Peranan Mak Andam Di Majlis Perkahwinan

Jun 13, 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bakal pengantin perempuan kini lebih gemar guna khidmat jurusolek moden

MELANGKAH ke alam perkahwinan bagi kebanyakan bakal pengantin ia adalah sesuatu yang mendebarkan. Malah, semakin hampir tarikh yang ditetapkan, semakin itulah kencangnya debaran di hati apabila menantikan saat itu.

Menyedari perkara itulah pada zaman dulu, mak andam adalah antara individu yang sangat penting di dalam sesebuah majlis perkahwinan orang Melayu. Sebut saja hal perkahwinan mesti ada mak andam yang bertanggungjawab secara menyeluruh; daripada menjaga protokol majlis hinggalah kepada kesempurnaan penampilan pengantin termasuk, menjaga pengantin secara rohani dan jasmani.

Apa yang pasti, pengisian rohani bagi bakal pengantin yang akan menaiki jinjang pelamin oleh mak andam dilihat begitu penting dijaga agar mempelai berasa lebih tenang, tidak gemuruh dan yakin khususnya ketika bersanding di atas pelamin.

Begitu juga dengan penjagaan jasmani supaya pengantin kelihatan cantik, berseri dan sopan. Detik itu, pengantin akan dilihat mulia apabila dijaga oleh mak andam dan ia ibarat Mak Inang yang menjaga puteri raja.

Lebih unik dan menariknya, bagi masyarakat Melayu zaman dulu, adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan dibuat lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan.

Anak dara yang akan memasuki alam perkahwinan akan diandam oleh juruandam dan sudah dikenali memang kerjanya mengambil upah menjadi ‘emak pengantin’.

Juruandam, Meriam Sedit atau lebih dikenali sebagai Kak Yan, berkata walaupun adat berandam jarang dilakukan hari ini, ia sewajarnya dikekalkan sebagai persediaan awal bakal pengantin menghadapi segala kemungkinan hari bersejarah iaitu pada hari perkahwinannya.

Kak Yan, berkata ramai daripada kalangan kita yang tidak mahu berandam kerana menganggapnya kerja remeh dan lebih-lebih lagi kebanyakannya sibuk dengan urusan harian serta sering diburu masa walaupun hari perkahwinan sudah semakin dekat.

“Ada juga yang tidak mempercayai mengenai adat berandam ini dan menganggapnya sebagai karut semata tanpa mengetahui kepentingan kepada bakal pengantin itu sendiri. Tetapi bagi saya, pengantin mesti berandam kerana adat ini adalah proses menaikkan seri pengantin dan perbezaan wajah akan ketara jika bakal pengantin tidak diandam berbanding dengan yang diandam,” katanya ketika di temui di butik andaman milik sendiri yang dikenali Yan Seri Andam.

Beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang mengandam berkata, berandam sebenarnya membentuk disiplin, di samping membantu pengantin memadamkan rasa gelisah dalam diri dan supaya tampak manis serta sentiasa tertib atau tidak ‘lepas laku’ ketika bersanding.

Katanya, pada masa kini ramai yang menganggap, kerja mengandam sekadar membuat solekan muka dan dandanan rambut saja. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa mak andam ada tanggungjawab tersendiri dan seharusnya melengkapkan diri dengan keperluan yang lengkap apabila memulakan urusan mengandam. Tugas mengandam pula merangkumi dari hujung rambut hingga ke kaki.

“Apabila memperkatakan berandam pengantin, ramai di kalangan kita yang hanya mengaitkannya memantis dan mencukur kening, tetapi sebenarnya ada beberapa perkara penting yang perlu dilakukan Mak Andam.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan dalam adat potong andam sememangnya perkara sedemikian dilakukan kepada pengantin dan antara tujuan utamanya, diumpamakan sebagai mencari ketenangan di dalam diri mereka.

“Aspek psikologi dalam diri bakal si pengantin harus diambil kira memandangkan dia akan melangkah ke alam baru yang lebih bermakna,” katanya.

Kak Yan berkata, oleh kerana pasangan yang hendak berkahwin dihimpit ujian oleh godaan syaitan maka ayat dan surah al-Quran akan digunakan serta dibaca kepada pengantin sebagai ‘pendinding’ supaya dapat menempuh hari perkahwinan tanpa ada sebarang kecacatan.

Bacaan dan surah yang biasa digunakan seperti ayat Kursi, al-Fatihah, surah Yusuf serta selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Membaca doa seumpama itu penting untuk memantapkan rohani pengantin dan sebagai usaha memohon kepada Allah agar sempurna semuanya sehinggalah ke akhir majlis perkahwinan itu.

“Pokoknya, doa yang dibaca adalah untuk meminta kesejahteraan pengantin dan memastikan dirinya cantik seperti bidadari atau hebat setiap kali tetamu memandangnya serta dijauhkan daripada sebarang khianat dan malapetaka,” katanya.

Mengenai acara yang dilakukan dalam adat berandam, Kak Yan berkata, antaranya termasuklah mandi bunga. Biasanya pelbagai jenis bunga digunakan dan ia diramas terlebih dulu untuk mengambil pati sarinya kemudian dicampurkan ke dalam air sebelum pengantin berendam di dalamnya.

Antara tujuan mandi bunga ialah meredakan emosi dan menyegarkan badan. Malah, secara saintifik dan mengikut hukum fizik tenaga air dan haruman bunga sebenarnya memang berupaya untuk memberikan keharmonian dan kesejahteraan pada minda serta fizikal.

Ketika ditanya tujuan mencukur bulu roma pada wajah katanya, ia membolehkan solekan tampak lebih daripada biasa di samping, jika pengantin berpeluh ia tidak mengalir di celah bulu roma sehingga menjejaskan solekan. Memantis kening pula adalah bertujuan untuk membezakan antara lelaki dan perempuan.

Bagaimanapun, apa yang pasti hari ini peranan mak andam walaupun dilihat masih penting dan diperlukan, tugas dipikul tidaklah seberat dulu yang terpaksa menjaga bakal pengantin dari awal hingga selesai majlis perkahwinan.

Tugas utama yang dilakukan juruandam hari ini sebaliknya, lebih menitikberatkan dandanan dan menyolek paras wajah pengantin supaya tampak jelita serta berbeza daripada solekan hari-hari biasa serta memastikan persalinan pakaian mempelai lengkap dan secocok digayakan.

Malah, bagi masyarakat bandar dan individu yang dilingkari gaya hidup moden, kebanyakan tugas Mak Andam lebih banyak diganti atau diambilalih oleh jurusolek. Selain itu dulu mak andam lazimnya di kalangan orang tua yang berkemahiran dan berpengetahuan luas, khususnya berkaitan rahsia serta hal rumah tangga dan membuatkan dirinya dihormati masyarakat.

Kini, usia bukan lagi persoalan utama untuk bergelar mak andam dan ada kala individu yang menjadi juru andam masih lagi anak dara atau belum ada pengalaman melalui gerbang perkahwinan. Apa yang lebih penting, selagi mempunyai kemahiran bersolek dan berdandan, ia sudah cukup syarat untuk melaksanakan tugas sebagai juru andam.

Menarik mengenai adat berandam zaman dulu

Pengertian berandam itu sebenarnya ialah wanita yang hendak dikahwinkan perlu dicukur dan diperelokkan bentuk bulu keningnya dan dicukur andam anak rambut di sepanjang dahinya.

Kemudian, gigi anak dara itu akan diasah dengan sejenis batu pengasah gigi supaya saiz dan kedudukan gigi dapat di sama ratakan. Semua ini dilakukan oleh orang tua-tua zaman dulu dengan tujuan yang baik, iaitu untuk menambah kecantikan dan seri kepada anak dara berkenaan.

Selepas selesai diandam dan diasah gigi, anak dara itu akan dimandikan serta disapukan bedak. Bakal pengantin akan dimandikan dengan air daun buah limau purut dan Mak Andam akan menjalankan upacara sintok langir yang mengikut kepercayaan, upacara itu akan membuang rasa takut, sial, malang dan malapetaka yang bakal mengganggu anak dara berkenaan.

Apabila siap dimandikan, maka hujung sepuluh jari tangan, di tengah-tengah kedua belah tapak tangan dan di sekeliling kedua belah kaki anak dara itu akan diinaikan. Upacara menepek inai ini dilakukan terlebih dulu sebelum adat berinai di pelamin dijalankan.


Istiadat perkahwinan diraja Perak

Mei 16, 2007

Oleh Rasheffa Abdul Rashid

Pernikahan Raja Dr Nazrin, Zara hanya lalui adat meminang, akad nikah dan bersanding

BERITA gembira mengenai putera berjiwa rakyat, Raja Muda Perak Raja, Dr Nazrin Shah akan mengakhiri zaman bujangnya oleh ayahanda Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 8 Mei lalu menerusi media tempatan disambut dengan rasa penuh syukur oleh rakyat Perak yang menantikan hari bersejarah itu sejak hampir dua dekad lamanya.

Putera sulung keluarga diraja Perak itu, akan melangsungkan perkahwinannya bersama Zara Salim Davidson, 34, yang akan membawa gelaran Raja Puan Besar Perak.

Upacara perkahwinan Diraja Perak itu dijangka berlangsung selama tiga hari di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di bandar Diraja Kuala Kangsar antara 17 dan 19 Mei ini.

Istiadat lantikan dan perisytiharan gelaran itu serta penganugerahan Darjah Kerabat (DK) kepada Zara akan dilaksanakan pada satu majlis penuh istiadat pertabalan pada 18 Mei ini iaitu sehari selepas tarikh pernikahan mereka iaitu Khamis ini.

Majlis akad nikah pasangan itu akan dikendalikan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Istiadat Perkahwinan Diraja bermula Khamis ini dengan istiadat akad nikah dan menyarung cincin yang diikuti dengan istiadat pertabalan Zara hari berikutnya sebelum acara kemuncak istiadat persandingan diadakan Sabtu malam (19 Mei ini) dengan penuh adat istiadat kesultanan Perak.

Orang Melayu Perak Darul Ridzuan, khususnya Raja-Raja dan Orang Besar-Besar, sangat kaya dengan adat istiadat tersendirinya mengikut protokol ditetapkan penuh tradisi keluarga Diraja yang diwarisi turun temurun.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan adat resam yang diamalkan oleh golongan Raja dan Orang Besar-Besar sekarang dicampur-aduk dengan kehendak protokol moden dan pergaulan Barat yang dibawa masuk ke tanah air oleh penjajah Inggeris sebelum Malaysia memperoleh kemerdekaan.

Lebih-lebih lagi adat yang didapati bercanggah dengan ajaran agama Islam serta adat yang dianggap terlalu kuno sudah pun dipinda mahupun disingkirkan.

Menurut laman web kerajaan Perak yang memaparkan adat istiadat dan protokol Diraja Perak, sebenarnya adat istiadat orang Melayu banyak berubah mengikut peredaran zaman terutama bagi upacara perkahwinan.

Dalam satu kenyataan dipetik Bernama minggu lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Iskandariah, Raja Datuk Seri Mansur Raja Razman, berkata majlis pernikahan secara sederhana dan ringkas itu adalah atas kehendak Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan putera sulungnya, Raja Dr Nazrin sendiri.

“Tuanku mahukan majlis yang ringkas dan sederhana. Sungguh pun ringkas tetapi adat istiadat diraja itu kami pastikan kekal,” katanya.

Istiadat pernikahan kerabat diraja negeri Perak sepenuhnya, sepatutnya membabitkan lima peringkat iaitu meminang, akad nikah, berlimau, bersanding dan bersiram sampat, tetapi menurut Raja Mansur istiadat berlimau dan bersiram sampat itu tidak akan dilangsungkan bagi perkahwinan ini.

Adat istiadat yang diamalkan oleh kerabat diraja Negeri Perak dalam upacara perkahwinan dibahagikan kepada lima peringkat seperti dimaklumkan Raja Mansur itu.

> ISTIADAT MEMINANG:

Upacara perkahwinan Diraja Perak bermula dengan adat istiadat meminang, bagaimanapun sebelum istiadat ini disempurnakan, seorang wakil ditugaskan untuk merisik kedua-dua belah pihak.

Selepas diketahui pinangan itu diterima, sirih peminangan dihantar sebagai tanda.

Peralatan sirih peminang bergantung kepada kemampuan seseorang, tetapi lazimnya tidak melebihi 16 bingkisan, iaitu lapan puan (bekas) keemasan yang bertetampan berisi sirih dan lapan bundi keemasan yang bertetampan berisi selengkap persalinan.

Jenis persalinan ialah kain benang emas jong sarat, kain benang emas bertabur, kain benang emas bertelepuk, kain benang emas Batu Bahara, kain limau benang emas, kain tengerarun, kain beras patah dan kain anak misal.

Sekiranya peralatan sirih peminang itu memuaskan hati waris perempuan, maka peminangan itu diterima sebagai meletak tanda atau bertaruh kata.

Dalam adat peminangan seorang puteri diraja pula, peralatan sirih dibawa diiringi sepucuk warkah untuk dipersembahkan ke bawah Duli Tuanku Paduka Seri Sultan.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan dititah membaca dan membalas warkah itu sama ada hajat itu diperkenankan ataupun sebaliknya.

> ISTIADAT AKAD NIKAH:

Istiadat Akad Nikah akan berlangsung pada tarikh yang ditetap dan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Pada hari berkenaan, pengantin lelaki berpakaian sederhana dan dipersilakan bersemayam di atas coir keemasan yang disediakan di hadapan petarakna diiringi oleh pengapit yang membawa mahar atau mas kahwin.

Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri akan dititah mewakili pihak pengantin perempuan sekiranya seorang puteri diraja, dan duduk berkumpul di hadapan pengantin lelaki bersama-sama dengan beberapa orang alim ulama sebagai saksi.

Mas kahwin dikira untuk memastikan bahawa jumlah adalah sama dengan jumlah yang ditetapkan dan kemudiannya dipersembahkan kepada waris perempuan.

Selepas itu, Mufti Perak akan memulakan upacara akad nikah dengan membaca khutbah nikah disusuli dengan keterangan mengenai rukun nikah sebelum upacara ijab kabul disempurnakan yang diikuti dengan bacaan doa selamat serta selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak tiga kali berturut-turut.

Pengantin dipandu masuk ke puri peraduan puteri untuk istiadat membatalkan air sembahyang dengan menyentuhkan jarinya ke atas dahi isterinya.

Serentak itu diadakan pula istiadat memutus kerajat, iaitu membuang atau menghalau pelak jembalang atau puaka daripada kedua pengantin. Kedua-dua pengantin dipakaikan dengan kain jong sarat yang dilapiskan dengan kain putih dan bertengkolok sering lalu dikalungkan dengan benang pertukal.

Kemudian dicacakkan dua batang dian (lilin) sembang di atas cermin muka di hadapannya lalu dipercikkan air tepung tawar, ditabur bertih dan beras kunyit.

Ini diikuti dengan istiadat mengeratkan rambut sedikit daripada kedua-dua pengantin dengan gunting dan diandamkan tengkoknya oleh Raja Cik Muda (iaitu pawang diraja) sebelum istiadat Berlimau dijalankan.

> ISTIADAT BERLIMAU:

Istiadat Berlimau ini terbahagi kepada dua peringkat, iaitu Istiadat Berlimau Besar (atau dikenali sebagai istiadat bersiram khutbah) dan Istiadat Berlimau Kerana Hendak Menampal Inai.

Kedua-dua istiadat ini biasanya dijalankan pawang darat dan pawang jahir mengikut jawatan dan kuasanya didahului oleh Raja Cik Muda.

Air yang digunakan untuk istiadat ini diambil daripada tujuh kuala sungai dan diisikan ke dalam geluk emas atau perak mengikut taraf masing-masing.

Geluk dihiasi dengan daun nyior muda berjari lipan, diarak dan diiringi dengan nobat nafiri dan sebuah dulang yang berisi tiga ceper yang mengandungi beras kunyit, beras basuh dan berteh, empat batil berisi tepung tawar, air sintuk, air limau, air bunga panca persada dan sebatil bekas kemenyan serta bekas perasap.

Istiadat mengambil air ini dilakukan oleh pawang sesama dengan istiadat mengambil air untuk istiadat bersiram tabal.

  • Istiadat Berlimau Besar atau Bersiram Khutbah:Istiadat Berlimau Besar dijalankan selepas upacara akad nikah oleh pawing (bomoh tempatan) di sebuah balai khas dipanggil Balai Punca Logam, iaitu sebuah Balai Panca Persada yang kecil.Kedua pengantin dipersemayamkan di atas petarakna dan dipersalinkan dengan kain basahan lalau disiram dan dikenakan bedak langir serta air limau dan air sintuk oleh kerabat diraja yang berdekatan.

    Ini diikuti dengan menyiram air nyior dan air tawar menerusi kain putih yang dibentangkan di atas ulu pengantin berkenaan oleh empat orang penggawa.

    Bunga mayang dan bunga selimpat dicurahkan ke atas kain putih itu. Selesai istiadat persiraman, dipakaikan pula kalung benang pelucut panca warna atau kain pertukal ke leher pengantin untuk menolak bala.

    Sambil berdiri dan bercermin dengan pasangan, dua batang lilin sambaing dikelilingi ke seluruh tubuh pengantin sebanyak tiga kali.

    Kemudian punca benang itu dibakar dan disuruh pengantin itu memadamkannya. Abunya disapukan ke kening dengan membawa maksud memutuskan perjanjian.

    Selesai itu, kedua pengantin diarak balik ke istana dan disemayamkan di atas petarakna untuk bersantap nasi.

  • Istiadat Berlimau Kerana Hendak Menampal InaiIstiadat Berlimau Kerana Hendak Menampal Inai, pada lazimnya, dijalankan tiga hari selepas istiadat berlimau besar.Di sebelah paginya dijalankan istiadat mengambil air daripada tujuh kuala sungai mengikut istiadat dan cara serta perarakan seperti yang dilakukan untuk bersiram khutbah mahupun bersiram tabal.

    Tempat bersiram dan bedak langsir serta sintuk limau pun tidak berbeza kecuali istiadat memutuskan tolak bala dan memutuskan perjanjian sahaja yang ditinggalkan.

    Mengikut adat lama, inai yang ditampalkan ke tangan pengantin, diisikan ke dalam badan lembaga seekor lembu merak diarak dari kediaman Orang Kaya Besar Maharaja Diraja di sebelah petang, dan pada waktu malam selepas berlimau, pengantin lelaki dinaikkan ke atas perarakan dan dijalankan istiadat merenjis tepung tawar dan menampal inai dibawa masuk ke tempat peraduan.

    Ini diikuti oleh pengantin perempuan. Istiadat menampal inai ini hanya mengambil syarat saja, iaitu dicalitkan di atas jari atau tapak tangan. Mengikut adat, kebiasaannya biduanda pun menyanyikan lagu olek-olek anak raja beradu.

    > ISTIADAT BERSANDING:

    Apabila tiba hari yang ditetapkan, kedua pengantin berpakaian istiadat dan diarak hingga ke istana lalu disambut waris pengantin dengan penuh istiadat. Kedua pengantin akan dipimpin dan disemayamkan di atas petarakna untuk Istiadat Bersanding.

    Ketika bersanding, istiadat menepung tawar dijalankan oleh beberapa orang Raja dan Orang Besar-Besar yang diikuti dengan melayani santap nasi adap-adapan dan bersuap-suapan oleh isteri Raja-raja yang berusia.

    Selepas itu, Bidan Raja akan mengangkat tangan kiri pengantin lelaki dan tangan kanan pengantin perempuan lalu dikaitkan jari kelingking keduanya dan ditutup pula dengan kain keemasan.

    Kedua-dua pengantin kemudiannya bangkit dan masuk ke dalam pelamin peraduan, dan tirai dewangga pun dilabuhkan. Inang pengasuh dayang menunggu di luar dan biduanda yang mempunyai suara merdu akan menyanyikan lagu olek-olek anak raja beradu.

    > BERSIRAM SAMPAT:

    Selepas tiga hari tiga malam istiadat bersanding, kedua-dua pengantin dipersalinkan dengan selengkap pakaian kerajaan dan diarakkan dengan jawat nobat ke Balai Panca Persada untuk menyempurnakan Istiadat Bersiram Sampat.

    Pada zaman dulu, Balai Panca Persada, yang berbentuk empat persegi bertingkat tujuh, sembilan atau sebelas, didirikan di pertengahan sungai, tetapi kini memadai di tepi sungai atau di tengah padang.

    Ianya berkisi di sekeliling, bertangga dan kemuncaknya bertungkup dengan kain keemasan dan daun budi.

    Pada empat bucunya dibangunkan Balai Persetakala iaitu tempat perkakas nobat, perkakas pawing, perkakas persiraman dan tempat biduanda berpantun seloka. Selepas kedua pengantin disemayamkan di atas petarakna, maka pawing-pawang diketuai oleh Raja Cik Muda memulakan persiraman.

    Kemudian, Bidan Raja mengenakan benang pertukal panca warna dilingkungkan pada kedua leher pengantin bersimpul pulih. Apabila benang pertukal itu diputuskan oleh Bidan Raja, maka tamatlah istiadat bersiram sampat.

    Kedua pengantin selepas itu diarak balik ke istana dan dipakaikan dengan pakaian pengantin, disemayamkan di atas petarakna dan diberi santap nasi adap-adapan beras takona (iaitu nasi pulut).

    Selesai bersantap, mereka dibawa menyembah atau memberi hormat kepada mentua dan ayahanda bonda kedua. Setelah selesai, dikurniakan sembah itu dengan wang emas dan lain-lain dinamakan lapik sembah oleh orang yang terkena sembah.


  • Makanan ibu dalam pantang – Petua orang dulu-dulu

    Mei 15, 2007

    Pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal. Apalagi semasa melahirkan anak, tenaga dikerah dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di bahagian tertentu.

    Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum). Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh sebab itulah makan perubatan moden menentang amalan berpantang cara Melayu. Ingin diingatkan, cara pemakanan tersebut bukanlah cara Melayu tradisional yang sejati tetapi merupakan sebahagian cara hidup mereka yang kurang berkemampuan.

    Jenis ikan

    Ibu dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau ikan kering kerana makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau busuk, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.

    Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung, tamban, cencaru, atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan lain-lain.

    Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam pantang bersalin ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka dalaman dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur mengandungi khasiat mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan yu dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik turut mendapati perkara tersebut benar.

    Ulam-ulaman

    Terdapat pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah diperoleh di mana-mana, antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga kantan, kunyit hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan.

    Selain ulam di atas, terdapat ulam berkhasiat yang sesuai dimakan oleh ibu dalam pantang, antaranya:

    Daun pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun kaduk, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun bebuas dan daun ruku.

    Jenis sayuran dan buahan

    Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih), kacang panjang, petola, labu, rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta terung. Ibu bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta tajam seperti air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat, tembikai cina, nangka, cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka, pisang embun, pisang udang, ubi kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis, macang, kuinin, dan binjai. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi. Penyakit-penyakit tersebut diketahui telah banyak berleluasa di barat dan dikenali sebagai artritis dan rheumatisme.

    Jenis ayam dan burung

    Ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh. Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.


    Adat-Adat Perkahwinan

    Februari 3, 2007

    ADAT perkahwinan tradisional masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa proses iaitu merisik, meminang, menghantar tanda, hantaran belanja, menjemput, akad nikah, berinai besar, bersanding dan jemput menantu.

    *Merisik

    Permulaan proses perkahwinan ialah merisik atau meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh keluarga pihak lelaki, khususnya ibu bapa. Setelah teruna dan keluarganya berkenan dengan gadis yang dipilih, usaha merisik dijalankan untuk mengetahui sama ada gadis itu sudah berpunya atau tidak. Hasil merisik ini akan dibuat rundingan dengan keluarga si teruna. Apabila diketahui si gadis belum berpunya upacara peminangan diaturkan.

    *Meminang

    Ia hanya dilakukan bila keluarga si gadis menyatakan persetujuannya. Tugas meminang biasanya dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak, biasanya ketua-ketua adat dan syarak. Semasa meminang akan ditetapkan tarikh menghantar tanda.

    Perkara-perkara yang dibincangkan semasa upacara peminangan ialah hantaran belanja, persalinan dan tempoh bertunang. Sesetengah tempat, berita pertunangan diberitahu kepada seisi kampung oleh Ketua Kampung di masjid ketika mengadakan sembahyang Jumaat.

    *Menghantar tanda

    Semasa upacara menghantar tanda, kebiasaannya sebentuk cincin akan dihantar oleh pihak teruna untuk disarungkan ke jari tunangnya. Menyampai dan menerima cincin itu dilakukan dalam majlis di rumah perempuan. Cincin ini disebut sebagai ‘cincin tanda’.

    Ia biasanya diiringi juga dengan sebahagian wang hantaran belanja. Tarikh perkahwinan juga dibincangkan bersama.

    *Hantaran belanja

    Pada tarikh yang dijanjikan upacara menghantar belanja dijalankan. Kedua-dua belah pihak diketuai oleh Ketua Kampung atau Ketua Syarak. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk perempuan. Ia digubah dalam berbagai bentuk atau dibungkus dalam kain sahaja mengikut adat daerah masing-masing.

    Iringan lain termasuk bunga rampai, sirih junjung atau tepak sirih sahaja, pahar telor merah dan nasi semangat, alat solek, buah-buah dan lain-lain.

    *Menjemput

    Waris bakal pengantin (ayah atau ibu, atau orang yang wajib dan diwakilkan) akan berkunjung ke rumah orang tua-tua di kampung itu untuk memberitahu tentang hari perkahwinan tersebut. Mereka akan membawa tepak sirih dan menjemput sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumah bagi mengelolakan majlis itu. Majlis kenduri kahwin dimulakan di rumah pengantin perempuan.

    *Akad nikah

    Akad nikah dijalankan sebelum upacara berinai besar dan bersanding. Imam mewakili wali perempuan menjadi juru nikah. Dalam upacara ini, juga disahkan hantaran dan lain-lain. Mas kahwin disebut sama ada hutang atau tunai.

    Mas kahwin akan diserahkan kepada pengantin perempuan dan menjadi haknya. Dari saat ini sahlah mereka menjadi suami isteri.

    *Berinai besar

    Kedua-dua pengantin memakai pakaian yang cantik. Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan dengan iringan rebana. Upacara berinai didahului oleh pengantin lelaki yang duduk di pelamin. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu. Pengantin perempuan akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki.

    *Bersanding

    Pada hari persandingan, jamuan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan rebana dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa bersama jika ia belum dihantar terlebih dahulu.

    *Jemput menantu

    Majlis jemput menantu atau ‘menyambut menantu’ diadakan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan dijemput datang ke rumah pengantin lelaki biasanya dibuat pada hari ketiga, kelima atau seminggu selepas diadakan majlis persandingan.


    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 343 other followers