Ilmu Sihir

Mac 30, 2008

Dalam masyarakat melayu memang terkenal mengenai Ilmu Sihir. Ilmu Sihir ini selalu dikaitkan dengan Bomoh dan Dukun. Ia sering dirujuk dalam masyarakat kita sebagai perbuatan orang atau kemasukan syaitan.

Bahan yang sering digunakan oleh tukang sihir di kalangan masyarakat Melayu bergantung kepada keperluan tukang sihir itu sendiri.

Lazimnya air sihir, keris, darah, telur, jarum dan patung merupakan bahan yang popular digunakan di kalangan bomoh atau tukang sihir Melayu. Di samping itu ia turut dibantu beberapa jenis jin atau hantu bagi tercapainya apa yang diminta. Antara jin atau hantu tersebut dikenali sebagai berikut :-

Hantu Bungkus : Mempunyai kuasa dan boleh meresap dalam tubuh manusia,

Langsuir : Perempuan yang mati ketika melahirkan anak, boleh digunakan bagi tujuan mengganggu,

Polong : Bagi menghisap darah mangsa

Jembalang : Tukang sihir akan membuat perjanjian dengan jembalang sebagai pengawal apabila sesuatu tapak atau kawasan diganggu oleh orang lain.

Kesemua ini diperolehi tukang sihir sama ada secara warisan keturunan nenek moyang kita atau dipelajari oleh seorang guru sihir. Dalam hubungan ini syaitanlah yang memainkankan peranan yang paling besar.

JENIS-JENIS SIHIR:

PATUNG
Tukang sihir akan menggunakan bahan-bahan yang didapati daripada tubuh badan mangsa seperti rambut, kuku dan sebagainya yang kemudian diikat pada patung. Seterusnya patung itu dicucuk dengan jarum. Pada masa yang sama jampi mantera dibaca oleh tukang sihir tersebut dan dipercayai mangsa akan berasa sakit dan boleh membawa maut.

SANTAU
Nama ini sudah begitu popular di kalangan masyarakat Melayu. Santau merupakan bahan campuran antara kaca yang ditumbuk halus dan ia akan dimasukkan ke dalam makanan atau minuman mangsa dengan membaca ayat-ayat tertentu oleh tukang sihir

TELUR LAYANG
Tukang sihir akan mengambil sebiji telur yang telah dijampi yang lalu dibalut dengan kain kuning. Kemudian sebatang jarum akan dicucuk ke dalam telur tersebut sambil jampi mantera dibaca. Akibatnya mangsa akan berasa sakit serta boleh membawa maut.

TANGKAL dan AZIMAT
Tukang sihir akan menulis ayat azimat dengan lidi daun pokok kabong berserta dakwat merah yang dicampur dengan bedak za’faran dan air ros. Dakwat merah tersebut ialah darah seseorang yang telah mati dibunuh dengan kejam atau darah ayam jantan. Kemudian tangkal atau azimat tadi diperasap dengan kemenyan yang dilakukan pada malam jJmaat atau malam Khamis yang ditujukan kepada mangsanya.

SIHIR PEMBENCI dan KASIH SAYANG
Sihir pembenci bertujuan memisahkan sepasang kekasih atau suami-isteri. Manakala sihir kasih-sayang boleh dilakukan oleh tukang sihir dengan menulis ayat-ayat jampi di atas kertas kemudian dibakar dan habuknya dimasukkan ke dalam minuman yang disertakan dengan jampi tiga kali sambil menyebut nama orang yang dihajati.


CARA MENGATASI GEJALA SIHIR:

Apabila telah disahkan seseorang itu terkena sihir samada dari segi fizikal, mental atau spiritual, maka dalam dalam konsep Islam, tiap-tiap yang bermasalah ada penyelesaiannya.

Tiap-tiap penyakit ada penawarnya. Islam telah membuat beberapa peraturan untuk mengatasi penyakit disebabkan sihir. Terutamanya setelah kita melihat fakta yang jelas bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah terkena sihir dalam kisah yang terkenal dengan Labid bin A’sam. Peristiwa ini berlaku untuk memberitahu kita bahawa terdapat ayat Al-Qur’an yang dinamakan Al-Mu’awwizat, iaitu beramal bersungguh-sungguh dan yakin dengan ayat-ayat itu sehingga ia menjadi penawar.

Begitu juga dengan ayat Kursi dan memang dari kaedahnya ayat tersebut adalah pengubat dan penyembur sihir. Malah Nabi Muhammad s.a.w. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut. Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh menyembuhkan sihir.

Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :-

1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6
2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257
3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286

SAKA ( KETURUNAN )
Saka adalah jin yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga sudah menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunan kita. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek-moyang kita terdahulu. Dan diturunkan kepada kita tanpa diketahui atau jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki.

Dari itu memang sukar menghalau jin di dalam tubuh seseorang yang telah dianggap saka. Ia tetap akan kembali lagi ke tubuh tuannya itu walaupun sudah beberapa kali diberi amaran atau bersumpah di atas nama Allah s.w.t. bahawa ia tidak akan datang lagi.

Namun begitu, dibawah ini ada cara yang boleh mengeluarkan saka dalam tubuh seseorang itu, tetapi ia memakan masa yang lama mungkin makan bulan malah tahun.

Caranya ialah ambil tempat (tumbler) berisi air, lalu bacakanlah air tersebut dengan surah-surah dibawah ini. Ia dilakukan diwaktu sesudah mendirikan solat subuh.

1.) Surah Al-Fatihah ( Ayat 1-7 )
2.) Surah Al-Baqarah ( Ayat 255 )
3.) Surah Al-Insyirah ( 1-8 )

Air ini digunakan sebagai minuman harian. Apabila kamu minum air yang dibacakan ayat-ayat Al Qur’an ia akan menjadi darah daging kamu. Lakukanlah pada tiap-tiap hari, jangan mudah jemu, sudah dikatakan proses ini memakan masa yang lama. Dengan izin Allah…… Jin (saka) yang berada di dalam tubuh kamu akan merasakan kepanasan lalu terbakarlah dia dengan azab Allah s.w.t. Insya Allah….

Setelah kamu minum air tersebut berterusan, kamu dapat merasakan seluruh anggota kamu akan menjadi pija (panas) terutama di bahagin tengkuk, kerana disitulah tempat duduknya jin tersebut. Ini menunjukkan, usaha anda telah berhasil. Itu petanda Allah s.w.t. telah mengazabkan jin di dalam tubuh kamu itu. Itulah kemujarabannya.

Segala sesuatu bergantung kepada izin Allah.

#Di zaman serba moden ini, kita tidak sewajarnya bergantung kpd amalan perbomohan utk mendapatkan sesuatu hajat. Sihir adalah syirik dan dosa besar yg tak akan diampunkankan Allah kecuali bertaubat.


Keunikan adat perkahwinan India Muslim

Mac 20, 2008

WARNA-WARNA ceria hasil kerlipan sari menyinari ruang Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor, yang menyaksikan pernikahan pasangan pengantin muda berketurunan India Muslim.

Majlis perkahwinan Mohamed Roslan Hakimsa, 25, dan pasangannya, Nasrin Banu Ahmad Basher, 19, mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri apabila menyerlahkan adat resam diamalkan nenek moyang mereka.

Kemeriahan majlis perkahwinan dalam masyarakat India Muslim sebenarnya bermula pada malam berinai atau dikenali sebagai mehndi. Apa yang menarik, acara yang menjadi kemestian buat pengantin perempuan itu, turut dilangsungkan oleh pengantin lelaki.

Bagaimanapun, kedua-dua belah pihak mengadakan majlis berinai secara berasingan di rumah keluarga masing-masing. Upacara dimulakan di rumah pengantin lelaki terlebih dahulu dan pengantin perempuan hanya boleh memulakan majlis mehndi sejurus menerima kedatangan rombongan pengantin lelaki ke rumah mereka.

Majlis berinai dimulakan dengan rombongan keluarga pengantin perempuan bertandang ke rumah lelaki dengan membawa dulang berisi semangkuk inai untuk digunakan bagi menyempurnakan upacara tersebut di rumah lelaki.

Sekembali rombongan tersebut dari rumah pengantin lelaki, tiba pula giliran wakil pihak lelaki bertandang ke rumah pengantin perempuan, juga membawa semangkuk inai bersama dulang hantaran yang lain termasuk sepersalinan sari untuk dipakai pengantin perempuan pada majlis tersebut, rantai emas dan sebentuk cincin.

Jika dulang hantaran perkahwinan orang Melayu rata-rata dihias cantik dan mempunyai kiraan tersendiri, umpamanya tujuh dihantar lelaki dibalas sembilan dulang oleh perempuan, berlainan pula dalam masyarakat India Muslim.

Mereka hanya menggunakan dulang biasa dan bilangannya mengikut keselesaan masing-masing. Hantarannya pula terdiri daripada buah-buahan iaitu sejenis buah untuk setiap dulang manisan, al-Quran, gula, telekung, alat solek serta kasut.

Menurut bapa pengantin lelaki, Hakimsa Abdul Karim, 48, memang menjadi adat keturunan mereka untuk memberikan buah-buahan sebagai hantaran dan amalan itu telah diamalkan sejak berkurun dahulu.

Dalam pada itu, ketika majlis berinai, kedua-dua pengantin disandingkan seorang diri di rumah masing-masing sebelum upacara merenjis dilangsungkan iaitu dengan meletakkan secubit inai di telapak tangan pengantin dan kemudian disuapkan sesudu gula.

Ketika disandingkan itu, telapak tangan pengantin akan dialas dengan sekeping daun sirih sebelum seorang demi seorang ahli keluarga mencalitkan secubit inai yang dibawa oleh wakil keluarga pengantin lelaki atau perempuan tadi.

Selain itu, pengantin turut akan disuapkan sesudu gula sebagai tanda memberi pemanis terutama kepada pengantin perempuan.

Majlis akad nikah merupakan detik paling bermakna dan istimewa, malah mendebarkan buat kedua mempelai memandangkan saat itulah Mohamed Roslan dan Nasrin Banu akan bertemu mata buat pertama kalinya.

Mohamed Roslan yang segak dengan persalinan baju Melayu merah jambu sabar menanti untuk diijab kabul, manakala di satu sudut lain, Nasrin Banu yang cantik menyarungkan persalinan sari rona merah sementara menunggu saat bergelar isteri.

Tepat jam 10.25 pagi, dengan sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM80, Mohamed Roslan sah menjadi suami kepada Nasrin Banu. Sejurus selepas diijab kabul, bacaan doa pun dibacakan, tetapi dalam dua bahasa, Arab dan Tamil.

Selesai akad nikah, selalunya akan diadakan upacara membatalkan air sembahyang bermula dengan mengalungkan seutas rantai perkahwinan yang dinamakan karsemani dan dikalungkan oleh ibu pengantin perempuan sendiri.

Selepas itu baru pengantin perempuan mencium tangan suami untuk upacara membatalkan air sembahyang. Inilah saat pertama kedua mempelai bertentang mata antara satu sama lain.

Selesai pernikahan di masjid, kedua mempelai diiringi pulang ke rumah pengantin perempuan untuk majlis persandingan kecil buat kaum keluarga terdekat.

Ketika itu, pasangan pengantin akan disuapkan tiga sudu besar susu segar yang dicampur pisang oleh keluarga dan sanak saudara terdekat agar kehidupan yang bakal dilalui pasangan itu kelak sentiasa manis.

Majlis persandingan utama pula diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. Pasangan pengantin memilih persalinan serba biru diarak masuk menuju persada pelamin dengan diiringi tarian Gunung Ledang.

Lebih menarik tentang perkahwinan pasangan pengantin muda ini, mereka bukan sekadar tidak pernah bersua muka, malah tidak pernah menatap gambar pasangan masing-masing walau hakikatnya kedua-duanya bersaudara.

Bagi Roslan, yang kini menguruskan perniagaan restoran milik bapanya di Seksyen 7, Shah Alam, berkahwin atas pilihan keluarga sama sekali tidak menimbulkan sebarang masalah kerana memang sejak awal lagi dia menyerahkan urusan mencari jodoh kepada bapanya.

“Saya tidak kisah dengan aturan keluarga kerana memang itu amalan masyarakat kami, lagi pun wanita yang saya kahwini bukannya orang lain, dia mempunyai pertalian saudara di sebelah ibu saya.

“ Memang lazimnya begitu, kami akan berkahwin sesama saudara dan ia menjadi adat resam yang sudah lama diamalkan oleh masyarakat India Muslim,” kata anak sulung kepada pasangan Hakimsa dan Taubika Banu Sarif, 45.

Bagi Nasrin Banu, walaupun tidak pernah melihat apatah lagi mengenali hati budi suaminya, dia yakin dengan pilihan keluarganya kerana tiada ibu bapa yang ingin anaknya hidup sengsara.

Sebab itu katanya, tidak pernah terdetik di hati untuk menolak pilihan tersebut biarpun dia hanya diberitahu mengenai calon suaminya dua bulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.


Berkhatan

Mac 14, 2008

BERSUNAT yang juga disebut berkhatan atau berkhitan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.

Mengikut kitab al-Majmu‘ dan kitab Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, berkhatan wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan.

Hal ini berdasarkan firman Allah yang maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad SAW): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.” (Surah an-Nahl, ayat 123)

Dalam ayat itu Allah memerintahkan Nabi Muhammad mengikut ajaran agama Nabi Ibrahim yang mana antara ajaran itu ialah berkhatan.

Amalan itu dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya 80 tahun.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Berkhatan Nabi Ibrahim ketika Baginda berumur 80 tahun dengan alat qadum.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut kitab Syarh al-Muhadzdzab, ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim ialah berkhatan dan amalan itu adalah wajib dalam agamanya.

Hukum wajib berkhatan termasuk dalil daripada hadis Rasulullah yang bermaksud, “Buanglah rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.” (Riwayat Abu Daud)

Seperti amalan khatan di kalangan lelaki yang bermula pada zaman Nabi Ibrahim, amalan berkhatan bagi wanita juga berlaku pada zamannya apabila isterinya Sarah, dikhatankan.

Peristiwa itu bermula apabila Hajar yang juga isteri Nabi Ibrahim mengandung, Sarah berasa cemburu lalu bersumpah untuk memotong tiga bahagian anggotanya sendiri.

Nabi Ibrahim bimbang kalau-kalau Sarah akan memotong hidung dan telinganya lalu Baginda menyuruhnya melubangkan kedua-dua telinganya dan berkhatan. Setelah itu amalan khatan menjadi sunnah bagi wanita Islam.

Berkhatan turut diamalkan pada zaman Firaun dengan didapati mumia perempuan Mesir purba mengamalkannya, begitu juga di negara lain di Afrika seperti di Habsyah dan Sudan.

Berkhatan seterusnya diamalkan di merata dunia termasuk Malaysia tetapi ada yang menganggap amalan itu sebagai tuntutan agama sementara ada pula menganggapnya sebagai adat.

Di sebalik pelbagai pendapat dikemukakan, wujud juga kekeliruan disebabkan timbul pendapat menyatakan berkhatan bagi perempuan tidak wajib, malah sesetengahnya minta amalan itu dihapuskan.

Alasannya, amalan itu menghina wanita dengan mencederakan mahkotanya yang sensitif dan mengurangkan nafsu seks.

Ketua Jabatan di Akademi Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Anisah Abd Ghani, berkata walaupun ulama berselisih pendapat mengenai hukum khitan wanita, amalan berkhatan elok dilaksanakan sebagai fitrah insaniah seiring fitrah Islam.

Selain itu, katanya, ia adalah sunnah yang diamalkan pada zaman Rasulullah yang mengajarkan kepada wanita dan jika tidak diamalkan bererti kita mengetepikan salah satu daripada amalan wanita zaman Rasulullah.

Beliau juga menyokong pendapat Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, bahawa hukum khatan bagi lelaki dan perempuan bukan didasarkan kepada nas naqli, tetapi disandarkan kepada kaedah umum syariah iaitu untuk kemaslahatan.

Khatan bagi lelaki ada maslahah yang perlu dijaga iaitu menghindarkan jangkitan kuman yang menyebabkan kanser zakar atau penyakit lain berbahaya, tetapi dalam persoalan khatan bagi kaum perempuan, tiada maslahah perlu dijaga.

“Menurut Imam al-Akbar juga, lemah atau kuat nafsu perempuan bergantung kepada pembinaan hormon dalam diri.

“Begitu juga dalam bab berakhlak atau tidak seseorang bergantung kepada pendidikan agamanya dan keprihatinan ibu bapa mendidik anak.

“Lagipun, khatan bagi perempuan adalah memotong kulit pada atas faraj yang berbentuk seperti balung ayam (tiga segi) yakni clitoris. Bahagian yang dipotong hanyalah sedikit bukan memotong semua sekali,” katanya.


Di Sebalik Jabat Tangan

Mac 9, 2008

Oleh Diyanah Anuar

BERJABAT tangan, bersalam; satu amalan yang begitu ‘dekat’ dalam kehidupan masyarakat kita sejak dulu lagi. Ia sudah menjadi budaya dan kelaziman, serta pengukur tinggi budi seseorang.

Amalan bersalam tidak terbatas untuk masa tertentu saja, malah ia bagaikan satu kemestian dalam jalinan sesebuah hubungan interpersonal. Ia bukan saja diamalkan di kalangan orang kita saja, malah di peringkat global juga walaupun sesetengah negara mempunyai tradisi berlainan dalam menunjukkan ‘salam’ mereka.

Kita sudah terbiasa, bila berjumpa dan diperkenal dengan sesiapa, akan didahului dengan jabat tangan dan apabila hendak berpisah, salam turut dihulur sebagai tanda minta diri.

Dalam adat perkahwinan Melayu, sewaktu upacara lafaz akad nikah juga dilakukan secara bersalam antara jurunikah dan pengantin dan juga dalam dunia korporat, amalan ini sering dilihat di waktu perjumpaan, mesyuarat dan tidak ketinggalan di sesuatu majlis menandatangani perjanjian atau kerjasama perniagaan.

Jika dilihat dalam kehidupan seharian, khususnya dalam konteks kekeluargaan, bersalam dianggap sebagai tanda hormat kepada seseorang, daripada yang muda kepada yang tua, juga sebaliknya.

Malah, nilai murni ini diterapkan sejak kecil, dan pada peringkat itu lagi kita sudah dididik supaya bersalam dengan orang tua, selain membongkok sedikit bila berjalan di hadapan mereka. Tingginya nilai kedua-dua amalan ini dalam budaya kita hingga seseorang itu dikatakan kurang adab jika tidak melakukannya.

Melihat dari gaya hidup masa kini pula, amalan bersalam bukan lagi sekadar perlakuan menghulur dan menyambut tangan semata-mata, tetapi pelbagai jenis salam yang dilakukan segelintir masyarakat pada hari ini.

Diperhatikan, segelintir remaja dan golongan tertentu yang mempunyai gaya bersalam yang tersendiri. Ada yang berjabat tangan, kemudian bercalit ibu jari, ada yang bersalam kemudian berlaga pipi dan tak kurang juga yang sekadar bertampar tangan saja. Yang tak biasa bersalam pun ada!

Apapun gaya bersalam yang diamalkan, pokok-pangkalnya kembali kepada diri sendiri. Masing-masing mempunyai hak dalam menentukan tingkah laku masing-masing. Namun, pada zahirnya, setiap tindak-tanduk dan perlakuan adalah refleksi kepada peribadi kita, seperti yang dikatakan Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof Madya Dr Noriah Mohamed.

Ikuti paparan nobel mengenai nilai bersalam dan apakah maksud tersirat yang terselindung di sebalik amalan ini.

Salam tanda hormat, kasih

“AMALAN bersalam sememangnya dianjurkan namun ia masih tertakluk kepada batasan tertentu.

“Biarpun ia suatu amalan yang dapat merapatkan hubungan persaudaraan dan persahabatan, ia perlu dilaksanakan dengan cara yang betul dan sesuai dengan adat dan kepercayaan kita,” kata Prof Madya Dr Noriah Mohamed.

Melihatkan cara segelintir orang kita bersalaman hari ini, katanya, dapat dikatakan bahawa kebanyakannya tidak benar-benar mengikut matlamat sebenar amalan bersalam.

Ada yang tidak bersungguh-sungguh, bersalam secara sambil lewa, jelasnya.

Beliau berkata, bersalam nampak seperti mudah, tetapi pada setiap gerak laku itu sebenarnya memberi makna. Dr Noriah turut memberi contoh bersalam yang wajar diamalkan.

“Pada saya, cara yang elok untuk bersalam adalah dengan menghulurkan kedua-dua tangan, digenggam sedikit, kemudian tangan dilekatkan ke dada masing-masing.

“Menghulur kedua-dua belah tangan menunjukkan kita ikhlas memberi salam dan menyambutnya dengan dua belah tangan pula menunjukkan kita benar-benar menghargai salam yang dihulurkan.

“Sesudah itu, apabila kita meletakkan tangan ke dada, menggambarkan bahawa kita menyematkan kasih sayang yang dihulur melalui salam itu ke hati, ”katanya.

Mengenai pelbagai cara bersalam ‘kontemporari’ yang diamalkan sekarang ini, Dr Noriah mengulas, kebanyakan cara bersalam yang ditampilkan itu ditiru daripada Barat yang kadangkala tidak bersesuaian dengan norma masyarakat kita yang kuat berpegang kepada adat dan agama.

“Mengapa perlu mengikut cara orang lain sedangkan budaya warisan kita sudah cukup cantik untuk diamal dan ditunjukkan?

“Kadang-kadang ia bukan saja tak manis dipandang, malah tidak membawa apa-apa makna, lari dari prinsip mengapa amalan ini digalakkan.

“Ada juga yang tidak menyedari cara bersalam yang mereka ‘pinjam’ dan praktikkan itu mungkin berasal daripada gaya sesetengah kumpulan tertentu seperti gangster atau kongsi gelap yang menggunakan cara berkenaan sebagai identiti mereka,” katanya.

Seelok-eloknya, kata Dr Noriah, sambil bersalam, mata memandang ke arah orang yang disalam.

“Ia menunjukkan yang kita hormat pada orang itu. Tidaklah seperti segelintir yang bersalam tapi tak pandang muka, malah ada juga yang menyentuh hujung jari saja. Itu tidak bagus dan bagi yang tidak selesa bersalam kerana perbezaan jantina, cukup sekadar senyum dan tunduk sedikit,” katanya.

Dr Noriah turut berpesan kepada generasi muda supaya memelihara budaya bersalam kerana ia melambangkan jati diri bangsa.

“Nilai seperti inilah yang melambangkan warisan dan budi pekerti sesuatu bangsa,” jelas beliau.

Info salam:

Menurut sejarah, amalan bersalam dalam Islam adalah tradisi kaum Yaman pada zaman pra-Islam yang kemudiannya tersebar mengikut perluasan empayar Islam.

Tujuan perlakuan salam pada zaman dulu adalah untuk membuktikan bahawa seseorang itu datang secara aman, tidak bersenjata.

Melalui salam, kita boleh mendapat gambaran mengenai hubungan yang bakal dilalui dengan orang yang disalam.

Ia juga dapat menunjukkan ciri-ciri atau perangai seseorang itu.

Ada yang mengatakan orang yang mempunyai tapak tangan besar yang menilai melalui pandangan mata, seorang yang terurus dan bekerja mengikut kaedah.

Orang yang bertapak tangan kecil pula mempunyai perancangan yang besar, bervisi dan imaginatif serta tidak gemar kerja bersistem.

Jari yang panjang pula menunjukkan orang itu mengambil masa yang lama untuk membuat sesuatu keputusan dan kurang aktif.

Yang berjari pendek pula dikatakan agak panas baran, periang, materialistik dan suka mengawal.

Tangan yang berpeluh menunjukkan orang itu jenis yang tidak bermuka-muka.

Genggaman yang kuat menunjukkan orang itu suka mengongkong.

Jika yang menggenggam hanyalah jari, menunjukkan orang itu kurang yakin dengan hubungan yang terjalin.


Jenis Jabat Tangan

1.Jabat tangan basah – elakkan bersalam jika tangan anda sedang basah kerana ia agak menjijikkan. Biasanya tapak tangan akan berpeluh bila anda gugup, jadi pastikan ia kering sebelum bersalam.

2.Jabat tangan lembut – menunjukkan kelemahan, kurang keyakinan, dan kurang minat.

3.Jabat tangan sekadar sentuh – cara begini patut dihindari kerana ia akan membuat orang tidak suka kepada anda. Namun ia boleh terjadi bila anda dalam keadaan tergesa-gesa, oleh itu segeralah meminta maaf.

4.Jabat tangan peras – kadangkala yang bersalam itu ingin membuktikan bahawa dia yang paling kuat. Ada yang suka bersalam cara begini tetapi apa-apapun pastikan orang yang anda salam itu boleh menerima cara anda.

Sumber: Ikon


Pencacatan organ seks perempuan?

Mac 2, 2008

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

KHATAN wanita telah menjadi satu isu antarabangsa yang hangat diperdebatkan.

Kalangan Barat banyak menentangnya kerana menganggap ia tidak lebih dari pencacatan anggota kelamin selepas berlaku beberapa peristiwa tidak diingini ke kanak-kanak perempuan yang dikhatan

Ulama Islam berbeza pendapat berhubung amalan ini. Nas yang ada mengenainya juga adalah tidak sahih. Apa yang lebih penting adalah penjagaan hak-hak wanita, pendidikan dan pemeliharaan kehormatan mereka.

Fatwa mutakhir Dr. Yusuf Qardawi – semuanya bergantung kepada ibu bapa. Jika mereka hendak mengkhatankan anak masing-masing, ia diharuskan, dan sebaliknya jika mereka enggan melakukannya, ia tidaklah menjadi suatu kesalahan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan sepotong hadis, bagi ibu bapa yang cenderung untuk mengkhatan anak-

anak perempuan mereka, beliau menasihatkan agar dikhatankan sedikit sahaja daripada kulit.

“Potonglah sedikit sahaja dan jangan sampai ke akarnya kerana ia mengelokkan wajah dan menyenangkan hati suami.” (Hadis Daif)

Di Sudan, ramai bayi perempuan dikhatankan. Ia dilabelkan sebagai pencacatan genital perempuan.

Di kalangan penduduk pantai timur Semenanjung pula, berkhatan atau juga dikenali sebagai bersunat ini masih diamalkan tetapi dengan cara yang berbeza.

Kajian yang dilakukan oleh Prof. Mohd Shukri Othman dan Prof. Datin Rashidah Shuib di Kelantan mendapati, apa yang diperakukan oleh masyarakat tempatan merupakan satu ritual dan bukannya pembedahan yang mencacatkan.

Mengapakah ia masih dipraktiskan oleh masyarakat tempatan yang rata-ratanya menerima pakai upacara turun-temurun?

Sedangkan amalan ini telah diabaikan oleh masyarakat yang celik ilmu perubatan.

‘‘Dalam perkhidmatan perubatan serta kesihatan di hospital terutamanya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan tidak pernah menerima pesakit bayi perempuan yang telah dicacatkan organ kelaminnya kerana perbuatan berkhatan seperti yang diamalkan di Afrika,’’ demikian menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, HUSM, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Beliau berkata, istilah yang diguna pakai di Barat (pencacatan genital perempuan) yang secara longgar dilabelkan sebagai perkhatanan bayi perempuan sebenarnya melibatkan prosedur pembuangan sebahagian atau kesemua bahagian luar genital perempuan.

Ia dilakukan sama ada kerana upacara tradisi, keagamaan dan mungkin juga kepercayaan perawatan terhadap sesuatu penyakit.

Pencacatan genital perempuan mengikut klasifikasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dibahagikan kepada empat.

1. Jenis Pertama: Pemotongan/pembuangan prepus/kulup, melibatkan sebahagian atau kesemua bahagian klitoris

2. Jenis Kedua: Pemotongan klitoris dan juga pembuangan separa atau sepenuhnya labia minora (bibir kecil di organ genital perempuan)

3. Jenis ketiga: Pemotongan sepenuhnya ataupun separuh dari anatomi luaran genital perempuan serta pengecilan faraj dilakukan

4. Jenis keempat: Memotong klitoris dan juga bibir-bibir genital, menegang serta menarik keluar klitoris untuk tujuan pemotongan, bibir-bibir genital juga dipotong buang.

‘‘Ada juga prosedur melecuh serta melecurkan klitoris, bibir-bibir dan tisu-tisu di sekelilingnya. Ada juga masyarakat yang mengikis bukaan faraj dan juga memotong sebahagian dari luar faraj.

‘‘Sekiranya prosedur-prosedur di atas gagal, ada yang memasukkan bahan berkorosif serta herba-herba lain ke dalam faraj, bertujuan untuk mengecilkan faraj,’’ ujarnya.

Di Malaysia, kata Dr. Shah Reza, perkhatanan anak perempuan tidak seperti mana yang digambarkan oleh WHO.

‘‘Berdasarkan pengalaman, khatan ini dilakukan secara simbolik dengan mengguriskan bahagian prepus klitoris ataupun badan klitoris itu sendiri menggunakan jarum yang dicuci serta disteril.

‘‘Bukan semua masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu, mempraktikkan prosedur ini,’’ jelasnya.

Konon mengapa berkhatan dilakukan pada bayi perempuan

* Sebab keagamaan. Ada mereka yang percaya yang praktis ini merupakan satu amalan yang dituntut agama namun kalau mengikut sejarah, berkhatan ini telah pun ada sebelum kehadiran Islam

* Mitos, kononnya berkhatan ini meningkatkan kesuburan dan juga melanjutkan kemandirian bayi tersebut

* Faktor kebersihan serta kecantikan. Aib sekali genitalia perempuan dikaitkan dengan kekotoran, jadi pembersihan perlu dilakukan

* Faktor sosial di mana perempuan yang dikhatankan diterima sebagai ahli masyarakat, menunjukkan kebalighan lantas mengintergrasikan masyarakat yang berkepercayaan sama

* Kononnya untuk kebersihan dan juga kecantikan, genitalia perempuan dikatakan selepas berkhatan akan membersihkan lagi perempuan dan menaikkan seri, semua ini mitos belaka

* Dongeng tradisi yang menyatakan berkhatan akan meningkatkan kesuburan serta kemandirian bayi yang dilahirkan

* Konon menambahkan lagi nafsu serta syahwat suami, mengekalkan sifat kedaraan

* Melindungi dari perbuatan curang dan juga bertukar-tukar pasangan

Asal usul berkhatan di kalangan wanita

Di muzium British, fakta yang ditulis di atas papyrus bertarikh 163 tahun Sebelum Masihi, telah pun ada kenyataan berkhatan di Memphis semasa penerimaan mas kahwin.

Mungkin juga praktis ini dari upacara kebalighan masyarakat puak-puak di Afrika yang menular ke Mesir.

Di Afrika, puak Kreophagoi yang menduduki sekitar pantai barat, merupakan antara puak yang memotong serta mencederakan genitalia perempuan.

Perkara ini telah pun dicatatkan oleh mubaligh Kristian pada peringkat awal kehadiran mereka.

Orang Roman juga ada sejarah yang meletakkan cecincin logam di bibir genital perempuan dengan tujuan kontraseptif.

Pada abad ke-12, wanita-wanita pejuang Perang Salib dipakaikan cawat besi dengan pembukaan hanya untuk membuang air kecil bertujuan untuk memelihara kehormatan mereka.

Di Amerika Syarikat, aktiviti bersunat ini pernah popular pada tahun 1890.

Kajian pada tahun 1995 di Mesir mendapati, seramai 97 peratus daripada wanita yang dikaji menjalani berkhatan, 90 peratus sahaja yang mengamalkannya di kalangan mereka yang terpelajar.

Praktis ini tidak pula menjadi amalan di Asia Barat dan semenanjung Arab.

Di pusat ketamadunan Islam sekarang, iaitu di Arab Saudi dan juga negara-negara lain seperti Iraq, Libya, Iran, Morocco dan Tunisia, amalan bersunat ini tidak diamalkan.

Di zaman Internet sekarang, amalan ini berkait rapat di antara berpendidikan dan kejahilan. Mereka yang berpendidikan tinggi lazimnya tidak mengamalkan berkhatan bayi perempuan ini.

Sekiranya diamalkan, hanya berbentuk ritual atau sebagai simbolik meletakkan jarum di klitori tanpa apa-apa kecederaan fizikal berlaku.

Yang paling mengecewakan dikhuatiri ada mereka yang melakukan amalan ini dengan bermotivasikan kewangan. Ibu bapa akan dicaj dengan terminologi pembedahan kecil.

Sehingga sekarang masih tiada bukti-bukti perubatan yang menyokong amalan bersunat di kalangan bayi perempuan.

Ia juga bukan amalan agama sebab amalan ini wujud sebelum kehadiran agama Kristian lagi.

Akhir sekali, amalan bersunat ini tidak dijalankan di hospital-hospital kerajaan mahupun hospital universiti.

Tidak pula bersunat ini salah satu dari kurikulum mata pelajaran perbidanan dan sakit puan.


Sirkumsisi cegah penyakit

Februari 20, 2008

SEBATANG pokok pisang, kain putih sepanjang lima hasta, seekor ayam jantan, buyung air dan sirih pinang pada cuti penggal persekolahan hujung tahun.

Mungkin anda belum menangkap apa maksudnya. Tetapi kalau disebut tok mudim? Ia boleh bikin kanak-kanak kecut perut mendengarnya.

Tidak kurang juga yang teruja dan tidak sabar-sabar lagi hendak mengalami satu pengalaman yang menjadi tanda alam kedewasaan mereka.

Satu ketika dahulu, berkhatan atau bersunat diiringi dengan majlis kenduri-kendara yang meriah sekampung.

Dalam pakaian yang dihias cantik, kanak-kanak lelaki Melayu Islam yang berusia lingkungan 10 ke 12 tahun akan diarak keliling desa persis pengantin sahaja lagaknya.

Mereka siap didudukkan atas pelamin dan tetamu diberikan bunga telur. Budak yang akan disunatkan itu kemudiannya disembur dengan air.

Selesai memotong ‘anu’, tukang sunat akan mengambil ayam jantan dan disuakan kepada alat kelamin kanak-kanak itu. Kononnya, jika tengkok ayam kembang itu menandakan budak itu garang dan akan beristeri ramai.

Namun kini, kebanyakan masyarakat Melayu lebih gemar menghantar anak-anak mereka bersunat di hospital mahupun klinik yang dikatakan lebih selamat kerana dilakukan oleh doktor yang berkemahiran, selain cepat sembuh.

Malah, ia turut meraih minat keturunan lain untuk melakukan prosedur yang banyak dikaji oleh para saintis dunia kerana manfaatnya yang turut dikaitkan dengan pengurangan risiko jangkitan HIV/AIDS.

Topik berkhatan kebiasaannya jarang dibincangkan dalam masyarakat umum dari sudut saintifik memandangkan ia adalah satu amalan yang sebati dengan sesuatu masyarakat terutama sekali atas dasar agama ataupun adat resam.

Untuk artikel ini, perbincangan berkhatan merujuk kepada berkhatan ke atas kaum lelaki sahaja. Topik berkhatan di kalangan kaum wanita adalah satu topik dan isu yang amat berlainan sekali.

Dalam sejarah peradaban manusia, bukti pertama khatan atau istilah perubatannya disebut sebagai sirkumsisi, didapati pada lukisan dinding Mesir purba yang melewati 5,000 tahun usianya.

‘‘Berkhatan adalah satu prosedur pembedahan yang melibatkan pembuangan sebahagian atau keseluruhan selaput kulit yang menutupi zakar (kulup/kulit khatan).

‘‘Ia merupakan salah satu cara membersihkan alat sulit yang menjadi tempat pembiakan kuman-kuman yang boleh memudaratkan,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, tanpa khatan, bahagian di bawah kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan berjenis-jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat pelbagai jangkitan penyakit.

Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan.

Ujar beliau lagi, lebih kurang satu per lima lelaki di seluruh dunia telah menjalankan khatan, kebanyakannya atas sebab keagamaan dan adat resam yang kebiasaannya dilakukan sejurus selepas kelahiran ataupun di sekitar umur akil baligh.

Walaupun kadangkala bersunat ke atas orang dewasa dilakukan atas sebab-sebab keagamaan, kebiasaannya ia dilakukan bagi tujuan kesihatan.

‘‘Buat masa ini, lebih kurang 80 peratus lelaki di Amerika Syarikat telah pun berkhatan kebanyakannya atas alasan selain dari keagamaan.

‘‘Peratus berkhatan di kalangan bayi yang baru lahir menurun dari 90 peratus di tahun-tahun 1950-an ke sekitar 60 peratus sahaja masa kini,’’ ujar beliau.

Sementara itu, di Korea, lebih dari 90 peratus kaum lelaki telah pun berkhatan, kebiasaannya dilakukan sewaktu umur belasan tahun dan 20-an.

Khatan di kalangan masyarakat Arab berbeza dengan masyarakat di Malaysia kerana kebanyakan masyarakat padang pasir itu memilih untuk mengkhatankan anak mereka ketika baru lahir atau ketika mencapai usia tujuh tahun.

Sebab-sebab berkhatan tergolong kepada tiga kumpulan:

1. Atas sebab kesihatan

2. Untuk mengelakkan sesuatu penyakit

3. Atas dasar agama

Berkhatan atas sebab kesihatan

1. Kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang

Boleh dikatakan semua bayi yang baru lahir mempunyai kulit zakar yang meliputi kepala zakar dan ia tidak dapat ditarik ke belakang.

‘‘Ibu bapa tidak seharusnya cuba menarik kulit ini untuk mencuci kepala zakar sebelum kulitnya benar-benar lembut dan boleh ditarik ke belakang dengan mudah.

‘‘Tarikan kulit yang belum bersedia dengan kuat boleh menyebabkan kecederaan kepada zakar itu sendiri,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Tambahnya, lebih kurang 50 peratus kanak-kanak yang berumur 1 tahun akan mengalami ada kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang ini.

Sementara itu, 30 peratus kanak-kanak berusia 2 tahun, kanak-kanak 4 tahun (10 peratus) dan kanak-kanak 10 tahun (lebih kurang 5 peratus) mengalami masalah yang sama.

Ada peratusan kecil orang dewasa yang mempunyai kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang dan mereka ini mempunyai risiko untuk menghidap fimosis.

Pada umumnya, kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang bukanlah satu penyebab kesihatan atau perubatan untuk berkhatan.

2. Fimosis

Dr. Abd. Hamid berkata, penyakit ini melibatkan pembukaan (mulut) kulit yang melitupi kepala zakar, mengecut dan menyebabkan kulit zakar tidak dapat ditarik ke belakang.

‘‘Jika kulit itu normal dan ketidakbolehan kulit ditarik ke belakang tidak mengganggu proses membuang air kecil, hubungan kelamin ataupun tidak menyebabkan jangkitan kuman yang berulang, maka keadaan ini tidak memerlukan berkhatan.

‘‘Kadangkala, di tepi kulit yang melitupi kepala zakar (kulit khatan) ada kesan parut yang putih dan keras rasanya dan tidak akan berlipat jika kulit zakar ditarik ke belakang.

‘‘Perubahan pada tepi kulit yang disebut di atas diberi nama Balanitis Xerotica Obliterans, yang boleh bertukar menjadi kanser jika tidak dibedah. Berkhatan amatlah perlu dalam keadaan ini,’’ jelasnya.

Antara 1 hingga 1.5 peratus kanak-kanak lelaki akan menghidap keadaan ini sampai umur 17 tahun. Gejala-gejala atau tanda-tanda yang akan dihadapi adalah seperti berikut;

* Gangguan atau pendarahan dari tepi kulup

* Pedih atau sakit sewaktu membuang air kecil (disuria)

* Air kencing tersumbat (akut atau kronik)

3. Balanopostitis akut

Keadaan ini melibatkan keradangan pada kulup di mana ia akan menjadi merah, bengkak dan bernanah dari celah kulit khatan dan kepala zakar/glan.

Kadangkala keseluruhan zakar akan menjadi bengkak dan radang. Antara 3 hingga 10 peratus kanak-kanak lelaki akan menghidapi penyakit ini.

Balanopostitis boleh menjadi petanda awal kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes.

Jika tidak terdapat penyakit sistemik di sebalik balanopostitis, penjagaan kebersihan kepada zakar, ubat-ubatan penahan sakit, mungkin juga antibiotik dan mengelak dari menarik kulit zakar ke belakang sudah mencukupi untuk merawat penyakit ini dalam kebanyakan kes yang akan pulih tanpa apa-apa intervensi yang lain.

Bersunat akan dilakukan di dalam kes-kes yang berulang dan susah untuk pulih dengan tatacara yang disebutkan di atas.

4. Parafimosis

Keadaan ini terjadi apabila kulup ditarik ke belakang dengan kuat sekali dan melepasi sempadan glan dan batang zakar (korona) tanpa dapat ditarik balik ke hadapan semula.

‘‘Kulit khatan yang tersangkut itu akan menjadi jerat di sekeliling batang zakar dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

‘‘Keadaan ini kadangkala dapat dirawat dengan memicit glan supaya ia mengecil dan menyelinap ke belakang melepasi jerat yang terbentuk oleh kulit khatan.

‘‘Jika ini tidak berjaya tanpa bius kerana kesakitan, maka rawatan pemulihan parafimosis sebegini harus dilakukan dengan pembiusan umum,’’ kata Dr. Abd. Hamid. Khatan amat jarang diperlukan untuk merawat parafimosis.

MENGELAK dari dijangkiti penyakit-penyakit tertentu adalah sebab kedua diberikan untuk berkhatan walaupun buat masa ini, bukti saintifik berkaitan dengannya tidak begitu kukuh.

Amalan berkhatan adalah lebih dipengaruhi oleh adat resam sesuatu masyarakat walaupun masyarakat Barat amat susah untuk menerima kenyataan ini.

1. Kanser zakar

Kanser zakar adalah satu penyakit yang amat jarang berlaku. Pada awal kurun yang lalu, ia langsung tidak pernah dijumpai di kalangan orang-orang lelaki yang sudah berkhatan.

Sungguhpun begitu, kata Dr. Abd. Hamid, terdapat bukti yang menyatakan bahawa berkhatan hanya dapat mengelakkan dari kanser zakar jika ia dilakukan semasa peringkat kanak-kanak, tidak jika dilakukan semasa dewasa.

‘‘Penjagaan kebersihan diri yang rendah, merokok dan pendedahan kepada Virus Ketuat yang bernama Human Papilloma Virus (HPV) meninggikan risiko terjadi kanser zakar sama seperti tidak berkhatan.

‘‘Bagi mereka yang sudah berkhatan, risiko untuk dijangkiti Virus HPV pada zakar adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang tidak berkhatan.

‘‘Ini menjadikan risiko mendapat kanser zakar bagi lelaki yang berkhatan dan lelaki yang tidak berkhatan lebih kurang sama sahaja,’’ jelas beliau.

Kesimpulannya, berkhatan yang rutin tidak dapat dilakukan atas alasan mengelak dari penyakit kanser zakar.

2. Penyakit yang ditularkan melalui hubungan seks/penyakit kelamin (STDs)

Dr. Abd. Hamid memberitahu: ‘‘Penyakit kelamin yang menyebabkan ulser pada organ-organ kelamin seperti sifilis, syankroid dan herpes simpleks kerap terjadi pada lelaki yang tidak berkhatan.”

Walau bagaimanapun, uretritis atau keradangan pada saluran air kencing yang melalui batang zakar (penis) yang disebabkan oleh kuman-kuman gonorea dan bukan gonorea adalah lebih kerap terjadi pada orang-orang berkhatan jika dibandingkan dengan lelaki-lelaki yang tidak berkhatan.

Begitulah juga dengan ketuat zakar. Risiko jangkitan kulat oleh kuman kandida pula adalah sama bagi kedua-dua kumpulan lelaki ini.

Tetapi, lelaki yang berkhatan adalah lebih mudah untuk mendapat gejala dari jangkitan ini dan mereka lebih berisiko menjangkiti pasangan kelamin mereka.

Terdapat tatacara dan teknik-teknik lain yang lebih efektif dari berkhatan di dalam mengurangkan risiko jangkitan STDs seperti penggunaan kondom dan amalan seks yang selamat.

Kesimpulannya, bersunat tidak dapat dijadikan satu cara yang kukuh untuk mengelakkan lelaki dari dijangkiti STDs.

3. Jangkitan Human immunodeficiency virus (HIV)

Terdapat pandangan yang bercanggah di dalam isu berkhatan mengelakkan jangkitan HIV.

Di dalam artikel British Journal of Urology baru-baru ini, para penyelidik telah membuat kesimpulan bahawa tidak terdapat hubungkait di antara tidak berkhatan dengan risiko jangkitan HIV.

Walau bagaimanapun, terdapat satu artikel di dalam British Medical Journal yang membuat kesimpulan sebaliknya.

Berkhatan mungkin sesuai sebagai pembedahan rutin untuk mengelak jangkitan HIV di kalangan masyarakat yang mempunyai insiden HIV yang tinggi seperti di Sub-Saharan Afrika.

Dalil saintifik masa kini tidak mencukupi untuk mengesyorkan berkhatan secara rutin sebagai tindakan pencegahan jangkitan HIV di United Kingdom atau negara-negara yang mempunyai insiden jangkitan HIV yang rendah di dalam masyarakat.

4. Kanser serviks/pangkal rahim

Satu kajian telah dibuat di sekitar tahun 1947 yang mendapati wanita-wanita Yahudi jarang menghidap penyakit kanser pangkal rahim.

Para penyelidik itu telah mendapati pasangan lelaki kepada wanita-wanita ini telah pun berkhatan. Kajian selanjutnya dalam masa 50 tahun kemudian telah mendapati pelbagai jawapan yang berbeza-beza.

Para pengkaji telah dengan ghairahnya memberi pendapat yang bercanggah di antara satu sama lain tentang kebaikan dan keburukan berkhatan di dalam mencegah penyakit kanser pangkal rahim.

Kesimpulannya, sehingga kini tidak terdapat fakta yang kukuh untuk mencadangkan berkhatan sebagai metod untuk mencegah penyakit ini.

5. Jangkitan air kencing-urin (UTI)

Semenjak tahun 1987, beberapa kajian telah mengesyorkan bahawa bayi lelaki yang tidak berkhatan mempunyai risiko 10 kali ganda untuk menghidapi UTI.

Satu dalam 100 bayi yang tidak berkhatan akan diserang UTI berbanding dengan 1 dalam 1,000 bayi yang telah berkhatan.

Penyakit UTI bukanlah satu penyakit yang kritikal yang akan menyebabkan risiko kesihatan yang tinggi kepada pesakit.

Oleh itu, amatlah tidak wajar untuk melakukan pembedahan ke atas 100 bayi untuk mengurangkan seorang bayi dari dihinggapi UTI.

Berkhatan sebagai tanda keagamaan

BERKHATAN kanak-kanak lelaki adalah satu sifat utama kedua-dua agama Islam dan Yahudi. Ia satu budaya yang amat penting di kalangan masyarakat Afrika dan Barat.

Di kalangan sesetengah masyarakat, sikap yang negatif terhadap berkhatan boleh menimbulkan perkelahian yang hebat di kalangan keluarga dan masyarakat.

Di masa lampau, banyak peperangan telah berlaku dan ramai telah terkorban demi memastikan kelangsungan budaya berkhatan.

Judaisme

Berkhatan di atas dasar keagamaan ini yang dilakukan secara tradisi dilakukan oleh mohel pada hari kelapan selepas kelahiran kecuali jika ada keadaan bahaya kepada kesihatan bayi.

Di dalam keadaan ini, berkhatan akan dilakukan kemudian hari setelah bayi pulih dari keadaan kesihatan yang menidakkan berkhatan.

Di United Kingdom, seseorang mohel harus menjalani latihan dengan membantu lebih kurang 50 kes-kes berkhatan, lulus dalam ujian praktikal dan juga peperiksaan teori sewaktu dalam program latihan, sebelum boleh ditauliah melakukan khatan secara individu.

Islam

Berkhatan tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quranul Karim tetapi ia mempunyai status Sunah Nabi.

Hanya mazhab Syafii yang menganggap hukum berkhatan adalah wajib bagi seseorang yang bergelar Muslim sedangkan mazhab-mazhab Hanafi, Maliki, Hambali, Zaidi dan Ja‘afari semuanya menganggap ia hanya disunatkan.

Amat sedikit sekali penganut-penganut agama lain melakukan berkhatan atas dasar agama.


Gubahan hantaran penyeri perkahwinan

Januari 16, 2008

DALAM majlis perkahwinan Melayu, hantaran antara perkara penting yang perlu ada. Pada majlis bersejarah itu, lazimnya pengantin lelaki dan perempuan akan saling berbalas hantaran.

Mengikut adat, jumlah hantaran mestilah ganjil, contohnya lima, tujuh, sembilan, sebelas dan seterusnya. Balasannya juga perlu diadakan dalam angka ganjil.

Hantaran, yang boleh dianggap sebagai hadiah kepada pasangan masing-masing akan dibuat beberapa hari lebih awal. Pelbagai gaya kreatif dilihat dalam menggubah sesebuah hantaran.

Pada masa kini, kebanyakan memilih warna tema tertentu bagi majlis perkahwinan mereka termasuk daripada segi warna hantaran, pelamin, bilik pengantin, pakaian keluarga, warna khemah dan sebagainya.

Hantaran sememangnya sebagai penyeri sesuatu majlis perkahwinan. Selain keluarga, tetamu yang datang biasanya teringin untuk melihat hantaran pengantin.

Rooslina Bakar, 43, yang berkebolehan membuat hantaran sejak remaja, sebenarnya sukakan kelainan bagi setiap hantaran yang dibuatnya.

“Saya gemarkan sesuatu yang berbeza dan berkonsep moden,’’ jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut guru sebuah sekolah menengah ini, membuat hantaran hanya sebagai hobi dan bukannya sebagai pendapatan, namun jika ada kawan-kawan yang meminta tolong dan kebetulan mempunyai masa lapang, beliau tidak menolak.

Konsep

“Biasanya saya akan tanya konsep warna yang mereka kehendaki dan berapa bajet mereka. Kemudian saya akan buat rekaan hantaran dan jika mereka setuju, barulah saya akan laksanakan keseluruhannya.

“Rekaan hantaran terkini adalah yang berkonsepkan kristal menggunakan bunga-bunga hiasan yang saya buat sendiri daripada kristal tiruan,’’ katanya yang tidak menggemari hantaran sarat dengan hiasan atau terlalu banyak jumlahnya .

Tambahnya, bunga memainkan peranan penting dalam mengindahkan hantaran. Tidak kira bunga hidup atau bunga tiruan, pemilihan bunga yang sesuai, tahan lama dan cantik harus diambil kira.

Menurut Rooslina, biasanya beliau lebih suka memilih beberapa jenis bunga bagi gubahan yang dibuatnya seperti bunga mawar, orkid, peacock, lily dan dicampur dengan daun-daun pakis yang hijau.

“Dengan bunga-bunga yang cantik, hiasan sesebuah hantaran tidak perlu sarat. Ia tampak ringkas dengan bunga sebagai penyeri hantaran.

“Selain itu, alas dulang juga penting. Alas dulang cantik jika dibuat daripada kain renda, organza, satin atau sutera kerana jenis kain yang lembut akan membuatkan alas dulang ‘jatuh’ dengan cantik.

“Jika ingin lebih nampak menarik, jahitkan manik, kristal atau permata tiruan. Bagi sesebuah hantaran, gandingan dulang hantaran, alas dulang dan hiasan harus sepadan dan seiring,’’ jelas Rooslina yang juga pakar membuat kek perkahwinan fondant dan sering mendapat tempahan daripada pihak hotel, dewan dan orang perseorangan.

Jika berminat untuk menempah kek perkahwinan Rooslina The Cake Bloom, boleh menghubungi beliau di talian 03-61371400.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers