Panduan pemakanan mengikut cara Islam

Islam sebagai agama luhur bukan setakat mengajar umatnya mengenai amalan ibadah semata-mata, sebaliknya Islam melengkapi segenap lapangan kehidupan manusia. Apa saja gerak kerja telah disediakan panduan lengkap, padat dan penuh berhikmah buat manusia. Hal itu termasuk dalam aspek gaya pemakanan.

Mengapa Islam turut memberi penekanan soal pemakanan? Di sini kita sewajarnya menelusuri sirah perjalanan Nabi s.a.w yang sentiasa mempamerkan jalur penghidupan terbaik yang mengajar umatnya bagaimana etika makan dan minum. Inilah yang dikatakan Islam bersifat universal dan menyeluruh.

Misalnya, dalam satu peringatan Allah berfirman, “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 168).

Ayat ini suatu panduan proaktif dalam membina kekuatan jasmani, emosi dan rohani manusia yang murni. Makanan halal lagi baik menjadi teras dalam ajaran Islam yang bukan semata-mata menjaga kelangsungan sihatnya jasmani, tetapi juga akan memercikkan kesihatan jiwa dan hati.

Malah, Islam meletakkan kebersihan dan kesempurnaan adab dan aturan pemakanan sebagai satu prasyarat dimakbulnya doa oleh Allah. Mukmin yang sentiasa memenuhkan perutnya dengan sumber makanan haram bukan saja dilarang Allah, tetapi segala munajat doanya tidak diperkenankan Allah.

Dalam satu kisah yang diceritakan Ibnu Mardawaih yang diperoleh daripada Ibnu Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah, iaitu Saad Ibn Abu Waqqas memohon kepada Rasulullah supaya Baginda memohon kepada Allah agar dikabulkan segala doanya.

Berkata Rasulullah kepada Saad, “Wahai Saad. Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan haram ke dalam perutnya, tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api lebih baik baginya.”

Justeru, melalui kisah tersebut nyatalah Islam sangat memberikan penekanan kepada aspek pemakanan dengan mengajak seluruh umatnya supaya berhati-hati memilih makanan serta menjauhi sumber haram.

Islam juga menekankan kepada gaya pemakanan yang bercorak sederhana dan tidak melampau. Menurut Imam Al-Ghazali terdapat enam sifat tercela yang berlaku akibat pola pemakanan yang melampau atau berlebihan. Kata beliau, antaranya timbul sikap malas untuk beribadah kepada Allah, tidak memberi tindak balas apabila mendengar perkataan yang penuh hikmah, apabila menyampaikan nasihat dan hikmah, maka penyampaiannya itu tidak menyentuh hati ramai orang. Yang paling penting kata Imam Al-Ghazali ialah akan menimbulkan banyak penyakit.

Demikian impak negatif daripada budaya pemakanan berlebihan. Kerana faktor itulah Islam menunjukkan jalan yang penuh berinti pati pencegahan, iaitu dengan mengamalkan pola pemakanan seimbang dan sederhana.

Dalam dunia serba moden, kita sentiasa disajikan di depan mata dengan aneka menu yang menyelerakan sehingga ada kalanya kita terlupa segala pesanan Rasulullah dan peringatan Allah agar bersederhana dalam makan dan minum.

Semua yang dilarang Allah mempunyai hikmah bermanfaat buat umat. Misalnya, Allah berfirman, “Makan dan minumlah kamu, jangan melampaui batas.” (Maksud Surah Al-A’raf ayat 31). Dalam ayat ini, Allah memerintahkan kita agar tidak melampau dalam aspek makan minum. Dengan erti kata lain, seseorang mukmin perlu bersederhana dan tidak mengikut nafsu.

Peringatan Allah supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam makan minum ditinjau daripada perspektif sains kesihatan sememangnya menepati kehendak piawai sains moden. Terangkum padat dalam arahan Allah itu kemanfaatan buat umat manusia yang memelihara kualiti kesihatan fizikal dan mental.

Pemakanan cara Islam

Mari kita hayati sejenak apa yang pernah Nabi Daud wasiatkan. Katanya, “Kesihatan adalah nikmat yang tersembunyi, ia seperti mahkota di atas kepala orang yang sihat dan hanya dilihat oleh orang yang sakit.”

Bagaimana saudaraku yang dirahmati Allah? Betul atau tidak apa yang dikatakan Nabi Daud itu?

Sudah tentu kita bersetuju 100 peratus apa yang diluahkan baginda itu, tetapi memahami saja tidak mencukupi. Kita seharusnya menghayatinya dalam amalan kehidupan seharian.

Dr Adi Hashman, penulis buku ‘Mengapa Rasulullah s.a.w Tidak Sakit’ ada mengatakan dalam karyanya bahawa status kesihatan individu dipengaruhi makanan. Katanya lagi, faktor ini penting kerana menjadi faktor yang dapat dikendali dan dikawal. Orang yang memiliki prinsip ‘hidup untuk makan’ sebenarnya mempercepatkan ajal seperti menggali kubur dengan giginya sendiri.

Pelbagai penyakit muncul pada era moden ini berkaitan pola makan yang berlebihan serta sistem pemilihan makanan yang tidak betul atau makan dengan kekerapan tidak teratur.

Pada zaman Rasulullah terdapat seorang tabib atau doktor yang mendalami ilmu perubatan Galenik iaitu Haris Ibnu Kaladah dan beliau merumuskan ‘Perut itu punca segala penyakit.’ Manakala Rasulullah sendiri ada mengatakan, “Perut itu gudang penyakit.” (Hadis riwayat Muslim).

Jadi, untuk memastikan kualiti kesihatan jasmani dan emosi kita berada pada tahap berpiawai tinggi seharusnya kita menyusuri panduan yang diperturunkan Rasulullah khususnya dalam aspek pemakanan itu.

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
* Penulis seorang guru

One Response to Panduan pemakanan mengikut cara Islam

  1. matbanggala berkata:

    aduhai tok nasie tak nyak lauk pun ..maaf zahir batin

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: