Krisis Rumahtangga – Isteri sanggup bercerai kerana kekasih

‘Jangan percaya taubat suami” kisah yang dipaparkan minggu menarik perhatian Puan Hafizah untuk menceritakan pengalamannya pula yang tidak jauh bezanya dengan kepahitan hidup yang dilalui oleh Puan Salimah. Begitu katanya ketika kami berbual di telefon.

Terdahulu beliau dalam e-melnya berkata ‘‘Saya percaya pengalaman Salimah boleh membantu saya meneruskan hidup ini di samping tiga orang anak saya ini, sambil berdoa agar Allah memberi saya kekuatan untuk hadapi hidup ini.

‘‘Kisah saya agak pelik sikit dua keluarga hancur apabila kekasih lama mengikut tali percintaan mereka semua dan mereka mahu berkahwin demi cinta sejatinya. Saya berkahwin dengan Khir 15 tahun lalu. Kami berkenalan sejak di sekolah rendah lagi. Tetapi terputus ketika dia dalam tingkatan dua kerana mengikut ayahnya berpindah ke negeri lain.

‘‘Namun setiap hujung tahun kami tetap bertemu apabila dia datang ke rumah saudaranya yang menjadi jiran kami. Jadi hubungan kami tidak pernah putus. Dipendekkan cerita saya melanjutkan pelajaran ke universiti di utara sementara Khir sudah dua tahun di sebuah universiti di KL. Hubungan kami berterusan melalui surat begitulah keadaannya ketika kami masih di sekolah menengah lagi.

‘‘Ketika saya berjaya menamatkan pengajian Khir mencadangkan supaya kami bertunang oleh kerana saya memang tak pernah ada kekasih lain, lamarannya saya terima. Gembiranya hati hanya Allah sahaja yang tahu.

‘‘Dua tahun kemudian kami berkahwin, oleh kerana saya anak bongsu dari lima beradik tentulah keluarga emak, abang dan kakak mengadakan majlis yang sungguh meriah untuk saya, tetapi di sebelah Khir cuma kenduri doa selamat sahaja. Namun saya cukup bahagia.

‘‘Dari situ kami bekerja keras membina keluarga, dari tidak mempunyai apa-apa walaupun sebuah motorsikal buruk, kemudian kami pernah memiliki kereta Kancil, Satria, Waja hinggalah Honda yang menjadi idaman Khir. Itulah kejayaan kami selama 15 tahun.

‘‘Kejayaan itu bukan mudah saya peroleh kalau tidak diiringi dengan kemahiran dan kebolehan yang ada dalam diri saya iaitu memasak kek dan biskut. Tempahan bukan sahaja datang pada musim Hari Raya danmusim perkahwinan sahaja tetapi sepanjang tahun.

‘‘Tetapi bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan begitulah dengan kehidupan saya, genap 15 tahun perkahwinan kami, Allah menguji saya dengan perubahan yang berlaku dalam hidup suami. Perubahannya tidak saya sedari hinggalah dia pulang ke kampungnya tanpa membawa kami bersama sedangkan ketika itu cuti sekolah.

‘‘Apabila saya telefon bapa mertua di kampung, beliau kata Khir pulang bercuti kenapa saya dan anak-anak tak ikut. Saya terkejut apa dah jadi. Puas saya telefon dia tetapi tidak dijawab hinggalah dia pulang ke rumah dua hari kemudian.

‘‘Lagi saya terkejut bila pulang dia minta izin nak kahwin lagi. Pitam saya. Dia terus terang kata dia mesti kahwin juga dengan Miza. Tak dapat saya gambarkan perasaan saya ketika itu.Saya hanya mampu menangis dan terus menangis. Kepercayaan dan kesetiaan saya selama ini dihancurkannya. Teruk keadaan saya waktu itu. Saya beritahu bapa mertua apa yang terjadi, tapi dia tak percaya. Sebaliknya dia tuduh saya tak menghargai suami.

‘‘Keluarga saya pula kata saya terlalu sayangkan laki, ikut semua kehendak dia dan bagi dia duit sebanyak mana yang dia minta. Memang saya tak nafikan saya sayangkan Khir, tetapi tak sangka dia hancurkan hati saya. Bila saya tanya kenapa dia nak kahwin lagi, pertama, katanya itu kekasih lamanya, masa sekolah dulu, kedua, saya tak layan dia sepenuhnya. Dia gunakan ayat-ayat power memburukkan saya pada keluarganya. Konon saya lebih pentingkan kerja dan bisnes daripada suami.

‘‘Tapi dia tau tak siapa keluarkan duit belanja untuk rumahtangga dan anak- anak, dia cuma bayar duit ansuran kereta dan sewa rumah saja, lain atas saya. Sebab tu saya terpaksa cari duit lebih untuk tampung belanja.

‘‘Setelah menanggung lara beberapa bulan, saya tanya dia siapakah kekasihnya saya dengar isteri orang. Dia mengaku memang benar ada anak tiga. Saya kata mengapa dia sanggup runtuhkan masjid orang. Katanya suami kekasihnya kejam sebab itu dia rasa bertanggung jawab memulihkan masa depan kekasihnya. Tapi apa hal dengan saya dan anak-anak?

‘‘Khir langsung tak hiraukan perasaan saya sebaliknya suruh saya dengar kisah-kisah cintanya zaman dulu dengan Miza. Dan pertemuannya baru-baru ini dalam supermarket Miza sempat cium tangannya dan jalan berpelukan. Sebenarnya saya dah tak tahu nak buat apa sebaliknya dipaksa jadi pendengar ceritanya. Dalam hati saya Allah saja yang tahu.

‘‘Oleh kerana dia memang pandai komputer dia simpan setiap SMS kekasihnya dalam komputer. Dari situ terbongar kisah asmaranya. Dah lama dia buat hal tanpa pengetahuan saya. Kita yang bodoh dan jujur ni percaya dia seratus peratus.

‘‘Saya cuba hubungi Miza tapi tak berjawab, oleh kerana mereka sekampung. Saya ugut dia dalam SMS bahawa saya akan bongkar hubungannya dan Khir kalau dia tak jawab telefon saya, barulah dia jawab, itupun setelah Khir ugut saya, jangan maki hamun Miza.

‘‘Miza beri tahu dia simpati dengan Khir kerana tak bahagia bersama saya. Betul-betul ayat power Khir gunakan memburukkan saya demi menagih cinta Miza. Miza pulak bencikan suaminya seorang ahli perniagaan. Dia terpaksa kahwin dulu kerana keluarganya tak sukakan Khir yang tak lulus universiti dan tak berharta berbanding suaminya anak orang berada.

‘‘Bila saya ingatkan dia tentang dosa seorang isteri meminta cerai semata-mata untuk berkahwin lain, dia menangis dan mengaku berdosa kepada suami. Dia juga berjanji untuk mengundurkan diri. Apabila Miza tarik diri, Khir jadi tak tentu arah. Dia salahkan saya kerana tak jadi kawin dengan Miza. Dia ugut Miza akan jadi lebih jahat, kerana ini kali kedua Miza tolak cintanya. Kerana kecewa yang amat sangat dia jatuh cinta pula dengan wanita Sabah, juga isteri orang ketika bertugas beberapa bulan di negeri itu.

‘‘Dengan wanita Sabah bernama Ira ini pun konon dia simpati sebab suami Ira kejam, kaki judi, kaki botol dan mengambil semua duit gajinya. Bila balik hubungan mereka diteruskan, tak pasal-pasal bil telefonnya mencecah hampir RM2,000. RM 1,000 itu dah jadi perkara biasa. Bila tak ada duit semua urusan rumah jadi tanggungjawab saya. Tapi saya sabar juga sambil berdoa dia akan berubah satu hari nanti.

‘‘Rahsianya terbongkar kerana kebetulan bil telefon itu atas nama saya, saya boleh dapatkan bil. Tak cukup duit habis dengan bil telefon dia sering juga ke Sabah di tambah pula dengan bil hotel dan tiket penerbangan.

‘‘Saya tidak mengamuk atau melatah tetapi banyak memohon petunjuk dari Allah. Khir langsung tak tahu malu depan anak- anak pun dia bergurau dan memadu kasih dengan Ira dalam telefon. Dia tahu saya tak akan marah dia. Bab dia berjanji tunggu Ira di hotel bila dia turun KL nanti pun dah jadi perkara biasa.

‘‘Setiap hari balik kerja pukul 8 malam dia terus tidur dan tak mahu diganggu tetapi tepat jam 12 malam, dia akan telefon Ira, bayangkan itulah perbuatannya setiap hari. Tapi saya masih diam. Saya mahu dia berubah. Tetapi hujung tahun lepas dia ambil keputusan pindah sewa rumah dekat rumah kami. Tujuannya supaya senang tengok anak-anak. Tapi dalam masa yang sama dia bawa Ira dan dua anaknya tinggal bersama. Ira ikut pindah bekerja di KL.

‘‘Ira sanggup tinggalkan suaminya kerana cintakan Khir. Entah apalah ayat power dia gunakan. Sewa rumahnya Khir yang bayar. Sejak hari itu Khir langsung tak balik ke rumah katanya panas, nak tengok anak pun di luar saja.

‘‘Entah apa terjadi dengan diri ini, saya pun tak taulah saya tak boleh lupakan Khir. Mungkin kerana dia suami yang baik tak pernah pukul saya, dan dia bukan orang yang kasar kecuali akhir-akhir ini setelah bercinta lagi.

‘‘Kerana terlalu letih menasihatinya, saya cuba mendiamkan diri. Khir ambil kesempatan untuk menceraikan saya lima bulan kemudian. Saya terima dengan tenang. Walaupun saya sedih, sebaliknya saya anggap semua ini urusan Allah. Sepanjang dia tinggal dengan Ira, saya tak pernah menyerang atau ganggu dia, Khir pun hairan saya tak buat kacau.

‘‘Selesai urusan cerai, saya fikir tentulah dia kahwin dengan Ira, tetapi keadaan jadi sebaliknya dia nikah dengan Miza. Terkejut saya, apa dah jadi, macam mana dengan Ira. Rupanya dia tinggalkan Ira terus selepas bercerai dengan saya. Dan dia terus nikah dengan Miza yang kebetulan ketika itu sudah pun bercerai, dan saya tak tahu.

‘‘Dari kawan sekampung, saya dapat tahu Miza pernah memberitahunya, bahawa dia tidak pernah sesaat pun melupakan Khir, itu adalah kekasih awalnya, dia berkahwin kerana terpaksa atas desakan keluarga. Dia pernah berdoa jika suaminya mati dia akan berkahwin juga dengan Khir. Apa yang saya rasa pelik dia langsung tak malu kepada anak-anaknya yang sudah jadi anak teruna dan anak dara sunti itu.

‘‘Dia juga mengaku tak sanggup bermadu. Bila saya diceraikan inilah masanya untuk mereka bernikah. Mungkin juga sudah jodoh mereka. Mungkin juga Allah makbulkan doa Miza berkahwin dengan Khir kekasih hatinya, walau dengan apa cara sekali pun.

‘‘Mereka nikah mas kahwinnya Al Quraan. Khir tahu dia jatuh dalam tong beras bukan di padang pasir gersang, ada pahon rendang untuk berteduh dan berpaut. Buat apa dia nikah dengan Ira yang menyusahkannya. Kini baru saya tahu siapa Khir sebenarnya.

‘‘Lepas nikah Khir temukan anak-anak saya dengan Miza. Miza beritahu anak-anak saya dia tak rampas Khir daripada saya, sebaliknya Khir sudah bercerai dulu baru nikah dengannya. Tapi bagaimana pula kisah percintaannya dengan suami orang ketika dia masih jadi isteri orang lagi? Kalau dia isteri yang solehah dan budiman tentu dia bersyukur dengan jodohnya terdahulu, dan tidak akan tergoda dengan rayuan bekas kekasihnya Khir.

‘‘Namun saya reda dengan ketentuan Allah atas apa yang terjadi. Saya terpaksa mencari kekuatan diri untuk terus bangun demi anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan kasih sayang.

‘‘Dalam mencari ketenangan menghadapi dugaan maha hebat ini saya menghabiskan masa menghabiskan pengajian saya. Saya tahu saya tak boleh mengasihani diri sendiri tanpa berusaha. Saya bersyukur berjaya menempuh dugaan ini dan berjaya bangun dari keruntuhan ini, semuanya kerana anak- anak. Saya berjanji pada diri sendiri tidak akan mengganggu Khir dan Miza, biarlah mereka bahagia dengan jalannya sendiri.

‘‘Saya pasti dan yakin dengan kebesaran Allah, ada hikmah yang Allah sediakan untuk saya dan anak-anak.’’ Demikian cerita Hafizah mengakhiri deritanya dengan bangun dari keruntuhan rumah tangganya selepas 15 tahun berumah tangga.

Benar kata Hafizah, ada rahmat dan hikmah yang besar di atas setiap ujian yang Allah berikan, sama-samalah kita tunggu dan lihat kebesaranNya. Allah tidak pernah melupakan ummahnya, sebaliknya kita acapkali khayal melupakannya.

Ruangan DCCK, Mingguan Malaysia

ARKIB : 31/08/2008

5 Responses to Krisis Rumahtangga – Isteri sanggup bercerai kerana kekasih

  1. manja berkata:

    Inilah penyakit manusia sekarang ni…
    Tak pernah puas dan tak pernah bersyukur dengan apa yang dah ada….
    Semoga Allah menjadi pembimbing yang terbaik untuk kita semua…

  2. azitamusa berkata:

    bersyukurlah dengan apa yang ada….

  3. ChEsTer berkata:

    Allah takkan menduga hambaNya yg tak blh menanggung beban

  4. persepsi berkata:

    sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

  5. kebayan berkata:

    sekarang ni .. istilah ” aku maseh mencintai mu , sungguh pun kau sudah menjadi milik orang “dah tak boleh pakai lagi . Silap silap boleh memporak perandakan hidup kawan tu .. Sepatutnya .. kena terima takdir yang jodoh dengan dia tak ada .. doakan kebahagiaannya .Kenangan kenangan lama tu tak usahlah nak di flash back lagi .Pandanglah kehadapan untuk membesarkan anak anak .. tanggung jawap tu yang penting .. bukan nya melayan jiwang tu ..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: