Dera isteri – Sayang bertukar benci

Ungkapan, `siapa tidak sayangkan isteri’, memang seringkali didengar, namun pada sesetengah lelaki ia sekadar gurauan semasa yang pastinya akan berubah apabila sayang bertukar menjadi benci.

Kehidupan berumah tangga ibarat kapal kecil di tengah lautan, sentiasa di lambong ombak dalam cuaca yang tidak menentu. Demikian juga dengan hubungan suami isteri.

Setiap isteri inginkan kebahagiaan ke akhir hayat bersama suami dan isteri yang dipilih, namun takdir kadang kala menjadi penentu kepada segala impian yang tidak kesampaian.

Harapan untuk hidup di sisi suami sebagai pelindung musnah apabila suami yang disangka penyayang dan bertanggungjawab rupanya panas baran dan menjadikan isteri sebagai bahan pelepas geram.

Wartawan Rosmah Dain menyelami perasaan seorang isteri yang ingin berkongsi pengalaman pahitnya menjadi mangsa dera suami bersama dikongsi dengan pembaca. Semoga ia dapat dimanfaatkan bersama.

Diana (bukan nama sebenar), dipertemukan dengan suaminya, Azlan (bukan nama sebenar) ketika sedang menuntut di sebuah Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA), manakala Azlan sudah bekerja.

Biarpun mengetahui lelaki yang didampingi itu seorang yang panas baran, namun Diana selesa berkawan dengannya, mungkin ketika itu hati telah terpaut. Yang buruk nampak indah belaka, manis dan menyeronokkan.

Disandarkan atas rasa cinta, mereka berdua akhirnya bertunang dan bernikah tidak lama kemudian.

Di peringkat awal pernikahan sudah ada tanda mendung di langit kerana panas yang diharapkan sampai ke petang rupanya hujan pula di tengah hari.

“Ketenangan yang saya kecapi hanya seminggu. Selepas majlis bertandang di rumahnya, saya telah dihadiahkan dengan penampar pertama, `’ cerita Diana.

Alasannya terlalu remeh, kerana Diana tidak mahu berhenti daripada kegiatan teater di universiti, aktiviti yang menjadi minatnya.

“Saya enggan berhenti teater kerana kawan-kawan saya semuanya dari kumpulan tersebut, jika saya berhenti saya akan kehilangan kawan-kawan baik. Itu sahaja,” tambah Diana dengan mata yang mula berkaca.

Tambahan pula kata Diana, selepas bernikah, dia berpindah ke rumah mentua atas permintaan suami. Mereka terus hidup dengan mertua walaupun pendapatan Azlan melebihi RM5,000 dan sepatutnya mampu menyediakan rumah kelamin.

Sudahlah begitu, suami pula sering menggunakan alasan agama untuk mendera perasaannya.

“Dia selalu berkata, berlakon teater dosanya lebih besar daripada berzina,” ujarnya dengan nada sebak.

Sejak daripada itu kehidupan bahagia yang diidamkan oleh Diana menjadi semakin malap dari hari ke hari. Tubuhnya mula menjadi sasaran, dihentam bertubi-tubi sebagai pelepas geram.

“Kadang-kadang saya melawan juga, bertikam lidah membela diri. Namun makin saya melawan, kemarahannya makin menjadi-jadi. Saya tidak tahan lagi, setiap hari kena belasah, ditampar. Perasaan saya didera setiap saat. Jiwa saya menjadi semakin parah, `’ katanya.

Ketika itu Azlan sedang galak belajar silat, apa lagi makin menjadi-jadilah marahnya.

“Bayangkan selepas saya diperlakukan seperti itu, bukan dia nak tolong saya sebaliknya dengan megah berkata, hebat juga ilmu aku ini,” cerita Diana dengan sebak.

Kejadian itu menyebabkan dahi dan lutut Diana membengkak dan dia hampir pitam, malah turut mengalami tumpah darah.

“Ketika kejadian itu berlaku, saya tidak tahu saya sedang mengandung beberapa minggu, nasib baik bayi dalam kandungan saya dapat diselamatkan,” tambahnya.

Menurut Diana tidak seorang pun di kalangan kawan-kawan Azlan yang tahu kekejaman suaminya terhadap dirinya kerana di mata mereka Azlan seorang lelaki yang baik, penyayang dan bersopan dan sanggup berkorban untuk kawan.

Apa yang menyedihkan lagi kata Diana, keluarga mentua malas untuk campur tangan kerana mungkin mereka menganggap ia perkara peribadi.

Bagaimanapun ibu mentuanya pernah menegur Azlan supaya tidak berbuat demikian tetapi tidak berkesan.

Sebaliknya, suami yang tidak berhati perut itu menggugutnya pula dengan kata-kata, jika dia menceritakan perbuatannya itu kepada orang luar nahas dia.

Tinggal harapan

“Malah dia pernah berkata, saya telah melakukan dosa besar jika memberitahu orang lain dan tempat saya adalah di dalam neraka jahanam,” cerita Diana sayu.

Demi kerana sayang, Diana memendam rasa dan berharap agar Azlan akan berubah untuk menceriakan semula rumah tangga mereka. Namun, harapan hanya tinggal harapan, Azlan langsung tidak menampakkan tanda-tanda akan berubah sebaliknya semakin menjadi-jadi perangainya.

Diana tidak diberi perhatian dan dimanja seperti isteri-isteri lain yang sedang mengandung, alasannya isteri mengandung tidak boleh dimanja, bimbang anak yang bakal lahir akan mengada-ngada.

Dalam keadaan sarat mengandung Diana terus menanggung penderitaan, dimaki hamun, dicekik dan dihentakkan tubuh ke dinding hanya disebabkan dia meminta Azlan membuatkan susu kerana tidak mampu berdiri akibat sakit perut kerana gastrik.

Nasib baik kandungan sudah melebihi lima bulan, kalau tidak sudah pasti beliau keguguran.

“Ketika itu saya rasa nyawa saya seperti hendak tercabut. Hari-hari yang berlalu selepas itu saya tempuhi dengan perasaan yang cukup tertekan,” katanya pilu.

Diana tidak menceritakan kesusahannya itu kepada keluarganya kerana merasa malu dan segan dengan mereka. Lagipun, kasihnya kepada Azlan mengatasi perbuatan yang dilakukan lelaki itu terhadap dirinya.

Kata Diana, Azlan bijak bermain kata-kata dan memujuknya setiap kali berlaku kejam terhadap dirinya.

Teringat lagi Diana bagaimana lelaki itu melutut dan menangis memohon ampun kerana berlaku kasar kepadanya. Marah macam mana pun, cair juga hati Diana untuk menerima dia semula.

“Hati isteri mana yang tidak sayu dan sedih melihat suami yang disayangi, memohon ampun sambil berlutut. Walaupun marah, akhirnya terpaksa menerima juga kerana sayang,” jelasnya.

Selepas selamat bersalin Diana mengalami kemurungan (hampir gila meroyan). Manakan tidak, suami kurang ambil peduli dan membiarkan Diana menjaga bayi seorang diri semasa dalam pantang di waktu malam. Pada waktu malam, nasibnya baik kerana ramai yang membantu. Akhirnya Diana terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling bagi meredakan tekanan.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, selepas habis pantang, Diana mengalami satu lagi kejutan. Kali ini dia terjumpa surat nikah suaminya yang bernikah di selatan Thailand. Hancur luluh hatinya mengenangkan perbuatan suami yang sering meracuni hati. Diana akhirnya mendapat tahu Azlan bernikah dengan perempuan lain untuk menjayakan urusan perniagaannya.

Berita pernikahan Azlan itu membuka peluang kepada Diana untuk meminta dilepaskan, sayangnya ibu mentuanya pula masuk campur dengan memaksa Azlan menceraikan wanita tersebut.

Pada masa yang sama Azlan mengugut Diana tidak akan dapat berjumpa anaknya jika berpisah dengan Azlan. Menyedari dia harus bertindak untuk menyelamatkan diri dan anak yang tidak berdosa itu, Diana menghubungi dua orang pakciknya yang membantu membawa dia keluar daripada rumah mentuanya itu.

“Dua bulan saya hidup sendiri tanpa Azlan. Sepanjang tempoh itu Azlan ada datang beberapa kali merayu supaya kembali kepadanya tetapi saya nekad.

“Setiap hari dia menganggu saya dengan pelbagai janji, malah sanggup bersyarat taklik melalui sepucuk surat yang ditandatangani oleh kami berdua. Antara kandungannya dia berjanji tidak akan mengabaikan saya dan anak dalam apa jua keadaan dan tidak akan melakukan deraan mental serta fizikal,” jelas Diana.

Jatuh sakit

Diana akui hatinya mudah cair terutama setelah dipujuk berkali-kali oleh Azlan. Atas dasar kasihan, ihsan dan belas serta demi kepentingan masa depan anak, Diana akhirnya kembali ke pangkuan Azlan dengan harapan lelaki itu akan berubah.

Malangnya, harapan tidak pernah kesampaian, Azlan tetap seperti dulu, kali ini dia tidak mencederakan secara fizikal sebaliknya melalui penderaan mental.

“Paling saya sedih kerana dia sanggup berdoa untuk melihat saya menjadi gila,” kata Diana sebak.

Tidak cukup dengan itu dia juga sering menggugut untuk mencederakan diri dan keluarga Diana. Kerana terlalu sedih memikirkan nasibnya Diana akhirnya jatuh sakit dan dirawat di hospital kerana menghidap ketumbuhan dalam hidung. Dia tidak sanggup lagi menghadapi penderaan mental dari Azlan yang berkata: “Awak ni sakit sebab banyak dosa dengan saya.”

Ketika inilah Diana teringatkan lafaz taklik yang telah mereka tandatangani bersama, sayangnya tidak ada saksi yang dapat mengesahkan kedudukan tersebut. Diana segera bertindak. Setelah menghubungi pejabat kadi, dia diminta membuat laporan polis untuk keluar dari rumah supaya tidak disabit nusyuz.

Sejak itu bermulalah tugas Diana naik turun mahkamah syariah untuk menuntut cerai taklik daripada Azlan.

Setelah menunggu hampir setahun setengah, akhirnya Azlan bersetuju menceraikannya kerana dia bertemu dengan wanita lain yang berjaya menambat hatinya.

Kini Diana merasa tenang walaupun hak mutaah, harta sepencarian, nafkah tunggakan dan juga hak penjagaan yang sepatutnya dia dapat selepas perceraian tidak di perolehi.

Kejadian yang menimpa menjadikan Diana serik untuk berkahwin lagi, apatah lagi untuk membina mahligai kali kedua.

“Selama empat setengah tahun saya menanggung derita dalam perkahwinan. Hidup bersama suami yang kaki dera bagaikan hidup di atas bom jangka kerana bila-bila masa sahaja ia boleh meletup.

“Lelaki jenis ini tidak pandai menggunakan pendekatan psikologi untuk mendapatkan apa yang diidamkan, tetapi menggunakan kekerasan sekiranya inginkan sesuatu,” ujarnya.

Sehubungan itu Diana menasihati para isteri yang menghadapi masalah yang sama agar mendapatkan perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau persatuan hak-hak wanita bagi mengelak gangguan bekas suami.

Isteri yang tidak lagi sebumbung dengan suami boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (Interim Protection) supaya tidak diganggu dan diugut oleh suami.

Selain itu para isteri yang didera juga boleh mendapatkan bantuan daripada persatuan-persatuan wanita seperti All Women’s Action Society (AWAM) di talian 03-78770224, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di talian 03-79563488, Women`s Crisis Centre (04-228 0342), Pusat Khidmat Bersepadu di hospital-hospital kerajaan serta mendapatkan perkhidmatan sokongan persatuan ibu tunggal dan sebagainya.

“Pastikan selepas didera ambil dan simpan sebanyak mana bukti, seperti gambar dan rekod untuk tindakan mahkamah pada masa akan datang.

“Pilihan untuk mendakwa suami ada pada tangan kita. Polis hanya akan mendakwa suami sekiranya pihak isteri membuat laporan dengan niat untuk mendakwa. Isteri juga berhak untuk melaporkan sebagai rekod kejadian untuk kegunaan masa hadapan tanpa niat untuk mendakwa.

“Serahkan bukti yang ada untuk menyokong kita,” nasihatnya.

“Wanita perlu peka kepada keadaan keliling. Mereka harus membekalkan diri dengan mengetahui hak-hak dalam perkahwinan supaya tidak terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Walaupun hakikat perceraian amat perit, namun kesanggupan `menanti’ untuk didera adalah satu perbuatan yang sia-sia, lebih-lebih lagi apabila mengutamakan kasih sayang terhadap suami yang tidak menghargai pengorbanan isteri,” kata Diana.

9 Responses to Dera isteri – Sayang bertukar benci

  1. liza berkata:

    salam

    apa nak jadi lelaki zaman sekarang ni ye..ramai jadi suami yg x bertanggungjawab, baran x tentu pasal n nak hidup senang & sedap je kat isteri. daripada dpt suami mcm ni lebih baik x payah kawin.sedar2 le diri wahai kaum lelaki….

  2. Embun berkata:

    Salam

    Simpati dengan nsib Diana…
    Syukur dah terlepas dari suami yang kejam
    Binalah hidup baru..
    Semoga Allah memberi kebahagiaan kepada Diana selepas ap yang telah dialami.

  3. serina berkata:

    Saya simpati dengan nasib Diana…Alhamdulillah Allah bagi juga jalan penyelesaian…Syukurlah diana dapat lari dari cengkaman bekas suami…Lelaki yg memukul bini ni tak bijak dan sesetengah org kata “dayus”.

    Jangan lah serik untuk mencari bahagia. Setiap manusia tak sama perangainya. Cuma ambil lah pengajaran yang lepas untuk jadi pedoman hidup. Mungkin ada rezeki Diana untuk mendapat cinta seorang suami sejati dan mithali.Setiap orang ada rezeki yang Allah dah tetapkan…Kasih sayang juga suatu rezeki dan nikmat….Insya-Allah jika selalu kita bersandar pada Allah. Allah akan jadi mata dan tangan kita untuk memilih pasangan hidup yang dia dah takdirkan utk kita. Amin.

  4. Carleefa berkata:

    Saya percaya banyak kes seperti Diana sedang berlaku dalam kehidupan berumah tangga tika ini. Alhamdulillah, Diana di antara yg bernasib baik dapat melepaskan cengkaman sisuami yg tidak bertanggung jawab.

    Apa yg saya ingin utarakan dari fenomina ini, bagi pasangan-pasangan yg sedang dalam proses kesesuaian. Pilih lah pasangan anda bercirikan tuntutan agama. Memang sukar tuk membuat pilihan apabila perasaan mengatasi fikiran. Mata dan hati menjadi kabur, malah kekdang menyerahkan segala2nya kepada pasangan sebelum haknya. Malah jarang sekali hari ini sesaorg meminta pendapat keluarga dan teman2 rapat dalam penilaian pasangan apabila sedang mabuk asmara cinta. Tiada statistic sebagai bukti, lebih ramai yg bercinta nak rak tetapi rumahtangganya kecundang di tengah jalan berbanding dengan pasangan yg bercinta dalam keserderhanaan. Harus di ingat lamunan cinta ini, keindahannya memang lah fantasi. Akan tetapi ianya berlaku dan bertahan tika proses dan di awal rumah tangga. Selepas itu banyak di tentukan oleh tanggungjawab kedua dua pasangan dalam menentukan kerukunan dan keharmonian rumahtangga.

    Sebahagian besar sifat manusia hampir sama dalam memandang pasangan. Selepas berumah tangga tuk beberapa tahun, kita akan melihat org lain seolah2 lebih baik dari apa yg kita miliki. Lalu kita idamkan tuk memeliki nya. Di takdirkan tercapai impian tsb, lalu ianya menjadi hak kita. Dan selepas beberapa tahun kemudian, kita akan melihat yg lain pula seolah2 lebih baik dengan apa yg kita miliki tuk kali ke dua, seandainya tercapai tuk memilikinya, bukan ianya yg terakhir, malah akan berulang-ulang seterusnya tanpa penghujung.

    Jadi kesimpulannya hanya kasih sayang yg beriringan dengan tanggung jawab serta di seri kan dengan kekuatan agama, ianya adalah penentu jangka hayat dan kebahagian rumahtangga yg di bina. InsyAllah.

    Kita memang tidak boleh menafikan sifat mata dan hati bila melihat org lain tp jgn lah kita bertindak.

    Kita mungkin tidak mampu mengwujudkan rumahtangga tanpa setitik pun tiada cacat cela tp kena ada give and take.

    Kita mungkin tidak dapat menafikan wujudnya kelemahan pasangan masing2, tp bawak lah berbincang secara harmoni.

    Kita mungkin tidak mampu mengwujudkan solat berjemaah di rumah setiap hari, tp insyAllah mampu sekurang2nya sesekali.

  5. liza berkata:

    salam

    liza setuju dgt komen carleefa dan serina tu..ramai yg dah berkahwin baru tau mereka tersilap memilih pasangan.namun hidup perlu diteruskan gak.Walaupun liza x rasa situasi spt diana tu, tapi sedih dan dpt merasakan penderitaannya..

  6. jamilah berkata:

    aduh tak tahan rasanya hati ini menahan kesedihan. Berdoa banyak-banyak

  7. peace lover berkata:

    Salam Diana…tahniah anda telah mengambil tindakan yang bijak keluar dari kepompong si suami durjana!! tak la seperti saya…I’ve been suffered for nearly 13years!! didera mental oleh bekas suami saya…seorang yang pentingkan diri sendir,ego dan tidak boleh dibawa berbincang langsung wlaupun dia seorang yg berpendidikan tinggi la jugak! memang saya merana menanggung beban zahir dan batin…dengan keluarga mertua yg attitude problem..no nothing but complain,ada saja orang sekeliling tak kena dimata mereka,bekas mak mertua yg bergaduh dgn jiran dan bekas bapa mertua yang tidak bertegur sapa jemaah lain didlam masjid,bertelagah kerana fahaman politik sedangkan beliaupun lulusan dari Univesiti paling tua dan terkemuka di Malaysia tapi mulut,peribadi,hampeh!!! cakap besar…Setelah hampir 10 tahun bekahwin barulah kami memperolehi cahay mata…tetapi perangai bekas suami tidak juga berubah dan semakin nmpk his thru colour!!! Pernah saya dikurung dan dikunci dari dalam rumah dan kunci dibawa ke pejabat ..bayangkan kalau rumah terbakar apa akan jadi dgn saya dan ank yg berusia 6bulan ketika itu.Pernah saya terpaksa memanjat pagar meminta tolong saudara saya yang kebetulan duduk di kawasan yg berhampiran…kakak saudara saya amat sedih melihat keadaan saya,,datang menjemput saya untuk pergi bersarapan pagi,memandangkan tiada apa di rumah pada ketika itu(stock makanan telah habis) dan banyak lagi kenangan pahit dari manis bersama bekas suami.Saya sanggup berhenti kerja…kerana menuruti kehendaknya…(Saya dulu bekerja disalah sebuah syarikat penerbangan ) semua itu kerana tingginya cemburu beliau terhadap saya.semasa saya terbang di awan biru dulu pun dia suka berburuk sangka dgn saya.Cemburunya ,,berkira dgn isteri..memang keterlaluan…tak masuk diakal tak padan dgn berpenyakit.beliau pernah diserang sakit jantung dan dimasukkan ke I.C.U .saya lah yang menjaganya siang dan malam berulang dari Shah Alam ke Ampang Puteri selama lebih kurang 3minggu.menampun air kencingnya..pagi esoknya terpaksa bekejar semula balik ke rumah untuk memberi kucing2 makan(saya ada 14ekor kucing) dan selepas menguruskan dan membersihkan kucing2 kesayangan kami…akan datang semula ke hospital kerana beliau tak mahu orng lain menjaganya, dan saya pun tak kisah memandangkan dia suami saya..tapi itu semua…dia tak hargai….memang sebak…….banyak sangat kenangan pahit saya dengannya hinggalah ke hari ini memang tak dapat saya lupakan!! but Alhamdulillah now Im Happy with my beloved new husban..very loving,humble and understanding dan menyayangi anak saya seperti ank nya sendiri ,begitu juga anak saya terlalu rapat dengan ayah tirinya!!Alhamdulillah syukur saya ke hadrat Ilahi!!!so para isteri2 dan bakal2 isteri dont be like me.I was so stupid,konon nak jadi isteri yg baik and loyal…tapi xkena tempat!! be a smart wife!!

    • kongkekman berkata:

      Allhamdullilah ambo tumpei sekakai atas..happy ending… pado yang alin tu..jagan tunggu lama2 dgn bermasaalah setrus nya..buat kata putus segera….ikuti lah jejak peace love..jangan dooh lobam2 patah riuk ..keadaan merangkak ..baru nok lari..contok yang baik..harus di ikuti..Salam

  8. lia berkata:

    semoga ALLAH melindungi semua kaum hawa yang teraniaya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: