Rahim jatuh jejas hubungan kelamin

Rahim, merupakan bahagian trek pembiakan wanita di dalam pelvis yang disokong oleh pelbagai otot, tisu dan ligamen agar tetap pada kedudukan asalnya.

Kewujudannya khusus untuk membenarkan embrio melekat pada dinding dalamnya dan membekalkan makanan yang berkhasiat kepada janin yang sedang membesar dari darah ibu.

Rahim yang tidak hamil berbentuk buah pear berukuran kira-kira 7.5 sentimeter panjang dan terampai di dalam kaviti pelvis.

Bahagian atasnya disambungkan ke dua tiub fallopio manakala bahagian bawahnya pula menyambungkan faraj kepada serviks.

Ada ketikanya, proses kehamilan dan kelahiran ataupun sebarang kesukaran yang dialami ketika bersalin menyebabkan otot-otot lantai pinggul menjadi lemah.

“Kehilangan hormon estrogen secara semula jadi menyebabkan rahim seseorang wanita itu jatuh ke dalam faraj dan kadangkala terkeluar dari saluran faraj.

“Keadaan ini dikenali sebagai rahim jatuh (prolaps) di mana rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj,” kata Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan sebuah hospital swasta di Pulau Pinang, Dr. Suresh Kumarasamy.

Walaupun prolaps tidak mengancam nyawa namun keadaannya yang teruk berupaya menjejaskan kualiti kehidupan pesakit seperti mengalami kesukaran berjalan.

Prolaps merangkumi beberapa peringkat:

* Peringkat awal; hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa

* Peringkat kedua; pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj

* Peringkat akhir; keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj turut dikenali sebagai tombong.

Ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada prolaps terutamanya disebabkan oleh faktor usia dan proses melahirkan anak.

“Selepas menopaus, proses atropi atau kekecutan pada tisu, ligamen dan otot dalam jangka panjang akan menyebabkan prolaps akibat ketandusan hormon estrogen.

“Prolaps yang teruk sering berlaku pada wanita berusia lebih 60 tahun yang mengalami menopaus,” katanya.

Kekurangan hormon yang menimbulkan kelemahan pada otot dan ligamen peranakan juga, ujar beliau, boleh berlaku ekoran pembedahan pembuangan ovari akibat penyakit-penyakit tertentu.

Selain itu, kata Dr. Suresh, kehamilan dan kelahiran juga boleh menyebabkan berlakunya kekenduran atau kelemahan pada semua tisu di sekeliling peranakan, khususnya otot lantai punggung yang biasanya memegang faraj dan mendukung rahim.

“Kelahiran yang memakan masa lama dan sukar sehingga memerlukan ibu meneran dengan kuat mungkin menyumbang kepada berlakunya prolaps.

“Kelahiran normal atau menggunakan alat bantuan seperti penyepit iaitu forsep atau vakum juga berupaya merosakkan ligamen-ligamen dan otot di sekeliling faraj,” katanya.

Faktor lain termasuklah kekoyakan semasa bersalin yang tidak dijahit terutamanya jika wanita bersalin di rumah.

Dr. Suresh berkata, bebanan yang berlebihan seperti semasa kehamilan mahupun ketumbuhan fibroid sekali- pun kecil, mampu memberikan tekanan kepada rahim untuk jatuh ke bawah.

Malah, ujarnya, tekanan pada perut yang dicetuskan oleh batuk kronik, sembelit, mengangkat bebanan yang berat serta obesiti turut menjadi penyumbang prolaps.

Dalam pada itu, sesetengah wanita akan mengalami masalah ini jika ada di kalangan saudara-mara mereka khususnya ibu, ibu saudara atau nenek mengalami masalah yang sama.

Kekenduran atau kelemahan otot dan tisu ini juga boleh dipengaruhi oleh tahap pemakanan dan kesihatan pesakit yang agak rendah berbanding mereka yang sihat.

Wanita yang mengalami masalah otot-otot rahim yang kendur boleh mengalami beberapa gangguan lain seperti:

* Gangguan kencing; kerap kencing, sukar hendak kencing dan paling ketara adalah sulit mengawal kencing di mana air kencing keluar dengan sendirinya.

Contohnya apabila bersin, batuk atau sebarang peningkatan tekanan dalam perut seperti ketawa berdekah-dekah, semput, batuk kronik dan lain-lain.

* Menjejaskan hubungan kelamin; kelonggaran faraj khususnya pada otot yang memegang faraj iaitu otot lantai punggung mengakibatkan kekuatannya untuk mencekang atau mengemut dalam proses hubungan seksual mungkin terganggu sedikit.

* Ketidakselesaan kerana rahim terkeluar daripada farajnya ketika berdiri atau banyak berjalan

* Sakit pinggang; rahim yang jatuh menarik otot dan turut menarik bersamanya urat di bahagian pinggang

* Gangguan kesihatan; dalam kes prolaps yang teruk di mana keseluruhan rahim terkeluar, sering kali pintu rahim tergesel pada seluar dalam menyebabkan luka.

Luka ini sering kali dijangkiti kuman menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak.

Dalam jangka panjang, ada juga kes di mana berlaku ketumbuhan akibat daripada pergeseran yang berpanjangan malah ada sesetengah kanser pangkal rahim timbul daripadanya.

Dr. Suresh ditanya mengenai rawatan ataupun langkah pencegahannya berkata:

“Pencegahan terbaik adalah dengan tidak mempunyai anak tetapi sudah tentu ini bukanlah satu saranan yang praktikal kerana semua wanita inginkan zuriat.

“Mengelakkan tempoh bersalin yang berlanjutan dan peralatan bantuan seperti forsep dan vakum mungkin langkah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, tisu badan khususnya tisu ligamen dan otot yang memegang faraj dan rahim yang menjadi longgar dan lemah selepas proses kehamilan dan kelahiran sememangnya tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, pemulihan, walau tidak seratus peratus, boleh dicapai jika seseorang wanita itu mengamalkan senaman menguatkan otot-otot di sekeliling faraj dan lantai punggung seperti senaman kegel.

Di kalangan wanita Barat khususnya golongan profesional dan berpelajaran tinggi, menguatkan otot perut dan lantai punggung ketika hamil dan selepas bersalin sudah menjadi satu tabiat.

Senaman ini boleh dilakukan sewaktu hamil dan sejurus selepas bersalin tanpa perlu menunggu setelah habis tempoh berpantang.

Otot di sekeliling faraj akan menjadi lebih kuat seperti sedia kala jika diamalkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, kata Dr. Suresh, terapi penggantian hormon yang digunakan oleh wanita menopaus yang mengalami proses atropi juga dapat mengurangkan berlakunya prolaps.

“Rawatan prolaps bergantung kepada tahap keterukannya di mana pada tahap yang lebih lewat, hanya pembedahan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kekenduran faraj dan prolaps.

“Contohnya, pembedahan histerektomi atau Manchester untuk membuang rahim melalui saluran faraj, biasanya disertai dengan pembetulan dinding depan dan belakang faraj,” katanya.

Kes-kes prolaps yang teruk mahupun di kalangan wanita yang telah meningkat umur juga membabitkan pembedahan untuk membetulkan saluran faraj.

Bagi pesakit yang lebih muda dan masih bercadang untuk meneruskan zuriatnya, pembedahan bagi menguatkan atau membetulkan saluran faraj boleh dilakukan.

Bagaimanapun, pembedahan merupakan jalan terakhir setelah lain-lain usaha seperti senaman dan penggunaan kaedah rawatan lain gagal memulihkan pesakit.

Kaedah lain yang dimaksudkan termasuklah penggunaan PSX iaitu sejenis alat bertujuan membantu wanita melakukan senaman atau kaedah rangsangan elektrik pada otot dan lantai punggung mengalami kegagalan.

Sementara itu, dalam kes-kes di mana pembedahan tidak dapat dijalankan terutamanya bagi wanita yang berumur dan mengalami masalah prolaps yang teruk, pesari menjadi pilihan.

Ia merupakan sejenis alat yang dimasukkan oleh pakar sakit puan ke dalam faraj wanita, lazimnya, pesari berbentuk cincin bagi mencegah rahim daripada jatuh ke bawah.

“Pesari yang telah lama digunakan secara meluas perlu ditukar setiap dua hingga tiga bulan sekali.

“Dalam setiap pemeriksaan, pakar sakit puan akan memeriksa sebarang perubahan faraj dan ulser kulit jika ada, menandakan pesari mungkin tidak lagi sesuai digunakan,” kata Dr. Suresh.

Justeru, ujarnya, wanita yang menggunakan pesari perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah jangkitan kuman.

Tambahnya, jika seseorang itu secara perubatannya adalah sihat untuk menjalani pembedahan, kaedah itu (bedah) adalah lebih baik berbanding penggunaan pesari.

“Pembedahan bagi merawat prolaps adalah selamat dan berkesan dan dengan pakar-pakar berpengalaman, komplikasi boleh dikatakan sangat jarang berlaku.

“Pesakit juga tidak mengalami banyak kesakitan selepas bedah dan majoriti daripada mereka akan sembuh dengan cepat dan berupaya meningkatkan kualiti hidup mereka dengan ketara,” katanya.

Dr. Suresh turut menasihatkan pesakit agar mengawal berat badan dan pemakanan serta rajin bersenam kerana kegemukan boleh menjadi pencetus prolaps.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

11 Responses to Rahim jatuh jejas hubungan kelamin

  1. nita berkata:

    saya pernah mengandung luar rahim sebelah kiri buang tiup falapion pada tahun 2005,pada 2006 di serang apendik dr mengatakan usus saya di belakang.pada tahun 2007 melahirkan anak pertama melalui pembedahan dan pada tahun 2009 saya melahirkan anak kedua,melalui pembedahan.sering sakit pinggang dan rasa tidak selesa di bahagian faraq.kadang kala rasa macam terkeluar.adakah itu tanda2 rahim jatuh.

  2. asmah berkata:

    Penerangan yang diberi cukup padat. Tetapi permasalahan saya ialah rahim saya jatuh tetapi saya tidak pernah lagi bersalin atau mengandung. Saya buat pemeriksaan dengan beberapa orangdoktor..ada doktor cakap rahim jatuh, ada doktor cakap saya normal..tetapi bila saya lihat dengan cermin macam ada ketulan dipermukaan lubang faraj.Seakan2 menutup lubang faraj..adakah ini petanda rahim jatuh..apa perlu saya buat..saya ingin berubat..saya sudah suba senaman kegel, tapi masih kedudukan rahim tak berganjak. Boleh tolong selesaikan masalah saya..T/kasih

    • sauzanna iderwaty berkata:

      berubat cara tradisional.

      • ann berkata:

        cube minum produk bidadari keluaran cdl,coz saya pon wanita yg belom bersalin,hampir 10 kali saye berurut dgn bidan…alhmdllh produk nie membantu memulihkan estrogen rahim agar kukuh dan kuat ditempat asal,selepas itu saye mengurut lagi…saya sehat alhmdllh,seperti biasa….

  3. suzana berkata:

    saya baru sahaja menjalani pembedahan buang rahim..tapi darah still ada lagi sikit-sikit. agak2 berpa lama baru pulih keadaan dalam perut ni.. dan saya juga bimbang sekarang adakah keadaan ini akan menjejaskan hubungan kelamin.

  4. ann berkata:

    cube lh,,,insyallh berkesan..

    • Zura berkata:

      Berapa lama ya boleh dpt kesan rahim naik ke tempat asal balik? Saya pn tgh risau sbb br 2bln alami prolapes…dh 4x gugur…tb2 rahim jatuh mcm ni pulak…so sy skang sgt streess…

  5. lea berkata:

    tanda2 awal rahim jatuh,macam mana cara mengatasinya yang berkesaan?

  6. zamri bin mawi berkata:

    salam satu malaysia….baru2 ni ibu saya di masukkan ke wad akibat demam yg teruk sehingga kene sawan….akibat sukar begerak utk ke tandas dr memasukkan tiub kesaluran kencing ibu…bermula di situ lah baru kami tahu ibu meresiakan peyakit rahim jatuh dari kami anak beranak…..ibu sudah megalaminya sejak 2 tahun yg lalu….ukurannya sepanjang sejengkal. usia ibu saya 81 tahun. megidap darah tinggi,keadaan jantung semakin lemah. jadi ape yg harus saya lakukan…apa cadangan dari pihak tuan….

  7. serba tak tahu berkata:

    sy baru je berkahwin,ketika melakukan hubungan kelamin bersama suami..sy di posisi bawah,,seringkali terasa asek nk terkencing je..bila sy di posisi atas,,ok jer..xde pulak rase nk kncing je..adakah ini sesuatu yg normal?? atau sy ade masalah rahim jgk??

  8. normawati berkata:

    Saya ibu kepada 2 org anak, baru2 ni saya disahkan mengandung diluar rahim, iaitu disaluran tiup, saluran tiup itu telah dibuang. Apa kesan sampingan, selain dari hanya berharap tiup disebelah satu lagi untuk mendapatakan zuriat.?, adakah sbb itu boleh menyebabkan kurang air mazi/mani…, @ kenikmatan hubungan kelamin?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 350 other followers

%d bloggers like this: