Amputasi – Potong kaki untuk selamat

Amputasi ialah suatu keadaan di mana sebahagian atau keseluruhan anggota unjuran (limb) seperti kaki atau tangan hilang sama ada akibat masalah kongenital, trauma atau pembedahan. Manakala istilah amputi ialah seseorang yang telah melalui proses amputasi (pemotongan).

Amputasi selalunya adalah pilihan terakhir yang disarankan oleh doktor bagi merawat keadaan yang tertentu. Ianya jarang mendapat reaksi yang positif dari pesakit.

Biasanya, kaedah amputasi ini disarankan sebagai langkah untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit sekiranya cara-cara lain sudah tidak berkesan.

Umpamanya akibat dari penyakit barah tulang, jangkitan kuman yang teruk dan kesan dari trauma di mana sesuatu bahagian kaki atau tangan itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Di Malaysia, majoriti kes-kes amputasi kaki adalah komplikasi dari penyakit kencing manis (diabetes). Sumber di Hospital Universiti Sains Malaysia menunjukkan lebih kurang 44 peratus dari pesakit terbabit adalah dari kalangan pengidap kencing manis.

Punca-punca lain yang melibatkan amputasi anggota, terutamanya kaki, adalah kemalangan jalan raya, jangkitan kuman, kecacatan kongenital, kanser otot-rangka dan penyakit vaskular yang selalunya dihidapi oleh perokok tegar dan kronik.

Data tidak rasmi menunjukkan lebih kurang lima peratus pesakit kencing manis akan berakhir dengan pemotongan kaki ataupun sebahagian dari jari-jari kaki.

Oleh itu, pesakit-pesakit kencing manis terutamanya dari kalangan yang kronik perlulah memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penjagaan dan kebersihan kaki sebagaimana anggota-anggota lain seperti mata, jantung, buah pinggang dan kulit.

Pesakit-pesakit kencing manis disarankan agar memeriksa celah-celah jari kaki dan tapak kaki sekurang-kurangnya sekali sehari iaitu sebelum waktu tidur bagi memastikan tahap kebersihan dan tiada luka atau kecederaan pada tempat-tempat yang dinyatakan tadi.

Isu-isu berkaitan

Sebelum pembedahan, doktor akan menerangkan prosedur pembedahan dan komplikasi yang mungkin berlaku supaya pesakit faham sebelum menandatangani borang kebenaran pembedahan. Tahap kesihatan pesakit juga akan diperiksa rapi terlebih dahulu.

Seseorang yang terpaksa melalui proses amputasi akan menghadapi berbagai reaksi sama ada dari segi psikologi atau fizikal.

Penerimaan seseorang amputi terhadap proses ini juga berbeza-beza, bergantung kepada umur, jantina dan tahap sosioekonomi mereka.

Tahap amputasi bergantung kepada jumlah tisu-tisu (kulit, otot, tulang) yang rosak, keperluan dan tahap kesihatan seseorang pesakit.

Amputasi bawah lutut adalah jenis amputasi yang paling lazim dilakukan kerana pemasangan prosthesis dan rehabilitasi adalah lebih mudah berbanding dengan jenis-jenis amputasi yang lain.

Jika ia dilakukan dengan baik, pesakit tidak mempunyai masalah yang besar untuk meneruskan aktiviti-aktiviti harian seperti sebelum pembedahan.

Antara jenis-jenis amputasi lain yang lazim dilakukan adalah amputasi jari kaki atau jari tangan, amputasi melalui buku lali, amputasi atas lutut dan amputasi melalui sendi paha.

Amputasi di pergelangan tangan dan amputasi atas siku adalah contoh amputasi yang melibatkan anggota bahagian atas.

Pesakit-pesakit yang melalui proses amputasi perlulah menerima hakikat yang prosedur ini adalah perlu dan merupakan langkah bagi menyelamatkan nyawa atau memungkinkan mereka meneruskan hidup dengan lebih baik.

Sebagai contoh, pesakit-pesakit kencing manis yang mempunyai luka yang teruk dan kronik pada kaki mereka sukar untuk menjalani rutin hidup kerana terpaksa berulang-alik dan menghabiskan masa di hospital untuk mendapat rawatan seperti mencuci luka, antibiotik dan ubat-ubat yang lain.

Amputasi dan kaki palsu (prostesis) dapat mengurangkan kebergantungan kepada hospital, malah ianya juga dapat mengurangkan kos bagi pesakit dan hospital.

Teknologi baru membolehkan prostesis berfungsi dengan baik. Kebanyakan pesakit-pesakit yang melalui amputasi bawah lutut tidak mempunyai masalah untuk memandu kenderaan seperti kereta atau motor.

Walaupun begitu, banyak faktor-faktor yang lain yang perlu diambil kira bagi membolehkan seseorang itu menggunakan prostesis dengan baik.

Antara kriteria yang penting ialah keinginan yang kuat untuk berjalan semula dan proses rehabilitasi yang betul selepas amputasi.

Keseluruhan proses ini yang bermula dari kemasukan pesakit ke wad, pembedahan dan rehabilitasi, dan melibatkan banyak kakitangan hospital yang berlainan kepakaran.

Antaranya ialah pakar bedah otopedik, jurupulih anggota (fisioterapi), jurupulih cara kerja, juru prostetik, jururawat, pakar psikologi, pakar pemakanan dan pegawai kebajikan.

Malah, di sesetengah hospital terdapat pegawai atau pekerja sosial yang melawat dan memantau pesakit-pesakit di rumah selepas mereka dibenarkan pulang.

Bengkak

Bengkak di kawasan pemotongan (stump) selepas proses pembedahan adalah perkara biasa dan merupakan sebahagian dari proses pemulihan semulajadi.

Walaupun begitu, ada juga bengkak yang disebabkan oleh masalah-masalah lain seperti darah beku (hematoma) atau jangkitan kuman.

Bengkak semulajadi boleh dikurangkan dengan menggunakan balutan yang ketat untuk memberi tekanan dan juga dengan meninggikan anggota amputasi tadi dari aras jantung bagi mengurangkan pengumpulan cecair limfatik dari kawasan terbabit.

Bengkak akibat hematoma agak jarang berlaku. Saiz hematoma yang kecil selalunya tidak mendatangkan kesan sampingan tetapi ia boleh menyebabkan jangkitan kuman lebih senang terjadi kerana darah beku adalah media yang sesuai untuk pembiakan kuman.

Sekiranya hematoma berlaku, doktor akan membuat pemantauan untuk memastikan tiada jangkitan kuman pada kawasan pembedahan.

Sekiranya terdapat unsur-unsur jangkitan kuman atau sekiranya saiz hematoma agak besar, maka pembedahan pembersihan hematoma akan dibuat untuk memastikan ia tidak melambatkan proses penyembuhan ‘stump’.

Jangkitan kuman

Jangkitan kuman selepas pembedahan adalah di antara masalah yang boleh melambatkan pemasangan prostesis.

Masalah ini jarang berlaku dan anggarannya hanyalah satu peratus dari kes-kes amputasi. Antibiotik akan diberikan untuk memastikan masalah ini tidak berlaku selepas pembedahan.

Sekiranya berlaku dan apabila perlu, pembedahan susulan akan dilakukan untuk membersihkan kawasan amputasi yang dijangkiti kuman.

Rasa sakit

Selepas pembedahan, pesakit akan diberikan ubat penahan sakit yang bersesuaian untuk mengurangkan sakit akibat amputasi.

Biasanya, selepas lima atau tujuh hari, pesakit akan mendapati sakit dan bengkak akan berkurangan dan sudah tidak memerlukan ubat penahan sakit yang kuat.

Namun begitu, segelintir pesakit akan mendapati rasa sakit yang berlainan dari sakit yang sepatutnya.

Pesakit akan merasakan seolah-olah kaki mereka masih ada dan sakit yang wujud datang dari anggota itu walaupun ia sudah dipotong!

Fenomena yang dinamakan Phantom Pain ini berkait rapat dengan psikologi dan tahap keterukan anggota yang akan dipotong sebelum pembedahan.

Keadaan ini boleh dikawal dengan menggunakan ubat penahan sakit jenis kuat dan sesi kaunseling.

Malu atau kurang keyakinan

Perasaan malu, kurang keyakinan diri atau gangguan emosi yang lain kerana kehilangan anggota adalah di antara isu-isu yang perlu ditangani sebelum dan selepas pembedahan amputasi. Ini adalah keadaan normal yang dialami semua amputi.

Bagaimanapun anda tidak perlu risau kerana perasaan itu akan hilang perlahan-lahan dengan sendiri. Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu, bulan atau tahun.

Sekiranya perlu, pesakit boleh mendapatkan khidmat pakar psikologi untuk berbincang mengenai masalah-masalah emosi yang mungkin timbul.

Malah anda disaran untuk mendapatkan kaunseling terlebih dahulu sekiranya anda ingin mengurangkan stres sebelum menjalani pembedahan.

Sokongan dari ahli keluarga dan kawan-kawan juga adalah faktor penting yang memainkan peranan bagi seseorang amputi itu meningkatkan semula keyakinan diri dan berfungsi dengan baik.

Para amputi juga tidak harus malu untuk meminta bantuan dari pihak hospital kerana kemudahan dan perkhidmatan yang ada adalah untuk membantu pesakit menjalani hidup yang lebih baik selepas amputasi.

Amputasi pada kanak-kanak

Amputasi pada kanak-kanak adalah isu yang agak sensitif kerana kesan dari amputasi boleh membuatkan seseorang kanak-kanak itu menjadi rendah diri dan ibubapa agak beremosi kerana beranggapan kanak-kanak tersebut akan menjadi cacat seumur hidupnya.

Sebaliknya, dengan cara pemulihan yang betul dan sokongan dari keluarga, kanak-kanak sebenarnya lebih senang untuk menerima dan menyesuaikan diri selepas amputasi berbanding dengan pesakit dewasa.

Masalah amputasi pada kanak-kanak adalah lebih berkaitan dengan tumbesaran tulang dan tisu sekeliling anggota amputi yang tidak sekata.

Kadang-kadang doktor otopedik terpaksa membuat pembedahan pemotongan tulang (refashioning) untuk mengelakkan tulang dari menonjol atau menembusi kulit.

Masalah lain yang berkaitan dengan amputasi pada kanak-kanak ialah tumbesaran anggota yang menyebabkan prostesis terpaksa di tukar beberapa kali sehinggalah tumbesaran tulang berhenti.

Pemulihan

Selepas pembedahan, pesakit disarankan agar memulakan proses pemulihan dan fisioterapi seawal yang mungkin.

Lebih awal fisioterapi dilakukan, kesannya lebih baik kerana badan akan menjadi lebih kuat dan stump lebih cepat bersedia untuk pemasangan prostesis.

Untuk peringkat permulaan, pesakit akan diajar untuk membuat regangan yang lembut dan senaman khas untuk dilakukan di atas katil.

Terapi fizikal ini adalah untuk menguatkan otot-otot ekstensor dan hamstring yang penting untuk berjalan.

Apabila keadaan pesakit sudah stabil dan semakin kuat, senaman ini akan diteruskan di pusat fisioterapi.

Pesakit kemudiannya akan di berikan temujanji untuk sesi ulangan selepas dibenarkan pulang ke rumah.

Penjagaan stump

Anggota yang kudung atau stump hendaklah dijaga dengan rapi. Ianya perlu dibersihkan seperti bahagian badan yang lain.

Selepas dilap sehingga kering, sapu krim atau losyen yang disyorkan untuk mengelakkan ia menjadi kering dan mengelupas.

Pesakit kencing manis terutamanya, hendaklah menjaga anggota ini sebagaimana menjaga kaki dahulu. Periksa stump setiap hari untuk memastikan kebersihannya dan tiada luka.

Jika stump bengkak, luka atau sakit, berhenti menggunakan anggota palsu seketika sehinggalah masalah hilang. Jika ia menjadi semakin teruk, dapatkan bantuan doktor.

Pesakit hendaklah mematuhi arahan doktor dengan mengambil ubat, merawat luka dan melakukan terapi fizikal.

Pesakit hendaklah memaklumkan kepada doktor sekiranya terdapat masalah seperti demam, bengkak, pendarahan, kesakitan dan kebas yang berpanjangan.

Pesakit juga hendaklah mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang serta bersenam kerana pertambahan berat badan akan menyebabkan saiz stump akan bertambah dan boleh mengakibatkan ketidakselesaan atau kesakitan setiap kali menggunakan prostesis.

Penjagaan prostesis

Kaki palsu atau prostesis hendaklah dijaga seperti kaki sebenar yang perlu dijaga rapi dan dibersihkan selalu. Penjagaan rapi boleh memanjangkan hayat prostesis.

Ia perlu dibersihkan selalu dengan mengelap di dalam dan di luar soket menggunakan kain lembap dan bersabun. Kemudian gunakan kain kering dan lap kesan sabun.

Jangan rendam atau basahkan prostesis kerana ia boleh merosakkannya atau menyebabkan jangkitan kulat pada bahagian dalam soket.

Sila rujuk kepada pakar prostetik jika ingin melakukan perubahan seperti menukar kasut atau jika ketinggian kaki tidak sama selepas memakai prostesis. Pesakit juga dinasihatkan agar tidak mencuba membaiki prostesis sendiri jika berlaku kerosakan.

Jumpalah pakar prostetik sekurang-kurangnya enam bulan sekali untuk memastikan anggota palsu sentiasa dalam keadaan baik.

Oleh Dr Shaifuzain Ab Rahman

One Response to Amputasi – Potong kaki untuk selamat

  1. linn berkata:

    terima kasih Dr Shaifuzain Ab Rahman..info yg sgt bagus…
    sy linn…ingin bertanya..berapa lama jangka masa seseorang pesakit yg melalui proses amputasi boleh mengunakan kaki palsu..??

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: