Kuasa cincin pengikat dua hati

Januari 3, 2008

Oleh Nur Farhatul Aishati Azharie

Pemilihan warna, bentuk potongan tepat serlah personaliti wanita

CINCIN memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan. Berbanding aksesori lain, cincin bagaikan ‘kepala’ sama ada dalam adat pertunangan mahupun perkahwinan. Malah, bagi adat merisik, hanya cukup membawa sebentuk cincin sebagai tanda hasrat hati untuk menyunting gadis idaman.

Begitu juga dengan majlis pertunangan. Seseorang gadis itu akan sah menjadi tunangan orang apabila cincin hantaran sudah disarungkan di jari manis. Malah, dalam adat istiadat Melayu, bagi acara pernikahan, adat menyarung cincin bagaikan satu kemestian dilakukan walaupun hanya akad diwajibkan.
Begitu pun sejak kebelakangan ini, ada pasangan yang inginkan kelainan dengan menggunakan barang kemas lain seperti gelang tangan dan rantai leher berbanding cincin pada upacara pernikahan mungkin kerana cincin sudah diberikan pada majlis merisik dan pertunangan.

Bagaimanapun, kuasa cincin dalam majlis perkahwinan tetap relevan. Tidak semua yang menggantikan cincin dengan barang kemas lain terutama mereka yang berpegang teguh kepada adat istiadat setempat.

Jika anda sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang dan sedang mencari cincin bersesuaian dengan pasangan anda, beberapa perkara perlu diambil kira dalam memilih cincin bersesuaian kerana pemilihan cincin buat seorang wanita sememangnya haruslah sempurna.

Ingatlah, cincin mencerminkan personaliti wanita berkenaan. Warna, jenis batu dan bentuk potongan batu dan cincin memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh, warna dikatakan mencerminkan emosi dan personaliti seorang wanita. Misalannya warna biru dikatakan membawa makna ketenangan.

Jenis batu pula menonjolkan kepada semua apakah jenis gaya yang dimiliki seorang wanita itu. Lazimnya, untuk pertunangan atau perkahwinan berlian yang dianggap teman baik wanita menjadi pilihan.

Jangan bimbang jika anda hendak membeli cincin berlian, tetapi si gadis meminati warna tertentu kerana hari ini berlian juga didatangkan pelbagai warna. Berlian berwarna merah jambu mengatakan seseorang itu unik dan menuntut perhatian daripada semua setiap kali beliau berjalan masuk ke bilik.

Potongan batu juga berperanan besar terutama berlian. Ada empat ciri potongan yang ketara perbezaannya di antara satu sama lain, iaitu potongan kusyen, pir, zamrud dan hati. Potongan kusyen mempunyai sifat antik dengan gaya romantik serta kelihatan klasik, manakala potongan pir pula dibentukkan seperti setitis air lebih sesuai dijadikan buah rantai atau sepasang subang.

Potongan zamrud juga dipanggil step cut kerana ia mempunyai ciri yang amat teguh dan leperkan serupa seperti tangga. Potongan hati amat sinonim dengan sifat romantik dan banyak digunakan bagi cincin pertunangan untuk melambangkan cinta sejati.

Sentuhan sempurna sebentuk cincin datangnya daripada jenis bahan yang digunakan bagi mengikat batu permata pilihan hati sebagai sentuhan terakhir cincin berkenaan.

Wanita membeli cincin bukan hanya kerana mereka ingin berkahwin atau bertunang, tetapi juga kerana mereka ingin memakai aksesori yang senang dipakai dan pada masa sama mempunyai impak kuat pada penampilan. Sebab itulah wanita sanggup membeli sebentuk cincin yang beribu harganya.

Aneka pilihan jenama terkenal

Tiffany & Co tidak asing lagi pada wanita serata dunia yang mengenali jenama barangan kemas berkenaan untuk potongan berlian menarik, reka bentuk anggun dan dikenali juga untuk harganya yang agak tinggi. Ramai wanita memilih cincin daripada butik berkenaan kerana koleksinya yang besar dan kebolehan pakar mereka untuk membuat sebentuk cincin menurut permintaan pelanggan, selain rekaannya yang mudah dan sederhana tanpa kelihatan berlebihan.

Setiap tahun, bagaikan tradisi bagi Tiffany untuk mengeluarkan ‘The Blue Book’ iaitu buku katalog yang lengkap dengan pelbagai jenis barang kemas yang boleh diinginkan oleh wanita. The Blue Book menampilkan beberapa pilihan cincin yang mengagumkan seperti cincin diperbuat menggunakan berlian berwarna yang amat unik.

Antara koleksi ditampilkan dalam The Blue Book ialah Tiffany Novo dan Tiffany Celebration Rings. Tiffany Novo ialah rekaan baru dengan potongan potongan kusyen menonjolkan semangat, bara dan gaya masa kini dengan sentuhan klasik. Diinspirasikan oleh Berlian Tiffany 128.54 karat terkenal, ia sememangnya cincin yang sesuai bagi pertunangan.

Tiffany Celebration Rings pula mempunyai empat bentuk cincin yang boleh digandingkan antara satu sama lain bagi mencipta campuran yang sempurna. Setiap cincin yang dipilih mempunyai sifat tersendiri dan melalui proses berkenaan, seorang perunding Tiffany akan membantu setiap proses pemilihan. Untuk maklumat lanjut anda boleh mengunjungi butik Tiffany&Co di Suria KLCC atau Pavilion di Bukit Bintang.

Oeding-Erdel Fine Jewellery (OE) berasal dari Jerman dan dibuka di Malaysia sejak 1974 menampilkan dua bentuk cincin, dalam emas kuning atau emas putih dengan berlian. Cincin emas putih itu berharga RM6,526, sementara cincin emas kuning berharga RM8,639.

Diinspirasikan oleh koleksi jam tangan wanita Miss Protocole, Piaget ingin meneruskan rekaan berkenaan, tetapi dalam bentuk cincin pula. Menggunakan potongan empat segi pada berlian, ia menjadi objek keinginan semua wanita. Koleksi itu dirangkumi enam jenis cincin yang berbeza rekaannya, tetapi tetap tampil dengan potongan berlian yang sama bersesuaian dengan identitinya.

Lima daripada enam cincin berkenaan dijual dalam bentuk emas putih dan dikenakan sama ada dengan batu permata kecubung, nilam atau berlian. Cincin emas kuning pula digandingkan dengan berlian. Anda boleh berkunjung ke butik tunggal Piaget di Suria KLCC.

The Carat Club di Bangsar dan Parkson KLCC menampilkan koleksi baru dengan bantuan tiga pakar dari Itali untuk musim ini. Stefan Hafner, LaNouvelle Bague dan Scavia’s IO SI mengeluarkan koleksi yang cukup unik dengan ciri kontemporari. Sering kali tampil pada pemegang kunci, rekaan masyarakat Cina bercorak bunga dan kipas, Bague menampilkan corak serupa pada koleksinya yang berkonsepkan warna emas, putih, hitam dan merah.

Koleksi IO SI boleh didapati dalam emas kuning dan perak iaitu Coronado, Rosier, Fior di Loto, Afrodite, Etoile dan Eclissi. Rekaan menarik dan berlainan itu pasti akan menarik perhatian ramai.

Cartier melihat sebentuk cincin itu sebagai satu bentuk kegembiraan seperti letupan emosi yang diterapkan pada warna yang ada pada setiap batu permata. Dengan definisi itu, Cartier memperkenalkan Delices de Cartier. Koleksi berkonsepkan musim bunga itu sudah tentu menarik dengan pilihan barangan kemas yang pelbagai.

Pilihan antara dua bentuk cincin emas putih dengan 128-129 berlian, ia juga digandingkan bersama batu permata merah jambu, biru, hijau, ungu dan oren. Kunjungi butik Cartier di Suria KLCC bagi melihat sendiri cincin berkenaan.

Mes Couleurs a toi bermaksud My Colours To You dan itulah nama koleksi cincin dikeluarkan oleh Mauboussin. Dengan rekaan tidak kelihatan semak dengan bentuk tiga segi, cincin itu mempunyai dua cabang yang menyokong batu permata membawa simbol pelbagai personaliti unik yang digabungkan menjadi satu.

Kegunaan batu permata 6.5 karat pelbagai warna, ia mempunyai berlian yang ditempatkan pada ketiga bucu batu permata membawa makna perlindungan, kepercayaan dan harmoni untuk seorang wanita yang teguh dan tetap bergaya serta mencari keseimbangan sempurna di antara badan, minda dan rohani.

FAKTA

Panduan untuk memilih berlian

Rujuk kepada 4C-Carat, Clarity, Colour, Cut

  • Carat merujuk kepada berat berlian berkenaan. Lebih karat bermakna lebih berat tapi tidak selalunya lebih mahal.
  • Clarity bermakna kejernihan. Butiran kecil-kecilan yang tidak boleh dilihat mata kasar sering kali ada dalam batu berlian kerana cara ia dihasilkan. Lebih kurang butiran kecil itu bermakna lebih baik.
  • Colour, iaitu warna bermaksud jika ia lebih kurang warnanya dan lebih dekat kepada tiada warna langsung bermakna batu itu lebih bernilai.
  • Cut atau potongan ialah satu-satunya ciri yang boleh diubahsuai. Potongan pada berlian amat penting, lebih licin potongannya bermakna lebih bernilai jika cara potongannya betul.

    Panduan memilih batu permata

    Dilihat sebagai batu bernilai dan berharga, seseorang itu haruslah memilihnya berdasarkan warna, keunikan, bentuk kristal yang dijadikan dan ciri optik. Pakar permata mengatakan ada lima jenis batu permata yang dikategorikan sebagai amat berharga iaitu berlian, delima, zamrud, nilam dan kecubung.

    Panduan memilih mutiara

    Kilauan, warna, saiz dan bentuk simetri. Saiz itu penting dan dikatakan lebih besar mutiara itu lebih bernilai. Walaupun mutiara mempunyai lapan jenis bentuk, bentuk bulat yang sempurna dikatakan paling berharga kerana sukar ditemui. Mutiara ternakan lebih murah berbanding mutiara asli, tetapi tidak lari kualitinya.


  • Berkhatan pelengkap tuntutan syarak

    November 25, 2007

    Oleh Mohd Shukri Hanapi

    Ulama sepakat bersunat fitrah manusia, berdosa jika tak dilaksana sehingga baligh

    MUSIM cuti akhir tahun persekolahan, ramai ibu bapa mengambil kesempatan mengkhatankan anak mereka. Lazimnya amalan mengkhatankan anak dilakukan secara berkumpulan atau majlis berkhatan beramai-ramai.

    Rasionalnya, selain melaksanakan tuntutan syarak, amalan sebegini boleh mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat apabila dilakukan secara bersama membabitkan banyak pihak.

    Bagi lelaki, khatan (atau dalam bahasa Arabnya disebut khitan) ialah amalan memotong qulfah (kulit yang menutupi kepala) zakar. Ia juga disebut ‘bersunat’ dalam masyarakat Melayu.
    Sebenarnya amalan berkhatan adalah daripada agama Nabi Ibrahim. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Nabi Ibrahim adalah seorang Nabi yang berkhatan sendiri pada usia lapan puluh tahun.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam hal ini khususnya, Rasulullah SAW serta umatnya diperintahkan mengikuti agama Nabi Ibrahim. Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian Kami (Tuhan) telah mewahyukan kepadamu supaya mengikut agama Ibrahim yang suci.” (Surah al-Nahl, ayat 123)

    Menurut pendapat kebanyakan ulama seperti al-Sya’bi, Rabi’ah, al-Azra’i, Yahya bin Sa’ad al-Ansari, Malik, al-Syafi’i dan Ahmad, amalan berkhatan adalah wajib bagi golongan lelaki.

    Banyak hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan mengenai pensyariatan khatan. Antaranya, hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai fitrah (sifat semula jadi) seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Selain itu, diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara fitrah ialah berkumur, membersihkan hidung dengan air, menggunting misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, memotong bulu kemaluan dan berkhatan.” (Hadis riwayat Ahmad)

    Berdasarkan hadis itu, Abdullah Nasih Ulwan menjelaskan, meskipun Rasulullah SAW menyebut khatan bersama perkara sunat, namun tidaklah bermakna hukum berkhatan itu sunat. Jelasnya, hadis di atas membicarakan dua perkara utama iaitu perkara wajib dan sunat.

    Dalam hal ini, al-Khattabi pula berpendapat, meskipun khatan selalu disebut bersama dengan perkara sunat seperti mencukur bulu ketiak dan memotong kuku, kebanyakan ulama mengiranya sebagai wajib.

    Ia adalah syiar Islam yang membezakan antara Muslim dan kafir. Jika ada seorang yang berkhatan mati di kalangan sekumpulan manusia yang tidak berkhatan, maka hendaklah disembahyangkan dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam.

    Kewajipan berkhatan juga berdasarkan hadis diriwayatkan daripada ‘Utsaimin bin Kulaib bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang baru memeluk Islam yang bermaksud: “Bersihkanlah dirimu dari rambut kufur dan berkhatanlah.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

    Selain itu, diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya, “Seseorang yang tidak berkhatan tidak diterima solatnya dan hasil penyembelihannya juga tidak boleh dimakan.”

    Maka jelaslah bahawa khatan itu adalah fitrah manusia, syiar Islam dan ia wajib ke atas lelaki. Oleh itu, sesiapa yang tidak menyegerakan khatan sejak ia mula memeluk Islam dan tidak melaksanakannya hingga masa balighnya, maka dia dikira berdosa.

    Kebanyakan ulama menyatakan bahawa khatan adalah wajib ketika seseorang anak itu sudah hampir baligh kerana tidak berapa lama lagi anak berkenaan akan menjadi mukallaf untuk mematuhi segala hukum syariat dan perintah Allah.

    Tetapi masa yang paling afdal (baik) ialah pada hari pertama kelahiran. Hal ini berdasarkan hadis diriwayatkan daripada Jabir katanya, bahawa Rasulullah SAW mengkhatankan al-Hasan dan al-Husin pada hari ketujuh (selepas kelahiran) mereka.

    Setiap amalan yang disyariatkan Allah mempunyai hikmah dan kelebihannya. Amalan berkhatan mempunyai faedah dari aspek kesihatan.

    Dr Sobri al-Qubbani dalam bukunya Hayatuna al-Jinsiyyah berkata, antara faedah terpenting berkhatan ialah, seseorang lelaki itu akan dapat menghindari daripada penyakit kulit disebabkan oleh peluh yang berkumpul dalam kulit qulfah itu.

    Perkara itu dibuktikan pakar bedah, Dr Gerald Weiss, yang menegaskan tanpa khatan, bahagian di bawah kulit menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat jangkitan (cesspool of infection). Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

    Kata Dr Sobri al-Qubbani lagi, berkhatan juga dapat menghindari daripada penyakit kanser. Hal itu dibuktikan profesor Perubatan Kanak-Kanak Universiti California, San Francisco, Dr Edgar J Schoen.

    WebMD Medical News bertarikh 6 Mac 2000 melaporkan mengenai satu kajian yang beliau lakukan bersama rakannya dan mereka mendapati daripada 89 kes kanser zakar, 87 daripadanya daripada kalangan lelaki tidak berkhatan.

    Justeru, mereka merumuskan khatan mencegah lelaki daripada menghidap kanser zakar dan penemuan itu dimuatkan dalam majalah Pediatrics.

    Dr Danial Zainal Abidin dalam bukunya Perubatan Islam Kontemporari, menjelaskan banyak kajian dilakukan menunjukkan khatan mencegah pelbagai jenis penyakit antaranya:

  • Risiko seseorang wanita menghidap barah pangkal rahim (cervix) adalah tinggi jika pasangannya tidak berkhatan. Satu kajian dilakukan di Lembah Kashmir pada 1993 menunjukkan, amalan berkhatan di tempat itu menyebabkan peratus barah pangkal rahim menjadi rendah berbanding kawasan lain di India.
  • Mengikut pakar kanak-kanak terkenal, Dr Edgar J Shoen, luka yang sering berlaku di kulit penutup zakar ketika melakukan persetubuhan memudahkan lelaki yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutama siflis, chancroid dan genital herpes.

    Berdasarkan hasil kajian, jelaslah orang yang berkhatan akan dapat menikmati kesihatan yang baik serta terhindar daripada pelbagai penyakit merbahaya.


  • Rahsia Daun Sirih

    November 2, 2007

    CANTIK bukan hanya pada wajah menawan atau penampilan diri bergaya tetapi kecantikan sebenar terletak pada keindahan dalaman.

    Sirih antara tanaman yang banyak digunakan dalam perubatan selain bahan penting untuk hantaran atau proses peminangan.

    Masyarakat India dan Cina turut menggunakan sirih.

    Pengasas Bio Sireh Cosmetics, Sheikh Paiman Salleh membongkar khasiat sirih, antaranya:
     

    * Dalam tulisan Luqman al-Hakim dalam kitab lama mengisahkan ketika Hawa dicampakkan ke bumi (dikatakan tercampak ke Selatan India dan kini dikenali sebagai Sri Lanka), Hawa berasa malu dan tumbuhan yang ada pada masa itu adalah sirih (masa itu dikatakan daunnya sebesar dulang) untuk menutupi alat sulitnya.

    * Jika diteliti sehelai daun sirih, bentuknya dikatakan seakan-akan bentuk kemaluan wanita. Bahkan ada yang mengatakan ia berbentuk peta negara India dan kebetulan salasilah penemuan awalnya di India.

    * Disifatkan sebagai daun yang paling baik untuk perubatan dan membantu memperbaiki sistem peranakan. Justeru, ia banyak digunakan untuk penyucian alat sulit kerana sifatnya sebagai pembersih dalaman.

    * Membantu menyembuhkan hidung berdarah dengan hanya menggunakan sehelai daun sirih. Daun dilipat kecil dan sumbatkan ke dalam hidung dengan mendongakkan kepala pesakit.

    * Dulu ia menjadi hidangan menyambut tetamu dengan meletakkan setepak sirih dilengkapi pinang, kapur dan gambir.

    * Fungsinya boleh membantu menaikkan seri wajah, airnya untuk membantu kekuatan dalaman dan cucian tempat sulit wanita. Selain itu, ia digunakan untuk tujuan awet muda.

    * Baik untuk perubatan kebatinan yang banyak digunakan bomoh tradisional.

    * Sifatnya yang pedas dan dedar (seperti bunga cengkih), menjadikannya sesuai sebagai pewangi mulut.

    * Kanak-kanak yang bermasalah kembung perut dan menangis tidak henti-henti, boleh mengambil beberapa helai daun sirih lalu diletakkan pada perut bayi.

    * Simbolik adat dalam peminangan dan perkahwinan orang Melayu atau majlis rasmi pejabat.

    * Dikatakan mempunyai aura jika ada lelaki atau wanita yang belum ketemu jodoh apabila mereka menemui ‘sirih bertemu urat’. Jika ditemui segera, cepatlah orang itu bertemu jodoh.


    Pemberian barang hantaran mengikut adat Melayu

    Ogos 22, 2007

    Dalam adat atau majlis pertunangan mahupun perkahwinan Melayu, membawa serta membalas barang hantaran, adalah satu kemestian antara kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Selain memenuhi adat tradisi dan syarat untuk mengikat dua hati yang ingin disatukan, berbalas-balas dulang hantaran antara kedua-dua pihak itu turut dianggap sebagai simbolik untuk mengukuhkan lagi perhubungan yang terjalin.

    Barang hantaran adalah hadiah yang berupa wang atau mas kahwin dan biasanya diiringi barang lain seperti manisan, buah-buahan dan pakaian. Lebih unik dan istimewa, setiap barang hantaran itu akan digubah cantik serta penuh daya kreativiti sebelum diletakkan di atas dulang yang beralas cantik dan dihiasi indah.

    Tiada had dalam menetap jumlah barang hantaran, tetapi kebiasaannya pihak perempuan akan menambah dua dulang lebih daripada pihak lelaki. Misalnya, jika pihak lelaki membawa tujuh dulang, pihak perempuan pula mestilah membalasnya dengan sembilan dulang.

    Perunding dan penggubah barang hantaran perkahwinan, Rose Sury’s dari Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, Rosuri Abas, berkata pada masa kini membawa dan membalas barang hantaran bukan saja bertujuan melengkapkan adat budaya, tetapi juga menyerikan lagi acara yang dilangsungkan sama ada majlis pertunangan atau pun perkahwinan.

    Beliau berkata, bersesuaian dengan arus perubahan moden, pemberian barang hantaran antara kedua-dua belah pihak pada masa kini tidaklah terlalu terikat dengan syarat dan adat yang telah ditetapkan sebelum ini. Sebaliknya, apa yang lebih penting kedua-dua belah pihak perlu saling muafakat dan berusaha memenuhi hati masing-masing ketika membawa dan membalas barang hantaran berkenaan.

    “Jika dulu, pasangan sering ditekankan tidak membawa dan memberi barang hantaran dalam jumlah yang genap. Tetapi kini, soal jumlah genap atau ganjil bukan persoalan besar bagi kebanyakan pasangan. Begitu juga tambahan dua dulang lebih yang perlu diberikan pihak perempuan kepada pihak lelaki tidak lagi menjadi syarat utama.

    “Sebab itulah kadang-kadang kita lihat hari ini, dulang hantaran yang diberi dan dibalas, sama banyak antara pihak perempuan dan lelaki. Mungkin ia lebih adil dan dapat memuaskan hati kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

    Rosuri yang sudah 10 tahun menggubah hantaran dan menawarkan perkhidmatan tempahan membuat gubahan berkata, hari ini antara barang hantaran wajib daripada pihak lelaki kepada perempuan biasanya adalah hantaran wang mas kahwin, telekung dan sejadah, alat solek, manisan serta pakaian.

    Bagi pihak wanita kepada lelaki pula, barang hantaran yang dibalas tidak jauh bezanya kecuali tiada wang mas kahwin diberikan.

    Mengenai gaya gubahan katanya, pada masa kini kebanyakan pasangan lebih senang menempah rekaan hantaran yang ringkas, tetapi mampu menonjolkan daya kreativiti. Gubahan gaya ringkas itu khususnya yang membabitkan seni rekaan melipat seperti telekung, sejadah dan tuala.

    “Dulu barang hantaran seumpama itu digubah menjadi pelbagai bentuk seperti buah-buahan, bunga, masjid, menara dan sebagainya. Tetapi kini kebanyakan pasangan lebih gemar gubahan yang mampu menonjolkan gaya korporat dan abstrak. Untuk itu, seni lipatan bukan menjadi keutamaan,” katanya.

    Perbezaan ketara lain dalam pemberian barang hantaran ialah amalan berdasarkan tema perkahwinan yang sudah ditetapkan. Misalnya, jika tema yang dipilih mewajibkan rona merah jambu, maka barang hantaran juga perlulah digubah menggunakan warna demikian.

    Rosuri berkata, selain tema yang menekankan pilihan warna, ada juga yang pasangan menetapkan konsep tertentu untuk rekaan gubahan hantaran seperti tradisional, nusantara, Victoria dan juga gaya Inggeris.

    Pilihan mengikut konsep dan warna sememangnya ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri kerana ia lebih teratur, tampak seragam dan menyerlahkan lagi hantaran.

    Misalnya, jika memilih gaya Inggeris sudah tentu gubahan hantaran lebih memperlihatkan warna lembut dan segar. Begitu juga dengan gaya nusantara, akan memperlihatkan gubahan bercirikan klasik dan semula jadi.

    “Namun, untuk menepati pemberian barang hantaran pihak lelaki kepada wanita, gubahan dan barangan dipilih perlulah mengambil kira beberapa aspek tertentu termasuk, dari segi warna, gaya rekaan dan penggunaan bahan lain seperti reben dan renda yang boleh membangkitkan keindahan rekaan gubahan.

    “Jika daripada pihak lelaki kepada wanita barang hantaran yang diberi perlulah menonjolkan gaya feminin yang menepati jiwa orang menerimanya dan begitulah sebaliknya. Untuk itu, pihak lelaki bolehlah memilih warna sesuai seperti merah jambu, krim dan ungu. Penggunaan renda dan riben memang sesuai sekali untuk melambangkan kelembutan jiwa nurani wanita.

    “Untuk memberi pihak lelaki pula, pihak wanita pula memilih gaya maskulin dan warna paling sesuai untuk barang yang ingin dijadikan hadiah ialah warna bumi, biru dan ungu gelap. Seandainya, kedua-dua pihak inginkan rona barang hantaran yang sama, pastikan warna muda adalah untuk wanita, manakala pihak lelaki menerima warna tua,” katanya.

    Beliau berkata, dulu kerja menggubah barang hantaran dibuat secara beramai-ramai bagi mengeratkan tali persaudaraan, tetapi kesibukan masa menyebabkan kebanyakan pasangan hari ini lebih suka menempah dan mengupah individu yang mahir membuatnya. Malah, ada yang menyerahkan bulat-bulat kepada perancang perkahwinan untuk menyediakannya kerana tidak mahu fikiran berserabut menjelang hari bahagia, di samping ketiadaan peralatan dan kelengkapan seperti dulang serta alas bagi memastikan barang hantaran tampak sempurna.

    Harga tempahan untuk menggubah barang hantaran pula berbeza-beza dan biasanya ia berdasarkan bahan yang digunakan. Bayaran dikenakan adalah mengikut jumlah dulang barang hantaran dan kebanyakan penggubah mengenakan harga serendah RM40 untuk satu dulang.

    Pemberian barang hantaran mengikut adat Melayu

  • Pada zaman silam ketika adat menghantar tanda dan adat menghantar mas kahwin dan belanja dilakukan oleh pihak lelaki, biasanya dibawa bersama cincin emas atau berlian. Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung, selipar atau kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya.
  • Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan.
  • Penerimaan cincin dan hadiah iringan secara tradisi bermaksud, penerimaan syarat perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak;
  • Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik.
  • Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya.
  • Di antara barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding.
  • Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin itu terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
  • Sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
  • 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
  • Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.
  • Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
  • Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
  • Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.

  • Adat bersunat kanak-kanak perempuan

    Ogos 7, 2007

    Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

    Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan.

    Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih.

    Adat ini akan dijalankan oleh bidan dan kini hospital dan klinik perbidanan turut menyediakan khidmat khatan untuk bayi atau kanak-kanak perempuan .

    Bersunat baik untuk kesihatan. Kebiasaannya majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

    Cara yang wajib bagi perempuan ialah dengan memotong daging yang ada di sebelah atas faraj yang seakan-akan bonggolan atau jambul di kepala ayam jantan. Yang lebih afdhal ialah dengan memotong sedikit sahaja dari daging itu.

    Bagi mengupas lebih lanjut tentang cara berkhatan untuk kaum perempuan, penulis berkesempatan menemubual seorang bidan, Nikmah Suhaidi, 45, di rumahnya, Pekan Jengkil, Selangor baru-baru ini.

    Nikmah memberitahu, antara alatan yang digunakan ialah kain putih yang bersih, minyak urut, kain kapas, duit syiling lima sen dan mata pisau cukur.

    “Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh ibu bapa. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu meter dan dua meter bagi dewasa.

    ‘’Kain putih digunakan sebagai lapik dan kain yang sama juga dicarik sedikit untuk membungkus duit syiling dan pelapik mata pisau cukur ,’’ ujarnya.

    Nikmah memberitahu, untuk mengkhatan bayi perempuan, mata pisau cukur dibahagi antara dua hingga empat.

    “Gunting kecil juga boleh digunakan untuk mengkhatan orang dewasa. Tetapi semuanya perlu dalam keadaan bersih dan suci,’’ jelasnya.

    Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad.

    “Sebelum memulakan proses berkhatan, saya akan membacakan doa, selawat, al-Fatihah, ayat Kursi, kalimah syahadat sebanyak tiga kali.

    “Saya dan kanak-kanak atau orang dewasa perempuan perlu berada dalam keadaan suci dari hadas,’’ katanya.

    Nikmah menjelaskan, bayi sebaik-baiknya dikhatan selepas 45 hari lahir dan terdapat juga orang dewasa seperti yang baru memeluk agama Islam yang ingin dikhatan.

    Ditanya tentang kebaikan berkhatan, Nikmah berkata, selain untuk mengawasi kesihatan batin ia juga dapat memelihara diri daripada dihinggapi pelbagai penyakit serta perkara-perkara yang diingkari Allah.

    “Selain tuntutan dalam Islam, berkhatan ini juga merupakan satu cara untuk kita berdoa agar anak perempuan kita ini menjadi seorang yang baik dan soleh apabila dia dewasa kelak.

    “Selepas berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau sambil membaca selawat. Tidak lupa saya memohon kepada Allah supaya mereka sentiasa taat kepada perintah Nya,’’ katanya.


    Tangas tradisional rawat kesihatan dalaman, luaran

    Julai 30, 2007

    Masyarakat Melayu amal mandi wap guna rempah ratus sejak 200 tahun lalu

    SEJAK 200 tahun lalu masyarakat Melayu mengamalkan bertangas sebagai rawatan kesihatan dan kecantikan. Amalan ini tidak pernah disisihkan walaupun pelbagai cara rawatan kecantikan moden memonopoli pasaran tempatan.

    Pengasas kumpulan syarikat Nona Roguy, Datin Sharifah Anisah Barakbah, berkata wanita moden hari ini perlu mengamalkan bertangas untuk kesihatan dalaman dan luaran kerana amalan itu terbukti berkesan untuk merawat atau melindungi individu terutama wanita daripada penyakit.

    Beliau berkata, rawatan seperti sauna dan mandi wap yang disediakan di kebanyakan spa dan salun kecantikan moden hari ini seakan sama fungsinya dengan bertangas, tetapi bertangas tradisional mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menggunakan ramuan herba dan rempah ratus yang berkualiti.

    “Sejak sekian lama masyarakat Melayu mengamalkan bertangas untuk mengeluarkan peluh bagi membuang toksin yang menyebabkan bisa badan. Malah, tikar pandan dan mengkuang juga digunakan sebagai dinding yang menyelubungi tubuh individu ketika bertangas.

    “Tikar pandan dan mengkuang mempunyai khasiat tersendiri dan mengeluarkan aroma wangi untuk menghilangkan bau badan. Ada banyak jenis tangas dan yang popular ialah tangas duduk, kering, basah, wangi dan rempah,” katanya.

    Beliau berkata, amalan tangas baik kepada individu tidak kira jantina dan usia. Tangas kering juga menjadi pilihan remaja terutama golongan yang mempunyai masalah keputihan, kegatalan vagina yang menyebabkan pengeluaran cecair yang berbau daripada saluran faraj.

    “Disebabkan pemakanan yang tidak seimbang, termasuk kurangnya penjagaan diri menyebabkan remaja perempuan mengalami masalah pada bahagian sulit. Jika tidak dirawat vagina akan mengalami alahan seperti gatal, kemerah-merahan selain mengeluarkan bau tidak menyenangkan,” katanya.

    Beliau berkata, setiap periuk tangas yang digunakan tidak boleh dicampur aduk antara satu individu dengan individu lain. Ini bertujuan mengelak jangkitan kuman dan penyakit yang dihidapi orang lain beralih kepada individu lain.

    “Tempoh maksimum tangas adalah 30 minit dan tidak boleh lebih daripada tempoh itu bagi mengelak dehidrasi tubuh. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak biasa bertangas atau baru menggunakan amalan ini, tempoh 15 minit sudah mencukupi.

    “Amalan bertangas dilakukan tanpa pakaian bagi memastikan wap tangas mengenai seluruh badan terutama kawasan tertutup. Setiap bahan tangas diperbuat daripada herba dan rempah ratus menggunakan petua turun temurun masyarakat Melayu lama,” katanya.

    Beliau berkata, tangas wangi pula adalah tangas yang diamalkan masyarakat bangsawan zaman dulu seperti sultan dan pembesar. Katanya, amalan tangas wangi tidak menjadi pilihan rakyat biasa kerana ia tidak relevan dengan cara hidup mereka.

    “Ia tidak sesuai kepada rakyat biasa kerana mereka perlu ke bendang dan kebun untuk mencari rezeki dan bergelumang dengan peluh. Sehubungan itu, amalan tangas wangi yang bertujuan memberi keharuman pada tubuh individu tidak sesuai dipraktikkan kepada golongan terbabit.

    “Namun, bagi anak dara yang bakal mendirikan rumah tangga, tangas wangi dilakukan tiga hari sebelum menjelang hari bahagia. Ramuan tangas wangi seperti daun pandan, bunga melur, mawar, daun cendana dan gaharu serta dibalut dengan kain cindai diyakini berkesan membuang bau badan termasuk ketiak,” katanya.

    Sharifah Anisah berkata, sementara itu, tangas duduk pula menggunakan batu sungai yang dipanaskan terdahulu sebelum dibalut bersama kain yang mengandungi ramuan herba dan rempah ratus. Katanya, individu perlu duduk di atas batu berkenaan sehingga panas batu berkurangan.

    “Kebiasaannya tangas duduk dilakukan kepada wanita yang putus haid untuk mengetatkan saluran vagina yang longgar selain mengubati masalah kedatangan haid yang panjang serta menaikkan rahim jatuh.

    “Bagi tangas kering pula, bahan tangas akan dimasukkan ke dalam periuk tanah sebelum dipanaskan di atas dapur tanah kecil dan ditutup dengan kerusi kayu yang dilubangkan di tengahnya. Individu perlu duduk di atas kerusi itu antara 15 hingga 30 minit,” katanya.

    Beliau berkata, setiap jenis tangas mempunyai kelebihan yang berbeza-beza dan amalan bertangas ini perlu diteruskan terutama wanita moden hari ini. Katanya, kesibukan kerja selain menguruskan rumah tangga menyebabkan wanita mengabaikan penjagaan kesihatan dalaman.

    “Tangas adalah amalan penjagaan kesihatan keseluruhan tubuh badan dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan bahagian sulit semata-mata. Malah, amalan ini dapat membantu wanita mengatasi masalah keletihan, berat badan berlebihan dan mengecutkan urat badan yang menyebabkan lendir angin dalam tubuh,” katanya.

    FAKTA

    Kelebihan bertangas

    Tangas Kering

  • Rawatan bagi wanita selepas bersalin
  • Melancarkan proses haid wanita
  • Mengurangkan keputihan dan alahan vagina
  • Merawat bau dan lendir busuk yang keluar daripada saluran vagina
  • Mengeluarkan toksin dalam tubuh
  • Melancarkan pengaliran darah
  • Mengatasi masalah kelesuan
  • Membantu mengurangkan masalah berat badan
  • Ramuan tangas kunyit, limau nipis, halia dan jintan hitam.

    Tangas Basah

  • Digunakan untuk memecah lemak dan selulit
  • Menghaluskan kulit
  • Membuang toksin dalam badan
  • Daun pandan dan air mawar

    Tangas Duduk

  • Mengetatkan saluran vagina bagi perempuan yang sudah putus haid
  • Menaikkan rahim jatuh
  • Melancarkan proses perkumuhan
  • Mengurangkan rasa pedih selepas membuang air kecil
  • Ramuan tangas rempah ratus, daun sirih dan halba

    Tangas rempah

  • Mengurangkan masalah bau badan
  • Membuang angin dalam tubuh
  • Memanaskan badan
  • Memberi tenaga dan mengurangkan tekanan
  • Meningkatkan daya tahan tubuh
  • Ramuan tangas halia, halba dan jintan hitam.

  • Hubungan pasangan mengikut urutan dalam keluarga

    Julai 28, 2007

    ORANG tua dulu diketahui memang banyak kepercayaan dan pantang larangnya termasuklah, dalam urusan mencari pasangan hidup. Percaya atau tidak orang tua dulu kebanyakan berpegang kepada konsep untuk mengetahui sifat mahupun ciri peribadi calon pasangan yang dipilih, perlulah diketahui kedudukannya dalam struktur keluarga.

    Orang tua dulu percaya, urutan kelahiran boleh mempengaruhi perilaku seseorang dalam menjalin hubungan kasih sayang. Maka itulah ada yang amat yakin, anak sulung sebaik-baiknya tidak sesuai berkahwin dengan pasangan juga anak sulung. Alasan diberi, kedua-duanya mempunyai sifat dasar yang sama, setidak-tidaknya sifat manja dan keras kepala.

    Begitu jugalah jika anak bongsu, elakkan mencari pasangan yang sama-sama bongsu dalam keluarga kerana kedua-duanya sukar mengawal situasi. Selain itu, jika anak bongsu bertemu anak tunggal, hubungan itu turut dikatakan, bakal bergejolak kerana kedua-duanya sama-sama memerlukan perhatian.

    Bagaimanapun, sulung bertemu tunggal ada keserasian, tetapi anak sulung tidak boleh terlalu tegas. Kecenderungan anak tunggal yang manja bererti harus ada pengorbanan dan mesti fahami keadaan itu.

    Pasangan sama kedudukan anak tengah pula dikatakan, sangat padan. Pasangan ini dapat pergi ke mana pun dan memutuskan apa saja yang mereka sukai. Apabila yang satu cenderung seperti anak sulung, pasangannya pula seperti anak bongsu. Dengan begitu, mereka berdua dapat saling melengkapi.

    Benar atau salah pandangan mahupun saranan orang tua dulu itu, tidaklah diketahui kebenarannya, tetapi ramai mengakui, persoalan ini sehingga kini masih menjadi bahan bicara. Namun, jika dihalusi ada kebenaran kerana lazimnya, untuk mengetahui karakter seseorang antara cara yang dapat dilihat adalah melalui urutan kelahiran, selain berdasarkan tarikh lahir.

    Bagaimanapun, jika sudah ditakdirkan bertemu jodoh mampukah perasaan cinta dan kasih sayang itu diketepikan?

    Pasangan baru lima bulan berkahwin, Nadia Noordin, 24, dan Daneal Micky Abdullah, 27, yang sama-sama dilahirkan anak sulung berkata, mereka langsung tidak pernah memikirkan soal itu.

    Bagi mereka, apa yang lebih penting ialah ada keserasian dan mempunyai sikap saling faham memahami antara satu sama lain.

    Nadia yang juga anak tunggal perempuan dalam dua beradik, tidak menafikan pernah mendengar orang tua dulu ada berkata, jika anak sulung berkahwin dengan anak sulung hubungan yang dibina agak ‘panas’ atau kerap bergaduh. Tetapi perkara itu tidak pernah menghantui dirinya ketika menerima Daneal sebagai teman hidupnya.

    Malah, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui, tidak sangka Daneal yang dikenali empat tahun lalu sebagai rakan sekerja akhirnya, menjadi cinta hati.

    “Sudah tentu ketika berkenalan, kami tahu masing-masing adalah anak sulung. Tetapi seingat saya, sepanjang perkenalan perkara itu tidak pernah dibincangkan atau dijadikan isu.

    “Sebaliknya, semakin lama berkawan, semakin itulah saya dapat rasakan ada keserasian. Saya menerima Daneal sebagai teman hidup bukan saja dia memiliki ciri lelaki yang saya cari, tetapi yakin dia boleh melindungi dan menjaga saya,” kata Nadia.

    Bagi Nadia, urutan seseorang itu dalam keluarga bukanlah kayu pengukur utama untuk memastikan kebahagiaan sebuah keluarga yang dibina sebaliknya, terpulang sejauh mana pasangan berkenaan tahu mengendalikan masalah rumah tangga dan mencari penyelesaian sesuai supaya tidak terus porak peranda.

    Katanya, walaupun usia perkahwinan mereka masih mentah apa yang dilihat memang banyak persamaan antara dirinya dan suami. Ini termasuklah, dalam soal tingkah laku dan perwatakan dalam diri sekali gus, memudahkan mereka untuk lebih memahami antara satu sama lain serta senang berbincang apabila ada pertikaian.

    “Memang banyak persamaan. Tengoklah dari segi fizikal saja, kami kedua-duanya sama ‘comel’. Perangai kami berdua juga agak keanak-anakan walaupun sudah berkahwin. Tetapi kalau bergaduh biasalah, saya saja yang hendak menang. Apa pun, antara kami sudah tentu ada kelemahan masing-masing dan sebab itulah perlu saling bantu membantu.

    “Misalnya, saya hanya tahu masak yang asas saja, tetapi Daneal ‘bab masak’ memang handal kerana dia ada pengalaman bekerja di hotel. Oleh itu, dialah yang banyak beri tunjuk ajar kepada saya,” katanya.

    Beliau berkata, meskipun beliau anak tunggal perempuan dalam keluarga, kedua orang tuanya tidaklah memanjakannya sangat. Bagaimanapun, tidak menafikan apa saja keinginannya akan dipenuhi orang tua, tetapi dengan syarat Nadia mesti memenuhi hasrat yang diinginkan mereka. Mungkin kerana itulah sikap suka merajuk terbawa-bawa hingga ke hari ini.

    Kepercayaan sekadar satu panduan

    BAGI Daneal Mickey Abdullah yang berasal dari Seri Aman, Sarawak dan dilahirkan dalam suku kaum Ulu (Kenyah), mengakui tidak pernah dengar adanya kepercayaan orang tua dulu mengenai keserasian pasangan mengikut urutan keluarga.

    Jika ada sekali pun kepercayaan itu katanya, ia adalah semata-mata kepercayaan orang tua dulu dan seseorang itu hakikatnya tidak perlu bimbang seandainya yakin dengan keputusan yang diambil atau sudah ditakdirkan untuk bertemu jodoh.

    “Biasalah, setiap karakter seseorang itu ada pasang surutnya. Jika ada tidak kena perlulah berbincang. Sebagai anak sulung dan mempunyai tiga adik yang lain, ibu bapa saya mendidik kami penuh disiplin serta sama rata. Kini, sebagai suami saya cuba memikul tanggungjawab memimpin keluarga sebaiknya,” katanya.

    Daniel turut mengakui, dalam banyak hal yang menimbulkan kekusutan memang dirinya yang selalu beralah dengan Nadia. Tetapi katanya, antara beralah dan mengalah, tentu ada perbezaannya.

    Mengenai bagaimana hubungan cinta dengan isteri mula berputik, katanya semua berlaku tanpa diduga. Bermula sikap suka usik mengusik, lama kelamaan hati berubah bertambah sayang.

    “Dulu kami bekerja satu tempat dan saya suka sekali mengusik Nadia. Akhirnya, hati pun mula melekat kerana Nadia cepat memahami hati saya dan tidak suka mengongkong,” katanya.

    Namun, sehingga kini Daneal masih tidak dapat lupa bagaimana gementar dirinya apabila ‘ditemuduga’ ibu bapa Nadia, ketika menyatakan hasrat untuk mengambilnya sebagai isteri. Tetapi Daneal begitu memahami situasi itu kerana sebagai anak tunggal perempuan dalam keluarga sudah tentu bukan mudah untuk mereka melepaskan Nadia.

    Lebih-lebih lagi, ada jurang agama dan budaya antara kedua-dua keluarga.

    “Syukur, kedua-dua belah pihak keluarga kami merestui dan berfikiran terbuka mengenai hal ini. Restu dan doa merekalah yang lebih penting daripada kami memikirkan struktur kedudukan kami dalam keluarga,” katanya.

    Info:

    Ahli psikologi Barat, Dr. Kevin Leman membuat huraian mengenai hubungan pasangan mengikut urutan dalam keluarga.

    Terpulanglah kepada anda sama ada mahu percaya atau tidak:

    Sulung dengan sulung

    Berpeluang besar untuk sering bertegang urat. Masing-masing sentiasa suka berkeras ataupun dalam menentukan siapa pemberi dan penerima perintah. Jika hubungan cinta terjalin, ia memerlukan jiwa besar dan kesabaran dalam menjalani hubungan seperti ini.

    Sulung – Tengah

    Sudut negatif dari hubungan ini adalah kemungkinan berubahnya sikap si anak tengah untuk menyenangkan si sulung. Anak tengah adalah pasangan yang serasi untuk siapa saja. Meskipun begitu, ia sering kali menganggap si sulung sebagai yang suka menggertak dan menakutkan.

    Jika anak tengah berpasangan dengan anak sulung, maka sering kali ia harus merelakan keinginan dan impiannya demi pasangannya. Namun, jika si tengah cenderung bersikap seperti anak bongsu, mereka dapat menjadi pasangan yang cukup serasi.

    Sulung – Bongsu

    Kombinasi paling serasi. Si sulung dapat mengajarkan pasangannya, untuk bertindak lebih teratur dan dewasa, terutama saat menghadapi masalah serius. Sementara, si bongsu dapat seimbangkan sikap serius si sulung dengan mengajaknya bersantai atau sekadar duduk sambil berkhayal mengenai masa depan.

    Tengah – Tengah

    Pasangan ini dapat pergi ke manapun dan memutuskan apapun yang mereka sukai. Mereka dapat menjadi sangat serasi, apabila yang satu cenderung seperti anak sulung dan pasangannya seperti anak bongsu. Dengan begitu, mereka berdua dapat saling melengkapi.

    Namun, anak tengah biasanya suka menyimpan rahsia. Hal ini tentu dapat menjadi halangan serius dalam berkomunikasi. Bagaimanapun, masalah akan mudah dan cepat selesai kerana mereka pandai berkompromi dan menjunjung tinggi perdamaian.

    Tengah – Bongsu

    Hubungan ini akan berjalan lancar, bila si anak tengah cenderung bersikap seperti anak sulung. Jika anak tengah menunjukkan ciri sejati, maka ia akan terbawa-bawa gaya si bongsu yang lebih santai dan suka mengikut kehendak diri sendiri. Ini berlaku, terutama apabila anak tengah ini adalah pihak perempuan.

    Bongsu – Bongsu

    Berhati-hatilah! Bersama pasangan yang seirama memang menyenangkan. Namun bila tidak melihat kenyataan, kamu akan sulit untuk mengawal situasi.

     


    Ikut

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 349 other followers