Penghayatan Kemerdekaan Bukan Sekadar Laung Slogan

Oleh Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh

TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia tidak mengira usia, keturunan, bangsa dan agama.

Sebenarnya, perkara yang lebih utama dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara bagi semua rakyat Malaysia adalah menterjemahkan sambutan ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.

Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia juga bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan kemerdekaan yang dikecapi. Kesedaran kemerdekaan bukan saja bermakna tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan. Malah, lebih bermakna sedar bahawa kemerdekaan wajib dipertahankan kerana negara boleh dijajah kembali. Mensyukuri kemerdekaan bukan saja bererti gembira dengan kemerdekaan, malah memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas anugerah kemerdekaan yang begitu berharga ini.

Itulah yang perlu dilakukan oleh generasi pascamerdeka iaitu menghayati, menyedari dan mensyukuri kemerdekaan yang tidak ternilai harganya ini. Hakikatnya, generasi hari ini tidak melalui kesusahan, kepayahan dan kegetiran zaman sebelum merdeka, baik zaman penjajahan Inggeris mahupun zaman pendudukan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Generasi pascamerdeka hanya mengetahui zaman sebelum merdeka daripada buku sejarah. Mungkin kerana tidak dapat menghayati sendiri erti kemerdekaan sebenar, maka ada generasi pascamerdeka yang mengambil mudah sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Ada yang menganggap tarikh 31 Ogos cuti umum semata-mata. Hal ini sangat menyedihkan kerana ketiadaan penghayatan kemerdekaan yang sebenar boleh mengundang penjajah kembali ke negara kita.

Kita perlu sedar bahawa penjajahan yang boleh berlaku ini tidak lagi sama bentuknya seperti penjajahan ketenteraan suatu masa dulu. Penjajahan bentuk lama ini masih lagi boleh berlaku seperti yang dilihat di sesetengah negara. Hakikatnya, penjajahan bentuk baru lebih berbahaya. Perkara ini kerana ia berlaku secara halus, tersembunyi dan tidak disedari. Antara bentuk penjajahan bentuk baru ialah penjajahan pemikiran, budaya dan ekonomi. Atas sebab ini, maka generasi pascamerdeka ini perlu lebih berhati-hati berbanding generasi terdahulu.

Serangan ketenteraan dapat dilihat dan ditentang kembali. Persoalannya jika serangan yang dilakukan itu dalam bentuk serangan pemikiran, budaya dan ekonomi, bagaimana mungkin menangkisnya?

Generasi pascamerdeka yang diracuni pemikiran menerusi penjajahan bentuk baru akan memperjuangkan nilai Barat yang bertentangan dengan nilai Islam dan ketimuran. Hakikatnya, peradaban Barat sudah mula terhakis nilai murninya. Tidak wujud lagi sebenarnya peradaban Barat, yang ada mungkin adalah ‘perbiadapan’ Barat yang menjunjung nilai songsang dengan merosakkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Keracunan pemikiran akibat penjajahan bentuk baru ini seterusnya boleh menyebabkan pencemaran budaya. Rakyat Malaysia bangga dengan kepelbagaian budaya dan adat resam pelbagai bangsa. Keunikan ini boleh terhakis jika penjajahan budaya yang terkesan daripada proses globalisasi membawa masuk budaya negatif yang membawa kerosakan.

Penjajahan ekonomi juga tidak kurang bahayanya. Mengimbas kembali kegawatan ekonomi pada tahun terakhir 1990-an, kita bersyukur kerana tidak membuat kesilapan yang sama seperti negara lain di rantau Asia Timur dengan menerima ‘ubat’ yang ditawarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia.

Apa yang disangka ‘ubat’ sebenarnya ‘racun’ yang dijadikan senjata untuk mengawal dan mengongkong kedaulatan sebuah negara merdeka.

Islam sebenarnya memberikan beberapa pendekatan yang mampu untuk memastikan kelangsungan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara. Pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh generasi pascamerdeka yang juga majoriti penduduk Malaysia hari ini. Di atas bahu generasi inilah terletaknya amanah dan tanggungjawab untuk memastikan agar negara terus merdeka dan makmur.

Islam turut menganjurkan kita mempersiapkan diri, masyarakat dan negara dengan segala jenis kekuatan. Dalam kata lain, kekuatan yang perlu dibina itu bukan saja da ripada aspek ketenteraan, malah ekonomi, politik, sosial dan ilmu pengetahuan. Hanya dengan kekuatan dalaman yang dapat membantu mempertahankan kemerdekaan negara.

Aspek perpaduan juga perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh generasi pascamerdeka. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Antara seorang Mukmin dengan seorang Mukmin yang lain adalah seperti sebuah binaan, di mana satu bahagian memperkukuhkan bahagian yang lain.”

Jika diterjemahkan hadis ini dalam konteks Malaysia, jelas bahawa kita perlu mewujudkan kesepaduan dan kesepakatan jitu. Jika berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri, nescaya akan memudahkan pencerobohan musuh ke atas negara tercinta.

Penting bagi generasi pascamerdeka untuk menghayati dan memahami sejarah silam. Kejatuhan Empayar Melayu Melaka kerana perselisihan dalaman dan perebutan kuasa. Akibatnya Portugis menyerang dan berjaya menjajah Melaka. Bermula dari detik hitam pada 1511 itu, negara terpaksa menunggu 446 tahun sebelum kembali merdeka.

Kita mengambil masa 446 tahun lamanya untuk kembali merdeka. Kini kita baru merasakan nikmat kemerdekaan ini selama 51 tahun. Sanggupkah kita menggadainya sekali lagi?

PENULIS ialah Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia

One Response to Penghayatan Kemerdekaan Bukan Sekadar Laung Slogan

  1. Primeena berkata:

    Thank you for this wonderful article.. This article gave me a lot of ideas on how to appreciate the national day and also.. it did help me to write an essay about Independence day and its importance. Thank You :)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: