Tertekan suami curang

Saya isteri berusia 33 tahun dan ada empat anak. Suami bekerja di luar negara. Dia bertanggungjawab dan penyayang. Kami berkahwin 10 tahun lalu dan selama ini kehidupan kami bahagia.

Bagaimanapun, baru-baru ini saya dapat tahu suami menyimpan perasaan pada seorang wanita berstatus janda yang pernah bekerja di tempat sama.

Dang Setia, saya isteri yang begitu memahami dan tidak cepat melenting dalam hal seperti ini. Lebih-lebih lagi apabila suami berterus-terang. Bagi saya, kejujuran adalah segala-galanya dalam hubungan suami isteri.

Namun suami tidak pernah meluahkan perasaannya terhadap wanita berkenaan (itu yang suami ceritakan pada saya). Saya dapat terima pengakuan suami dengan hati terbuka. Namun, pengakuan itu dibuat lima tahun lalu.

Selepas suami menerima pekerjaan di luar negara, saya anggap mereka sudah tiada hubungan kerana setahu saya suami hanya memendam rasa. Namun, anggapan saya meleset.

Baru-baru ini saya membuka satu e-mel suami. Rupa-rupanya mereka sering berbalas e-mel dan berhubungan melalui telefon. Suami juga sering mengirim pelbagai hadiah kepada wanita itu.

Saya tidak menyangka hubungan mereka sejauh itu. Saya rasa ditipu, sedih dan hampa sebab suami tidak jujur pada saya. Selama ini sering saya ingatkan suami, jangan berahsia daripada saya jika ingin berkahwin lain.

Saya juga melihat gambar wanita itu. Dia memang cantik, ala-ala wanita Arab. Saya baca satu per satu e-mel dengan cucuran air mata. Namun saya pelik kerana dalam e-mel itu, cuma suami yang bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, dalam tidak melayan, jika suami minta gambar dan alamat untuk mengirim hadiah, dia beri pula. Saya kemudian menghubungi suami dan memberitahu apa yang saya tahu. Suami terperanjat dan mengatakan saya tidak amanah kerana mencerobohi ‘privacy’nya.

Saya minta suami berterus terang tapi dia hanya mendiamkan diri, mungkin tak mahu melukakan hati saya. Namun, sikapnya membuatkan hati saya makin sakit. Justeru, saya menghubungi wanita berkenaan.

Wanita itu memberitahu, memang dia tidak melayan kerana sedar suami saya berkeluarga. Katanya, sebagai janda, dia faham perasaan saya jika ada orang ketiga dalam hubungan suami isteri.

Menurutnya, dia sedaya upaya melarikan diri tapi suami saya tak pernah berputus asa cuba mendekatinya. Saya rasa wanita ini di pihak benar kerana dia tidak nampak terdesak hendakkan seorang suami.

Sekarang kerana perbuatan suami, saya tidak melayannya. Suami banyak kali menghubungi saya, tapi saya abaikan panggilannya. Hati saya sakit. Disebabkan masalah ini, saya mula keluar malam bersama rakan lama untuk menghilangkan tekanan.

Anak mula terbiar. Saya bukan lagi isteri dan ibu yang baik seperti dulu. Sekarang saya hanya memikirkan diri saya. Setiap kali berdoa, saya minta ditetapkan iman dan dikuatkan semangat. Cuma saya perlukan masa untuk melupakan segala-galanya.

Masalahnya, sekarang saya tawar hati terhadap suami dan kesalahannya sering bermain di fikiran. Tidak mungkin saya dapat melupakannya begitu saja. Apa perlu saya buat supaya suami insaf dan jujur pada saya? Dan, bagaimana saya harus memaafkan suami?

MAMA 76

——————

Izinkan Dang Setia mulakan jawapan ini dengan satu pertanyaan — apa sebenarnya yang puan mahu? Soalan ini nampak remeh, namun Dang Setia percaya bukan mudah untuk puan menjawabnya kerana banyak faktor bercelaru di dalam fikiran puan.

Sebenarnya, Dang Setia ajukan pertanyaan itu kerana berpendapat ada banyak kemungkinan atau pilihan jawapan untuk puan. Antara yang utama adalah seperti berikut:

1. Memaafkan suami dan meneruskan hubungan seperti biasa dan keputusan ini diambil dengan mengambil kira kepentingan anak sebagai agenda utama.

2. Langsung tidak boleh lagi memaafkan suami kerana hati puan terguris. Jika begini keadaannya, tanpa pilihan, puan terpaksa memikirkan juga kemungkinan untuk bercerai.

3. Berkorban demi kebahagiaan suami dengan memujuk wanita itu berkahwin dengan suami puan.

4. Mengekalkan keadaan dan tindakan puan sekarang. Tidak melayan suami, keluar malam dengan rakan untuk menghilang tekanan dan akibatnya, anak terbiar.

Berdasarkan senarai yang Dang Setia kemukakan ini, rasanya mana satu tindakan terbaik buat puan? Dang Setia ada jawapannya, namun apa guna Dang Setia memberi jawapan itu jika puan tidak mahu melaksanakannya.

Justeru, Dang Setia mahu puan memilih jawapan berdasarkan isi hati dan paling penting, pastikan puan turut melaksanakannya atau menterjemah pilihan yang puan buat itu kepada tindakan.

Secara jujur, setiap pilihan tindakan di atas ada baik dan buruknya. Ini bermakna, mustahil untuk puan memuaskan hati puan 100 peratus, sebaliknya yang perlu dilakukan ialah memilih tindakan yang kesan baiknya paling banyak dan kesan buruknya paling sedikit.

Puan, Dang Setia faham apabila hati dilukai dan kepercayaan dikhianati, sukar untuk kita melupakan begitu saja apa yang berlaku.

Bagaimanapun, dalam masa sama perlu juga difahami dan disedari ada ketikanya emosi dan perasaan kita bukan segala-galanya. Biarpun sakit, sukar dan berat hati, ada ketikanya kita perlu ketepikan emosi demi perkara lain yang lebih penting serta perlu diutamakan.

Pada pandangan Dang Setia, itu yang puan perlu lakukan pada masa ini. Maksudnya, jika diikutkan hati dan perasaan, memang puan berhak untuk tidak memaafkan suami dan tidak lagi melayannya lantaran tindakannya yang curang serta tidak jujur.

Bagaimanapun, pada masa sama puan perlu sedar dan bertanya diri sendiri, adakah dengan berbuat begitu masalah puan akan selesai? Jawapannya, sudah tentu tidak.

Sering Dang Setia nyatakan di ruangan ini, apabila kita berdepan masalah, pastikan kita mengambil pendekatan betul untuk menyelesaikan masalah, dan jangan melakukan tindakan yang merumitkan keadaan.

Bagi Dang Setia, jelas apa yang puan lakukan sekarang, terutama tindakan keluar malam dengan rakan sehingga mengabaikan anak, adalah tindakan yang tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan keadaan.

Oleh itu, hentikan segera perbuatan itu. Kawal dan tenangkan fikiran serta perasaan. Banyakkan solat sunat dan berdoa untuk mendapat bimbingan Allah supaya melakukan tindakan betul dan terbaik.

Mengenai tindakan tidak melayan suami, Dang Setia sedar isteri mana mampu berdiam diri jika suami bersikap begitu. Sebagai manusia biasa, tak ada salahnya puan berasa marah dan kecewa. Itu semua normal.

Namun, nasihat Dang Setia, jangan melampau atau terlalu ikut perasaan. Pastikan perasaan marah dan tindakan puan tidak melayan suami ada batasnya. Jika ia berterus, sekali lagi ia sekadar tindakan yang bukan menyelesaikan masalah, sebaliknya merumitkan keadaan.

Justeru, tentu tindakan paling baik buat puan, suami dan anak ialah puan perlu memaafkan suami. Tindakan ini sebenarnya ada di dalam hati puan apabila puan bertanya cara untuk maafkan suami.

Maksudnya, puan tidak mahu berpisah dengan suami. Puan mahu maafkan dia kerana masih sayangkan dia dan keluarga. Cuma masalahnya, sekarang bagaimana dan bila? Secara jujur, Dang Setia sukar menjawab soalan ini. yang pasti, kerana ia mengambil masa. Cuma, pastikan masa itu tidak terlalu lama.

Selain itu, mungkin puan perlu pujuk hati sendiri dengan memberi satu lagi peluang kepadanya, dan sudah tentu peluang ini yang terakhir. Alasannya, sudah tentu kerana puan tidak mahu anak menjadi mangsa jika puan dan suami berpisah atau jika puan terus mengabaikan anak.

Namun, jika sekali lagi dia mengkhianati puan, bermakna itu kali ketiga dan besar kemungkinan tiada lagi kemaafan atau peluang untuknya.

~ Ruangan Dang Setia, Metro

6 Responses to Tertekan suami curang

  1. faridah bte rejab umicore berkata:

    muskil taubat

  2. ulukuluk berkata:

    jagei bayaek sangeit emosie..buat dont know ..cari had yg laen ..kalu maseh begetah..tapi kalo dah kena toreh cukup cukup tu amabo tak leh nak akte pe laa

  3. ina berkata:

    Salam….jangan la trlalu emosi…mengikut puan suami puan hanya berhubung dengan dia melalui fon n email sahaja…so tak dak la sampai kuar jumpa 4 mata n berpeluk-pelukan…maafkan lah dia…lagipun perempuan tu mengaku dia tak la melayan suami paun…cuma suami puan syok sendiri…mmg la sakit…tapi beri la peluang kedua…

    Tapi itulah hati wanita ni bila dah terguris buatkan kepercayaan tu hilang selamanya…cuma pihak suami berhati2 la jangan sekali-kali mudah sangat melukakan hati isteri yang setia …kecuali la isteri tu buat hal dan ada perangai yang tak dapat diubah walaupun setelah melalui proses kaunseling…

    Binalah kembali kepercayaan itu….semaikan kasih sayang supaya bersemi kembali…ingat saat2 bercinta…bukan mudah untuk melupakan detik bahagia. Abaikan anak itu perbuatan tak bertanggungjawab…anak tu harta kita dunia akhirat.Jgan sbbkan bapaknye puan abaikan dia…dia tak bersalah…patutnya puan lebih lagi menyanyangi nye sbb dia adalah satu2nye harta puan ada walaupun tak de suami…tempat paun mengadu susah senang.Budak2 skrg mudah faham masalah org dewasa…harap puan berjaya.

  4. mimi berkata:

    sy pn mengalami pkara yg sama..mmg pedih utk kite si isteri yg selama ni menatang suami sebaik mungkin..tp xsangka ni balasannye..isteri langsung tiada hak & tidak boleh bersuara apa2 sedangkan hati kite pn mudah terluka..alih2 kite juga yg makan diri..so sis,pesanan buat sis,diri sy serta pompuan diluar sana yg mgalami situasi yg sama..BERPAUTLAH PADA ALLAH YG ESA…dia yg memberi dan dia juga yg dpt mengubat hati kite sbg wanita yg bergelar isteri yg penuh terdedah pelbagai dugaan di luar sana..biar dugaan yg menimpa,mgajar supaya kite mendapat pgajaran yg tidak ternilai,utk menjdi hambaNya yg beriman..

  5. isha berkata:

    saya teramat faham perasaan puan. suami saya yang saya terlalu percaya dan yakin bahawa dia teramat jujur dan setia pada perhubungan kami. namun, lelaki tetap lelaki, walaubagaimana baik sekalipun……mereka tetap lelaki. pelbagai dugaan saya hadapi. suami saya berhubung semula dengan exnya…..saya dapat kesan dan cantas hubungan mereka sebelum cinta lama berputik kembali dan saya maafkannya. tetapi yang betul saya kecewa apabila saya terklik movie dia dan maid saya sedang ringan-ringan. lelaki tetap lelaki, kita juga disalahkan kerana nafsu mereka. namun fikirkan anak-2, saya tetap telan….walaupun pahit…..

  6. pacak pacak bera berkata:

    https://www.facebook.com/groups/wanitakepuasan/
    semua masalah kita cari jalan penyelesaiannya..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: