Trend Kahwin Muda

Trend kahwin muda semakin menjadi pilihan ramai pada masa kini. Persoalannya, adakah mereka berkahwin kerana nafsu? Sudah bersediakah mereka melayari alam rumah tangga?

Pada masa dahulu, andai ada wanita yang lewat dilamar dan jejaka lanjut usia, nescaya pelbagai kutukan dan sindiran akan menjadi bualan masyarakat kampung.

Namun, trend itu bagaimanapun berubah selepas negara mencapai kemerdekaan. Perubahan berlaku kerana anak-anak remaja mula berlumba-lumba mencapai kejayaan khususnya dari aspek ekonomi dan pendidikan.

Justeru, berkahwin lewat bukan satu perkara yang memalukan, sebaliknya semakin diterima masyarakat pada zaman kini.

Di sebalik trend wanita dan lelaki memilih berkahwin lambat yang semakin meningkat, masih ada anak muda kembali ke zaman ibu bapa mereka yang menamatkan zaman bujang pada usia muda. Apa yang menjadi persoalan, benarkah faktor pergaulan bebas semakin berleluasa membuatkan ramai mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda.

“Jodoh di tangan Tuhan. Bila sampai seru, saya tidak mahu lagi berlengah. Apa yang penting dalam perhubungan ialah komunikasi dan saling percaya antara satu sama lain.”

Begitulah luahan pertama ibu muda, Jasmin Nadiah Zainudin, 22, ketika ditanya mengenai keputusannya mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Menurutnya, ikatan perkahwinan adalah satu kontrak suci antara suami dan isteri. Ia adalah kontrak yang dipenuhi dengan unsur-unsur agama, moral dan rohani.

Oleh itu, katanya, untuk membina gerbang perkahwinan bukanlah suatu perkara yang boleh diputuskan tergesa-gesa. Bagi kebanyakan individu, ia adalah satu peristiwa yang berlaku sekali seumur hidup dan kekal selamanya.

Menurut Jasmin lagi, berkahwin pada usia muda tidak sedikit pun mendatangkan implikasi terhadap perhubungan beliau dan suaminya, Mohd. Sallehin, 27.

Mengakui ramai yang menganggap risiko bercerai paling tinggi dalam kalangan pasangan muda, beliau berkata, setiap pasangan tidak harus memandang remeh perkara tersebut.

“Apa yang penting ialah setiap pasangan mesti mempunyai komunikasi yang baik dan saling mempercayai antara satu sama lain.

“Itulah yang menguatkan ikatan perhubungan antara kami berdua setelah dua tahun mendirikan rumah tangga.

“Saya merasakan perkahwinan pada usia muda begitu mematangkan fikiran. Kehidupan selepas mendirikan rumah tangga begitu berbeza dengan waktu zaman bujang dulu.

“Menyediakan makan dan minum suami, bijak membahagikan masa antara kerjaya dan mengurus cahaya mata, kesemua itu memberi makna yang mendalam kepada saya.” jelas beliau yang baru dikurniakan cahaya mata pertama, Iman Arianna Mohd. Sallehin, empat bulan.

Bagi Jasmin, beliau tidak pernah menyesal berkahwin pada usia 21 tahun, apatah lagi setelah dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

“Apa yang dapat saya katakan, semuanya ketentuan Ilahi. Kehadiran cahaya mata lebih mengeratkan hubungan saya dan suami. Dialah penyeri hati kami berdua.

“Cuba kita renung kembali perkahwinan pada zaman sebelum merdeka, kenapa mereka yang berkahwin pada usia muda masih kekal sehingga hari ini?

“Itu kerana masing-masing mempunyai kekuatan diri, hati dan perasaan saling menyintai dan memahami,” katanya yang menyangkal perkahwinan muda akan memberi petanda buruk dalam perhubungan suami dan isteri.

Menyentuh soal kewangan, kebanyakan remaja yang berkahwin awal tidak pernah terfikir mengenai kewangan, sebaliknya pasangan dibelenggu oleh nafsu semata-mata.

“Perkahwinan hendaklah atas dasar cinta dan bukannya kerana wang mahupun nafsu semata-mata. Umur, darjat mahupun harta bukan penghalang bagi seseorang untuk berkahwin awal. Apabila masing-masing sudah mendapat persetujuan daripada semua ahli keluarga, apa salahnya.

“Kalau hendak difikirkan pasal duit, sampai bila-bila pun tidak mencukupi. Bagi saya, ia bergantung pada diri masing-masing. Sekiranya anda merasakan bajet sudah mencukupi dan kewangan agak stabil, tidak salah mendirikan rumah tangga pada usia muda.

“Memang tidak dinafikan secara jujur kami berhadapan dengan masalah kewangan pada awal perkahwinan. Tetapi, berkat kesabaran dan sokongan keluarga, kami dapat menyelesaikannya dengan baik,” katanya sambil menguntum senyuman.

Justeru, siapa kata perkahwinan muda boleh menggugat perhubungan sosial antara rakan-rakan? Nini Ruzanna Hassan, 24, berpendapat, biarpun sudah berstatus isteri, suaminya tidak pernah melarang beliau berjumpa dengan rakan-rakan.

“Asalkan saya beritahu suami ke mana saya berada dan pergi, itu sudah cukup,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Syed Izzdini Azrai, 4, Syarifah Haniera, 3, dan Syarifah Hazira, empat bulan.

Malah, dia juga akan keluar berdua bersama suaminya, Sayed Syahril Azrai, 25, sekiranya ada kelapangan dan hari cuti.

“Yang penting, kita seharusnya mempunyai batasan waktu untuk bersama anak-anak dan suami.

“Bagi saya juga, perkahwinan muda mengajar saya erti kehidupan sebenar. Kami berdua banyak mempelajari erti kehidupan sebenar pada awal perkahwinan.

“Susah dan senang kami harungi bersama. Paling penting, suami dan isteri seharusnya melakukan perbincangan secara matang terutama apabila berlaku pertengkaran atau perbezaan pendapat. Dengan itu, barulah boleh selesai masalah yang dihadapi secara baik,” katanya yang memiliki kerjaya sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan di salah sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di ibu kota.

Adakah perkahwinan pada usia muda juga memerlukan seseorang itu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal?

“Jika dihalusi, semua agama menggalakkan penganutnya melayari alam perkahwinan apabila sudah bersedia secara mental dan fizikal. Jadi, usia bukan ukuran dan halangan seseorang untuk mendirikan rumah tangga. Apabila yakin bahawa mereka mampu membentuk keluarga bahagia dan sempurna, semuanya tidak menjadi masalah.

“Mungkin disebabkan kurangnya ilmu pengurusan rumah tangga maka pasangan muda dianggap tidak matang. Apabila terjebak dengan konflik, ramai yang memilih cerai sebagai jalan penyelesaian.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada perkembangan masyarakat dan negara, selain membawa kepada pelbagai gejala sosial, khususnya dalam kalangan remaja,” celah suaminya.

Shahril berkata, berkahwin muda bukanlah kerana nafsu semata-mata kerana ia melibatkan perasaan cinta yang sejati dan terjalin antara dua hati.

Tangisan pertama si kecil

“PERTAMA kali mendengar tangisan si kecil sebaik sahaja dia dilahirkan dalam keadaan berlumuran darah, saat itu adalah detik paling menggembirakan saya dan suami,” itulah yang dapat diluahkan seorang ibu, Amatullah Afifah Zainudin, 25, sewaktu melahirkan cahaya mata pertama.

Menimang cahaya mata merupakan saat paling bersejarah bagi setiap pasangan suami dan isteri. Bermula detik inilah, si suami akan bergelar bapa dan isteri digelar ibu.

Bagi Afifah, perasaan riang tatkala mendengar tangisan bayi comel yang baru dilahirkan sudah pasti menceriakan lagi hubungan dia dan suaminya, Muhammad Shafiq, 26.

“Tiada kata-kata yang dapat diucapkan, sebaliknya hanya kegembiraan yang menjelaskan isi hati kami sekeluarga.

“Kelahiran cahaya mata lelaki sulung, Muhammad Jazlan Umayr yang kini berusia dua bulan menjadi penyeri dan pelengkap dalam kehidupan rumah tangga kami.

“Saya percaya gelak tawa, teriakan dan tangisan si anak sudah pasti dapat mengeratkan lagi hubungan kami berdua,” katanya.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

4 Responses to Trend Kahwin Muda

  1. kebayan berkata:

    aku kawin umur 22 tahun ,suami 23 .. beza kami hanya setahun .Orang cakap kalau kawin biarlah jarak umur jauh sikit .. sebab perempuan lebih nampak cepat tua dari lelaki .. entahlah .. aku tak kisah dengan semua itu , apa yang penting ialah sifat kematangan .. apa guna seorang isteri yang muda jelita tapi tk pandai ambil hati suami .. lelaki sekarang pun suka memilih perempuan yang lagi berusia .. berusia kerana kematangannya ..

  2. Kalam berkata:

    Tua atau muda bukan persoalannya kerana perkahwinan adalah merupakan kerja Allah namun sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Kadang-kadang ada yang merancang berkahwin muda tapi jodoh masih tak kesampaian dan begitu juga ada yang tak tak merancang pun untuk berkahwin…tiba-tiba ianya datang dengan sendiri.
    Berkahwin muda bukanlah satu tren yang baru dalam masyarakat kita. Pada masa dahulu usia pengantin lebih muda daripada itu. Jika dilihat kepada senario yang berlaku sekarang… pada saya lebih baik berkahwin muda daripada terjebak dalam kancah kemaksiatan. Zaman sekarang jika iman tidak kuat, amat mudah untuk kita terjerumus ke arah itu…godaan dan cabarannya sangat hebat.
    Apa yang penting bagi saya ialah setiap insan yang ingin berkahwin perlu mempunyai ilmu yang berkaitan dengan perkahwinan dan keibubapaan. Perkahwinan bukan satu perjudian untuk kita mencuba nasib dan ia bukan juga untuk sekadar untuk berseronok malah ianya memerlukan sepenuhnya rasa tanggungjawabyang perlu diketahui oleh setiap pasangan……..

  3. syirfan berkata:

    Menarik…

    Fenomena wanita berumur berkahwin dengan lelaki muda juga harus dianalisis. Kadang-kadang tidak logiknya wujud. Namun, cinta itu buta.

    Harap ia tidak membuatakan masa depan…

  4. Cahaya Petunjuk berkata:

    Bagaimana mahu meyakinkan orang tua yang kita sememangnya sudah bersedia?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: