Hubungan pasangan mengikut urutan dalam keluarga

Julai 28, 2007

ORANG tua dulu diketahui memang banyak kepercayaan dan pantang larangnya termasuklah, dalam urusan mencari pasangan hidup. Percaya atau tidak orang tua dulu kebanyakan berpegang kepada konsep untuk mengetahui sifat mahupun ciri peribadi calon pasangan yang dipilih, perlulah diketahui kedudukannya dalam struktur keluarga.

Orang tua dulu percaya, urutan kelahiran boleh mempengaruhi perilaku seseorang dalam menjalin hubungan kasih sayang. Maka itulah ada yang amat yakin, anak sulung sebaik-baiknya tidak sesuai berkahwin dengan pasangan juga anak sulung. Alasan diberi, kedua-duanya mempunyai sifat dasar yang sama, setidak-tidaknya sifat manja dan keras kepala.

Begitu jugalah jika anak bongsu, elakkan mencari pasangan yang sama-sama bongsu dalam keluarga kerana kedua-duanya sukar mengawal situasi. Selain itu, jika anak bongsu bertemu anak tunggal, hubungan itu turut dikatakan, bakal bergejolak kerana kedua-duanya sama-sama memerlukan perhatian.

Bagaimanapun, sulung bertemu tunggal ada keserasian, tetapi anak sulung tidak boleh terlalu tegas. Kecenderungan anak tunggal yang manja bererti harus ada pengorbanan dan mesti fahami keadaan itu.

Pasangan sama kedudukan anak tengah pula dikatakan, sangat padan. Pasangan ini dapat pergi ke mana pun dan memutuskan apa saja yang mereka sukai. Apabila yang satu cenderung seperti anak sulung, pasangannya pula seperti anak bongsu. Dengan begitu, mereka berdua dapat saling melengkapi.

Benar atau salah pandangan mahupun saranan orang tua dulu itu, tidaklah diketahui kebenarannya, tetapi ramai mengakui, persoalan ini sehingga kini masih menjadi bahan bicara. Namun, jika dihalusi ada kebenaran kerana lazimnya, untuk mengetahui karakter seseorang antara cara yang dapat dilihat adalah melalui urutan kelahiran, selain berdasarkan tarikh lahir.

Bagaimanapun, jika sudah ditakdirkan bertemu jodoh mampukah perasaan cinta dan kasih sayang itu diketepikan?

Pasangan baru lima bulan berkahwin, Nadia Noordin, 24, dan Daneal Micky Abdullah, 27, yang sama-sama dilahirkan anak sulung berkata, mereka langsung tidak pernah memikirkan soal itu.

Bagi mereka, apa yang lebih penting ialah ada keserasian dan mempunyai sikap saling faham memahami antara satu sama lain.

Nadia yang juga anak tunggal perempuan dalam dua beradik, tidak menafikan pernah mendengar orang tua dulu ada berkata, jika anak sulung berkahwin dengan anak sulung hubungan yang dibina agak ‘panas’ atau kerap bergaduh. Tetapi perkara itu tidak pernah menghantui dirinya ketika menerima Daneal sebagai teman hidupnya.

Malah, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui, tidak sangka Daneal yang dikenali empat tahun lalu sebagai rakan sekerja akhirnya, menjadi cinta hati.

“Sudah tentu ketika berkenalan, kami tahu masing-masing adalah anak sulung. Tetapi seingat saya, sepanjang perkenalan perkara itu tidak pernah dibincangkan atau dijadikan isu.

“Sebaliknya, semakin lama berkawan, semakin itulah saya dapat rasakan ada keserasian. Saya menerima Daneal sebagai teman hidup bukan saja dia memiliki ciri lelaki yang saya cari, tetapi yakin dia boleh melindungi dan menjaga saya,” kata Nadia.

Bagi Nadia, urutan seseorang itu dalam keluarga bukanlah kayu pengukur utama untuk memastikan kebahagiaan sebuah keluarga yang dibina sebaliknya, terpulang sejauh mana pasangan berkenaan tahu mengendalikan masalah rumah tangga dan mencari penyelesaian sesuai supaya tidak terus porak peranda.

Katanya, walaupun usia perkahwinan mereka masih mentah apa yang dilihat memang banyak persamaan antara dirinya dan suami. Ini termasuklah, dalam soal tingkah laku dan perwatakan dalam diri sekali gus, memudahkan mereka untuk lebih memahami antara satu sama lain serta senang berbincang apabila ada pertikaian.

“Memang banyak persamaan. Tengoklah dari segi fizikal saja, kami kedua-duanya sama ‘comel’. Perangai kami berdua juga agak keanak-anakan walaupun sudah berkahwin. Tetapi kalau bergaduh biasalah, saya saja yang hendak menang. Apa pun, antara kami sudah tentu ada kelemahan masing-masing dan sebab itulah perlu saling bantu membantu.

“Misalnya, saya hanya tahu masak yang asas saja, tetapi Daneal ‘bab masak’ memang handal kerana dia ada pengalaman bekerja di hotel. Oleh itu, dialah yang banyak beri tunjuk ajar kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, meskipun beliau anak tunggal perempuan dalam keluarga, kedua orang tuanya tidaklah memanjakannya sangat. Bagaimanapun, tidak menafikan apa saja keinginannya akan dipenuhi orang tua, tetapi dengan syarat Nadia mesti memenuhi hasrat yang diinginkan mereka. Mungkin kerana itulah sikap suka merajuk terbawa-bawa hingga ke hari ini.

Kepercayaan sekadar satu panduan

BAGI Daneal Mickey Abdullah yang berasal dari Seri Aman, Sarawak dan dilahirkan dalam suku kaum Ulu (Kenyah), mengakui tidak pernah dengar adanya kepercayaan orang tua dulu mengenai keserasian pasangan mengikut urutan keluarga.

Jika ada sekali pun kepercayaan itu katanya, ia adalah semata-mata kepercayaan orang tua dulu dan seseorang itu hakikatnya tidak perlu bimbang seandainya yakin dengan keputusan yang diambil atau sudah ditakdirkan untuk bertemu jodoh.

“Biasalah, setiap karakter seseorang itu ada pasang surutnya. Jika ada tidak kena perlulah berbincang. Sebagai anak sulung dan mempunyai tiga adik yang lain, ibu bapa saya mendidik kami penuh disiplin serta sama rata. Kini, sebagai suami saya cuba memikul tanggungjawab memimpin keluarga sebaiknya,” katanya.

Daniel turut mengakui, dalam banyak hal yang menimbulkan kekusutan memang dirinya yang selalu beralah dengan Nadia. Tetapi katanya, antara beralah dan mengalah, tentu ada perbezaannya.

Mengenai bagaimana hubungan cinta dengan isteri mula berputik, katanya semua berlaku tanpa diduga. Bermula sikap suka usik mengusik, lama kelamaan hati berubah bertambah sayang.

“Dulu kami bekerja satu tempat dan saya suka sekali mengusik Nadia. Akhirnya, hati pun mula melekat kerana Nadia cepat memahami hati saya dan tidak suka mengongkong,” katanya.

Namun, sehingga kini Daneal masih tidak dapat lupa bagaimana gementar dirinya apabila ‘ditemuduga’ ibu bapa Nadia, ketika menyatakan hasrat untuk mengambilnya sebagai isteri. Tetapi Daneal begitu memahami situasi itu kerana sebagai anak tunggal perempuan dalam keluarga sudah tentu bukan mudah untuk mereka melepaskan Nadia.

Lebih-lebih lagi, ada jurang agama dan budaya antara kedua-dua keluarga.

“Syukur, kedua-dua belah pihak keluarga kami merestui dan berfikiran terbuka mengenai hal ini. Restu dan doa merekalah yang lebih penting daripada kami memikirkan struktur kedudukan kami dalam keluarga,” katanya.

Info:

Ahli psikologi Barat, Dr. Kevin Leman membuat huraian mengenai hubungan pasangan mengikut urutan dalam keluarga.

Terpulanglah kepada anda sama ada mahu percaya atau tidak:

Sulung dengan sulung

Berpeluang besar untuk sering bertegang urat. Masing-masing sentiasa suka berkeras ataupun dalam menentukan siapa pemberi dan penerima perintah. Jika hubungan cinta terjalin, ia memerlukan jiwa besar dan kesabaran dalam menjalani hubungan seperti ini.

Sulung – Tengah

Sudut negatif dari hubungan ini adalah kemungkinan berubahnya sikap si anak tengah untuk menyenangkan si sulung. Anak tengah adalah pasangan yang serasi untuk siapa saja. Meskipun begitu, ia sering kali menganggap si sulung sebagai yang suka menggertak dan menakutkan.

Jika anak tengah berpasangan dengan anak sulung, maka sering kali ia harus merelakan keinginan dan impiannya demi pasangannya. Namun, jika si tengah cenderung bersikap seperti anak bongsu, mereka dapat menjadi pasangan yang cukup serasi.

Sulung – Bongsu

Kombinasi paling serasi. Si sulung dapat mengajarkan pasangannya, untuk bertindak lebih teratur dan dewasa, terutama saat menghadapi masalah serius. Sementara, si bongsu dapat seimbangkan sikap serius si sulung dengan mengajaknya bersantai atau sekadar duduk sambil berkhayal mengenai masa depan.

Tengah – Tengah

Pasangan ini dapat pergi ke manapun dan memutuskan apapun yang mereka sukai. Mereka dapat menjadi sangat serasi, apabila yang satu cenderung seperti anak sulung dan pasangannya seperti anak bongsu. Dengan begitu, mereka berdua dapat saling melengkapi.

Namun, anak tengah biasanya suka menyimpan rahsia. Hal ini tentu dapat menjadi halangan serius dalam berkomunikasi. Bagaimanapun, masalah akan mudah dan cepat selesai kerana mereka pandai berkompromi dan menjunjung tinggi perdamaian.

Tengah – Bongsu

Hubungan ini akan berjalan lancar, bila si anak tengah cenderung bersikap seperti anak sulung. Jika anak tengah menunjukkan ciri sejati, maka ia akan terbawa-bawa gaya si bongsu yang lebih santai dan suka mengikut kehendak diri sendiri. Ini berlaku, terutama apabila anak tengah ini adalah pihak perempuan.

Bongsu – Bongsu

Berhati-hatilah! Bersama pasangan yang seirama memang menyenangkan. Namun bila tidak melihat kenyataan, kamu akan sulit untuk mengawal situasi.

 


Peminangan & Pertunangan

Julai 8, 2007

Peminangan dari sudut Islam dilakukan dengan tujuan untuk;

Mengenali sifat lelaki yang baik seperti yang dinyatakan di dalam Riwayat At-Tarmizi dan An-Nassaei;”Sesempurna orang lelaki yang beriman, keimanannya ialah mereka yang berbudi baik dan berhemah lembut terhadap keluargaanya.”
Untuk mengenali wanita yang salih seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa’ ayat 34; “Maka wanita yang salihin itu ialah yang taat serta tetap memelihara diri di kala ketiadaan suami dengan cara yang diajarkan oleh Allah.”

Mencari isteri yang manis rupanya seperti dinyatakan Hadis Nabi di dalam Riwayat Ibnu Hibban menyatakan; Sebaik-baik wanita ialah yang cantik, manis rupanya dan murah pula mas kahwinnya.

Untuk tidak melambat-lambatkan pernikahan sekiranya kedua pasangan sudah suka antara satu sama lain. Dinyatakan dalam Riwayat Al-Baihaqie; “Tiga perkara yang tidak dapat ditangguh-tangguhkan lagi ialah solat bila tiba waktunya, jenazah yang sudah tiba dan wanita bila diperolehi sekufu (sesuai) dinikahi.

Namun apa yang sering berlaku kala peminangan;

1. Apabila lelaki datang meminang, maka yang ditanya ibu bapa perempuan ialah kerja, pendapatan, pangkat, kereta serta harta bendanya sehingga memperlihatkan bukan ciri-ciri lelaki terbaik yang dipilih sebaliknya kebendaan.

2. Bila diterima, akan ditetapkan belanja hantaran yang memberatkan dan menjadi kemegahan sekiranya hantaran mahal bersama serba satu pakaian dan perhiasan.

Dibincangkan tempoh untuk melangsungkan pernikahan. Jarang meyegerakan pernikahan sebaliknya ditangguhkan sehingga dua atau tiga tahun.

Kesannya memberi peluang pasangan bergaul bebas, meminta dibelikan pakaian, perbelanjaan dan sebagainya kerana pada anggapan mereka bertunang seolah-olah sudah menjadi hak tidak rasmi.


Pantang Larang Orang Melayu Tradisional

Jun 27, 2007

Pantang Larang Orang Melayu Tradisional merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik  pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman. 

 Pantang Larang Wanita Hamil

1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.

2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.

3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan.

4. Dilarang bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.

5. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya.

6. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan.

7. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur.

8. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling.

9. Dilarang melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur.

10. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat.

11. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri.

12. Dilarang tidur waktu tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.

Pantang Larang Ke Atas Lelaki

1. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

2. Dilarang kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan.

3. Dilarang mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit.

4. Dilarang tidur di tengah padang, nanti emak mati.

5. Dilarang ketawa waktu Maghrib, nanti datang hantu.

6. Kalau tidak tahan berpanas, nanti tunang dilarikan orang.

Pantang Larang Bayi

1. Bayi tak boleh ditegur jika badan gemuk, cuma katakan ‘semangat’ kerana ditakuti menjadi kurus.

2. Dilarang memicit mulutnya, nanti tiada selera makan.

3. Tak boleh diletak bayi atas lutut, nanti mendapat sakit perut.

4. Sisa makanan bayi tak boleh dimakan oleh ibu bapa, nanti melawan cakap.

5. Tak boleh dicium sewaktu tidur terutama di atas ubun-ubun kepala dan pada pusatnya kerana dikatakan pendek umur.

6. Kain lampin tak boleh direndam, nanti kembung perut.

7. Sewaktu bayi sedang tidur, kadangkala kita melihat dia tersenyum, ketawa dan ingin menangis. Jangan kejutkan kerana dikatakan bayi sedang bermain dengan urinya.

8. Tidak boleh menghembus mulutnya, nanti menjadi bisu.

Pantang Larang Ketika Berdiri

1. Tak boleh kencing berdiri, nanti punggung dijamah hantu.

2. Tak boleh berdiri tertindih kaki, dikatakan akan jauh rezeki.

Pantang Larang Ketika Makan

1. Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding.

2. Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu.

3. Makan pisang kembar, akan beranak kembar.

4. Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu.

5. Makan sisa anak, anak akan degil.

6.. Tidur selepas makan, nanti perut buncit.

7. Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.

8. Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang.

9. Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki.

10. Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua.

11. Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah.

12. Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing.

13. Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh.

14.Makan berlunjur,akan jadi pemalas.

15.Makan mencangkung, payah dapat rezeki.

Pantang Larang Sewaktu Tidur

1. Tidur di muka pintu, alamat dilangkah hantu.

2. Tidur di atas pokok, nanti dimakan langsuir.

3. Tidur di atas sejadah,nanti dihinggap kurap.

4. Tidur selepas makan, nanti ditindih hantu.

5. Tidur melekat nasi di kaki, nanti mimpi hantu.

Pantang Larang Ke Atas Perempuan

1. Dilarang menyanyi di dapur, nanti kahwin orang tua.

2. Dilarang menjahit di badan, nanti tidak lepas hutang.

3. Dilarang memakan leher ayam, nanti leher terkulai di pelamin.

4. Pantang bangun lewat, nanti sukar mendapat jodoh.

5. Dilarang makan nasi kerak, nanti mendapat anak bodoh.

6. Dilarang mencari kutu ditangga, nanti kahwin orang tua.

7. Dilarang mencucuk jarum pada waktu malam, nanti didatangi sial.

8. Dilarang bercermin di depan cermin retak, nanti wajah pucat di malam pertama.

9. Dilarang pakai baju basah, nanti badan naik kurap.

10. Pantang berbual di tangga, nanti dipinang orang di serambi rumah sahaja.

11. Dilarang makan bertindih pinggan, nanti menjadi madu orang.

12. Tak boleh menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki.

13. Dilarang mengerat kuku waktu malam, nanti datang sial.

14. Dilarang makan berubah tempat, nanti berkahwin ramai.

15. Dilarang meletak pinggan di tapak tangan ketika makan, dikhuatiri nanti akan merampas suami orang.

Pantang Larang Kanak-Kanak
1. Dilarang duduk atas bantal, nanti punggung terkena bisul.

