Usia 40 – Wanita makin matang, lelaki mula nakal

Lelaki kalau mencecah usia 40 tahun akan mula nampak ‘nakalnya’. Itu kata orang. Tetapi pengalaman melihat persekitaran yang berkaitan dunia lelaki, menyakinkan saya bahawa kenyataan tersebut memang ada logiknya. Jangan marah kaum Adam!

Logik atau tidak, masing-masing punya cara, punya rasa. Hakikatnya wanita pula dalam usia 40 tahun semakin matang dan masak dengan rencah kehidupan terutama bab rumah tangga.

Pun tidak dinafikan, agenda utama wanita dalam usia 40 tahun sekarang ini adalah bagaimana mengekalkan kecantikan dan kelangsingan tubuh badan. Sebab itu gaya hidup orang sekarang.

Kalau dulu, ibu-ibu dan suri rumah tidak begitu ambil berat tentang bentuk badan dan rupa paras mereka kerana lebih utamakan rumah tangga suami dan anak-anak, sekarang tidak lagi.

Kebanyakan wanita sanggup berhabis wang ringgit dan membuang masa semata-mata untuk cantik dan tampil menawan mengikut peredaran masa.

Nampak kedut di muka mula resah gelisah. Nampak tubuh yang tembam mula tak makan. Tidur pun jadi tidak menentu sebab asyik berfikir bagaimana hendak mengatasi masalah badan gemuk dan muka berkedut.

Malah ada sampai lalai terhadap rumah tangga, suami dan anak-anak kerana menghabiskan masa di spa, salun dan kelas senaman. Janji tubuh cantik dan wajah berseri macam bulan di pagar bintang.

Hasilnya jangan terkejut jika anda ke majlis-majlis tertentu, nampak wajah wanita yang sama saja, sepesen kata orang, putih melepak dan gebu semacam. Itu juga sudah menjadi trend.

Tapi tidak semua, ada juga wanita yang bertanggungjawab dan kekal prestasi sebagai isteri dan ibu mithali.

Tidak salah mahu kelihatan cantik tetapi biar patut padan. Ingatlah, kecantikan hanya sementara, sampai masa akan pudar juga.

Saya terpanggil bercakap tentang angka 40 tahun minggu ini kerana ingin mengaitkan ia dengan ulang tahun majalah WANITA yang ke-40 pada bulan depan.

Tentunya saya tidak sabar menunggu saat itu. Pelbagai persiapan sedang dibuat untuk menjadikan sambutan kali ini sebagai satu sejarah dan memori yang akan terpahat dalam minda pembaca.

Ini kali kedua saya melalui fasa penting dalam sejarah kelahiran majalah WANITA. Kali pertama semasa majalah ini menyambut ulang tahun ke-30 pada 1999.

Paling menyentuh hati apabila salah seorang penghias pertamanya, Zaimah Alias berjaya saya temui setelah hampir dua bulan berusaha.

Hampir dua jam saya dan jurugambar Fatah Sulaiman menghabiskan masa di kediaman Zaimah di Kelana Jaya, Selangor berbual tentang sejarah WANITA sambil menjamah mihun goreng dan karipap serta teh O panas.

Seperti saya Zaimah juga teruja dengan pertemuan penuh nostalgia ini. Dia tidak menyangka yang WANITA masih mengingatinya. Beliau kini berumur 60 tahun tetapi masih kekal anggun dan ceria.

Namun begitu saya masih terkilan kerana tidak dapat mengesan dua lagi penghias kulit depan yang pertama WANITA , Janet Mok dan Alice Yoong walaupun telah puas berusaha.

Saya mengharapkan sebelum majlis hi-tea ulang tahun Anggun 40 bersama WANITA berlangsung bulan depan, mereka akan saya temui. Kalau ada kawan-kawan, saudara mara atau mereka sendiri yang terbaca catatan ini harap hubungi saya. Harap sangat-sangat!

Juga ingin saya kongsi rasa terharu saya apabila menerima panggilan telefon daripada tiga wanita yang menjadi pembaca setia WANITA memberitahu mereka ada menyimpan koleksi WANITA edisi pertama hingga Julai 2009.

Lalu saya usahakan untuk bertemu mereka sebagai tanda penghargaan. Air mata saya bergenang dan sebak apabila saya, wartawan Siti Hajar dan jurugambar Jefri Iran tiba di rumah Sharifah di Tanjong Keling Melaka.

Dua jam perjalanan tidak terasa penat apabila kedatangan kami disambut penuh gembira oleh Kak Sharifah, pesara kerajaan yang kini berusia 63 tahun.

Melangkah masuk ke ruang tamu, terpegun saya melihat koleksi 479 naskah WANITA tersusun rapi di atas almari. Ada yang telah dijilid dan ada yang masih berikat kemas.

Empat jam berborak menjadikan saya semakin terharu. Kak Sharifah masih mampu bercerita tentang keistimewaan WANITA dan nama-nama mereka yang pernah menjadi penghias kulit depannya.

Ingatannya amat kuat. Lebih mengharukan apabila melihat nama sendiri tertulis pada rencana yang dimuatkan dalam majalah itu pada era 80-an dan 90-an ketika saya menjadi wartawan.

Bukan mudah untuk menjadi wartawan pada masa dulu, banyak cabaran. Malah untuk menjadi wartawan majalah ternama seperti WANITA perlu bersaing.

Hanya wartawan terpilih saja yang akan berpeluang. Fikir-fikir balik alangkah bertuahnya saya!

Merasa juga pengalaman masuk istana, rancangan Felda, kampung nelayan, penjara, pusat pemulihan, bermalam di kampung orang Asli dan diserang pelacur dan diterkam budak-budak terbiar di jalanan. Begitu manisnya menjadi wartawan!

Kunjungan saya ke rumah Roziah Che Mat di Taman Sejahtera, Bakar Arang, Sungai Petani juga mengusik perasaan saya. Sekali lagi saya tersentuh memikirkan komitmen kedua-dua wanita ini menghimpun WANITA sebagai koleksi peribadi mereka.

Sayangnya saya tidak sempat untuk terbang ke Kuching, Sarawak melihat koleksi Jamaiah Suhail. Bagaimanapun terima kasih kepada jurugambar Utusan di Kuching yang membantu merakamkan gambar majalah yang dikumpulnya.

Tidak kira di mana dan siapa, saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada mereka yang begitu menyayangi WANITA. Siapalah WANITA tanpa pembaca.

Sehubungan itu saya mengharapkan agar pembaca setia WANITA dan mereka yang menghargai wadah unggul kaum wanita Malaysia ini akan turut sama meraikan ulang tahunnya yang ke-40 pada 13 Ogos nanti.

Pelbagai acara dirancang untuk mengingati detik bersejarah ini termasuk meraikan mereka yang terlibat mencetus dan melahirkan majalah ini.

Segala kenangan terindah itu kami rakamkan di dalam WANITA keluaran Ogos yang kini sudah berada di pasaran. Jika anda pembaca setia, anda mesti membeli dan menyimpannya.

Jika sudah membeli rugi jika tidak menghadiri hi-tea yang akan diadakan nanti. Ajaklah teman-teman, suami dan anak-anak bersama. Kenalkan WANITA kepada mereka.

Jualan meja dan kad sudah bermula. Jika berhajat, hubungi kami di talian 03-89262999/89267399 atau faks 03-89252311/89259277 untuk pertanyaan dan tempahan.

Meja berharga RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 serta kad individu juga boleh dibeli. Kalau sayangkan WANITA, tentu anda tidak fikirkan harganya kan?

Nak cerita yang indah-indah saya tidak pandai tetapi yang pasti, majlis itu nanti akan menjadi kenangan manis buat semua tetamu.

Sebabnya, ada raja rock, Amy Search dan insya-Allah, penghias kulit pertama, juga tiga orang pengumpul setia WANITA akan turut hadir sebagai tetamu khas.

Lain-lain apa ya? Ala malulah nak cerita lebih-lebih, tetapi saya jamin, majlis akan meriah dan ceria sebab Istana Budaya ada persembahan eksklusif tentang dunia wanita untuk anda.

Seperti yang saya katakan di awal catatan, usia dan angka bukan halangan untuk mendapatkan sesuatu. Biarlah usia dan angka menjadi sandaran dan sasaran buat kita terus hidup dan menjadi manusia. Salam

~ Utusan

5 Responses to Usia 40 – Wanita makin matang, lelaki mula nakal

  1. hajirikhusyuk berkata:

    Tidak semua lelaki bertambah nakal ketika berumur 40-an, tetapi lebih banyak yang bertambah sadar tujuannya dilahirkan ke dunia, dunia ini hanya sementara akhirat jua yang abadi…
    http://www.hajirikhusyuk.wordpress.com

  2. abd karim bin shariff berkata:

    salam..saya tak nafikan ada lelaki bertambah nakal/miang ketika berumur 40 an,kalau 40an ni banyaknya dah bergelar suami.Apa kata kaum hawa muslimat buat kempen besar besaran contoh ‘MARI2,KITA TUTUP AURAT’,yang islam wajibkan,saya rasa nakal suami/lelaki dapat di kurangkan.

  3. Jelita berkata:

    Yelah Abd Karim, kita rasa mcam setuju gak. Ni pun macam nak bertutup jugak ni. Semoga seruan hati kita tetap kearah itu. Cuma terkadang tu kan, orang lelaki ni, dah memang dasar mereka kan.. walau macamana pun wanita bertutup, kalau wanita itu seorang yang anggun dan cantik, tetap mata si “jantan” tu melirik gak kat wanita2 ni. Hmm.. camna tu?

  4. arjuna berkata:

    memang benar bila mencecah umur 40an keatas lelaki akan berubah dari segi mental dan fizikalnya. Cuma ada yang sedar dan tidak sedar perubahan itu berlaku pada diri mereka. Tentang ‘miang’ itu adalah subjektif. sangat-sangat subjektif kerana dengan akal manusia dapat mengatasi segalanya. Wanita juga perlu tahu kenapa lelaki 40 an berubah sikap. Hayati dan fahamilah lelaki. Sebaik-baiknya jangan di serang dan dituduh lelaki dengan tohmahan melulu.

  5. Eleanore berkata:

    It is perfect time to make a few plans for the long run and it’s time to be happy. I’ve read
    this post and if I may just I desire to recommend you some interesting
    issues or suggestions. Maybe you can write subsequent articles relating to this article.
    I desire to read more issues about it!

    Eleanore

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 350 other followers

%d bloggers like this: