seimbang untuk memperolehi nutrien penting walaupun berpuasa. Hadkan masakan bersantan, berlemak, berminyak dan banyak gula.

Untuk menjayakan usaha pengurangan berat badan, panduan berikut boleh dijadikan amalan:

*Senaman aerobik akan membantu meningkatkan tisu-tisu otot dan membakar lebihan kalori. Anda harus merancang 30 minit setiap sesi sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

*Perubahan tabiat pemakanan secara perlahan-lahan akan membantu menggalak perubahan gaya hidup yang berpanjangan

*Kurangkan berat badan secara beransur-ansur, iaitu sekitar 1 hingga 2 paun seminggu sehinggalah anda mencapai berat badan diingini.