2. Tak boleh memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.

3. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

4. Tak boleh jelir lidah, nanti lidah terpotong.

5. Makan kepala ikan, nanti menjadi bodoh.

6. Dilarang mengangkat kaki ketika meniarap, nanti emak mati.

7. Tak boleh menunjuk pelangi, nanti jari kudung.

8. Tak boleh makan dalam gelap, dikatakan makan dengan iblis.

9. Dilarang bermain atau keluar rumah waktu senja, nanti disorok hantu.

10. Tak boleh gigit kain, nanti gigi berulat.

11. Hempedal ayam tak boleh dimakan, nanti susah bersunat.

12. Dilarang bercakap dalam tandas, nanti mata ketumbit.

Pantang Larang Di dalam Hutan
1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.

2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.

3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.

4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.

5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.

6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.

7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.

8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.

9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.

Pantang Larang Di Sungai
1. Jika nampak air berpusar, jangan hampiri, alamat buaya bergerak atau mengiring.

2. Jika ikan toman membawa anak, jangan melintas di hadapannya, nanti dilompati ke perut.

3. Jika terdengar suara semacam kerbau di tebing sungai, alamat ada buaya mengawan.

4. Dilarang bawa limau purut, nanti dibaham buaya.

5. Jika suara perempuan terdengar waktu Maghrib, alamat hantu pari sedang berpesta.

6. Jika kail disambar gondang (siput besar) , alamat rezeki mendatang.

Pantang Larang Ketika Duduk

1. Tak boleh duduk atas bantal, nanti dapat bisul.

2. Tak boleh duduk atas tangga ketika Maghrib, nanti dirasuk hantu.

3. Tak boleh menggoyang kaki, nanti tak lepas hutang.

4. Tak boleh duduk di beranda tangga, nanti payah rezeki.

5. Tak boleh duduk atas lesung, nanti berkudis dubur.


Cukur jambul amalan bidaah orang Melayu

Jun 19, 2007

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.

Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)

Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.

Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunahkan oleh Rasulullah s.a.w..

Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.

Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.

Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini.

“Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. “Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?” kata beliau.

Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.

Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.

“Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan,” ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran.

Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.

Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.

Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh masyarakat Melayu ialah persandingan dan menepung tawar pengantin ketika majlis perkahwinan. Walaupun Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya ia tetap bertentangan dengan syariat agama. Contohnya, menghiaskan pengantin dan ditambah dengan pelamin yang berhias bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian, pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan upacara merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin perempuan pada hari ini juga cenderung melukis pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka sedangkan ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan.

“Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan ummah. “Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil,” tegas beliau.

Adat cukur jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.

Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

Adat berendoi

Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.


44 pantang larang bakal pengantin

Jun 13, 2007

Apabila telah ditetapkan hari perkahwinan bermakna bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu. Apa yg ditetapkan harus diikuti utk kebaikan diri mereka. Ia bukanlah menjaid kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dlm masyarakat melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini kepada mereka, tidak rugi jika apa-apa pantang larang yg difikirkan sesuai masih boleh diikuti.

1. Jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijabkabul utk mengelakkan tohmahan masyarakat. Selain itu ia bertujuan utk mengawal nafsu. Ia juga utk menimbulkan perasaan rindu dendam. Perasaan yg timbul akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.

2. Jgn tidur dirumah orang takut terkena ilmu. Ia juga utk menjaga nama baik keluarga.

3. Jgn bebas keluar kemana-mana kerana takut disantau oleh mereka yg mempunyai niat tidak baik.

4. Jgn makan nasi dgn gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin bagi mengelakkan perut buncit.

5. Elakkan makan ulam yg berbau busuk seperti petaidan jering.

7. Jgn bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelak diri dari perkara sihir.

8. Jgn membuang air kecil dan air besar serentak di dlm air contohnya dlm sungai, kolah kerana ia boleh melemahkan organ seks.

9. Elakkan minum air bergas kerana ia mempunyai gula dan gas yg tinggi dan boleh menyebabkan kencing manis.

10. Kurangkan makan makanan yg manis kerana jika terkena kencing manis, lelaki tersebut menghadapi masalah berat tika bersama.

11. Elakkan mandi malam kerana tidak elok untuk sendi-sendi.

12. Kawal makan iaitu sekali makan setiap hari (mengikut sesetengah adat)

13. Kaum lelaki elakkan memakai seluar dalam yg ketat pada waktu malam dan tidur meniarap kerana tidak bagus utk organ seks kerana darah tidak mengalir.

14. Elakkan terlalu banyak makan makanan laut kerana ia mengandungi banyak toksid.

15. Tiga bulan sebelum berkahwin, mula membuat urutan supaya pengantin mempunyai tenaga.

16. Amalkan makan telur ayam kampung seminggu 2 kali yg dicampur madu dan lada hitam yg ditumbuk utk menambah tenaga.

17. Bagi mereka yg banyak angin, minum air halia utk membuang angin.

18. Belajar ilmu rumahtangga drpd org yg berpengalaman dan sudah berkahwin tentang rahsia memikat isteri supaya rumahtangga aman dan damai.

19. Jgn memuaskan nafsu dengan cara sendiri.

20. Cukupkan waktu tidur tujuh hingga lapan sehari.

21. Elakkan minum minuman keras dan merokok.

22. Elakkan terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.

23. Elakkan minum air soya kerana ia sejuk dan tidak elok utk alat kelamin.

24. Amalkan makan jamu supaya malam pengantin tidak mengecewakan.

25. Banyakkan baca surah-surah bagi mengelakkan gangguan syaitan. Sentiasa mengingati Allah.

26. Jgn makan sebebas-bebasnya kerana ketika ini sistem dalaman tidak stabil.

27. Jgn terlalu terdedah kepada keluarga lelaki (simpan diri).

28. Jgn berembun atau keluar malam bagi mengelakkan unsur jahat.

29. Jgn bercelak atau berlangir serta memotong rambut seminggu sebelum ijabkabul.

30. Jika telah nikah gantung tidak boleh bersama.

31. Selepas nikah mesti ada peneman tidur sebelum bersama. Ia bertujuan utk menghangatkan lagi kemesraan.

32. Bilik lelaki atau wanita jgn dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalam bagi mengelak dr dikhianati org.

33. Jgn buat kerja yg berat. Bila pengantin membuat kerja berat, dia akan berasa penat dan mudah terjadi nya gangguan emosi.

34. Jaga pertuturan agar tidak menimbulkan rasa sakit hati.

35. Elakkan makan dan minum seperti sayur bersifat sejuk seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu dan air kelapa agar muka nampak segar.
36. Jgn cukur kening ditakuti akan menghilangkan seri muka.

37. Sebelum menjadi pengantin, katil kelamin tidak boleh ditiduri oleh pengantin kerana tidak manis.

38. Lempar baju di atas bumbung rumah tanpa diketahui oleh org lain bagi mengelakkan hujan turun ketika majlis berlangsung.

39. Dilarang memandang cermin ketika disolek oleh juruandam kerana dikhuatiri hilang seri.

40. Kedua pengantin dilarng bercakap ketika bersanding kerana kurang manis dipandang tetamu.

41. Jgn makan kepala ayam nanti mengantuk masa bersanding.

42. Dilarang membuang alis kerana perbuatan tersebut akan menghilangkan seri wajah buat pengantin lelaki.

43. Jgn makan bersulam air kerana dikhuatiri menyebabkan perut menjadi buncit.

44. Elakkan keluar rumah tanpa tujuan kerana angan-angan yg tinggi menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin mengalami kemalangan jika berada diluar.

~utk pengetahuan saja…


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers