Gejala Air Liur Kering

APABILA gemuruh, lidah kelu hendak berkata-kata, mulut pula bagaikan kering hingga dirasakan sukar dibuka. Gejala mulut kering ini juga berlaku ketika seseorang mengalami tekanan perasaan atau terlalu sedih yang akan hilang apabila masalah dapat diselesaikan.

Namun, ada juga orang, terutama golongan berusia, yang kerap mengalami masalah mulut kering sehingga menyebabkan mereka sukar merasa, mengunyah dan menelan makanan.

Malah, kekurangan air liur juga biasanya menyukarkan mereka untuk bercakap.

Biasanya, orang kurang mengendahkan masalah ini kerana ia dianggap antara gejala biasa akibat kurang minum air, walaupun ia sebenarnya boleh menjadi petanda kepada penyakit lain.

Masalah mulut kering berpunca daripada kekurangan air liur yang menjadikan mulut melekit, terasa panas, tekak kering, bibir pecah dan menggelupas. Pada masa sama, lidah juga menjadi kering dan mulut terasa sakit apabila dibuka.

Kekurangan air liur berlaku apabila kelenjar liur tidak berfungsi sepenuhnya dan mengeluarkan air liur yang kurang daripada diperlukan.

Beberapa perkara mengganggu fungsi kelenjar liur, antaranya kesan sampingan ubat seperti ubat mengawal tekanan darah dan kemurungan; kehadiran penyakit, contohnya Sindrom Sjogren (penyakit auto imun yang merosakkan kelenjar liur), HIV/Aids, kencing manis dan Parkinson.

Selain itu, kesan rawatan radiasi (biasa berlaku di kalangan pesakit kanser) seperti kemoterapi pula akan menyebabkan air liur menjadi pekat serta kerosakan saraf akibat kecederaan pada leher atau kepala.

Tabiat merokok atau mengunyah tembakau juga boleh mengganggu penghasilan air liur dan menyebabkan masalah ini bertambah serius.

Bahkan berdengkur atau tidur dengan mulut terbuka juga dikatakan menyumbang kepada masalah mulut kering.

Kekeringan mulut antara proses penuaan yang normal. Peningkatan umur akan menyebabkan kelenjar liur kurang merembeskan air liur dan ini sebabnya orang tua turut mengalami perubahan terhadap persepsi dahaga.

Secara tidak langsung, penerima isyarat ‘dahaga’ di otak juga menjadi kurang peka dan keadaan ini mengubah keperluan air seseorang.

Apa pentingnya air liur?

Berdasarkan artikel terbitan Mayo Clinic, Minnesotta, secara purata individu dewasa yang sihat menghasilkan 1.8 liter air liur setiap hari. Air liur berfungsi melembapkan mulut dan tanpa air liur, kita mungkin cepat rongak. Air liur penting kerana:

~Enzim dalam air liur membantu pencernaan makanan.

~Melindungi gigi daripada masalah pereputan.

~Melindungi daripada jangkitan yang menyebabkan masalah gusi dengan mengawal pertumbuhan bakteria dan fungus dalam mulut.

~Memudahkan kita mengunyah dan menelan makanan. Tanpa air liur, badan kita tidak mungkin dapat semua khasiat yang diperlukan daripada makanan.

~Air liur juga ‘mencuci’ serpihan makanan dan plak yang melekat pada gigi.

~Mineral dalam air liur membantu memperbaiki pereputan awal gigi.

~Air liur meneutralkan asid yang terhasil dalam mulut dan mengelak kerosakan gigi.

Masalah mulut kering yang juga dipanggil xerostomia boleh berlaku pada semua peringkat umur, walaupun ia lebih kerap dialami golongan berusia.

Ia juga boleh menyebabkan kesan lain seperti air liur menjadi pekat dan berlendir, hujung mulut mudah luka, nafas berbau, lidah terasa sakit dan kebas, kurang keupayaan merasa makanan dan akhirnya gigi mudah bengkak serta gigi mengalami pereputan.

Jika anda berasakan anda mengalami masalah ini, jumpa doktor atau doktor gigi untuk menentukan puncanya.

Bagi golongan ini, mereka perlu memberi lebih tumpuan kepada penjagaan gigi. Pastikan gigi diberus sekurang-kurangnya dua kali sehari, flos gigi setiap hari, gunakan ubat gigi berfluorida, elak makanan bergula dan melekit serta jalani pemeriksaan gigi dua kali setahun.

Beberapa langkah boleh diambil untuk mengawal masalah kekurangan air liur, antaranya:

1. Minum banyak air masak. Kurangkan air bergula.

2. Elak minum minuman mengandungi kafein (kopi, teh dan minuman berkarbonat) kerana kafein boleh mengeringkan mulut.

3. Kunyah gula-gula getah tanpa gula sama ada berperisa limau, kayu manis atau pudina untuk merangsang pengaliran air liur.

4. Jangan merokok.

5. Elak minum alkohol.

6. Kurangkan makanan yang banyak garam dan pedas kerana ia boleh mencetuskan kesakitan pada mulut yang kering.

7. Bernafas melalui hidung dan bukan mulut.

8. Sediakan air masak di tepi katil kerana masalah kekeringan mulut kerap berlaku pada waktu malam.

Meminum banyak bagaimanapun boleh mendatangkan masalah lain kerana anda akan kerap berulang ke bilik air. Namun usah bimbang kerana ia hanya bersifat sementara sehingga badan melakukan penyesuaian terhadap pertambahan kemasukan air.

Pertambahan kuantiti air yang masuk ke badan bukan saja membantu mengatasi masalah kekeringan mulut, tetapi ia juga antara cara mengeluarkan bahan toksin melalui pembuangan air kencing.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: