Muhasabah penyelesaian terbaik selamatkan rumah tangga

Kehidupan berumah tangga banyak dugaan. Tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggungjawab menjadi antara puncanya.

Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jangan mengambil jalan singkat yang boleh menghancurkan kebahagiaan yang dikecapi melalui perkahwinan. Jika ada persengketaan antara suami isteri, perlu diadakan muhasabah untuk mencari punca krisis berlaku. Dalam hal ini keikhlasan suami isteri amat penting. Jangan mudah menyalahkan pasangan sebagai penyebabnya. Sikap membuat kesimpulan sebelum perbincangan hanya akan menambah lagi kekusutan.

Keadilan hanya akan wujud jika perbincangan dilakukan dengan berlapang dada. Ketika suami atau isteri menjelaskan apa yang berlaku, ia mesti didengar dan diperhalusi tanpa prejudis. Dengan cara itu kebenaran lebih mudah ditemui dan keputusan dapat dibuat dengan adil.

Dalam usaha merungkai masalah yang timbul, bercakap benar amat penting. Antara suami isteri seharusnya tiada rahsia kecuali jika dikhuatiri berterus terang dalam hal tertentu akan mendatangkan keburukan, maka harus ia dirahsiakan.

Bercakap benar perlu diamalkan sepanjang masa. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumah tangga dibina. Jika berbohong, lambat laun ia akan terbongkar juga. Keadaan ini menyebabkan suami atau isteri tidak lagi mempercayai apa dicakapkan biarpun perkara yang benar.

Bercakap benar akan membina ikatan saling mempercayai dan seterusnya mengelak rasa curiga. Jika difikirkan sukar diadakan perbincangan ketika suami dan isteri sudah ‘panas’ dan buntu fikiran, maka Islam menyuruh kedua-dua menghantar wakil untuk berbincang. Pendekatan itu diharapkan dapat mencari jalan penyelesaian.

Perkataan talak atau cerai yang dilafazkan oleh suami sah biarpun dilakukan ketika marah, bergurau, ugutan dan seumpamanya. Talak berlaku bukan saja melalui ucapan, malah juga dalam bentuk tulisan, termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Justeru, soal talak tidak boleh dipandang mudah. Betapa payahnya hendak melangsungkan perkahwinan yang terpaksa melalui beberapa proses, begitu juga sepatutnya sebelum berlaku talak.

Isteri jangan mencabar suami menjatuhkan talak apabila berlaku perkara yang tidak disenangi. Suami pula perlu berhati-hati dan bersabar daripada mengucapkan perkataan talak atau perkataan yang boleh menyebabkan talak.

Islam membenarkan talak bukan bermakna ia satu perkara yang ‘mudah’ dilakukan. Talak adalah jalan terakhir dalam penyelesaian masalah rumah tangga. Selagi ada peluang untuk kembali aman, maka wajib dilakukan usaha ke arah itu.

Firman Allah bermaksud: “Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 236). Ayat itu jelas mengenai harus bagi suami menceraikan isterinya atas sebab tertentu.

Sesungguhnya, kebenaran suami talak isteri bukan bermakna ia boleh dipermudahkan dan dipermainkan. Kamus rumah tangga tidak sepatutnya menyimpan perkataan talak.

Talak ertinya berlawanan dengan akad nikah. Jika perkahwinan itu dituntut, maka talak pula perlu dihindarkan. Peristiwa talak mengundang kebencian Rasulullah SAW dan Allah.

Suami tidak boleh bertindak atau memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami semata-mata. Institusi perkahwinan adalah pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Kebahagiaan yang diharapkan pada permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam menghadapi cabaran hidup.

Oleh Lokman Ismail

2 Responses to Muhasabah penyelesaian terbaik selamatkan rumah tangga

  1. Nur Noorman berkata:

    Pejabat agama tempat terbaik utk penyelesaian

  2. Munawar sulaiman berkata:

    Masalah saya, ada pihak ketiga menghasut isteri saya memohon cerai dr saya.. Apa perlu saya buat dan apa tindakan saya.. Saya masih menyayangi isteri saya walaupun sata tau dia bukan isteri yg baik tetapi dia adalah isteri dan amanah dr Allah.. Saya nak mempertahankan jodih dan rumahtagga saya..

    Yg binggung..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: