AF, rentak jantung abnormal

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

LAZIMNYA, kita sering mengambil mudah rentak jantung yang normal tetapi sekali ia menyimpang dari ritmanya, semuanya akan menjadi cerita yang sama sekali berbeza. Degupan jantung menjadi bertambah kencang dan luar biasa.

Degupan jantung yang tidak normal ataupun dikenali sebagai aritmia ini berpunca daripada kegagalan impuls elektrik jantung semula jadi untuk berfungsi manakala corak degupan ruang atas dan bawah jantung menjadi tidak seragam.

Di dalam istilah perubatan, keadaan ini dinamakan sebagai fibrilasi atrial (atrial fibrillation) atau lebih dikenali sebagai AF atau Afib. Keseluruhan jantung anda bagaimanapun tidak berdegup sebegitu laju.

Rentak jantung normal biasanya berdenyut atau berdegup di antara 60 hingga 100 kali seminit manakala dalam keadaan AF, ruang atas jantung berdegup di antara 350 hingga 600 kali seminit.

Jantung merupakan otot yang berfungsi sebagai pam, terbahagi kepada empat ruang. Dua ruang di atas dipanggil atrium kanan dan kiri manakala dua ruang di bawah – ventrikal kanan dan kiri.

Apabila jantung berfungsi dengan betul, darah yang kaya dengan oksigen akan dipam daripada atrium kiri dan ventrikal kiri ke seluruh bahagian tubuh. Atrium kanan dan ventrikal kanan pula akan mengepam darah semula ke paru-paru untuk diisi dengan oksigen.

Nodular sinoatrium di dalam atrium kanan memberikan rangsangan elektrik yang diperlukan oleh jantung untuk berdenyut dengan normal. Ketika AF, kawasan atrium yang lain mungkin mula memberikan tanda isyarat dan rentak jantung menjadi tidak menentu dan tidak efisien.

AF memberikan kesan yang berbeza kepada para pesakit. Dalam pada sesetengahnya tidak mengetahui dia mengalami AF dan tidak mengancam nyawa, ia dalam masa yang sama boleh menyebabkan ketidakupayaan dan komplikasi kepada yang lain.

Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik, Institut Jantung Negara, Dr. Jeswant Dillon berkata:

“AF merupakan rentak jantung abnormal yang paling kerap berlaku. Ia memberikan kesan terhadap keupayaan jantung untuk menjalankan tugasan normal, mengakibatkan aliran darah berkurangan di antara 20 hingga 30 peratus dalam sesetengah keadaan.

“Pesakit akan berasa letih dan lemah. Sebahagian darah mungkin tertinggal dan bertakung di dalam atrium dan akan membentuk darah beku.”

Menurutnya, darah beku akibat AF mungkin terpecah dan bergerak ke otak serta bahagian tubuh lain, menyebabkan strok atau kerosakan serius kepada organ lain seperti jantung (lemah jantung).

Pesakit AF, tambah beliau, mempunyai risiko serius yang meningkat lima kali ganda untuk mendapat strok berbanding mereka yang tidak mempunyai penyakit struktur atau organik jantung.

“Kesimpulannya, AF bukan sesuatu yang boleh diambil mudah tetapi aritmia yang berbahaya.”

Gejala-gejala lain AF

Dada berdegup kuat atau bergetar secara tiba-tiba – berasa letih dan lemah – pening dan sukar bernafas – dada tidak selesa dan terasa tertekan – pandangan kabur – leher berdenyut – berpeluh – loya – pitam – panas badan (dedar).

Dr. Jeswant berkata, lebih 5.5 juta orang di seluruh dunia menghidapi beberapa keadaan AF yang tertentu. Di Malaysia, dianggarkan 10 peratus daripada jumlah penduduknya mengalami masalah ini.

“Sekurang-kurangnya satu per tiga daripada semua kes AF adalah kekal atau kronik. Ini bermakna, gejala ini tidak mungkin dapat dikawal dengan ubat-ubatan, menjadikan pembedahan pilihan yang terbaik bagi sesetengah pesakit AF kronik.

“AF mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di mana di antara 10 hingga 30 peratus kes AF berlaku kepada individu sihat yang tidak mempunyai sebab untuk mendapat aritmia,” ujarnya.

Bagaimanapun, semakin usia seseorang meningkat, kemungkinan mendapat AF turut meningkat dengan ketara. Keadaan ini berlaku lebih tinggi di kalangan lelaki berbanding perempuan.

Punca AF

Apabila tidak terdapat punca jelas berlakunya AF, ia dinamakan sebagai Lone AF atau AF primer. Sementara itu, AF yang berkaitan dengan masalah kesihatan dikenali sebagai AF sekunder.

“Sesetengah keadaan yang biasa mempunyai kaitan dengan AF termasuklah tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari dan penyakit injap jantung.

“AF juga boleh berlaku akibat ketagihan alkohol, penyakit kelenjar tiroid dan kegagalan jantung kongestif, tekanan fizikal mahupun psikologi serta pengambilan ubat-ubat perangsang,” kata Dr. Jeswant.

Aktiviti tidak normal melibatkan otot-otot jantung juga boleh merangsang AF seperti pembedahan jantung, serangan jantung dan radang pada selaput yang meliputi jantung (perikarditis).

Keadaan yang boleh menyebabkan parut atau keterikan pada tisu jantung juga boleh menyebabkan AF. Dalam sesetengah kes, peningkatan aktiviti kelenjar tiroid atau darah beku ke paru-paru (embolisme pulmonari) boleh menyebabkan AF.

Jenis-jenis AF

lAF paroksimal; di mana pesakit akan mengalami serangan yang akan berhenti dengan sendirinya. Serangan ini berlarutan dari beberapa saat ke beberapa hari tetapi boleh berhenti tanpa rawatan perubatan

lAF berterusan atau berulang-ulang; di mana pesakit mesti mengambil ubat atau menjalani kardioversi (pembilang renjatan) bagi membolehkan degupan jantung kembali normal

lAF tetap; di mana pesakit sentiasa mengalami AF. Walaupun gejala ini dapat dikawal dengan berkesan, rawatan perubatan yang ada mungkin tidak dapat mengembalikan degupan jantung menjadi normal. Rawatan pembedahan menjadi satu-satunya rawatan bagi AF tetap.

Rawatan

Rawatan AF, jelas Dr. Jeswant, bertujuan mengurangkan impuls degupan jantung yang tidak menentu dan mengembalikan semula degupan jantung kepada normal.

“Rawatan asas bagi AF adalah dengan pengambilan ubat-ubatan pada setiap hari seperti agen antiaritmia dan antikoagulan untuk mencairkan darah, seperti warfarin.

“Pilihan rawatan lain termasuklah, kardioversi, alat defibrilasi, perentak jantung, ablasi katerer, pembedahan maze dan pembedahan ablasi.”

Pembedahan

Pembedahan dilakukan bagi merawat banyak kes AF yang kronik. Anda mungkin disarankan untuk menjalani pembedahan jika:

* Ubat-ubatan gagal mengawal degupan jantung anda

* Anda berisiko tinggi mendapat strok atau darah beku

* Anda dikehendaki menjalani pembedahan jantung seperti pembedahan bagi membaikpulih atau mengganti injap atau pembedahan pintasan arteri koronari

* Pengablatan katerer gagal mengawal Lone AF anda.

Prosedur maze

Diperkenalkan pada tahun 1987, ia merupakan rawatan pembedahan yang terbukti amat berkesan dengan cara ‘mengganggu’ corak elektrik yang menyebabkan degupan abnormal.

Prosedur maze bagaimanapun terlalu kompleks, mengambil masa kira-kira tiga jam dan hanya boleh dilakukan oleh segelintir pakar sahaja.

Pakar akan membuat tebukan di tengah-tengah dada. Oleh kerana jantung anda diberhentikan, mesin jantung paru-paru digunakan.

Pembedahan menggunakan sistem Cardioblate

satu peranti pembedahan baru telah direka bagi membolehkan pakar bedah mengubahsuai prosedur maze tanpa perlu memotong dan menjahit tebukan yang dilakukan.

Tanpa menggunakan skalpel dan sutur untuk memotong dan membaik pulih otot jantung, pakar bedah menggunakan alat seakan-akan sebatang pen, dipanggil pen Cardioblate untuk melukis garisan yang diperlukan untuk membuat parut yang akan menyekat laluan elektrik.

Selain pen, peranti Cardioblate bipolar mempunyai dua rahang yang boleh mengapit otot-otot jantung untuk membakar tisu bagi pembentukan parut yang lebih baik.

Pembedahan endoskopi

Teknik endoskopi yang baru ini hanya memerlukan bukaan invasif yang amat kecil, selamat dan berkesan dengan kadar kejayaan mencapai 90 peratus.

Ia bermanfaat kepada pesakit yang menghidapi Lone AF yang mempunyai gejala penyakit tersebut dan tidak dapat menerima rawatan dengan ubat antiaritmia.

Prosedur yang mengambil masa kurang sejam ini membolehkan pesakit pulang ke rumah sehari selepas pembedahan. Ia juga boleh dilakukan oleh mana-mana pakar bedah jantung walaupun dengan pengalaman torakoskopi yang sedikit.

One Response to AF, rentak jantung abnormal

  1. yana berkata:

    Terima kasih kerana memberi info perubatan yang lengkap kepada golongan seperti saya yang kebetulan menghidapi penyakit ini.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 344 other followers

%d bloggers like this: