Zikir penawar paling mujarab ubati penyakit hati

Manusia tidak terlepas daripada ujian dan dugaan hidup untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka. Dugaan yang datang juga peluang untuk bertanya diri adakah kita seorang yang sabar atau sebaliknya.

Keupayaan manusia sebagai khalifah memerlukan beberapa kekuatan antaranya kuat emosi dan jiwa sebagai faktor penting meneruskan tanggungjawab memakmurkan alam. Kekuatan dalaman juga penting sebagai benteng pertahanan kukuh dalam menghadapi rintangan hidup.

Allah memberi jaminan beruntungnya manusia yang menjaga dan menyucikan hati serta rugi mereka yang mengotorinya. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Surah al-Syams, ayat 9-10)

Dalam dunia semakin maju, hidup manusia pasti menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Ujian ada kalanya membuat seseorang mudah tewas dan mengalah lantaran jiwa yang lemah. Kemewahan, kesusahan dan kesedihan juga ujian. Justeru, Islam mengatur kehidupan manusia dengan kaedah yang patut diamalkan dalam menghadapi ujian hidup.

Berzikir mengingati Allah adalah alternatif ke arah pembersihan dan ketenangan jiwa daripada segala kekalutan serta sifat mazmumah. Mengingati Allah ialah dengan mengagungkan-Nya, mengucap tasbih, tahmid dan takbir.

Termasuk dalam istilah zikrullah ialah mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu dan membaca al-Quran. Ini bererti seseorang hamba Allah perlu dan mesti melakukan perkara itu bagi memenuhi kriteria dan ciri zikrullah sebenar.

Zikrullah adalah penawar hati paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa bagi mengubat keresahan diri. Ini terbukti melalui firman Allah bermaksud: “Orang yang beriman itu tenang dan tenteram hati dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu akan tenang tenteramlah hati-hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28)

Sesungguhnya zikir boleh dilakukan sama ada bersendirian atau berjemaah, melalui lisan atau dengan hati. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar menyatakan zikir lisan atau hati paling afdal.

Zikir lisan ialah menyebut nama Allah berulang kali, menyebut sifat-Nya atau melafazkan puji kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah dalam diri dan jiwa sehingga hati sentiasa sibuk dengan mengingati Allah.

Seseorang yang lidahnya sentiasa basah mengingati Allah mendapat manfaat antaranya:

# Membersihkan hati daripada sifat mazmumah.

# Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah.

# Berasa dekatnya diri dengan Allah sehingga apabila berdepan pelbagai musibah, pergantungannya hanya kepada Allah.

# Meningkatkan mutu amalan kepada Allah.

# Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah.

# Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah, keluh kesah dan tidak tenteram.

Menghadiri majlis ilmu sama ada kuliah, ceramah, seminar atau bengkel termasuk dalam zikrullah, malah disifatkan Rasulullah sebagai satu daripada taman syurga.

Baginda bersabda diriwayatkan Ibnu Umar yang bermaksud “Apabila kamu melalui taman syurga, maka hendaklah kamu singgah dan ambil perhatian. Sahabat bertanya, apakah taman syurga wahai Rasulullah? Baginda menjawab, ia adalah halaqah (majlis) zikir. Sesungguhnya Allah menghantar utusannya yang terdiri daripada malaikat mencari majlis zikir dan apabila malaikat melihat dan berjumpa dengannya, mereka saling menyebut perkara itu sesama mereka.”

Ulama membuat perumpamaan bahawa malaikat mencari majlis ilmu seperti seseorang melihat bintang berkelip di langit pada waktu malam. Betapa indahnya melihat bintang bersinar, begitulah keindahan majlis ilmu di sisi malaikat.

Di samping itu, mengerjakan solat termasuk dalam zikrullah seperti dijelaskan Allah dalam firman bermaksud: “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Toha, ayat 14)

Inilah zikir paling afdal mesti menghiasi diri individu yang mengaku kasih dan cintakan Allah. Seseorang yang istiqamah mengerjakan solat paling hampir dengan Allah. Sesiapa lalai mengingati Allah melalui solat, hati dan jiwanya kosong, malah mati walaupun jasadnya hidup bertenaga.

Membaca al-Quran juga zikir paling mulia kerana ia adalah kalam Allah. Apabila membaca al-Quran, seseorang sebenarnya menuturkan kalam Allah dan ia gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah.

Sehubungan itu, individu Muslim perlu membaca al-Quran setiap hari supaya hati tidak kosong dan pada masa sama mengingati Allah.

Apabila menghadapi kesulitan, zikrullah adalah alternatif menyelesaikan segala masalah. Inilah sebenarnya kekuatan dalaman atau faktor utama keteguhan emosi dalam mengharungi segala pancaroba hidup.

Semoga hati menjadi tenang dan segala urusan kehidupan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tindakan menyalahkan takdir atau meletakkan kesalahan kepada orang lain perlu dielakkan kerana ini bukan sifat orang beriman dan tawaduk.

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jelebu, Negeri Sembilan

One Response to Zikir penawar paling mujarab ubati penyakit hati

  1. farah berkata:

    dapatkan penawar sopak di sini dgn segera jika berminat untuk mengetahui maklumat lanjut sila hubungi saya di talian 0176172909 (farah). http://www.myfarah2.webs.com. try la produk ni. sbb sy sendri pun dah try. ade perubahan dari mase ke semasa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: