Merancang Keluarga Secara Semulajadi

Kaedah perancangan keluarga semula jadi adalah berdasarkan pada ketentuan masa hubungan kelamin dalam kitaran haid seseorang wanita. Kaedah perancangan keluarga ini membantu sekiranya pasangan tersebut mengikuti tatacara jadual haid dengan tegas setiap masa.

Kejayaan kaedah ini bergantung kepada keupayaan mengenali bila telur (ovum) akan dikeluarkan dan juga jika menggunakan kaedah lain, seperti kondom pada hari kesuburan, ataupun tidak mengadakan hubungan kelamin langsung.

Untuk memastikan keberkesanan kaedah ini, Puan harus tahu fungsi dan perubahan yang terjadi pada badan. Suami pula, berserta dengan isteri mesti mengikuti pola-pola perubahan dengan tepat dan betul.

Harus diingatkan, seperti juga penggunaan kondom, masih ada kebarangkalian untuk mengandung melalui kaedah ini, jadi suami isteri perlu tetap berjaga-jaga. Perlu ditegaskan keberkesanan kaedah semula jadi ini tidak seperti kaedah-kaedah yang lain. Satu perempat dari mereka yang mengamalkannya mungkin mengandung dengan tidak sengaja. Kaedah semula jadi ini tidak sesuai untuk mereka yang:

n Tidak sepatutnya mengandung disebabkan oleh masalah perubatan.

n Kitaran haid yang tidak teratur serta tidak ketentuan, menyebabkan ramalan masa subur tidak dapat dilakukan

n Masalah dengan pendarahan abnormal dari faraj, radang faraj dan juga pangkal rahim, menyebabkan penentuan kesuburan melalui lelehan mukus serviks tidak tepat.

n Penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti antibiotik, anti-tiroid dan juga anti-histamin mungkin mengubah sifat tabii rembesan faraj mengakibatkan kesukaran tafsiran mukus.

n Keadaan yang tidak berkaitan dengan kemandulan seperti demam, yang dapat mengubah suhu badan asas.

Memahami kitaran

Wanita mempunyai dua ovari, setiap satu berada di sisi rahim. Setiap bulan, ovari akan mengeluarkan telur yang kemudiannya akan memasuki tiub fallopian. Ini dipanggil ovulasi dan ia berlaku pada hari ke-12 hingga ke-14 sebelum bermulanya pendarahan haid. Puan boleh mengandung sekiranya hubungan kelamin berlaku sekitar masa ovulasi akibat persenyawaan di antara telur dan sperma yang diejakulasi ke dalam faraj.

Hasil persenyawaan ini akan bergerak melalui tiub fallopian untuk implantasi di dinding rahim yang kemudiannya membesar sebagai janin. Kaedah perancangan secara semula jadi merujuk kepada kitaran haid, iaitu mengenalpasti hari kesuburan yang perlu dielakkan hubungan kelamin. Untuk kebanyakan wanita, telur dikeluarkan dari ovari sekitar minggu sebelum kehadiran haid yang berikutnya. Telur ini berupaya untuk disenyawakan dalam tempoh 24 jam selepas dikeluarkan, manakala sperma pula dapat bertahan untuk tiga hari.

Jenis kaedah perancangan semula jadi

Terdapat lima kaedah perancangan secara semulajadi. Perlu diingatkan, Puan harus ditunjuk ajar oleh seorang yang professional di bidang perubatan ataupun kaunselor perubatan bertauliah untuk mengamalkan kaedah-kaedah berkenaan, serta harus tekal pada penghayatan kaedah yang dipilih.

l Mengesan suhu badan asas

Sejurus selepas ovulasi, suhu badan Puan akan meningkat sedikit. Satu jangka suhu khas digunakan untuk menyukat suhu badan Puan sejurus selepas bangun dari tidur dan bacaannya diplotkan sebagai satu graf. Suhu diambil setiap hari. Harus diingatkan suhu badan Puan turut dipengaruhi oleh demam, tidur yang terganggu dan juga jadual pekerjaan bercorak anjakan. Pasangan yang menggunakan kaedah suhu ini tidak boleh mengadakan hubungan kelamin sehingga tiga hari selepas meningkatnya suhu badan.

l Mengenalpasti ovulasi secara penelitian mukus pangkal rahim

Melibatkan kepada perubahan jumlah mukus yang terhasil serta penelitian pada ketekalannya. Lazimnya, Puan akan merasa kelainan pada lelehan mukus yang keluar melalui faraj semasa ovulasi, perubahan ini yang harus ditelitikan. Untuk kebanyakan wanita, faraj dirasai kekeringan sejurus selepas haid bulanan. Kemudiannya, lelehan mukus menjadi lebih bergetah. Sebelum ovulasi, mukus ini bertukar menjadi lebih basah dan melicin.

Hari-hari terakhir lelehan mukus ini selari dengan hari kemuncak ovulasi, kemudiannya mukus akan menjadi lebih kental, mungkin juga langsung hilang dan kekeringan dirasai kembali. Masa selamat bermula pada 10 atau 11 hari dari penghujung haid dan juga semasa faraj dirasai kekeringan. Masa kesuburan (masa Puan tidak boleh melangsungkan hubungan kelamin) bermula dengan petanda pertama mukus dan berlangsung sehingga 4 hari selepas hari kemuncak ovulasi.

Walaupun semasa pendarahan haid dianggap selamat, hubungan kelamin ketika haid mungkin juga menyebabkan Puan mengandung. Ini disebabkan oleh penghasilan mukus yang mungkin bertindih dengan masa haid, lantas memberikan perlindungan dan juga tempat untuk sperma berlabuh dengan selamat. Puan harus berwaspada. Kaedah mukus tidak menggunakan alat penyukat suhu badan, ini memberikan satu kelebihan untuk mereka yang mempunyai kitaran haid yang tidak ketentuan. Walaubagaimanapun, lelehan mukus ini mungkin terkeliru dan tercelaru jika berlakunya jangkitan faraj, keghairahan seksual, penggunaan bahan pelicin serta ubat-ubatan yang dimakan.

l Kaedah symptothermal

Kaedah ini menggabungkan kedua-dua kaedah suhu dan juga penelitian mukus. Tambahan kepada pengambilan suhu serta penelitian mukus, Puan juga harus berwaspada pada tanda-tanda lain ovulasi seperti:

n Kesakitan di bahagian abdomen mungkin juga disertai oleh kekejangan.

n Penitikan darah melalui faraj

n Perubahan dengan kedudukan serta keteguhan pangkal rahim

Kaedah ini memerlukan Puan menahan diri dari hubungan kelamin bermula dari kehadiran mukus atau rasa basah sehinggalah hari ketiga selepas peningkatan suhu badan atau pun empat hari selepas kemuncak penghasilan mukus. Disebabkan oleh banyak faktor-faktor yang dimasukkan ke dalam kaedah ini, jadi kaedah ini lebih berkesan dari kaedah-kaedah sebelumnya. Namun begitu, batasan yang mempengaruhi keberkesanannya juga adalah sama.

l Kaedah kalendar

Juga dikenali sebagai kaedah beritma, Puan harus merekodkan dengan pasti kitaran haid untuk selama enam bulan. Kemudiannya satu pengiraan sifir mudah digunakan. Kitaran haid dikira dari ‘hari pertama pendarahan’ hinggalah ke ‘hari pertama haid yang berikutnya’. Kitaran haid biasanya selama 28 hari, tapi julatnya boleh di antara 23 hingga 35 hari, dan masih dikira sebagai normal. Cara kiraannya:

n Untuk kitaran haid yang ‘terpendek’, tolak harinya sebanyak 18 hari. Ini memberikan hari pertama kesuburan.

n Untuk kitaran haid yang ‘terpanjang’, tolak 11 hari, ini memberikan hari terakhir kesuburan.

Sebagai contoh, sekiranya sepanjang enam bulan penelitian kitaran haid Puan, didapati kitaran terpendek adalah 25 hari manakala yang terpanjang pula adalah 35 hari, untuk pengiraan hari kesuburan Puan:

n Kitaran terpendek – 18 > 25-18 > 7 hari

n Kitaran Terpanjang – 11 > 35 – 11 > 24 hari

Bermakna, hari kesuburan Puan (hari di mana hubungan kelamin perlu dielakkan) bermula pada hari ketujuh dan berakhir pada hari ke dua puluh empat pada bulan terbabit!

l Laktasi amenorrhoea

Bermaksud yang Puan tidak akan datang haid disebabkan oleh perubahan hormon badan akibat daripada penyusuan badan. Hormon prolaktin meningkat, jadi kitaran haid dan juga ovulasi tidak berlaku, maka kehamilan dapat dielakkan. Untuk kaedah ini berjaya, penyusuan harus dilakukan secara eksklusif tanpa gangguan dari cara pemakanan bayi secara formula. Selang di antara penyusuan tidak melebihi 4 jam pada sebelah siangnya dan tidak pula melebihi 6 jam pada malam hari.

Lagi khusus penyusuan susu badan sahaja dan lagi lama anak menyusu badan, lebih berkesanlah kaedah ini. Sekiranya penyusuan diselangselikan dengan susu formula, lagi cepatlah kitaran haid Puan akan bermula. Ini mempercepatkan kebarangkalian untuk mengandung. Kaedah laktasi amenorrhoea lebih berkesan untuk mereka yang agak berumur disebabkan oleh pertambahan faktor fisiologi kesuburan yang menurun dengan peningkatan umur.

Secara umumnya, kaedah ini mempunyai dua peratus kebarangkalian untuk mengandung pada enam bulan pertama selepas kelahiran, tetapi apabila sahaja pendarahan haid kembali, risiko mengandung memuncak.

Suami sebagai ketua keluarga, harus memberi kerjasama sekiranya bilangan unit keluarga mahu ditetapkan dan tidak sepatutnya menyalahkan isteri sekiranya kegagalan berlaku.

Suami juga tidak sepatutnya memaksa isteri untuk mempraktikkan mana-mana kaedah perancangan. Jadilah seorang suami yang bertanggungjawab.

Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan
Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

One Response to Merancang Keluarga Secara Semulajadi

  1. pakcikli00 berkata:

    kalau lepaskan dekat luar ada impak kesihatan ke Prof. ?

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: