Persediaan teknik hanyut umpan

Julai 30, 2008

Teknik menghanyut umpan sesuai untuk menjerat ikan yang gemar bermain di permukaan seperti ikan layar, mersuji, tenggiri, alu-alu, todak dan tidak spesies jemuduk, cupak, gerong belang, cermin mahupun ebek.

Oleh kerana sebahagian besar ikan yang memburu di permukaan memiliki gigi yang tajam maka perambut dawai amat disyorkan. Jika memancing di atas bot, hanya pemancing di belakang yang mempunyai kelebihan teknik menghanyut umpan berbanding pemancing di hadapan.

Antara peralatan utama selain kekili sama ada terbuka atau multiplier dan joran, mata kail jenis Octopus atau jenis yang khas untuk umpan hidup disyorkan. Mata kail terkini yang digunakan ialah ‘circle hook’ atau ‘suicide hook’ untuk melindungi spesies ikan layar, mersuji, yu dan todak.

Penggunaan belon perlu jika arus lemah dan persekitaran berangin. Jarak umpan dengan belon kira-kira 7 depa (8 meter) jika berhajat memancing tenggiri.

Jika arus deras, memadai kita terus hanyutkan umpan tanpa pemberat atau belon. Ladung kecil digunakan sekadar untuk menenggelamkan umpan pada kedalaman tertentu. Teknik menghanyut juga perlu menggunakan perambut panjang lebih 5 depa (4 meter) sebelum perambut dipasang cili yang tahan tekanan.

Jika umpan hidup satu mata kail 5/0 lebih efektif dipasang manakala umpan mati pula ramai memilih untuk menggunakan dua atau tiga mata kail sederhana besar.

Kekili yang digunakan mestilah tip-top, lancar pergerakan gegelung dan sistem brek, mempunyai sistem penggera serta dapat menampung tekanan dan haba melampau secara tiba-tiba apabila bertarung dengan mangsa.


Makan tempe boleh ‘mandul’

Julai 28, 2008

BOSTON: Lelaki mengamalkan diet sayur-sayuran berasaskan soya dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan itu apabila penyelidik mendapati ia berisiko menjejaskan kesuburan golongan itu dengan mengurangkan bilangan sperma.

Kajian mendedahkan, lelaki yang makan purata separuh makanan berasaskan soya menghasilkan bilangan sperma kurang berbanding mereka yang tidak memakannya. Di kalangan lelaki yang memiliki berat badan berlebihan atau obes, kesannya lebih nyata.

Kurang bilangan sperma diketahui menyukarkan lelaki menghamilkan isteri atau pasangannya.

Menurut penyelidik, bahan digelar isoflavones dalam soya yang menyerupai hormon seks wanita, oestrogen, dipercayai menjadi punca. Kajian ke atas haiwan mengaitkan pengambilan tinggi isoflavones dengan masalah ketidaksuburan.

Dalam kajian terbaru, penyelidik Amerika Syarikat mendapati lelaki yang mengamalkan pengambilan tinggi makanan berasaskan soya memiliki bilangan sperma jauh lebih sedikit berbanding lelaki yang tidak memakannya langsung.

Diketuai Dr Jorge Chavarro dari Jabatan Kesihatan Awam Harvard di Boston, mereka menyoal lelaki mengenai pengambilan 15 jenis makanan berasaskan soya. Ia termasuk tofu, tempe, sosej soya, burger, susu soya, keju, dadih dan ais krim, hasil soya seperti kacang panggang dan minuman.

Lelaki dalam kumpulan mengamalkan pengambilan paling tinggi diberi makanan berasaskan soya secara purata setengah hidangan sehari.

Kaitan antara pengambilan soya dan bilangan sperma lebih kuat di kalangan lelaki obes atau memiliki berat badan berlebihan, kerana tubuh mereka mengeluarkan lebih banyak oestrogen berbanding lelaki kurus, kata penyelidik. – Agensi


Cabaran penyusuan bagi ibu bekerja

Julai 28, 2008

“TAK cukup masa dan melecehkan,” itu antara alasan yang selalu diberikan oleh ibu- ibu bekerja ketika ditanya mengapa tidak memberi penyusuan badan kepada bayi mereka.

Bukan tidak cukup pengetahuan, siapa jua tidak menafikan kebaikan susu ibu yang tidak ternilai ini. Namun begitu, tuntutan kerja membuatkan kebanyakan ibu mengambil keputusan bertukar kepada susu formula.

“Bekerja bukan masalah untuk meneruskan penyusuan badan. Berapa ramai ibu yang bekerja telah berjaya menyusukan anak mereka, malah ada antaranya bekerja dalam sektor yang lasak namun tidak mempunyai masalah untuk terus memberi penyusuan secara eksklusif,” kata Ketua Jururawat dan Kaunselor Penyusuan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur, Marjinah Badli.

Menurutnya, tuntutan kerja bukanlah penghalang untuk ibu-ibu meneruskan penyusuan selepas habis berpantang asalkan mereka mempunyai niat dan keinginan yang tinggi.

Kemudahan yang ada ketika ini katanya, amat berkesan untuk membantu ibu-ibu meneruskan penyusuan biar pun mereka terpaksa berjauhan dengan bayi untuk beberapa ketika.

Katanya, masalah seperti susu tidak mencukupi, sukar melakukan penyimpanan dan pelbagai lagi boleh diatasi sekiranya ibu memperoleh pengetahuan yang sewajarnya.

“Perlu diingat, pengeluaran susu ibu adalah mengikut permintaan. Apabila tinggi permintaan, maka pengeluaran juga akan banyak.

“Sekiranya dari awal lagi kita memilih untuk memberi susu formula kepada bayi, maka badan telah memberi isyarat bahawa permintaan susu rendah lalu pengeluarannya pun menjadi berkurangan,” kata Marjinah yang telah terlibat dengan aktiviti penyusuan melebihi 20 tahun.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, beliau menasihatkan mula melakukan penyimpanan stok susu dalam masa dua atau tiga minggu sebelum kembali bertugas. Ketika ini juga katanya, ibu perlu melatih bayi mereka menerima penyusuan bukan daripada payudara untuk membiasakan keadaan apabila ibu mula bekerja kelak.

Namun, penyusuan ini harus diberi oleh orang lain (bukan ibu) kerana ingatan dan sensitiviti bayi sangat tinggi terhadap ibu mereka.

“Kalau ibu yang berikan, memanglah bayi tak akan minum,” jelas beliau.

Proses mengepam susu harus dilakukan oleh ibu bagi menyediakan stok sepanjang ketiadaan mereka kelak. Untuk permulaan kata Marjinah, jika ibu berjaya mengumpul tiga botol kecil susu sudah mencukupi.

Aktiviti mengepam perlu diteruskan oleh ibu sepanjang waktu bekerja bagi menghalang proses pengurangan susu. Ketika ini, pengetahuan dan kelengkapan yang mencukupi mampu menjayakan hasrat ibu untuk terus memberi penyusuan secara eksklusif.

“Sediakan peralatan yang mencukupi seperti alat mengepam susu, botol penyimpan, beg penyejuk (cooler) dan pek ais beku,” katanya.

Menurut Marjinah, Pusrawi sangat menggalakkan ibu-ibu yang melahirkan bayi untuk memberi penyusuan anak secara eksklusif. Sekitar 60 peratus ibu yang memilih untuk bersalin di pusat rawatan itu katanya, berjaya melakukan penyusuan secara eksklusif selama enam bulan dan diteruskan sehingga dua tahun. Malah kakitangan Pusrawi juga digalakkan memberi penyusuan badan di mana bilik khas untuk mengepam susu turut disediakan.

Mengapa susu ibu?

“Susu ibu adalah manisan syurga kurniaan Allah SWT pada ibu-ibu untuk diberikan kepada anak mereka. Ia mengandungi kolostrum bermanfaat yang bertindak sebagai imunisasi bagi bayi dalam masa satu jam pertama selepas dilahirkan,” kata Marjinah.

Malah dalam surah al-Baqarah ayat 233, Allah SWT berfirman bahawa, “Para ibu hendaklah menyusukan anak- anak mereka selama dua tahun penuh iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”

Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu turut menggalakkan semua ibu menyusukan anak dengan susu ibu selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun.

Menurut Marjinah, susu ibu adalah makanan istimewa yang menjadi penyambung silaturahim antara bayi dan ibu, membuatkan bayi berasa selamat dalam dakapan ibu dan mengesahkan bahawa itulah ibu yang melahirkannya.

“Pertama kali menyentuh puting payudara, mulut bayi akan menolak ke kanan ke kiri lalu meluahkan semula. Tapi ibu jangan berputus asa, teruskan memberi penyusuan dan selepas itu bayi akan menerima, ketika itulah kasih sayang antara ibu dan bayi terjalin,” katanya.

Keistimewaan susu ibu, kata Marjinah memanglah tidak ternilai. Ia jauh lebih baik dan selamat berbanding susu formula yang boleh mengundang pelbagai masalah kepada bayi. Pelbagai khasiat yang diperlukan oleh bayi sepanjang tumbesaran terdapat dalam susu ibu. Menurut penyelidikan yang dijalankan, anak-anak yang diberi susu ibu secara eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun mempunyai tahap IQ yang tinggi serta mempunyai antibodi melawan penyakit yang kuat.

Berbanding susu formula yang penyediaannya merumitkan, susu ibu sedia diberi tidak kira masa memandangkan suhunya yang terkawal dan kebersihannya yang terjamin.

Selain manfaat kesihatan untuk bayi, penyusuan badan juga berupaya mengecutkan rahim ibu sekali gus membantu mereka menguruskan badan dengan berkesan.

Dari segi ekonomi pula kata Marjinah, dalam keadaan semasa yang memaksa kebanyakan keperluan harian meningkat, harga susu formula yang terdapat di pasaran juga turut melambung.

“Bayangkan satu tin susu formula dengan berat satu kilogram berharga sekitar RM50. Setiap bulan sekurang-kurangnya empat tin diperlukan, itu sekiranya mempunyai seorang bayi, bagaimana jika lebih?” soal beliau.

Bagi ibu bekerja yang ingin menyusukan anak mereka, Marjinah menasihatkan agar pertama sekali memasang niat yang betul dan perlu yakin dengan kemampuan diri.

“Dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang ini dan perlu jaga pemakanan. Sekarang ini bukan lagi zaman ibu berpantang makan ikan masin salai dengan nasi bersama lada hitam. Ibu perlu pemakanan seimbang untuk menyusukan bayi,” katanya.

Utusan Malaysia (ARKIB : 27/07/2008)


Menggalakkan Anak Membaca

Julai 26, 2008

BUDAYA membaca seharusnya bermula dan disemai sejak anak masih kecil. Ibu bapa yang prihatin seharusnya mempunyai pandangan yang kritis terhadap budaya dan tabiat membaca anak mereka apatah lagi ramai yang mahukan anak mereka berjaya.

Untuk itu, usaha haruslah seiring dengan keinginan. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah menjadikan anak sebagai ‘ulat buku’.

Tidak semua anak dilahirkan bijak. Kebanyakan anak dididik untuk menjadi bijak manakala kesannya hanya boleh dilihat dan dinilai setelah beberapa tahun.

Membaca cerita adalah salah satu cara yang penting bagi ibu bapa membantu anak mereka belajar membaca. Apa saja jenis buku boleh dibaca asalkan sesuai dengan peringkat usia mereka.

Menggunakan ekspresi gaya terutama sekali suara, pasti anak akan cepat ‘menangkap’ dan kadangkala terkejut dengan reaksi yang diberikan.

Bagaimana ibu bapa hendak membantu anak ke arah melahirkan masyarakat membaca?

Beberapa saranan berikut boleh dijadikan panduan untuk menyemai budaya membaca di kalangan anak-anak dan mungkin berguna buat ibu bapa.

* Biarkan anak melihat anda membaca sebagai satu keseronokan.

Jangan memaksa anak membaca jika mereka tidak suka. Namun, sedaya mungkin cuba terapkan amalan suka membaca dalam diri mereka menerusi pelbagai bahan bacaan termasuk buku dan akhbar.

* Galakkan anak anda membaca kepada anda.

Apabila anak berbuat demikian, jangan lupa memuji usahanya itu. Walaupun nampak kecil, ia amat berharga untuk si kecil. Sesekali, cuba mencari bahan bacaan dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab serta galakkan mereka menguasai dua bahasa berkenaan.

* Tunjukkan benda sekeliling anda yang ada tanda tulisan.

Sewaktu menaiki kenderaan, tentu banyak papan tanda yang mempunyai tulisan. Sambil duduk di dalam kereta, apa salahnya meminta anak membacakan untuk anda atau anda boleh membacakannya untuk mereka.

Ia umpama galakan untuk mereka. Selain persekitaran di jalan raya, tulisan pada bungkusan makanan dibeli pun boleh dijadikan perantara untuk menggalakkan si kecil membaca.

* Simpan bahan bacaan dan tulisan di tempat yang mudah diambil.

Buku, majalah, pensil dan kertas harus disimpan di tempat yang mudah untuk mereka ambil.

* Jangan jadikan waktu membaca sebagai ugutan.

Jika anak-anak anda menunjukkan tanda kurang berminat untuk membaca, jangan memaksa mereka membaca. Cuba jadikan masa membaca masa yang menyeronokkan supaya anak dapat memupuk minat membaca.

Jangan jadikan masa membaca seolah-olah masa yang menggerunkan. Dikhuatiri, si kecil itu lari daripada tabiat suka membaca dan cuba mencari inisiatif lain.

* Jangan membandingkan anak anda dengan kanak-kanak lain.

Tahap keupayaan anak tidak sama walaupun mereka adik-beradik sekalipun kembar seiras. Ada antara mereka cepat menerima apa yang diajar dan sebaliknya.

Kadangkala anak pintar tidak menunjukkan prestasinya sekarang tetapi menonjol pada masa akan datang.

Tidak perlu membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain walaupun anak ada kelebihan tersendiri. Setelah ibu bapa berusaha yang terbaik untuk anak-anak, berdoa dan bertawakal.

* Merangsang semangat membaca anak dengan hadiah.

Kaedah menghormati anak ini dapat mendorong mereka untuk melakukan perbuatan baik. Imam Ghazali dalam Juz 3 Ihya Ulumuddin, berkata: “Jika tampak pada diri anak kecil budi pekerti yang bagus dan perbuatan terpuji, sangat perlu anak itu dihormati dan diberi hadiah yang menggembirakannya. Dia juga boleh dipuji di hadapan orang untuk mendorong supaya selalu berbudi pekerti baik dan berperi laku terpuji.”

* Menyiapkan suasana selesa, lingkungan yang bersih dan menyenangkan, pemandangan memikat, cahaya mencukupi dan peredaran udara nyaman kerana perkara itu dapat membantu membangkitkan minat membaca anak-anak.

* Menyediakan buku yang pelbagai untuk anak.

Ibu bapa boleh mengambil inisiatif untuk mewujudkan perpustakaan kecil di rumah. Apabila anak-anak mendapati ada buku yang diperlukan di hadapan matanya, maka dia akan membaca buku dengan lebih bersemangat.

* Berikan pemahaman kepada anak bahawa waktu bagaikan pedang. Tugasan itu lebih banyak daripada waktu dan apa yang tidak diketahui itu lebih banyak daripada yang diketahui.

- Metro


Setiap ujian ada ganjarannya

Julai 25, 2008

SAYA berasal daripada keluarga yang bercerai berai. Abang dan saya sudah berumah tangga kecuali abang sulung. Selepas percerian ibu, kami adik-beradik dipelihara oleh ibu dan tinggal di rumah nenek bersama pakcik bongsu dan keluarganya.Masalah saya ialah:

1. Ibu saya menjalinkan hubungan dengan suami orang sejak beberapa tahun lalu, puas kami menasihatinya. Baru-baru ini, isteri lelaki itu terserempak dengan mereka dan baru saya tahu yang selama ini isterinya tidak mengetahui perhubungan tersebut. Sebagai seorang anak saya telah menasihatinya, namun ibu saya masih berdegil dan ingin meneruskan perhubungan. Ustaz bagaimana caranya yang boleh dilakukan?

2. Setahu saya isteri harus mentaati suaminya. Dan jikalau suatu hari nanti suami saya memberikan kata dua kerana tidak tertahan dengan ibu saya, haruskah saya menurut permintaannya?

JAWAPAN

1) Setiap manusia diberi ujian oleh Allah SWT. Cuma ujian tersebut berbeza-beza antara kita. Ada ujian kesakitan, ada ujian kesengsaraan hidup, ada ujian kemewahan, ada ujian berhadapan dengan musuh dan lain-lain. Pertama sekali, kita berusaha meyakini bahawa ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu sebenar mampu kita hadapi jika kita memahami tunjuk ajar agama. Kedua, kita perlu memahami bahawa Allah menjanjikan ganjaran jika kita dapat melalui ujian masalah yang kita hadapi dan menyelesaikannya dengan baik.

Dengan kata lain, ia adalah peluang kita untuk mencari penyelesaian berdasarkan petunjuk Allah dan mendapat habuan dari-Nya terhadap usaha kita. Soal berjaya diselesaikan atau tidak, itu bergantung pada hidayah dan kehendak Allah. Maka selain dari usaha dan nasihat, kita juga perlu meminta dan berdoa kepada Allah SWT bersungguh-sungguh.

Latar belakang keluarga saudari memperlihatkan suasana dan cabaran yang dihadapi oleh ibu saudari. Sebagai manusia dan perempuan, dia juga memerlukan kasih sayang seorang lelaki. Apatah lagi setelah sekian lama perkara tersebut tidak dirasainya. Tidak ramai manusia yang mampu menjalani hidup bersendirian tanpa kasih sayang, walaupun ada. Mereka yang telah melalui hidup tanpa kasih sayang pun, belum tentu dapat bertahan selama-lamanya. Apatah lagi bila ada peluang dan insan yang datang bertandang. Oleh kerana saya tidak mengetahui secara terperinci hubungan ibu saudari dan ‘kekasih’nya, saya melihat ada dua jalan pilihan.

Pertama, ibu saudari perlu diberi peluang mendalami ilmu-ilmu agama secara tersusun. Nasihat dan peringatan yang kita beri mungkin tidak memadai. Manusia yang bermasalah mahupun yang tiada masalah besar perlu didekatkan kepada agama. Dengan mendalami agama, jiwa manusia akan terisi. Ditambah lagi dengan amal ibadah dan rasa cinta kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta kita, jiwa manusia akan lebih tenang. Carilah guru, ruang masa dan tempat pengajian yang sesuai untuk ibu saudari, sama ada di surau, masjid atau kelas agama khusus untuk wanita. Aspek yang perlu untuk ibu saudari adalah ilmu fiqah yang berkaitan batas-batas pergaulan dan ilmu tasawuf yang dapat mengisi jiwa. Jika tiada pun, pengajian hadis seperti Riyadus Salihin juga sesuai. Asalkan pengajian itu berterusan. Jika ini dapat diusahakan, saya yakin akan ada sedikit sebanyak perubahan dalam dirinya.

Kedua, ibu saudari perlu diberi peluang untuk memenuhi tuntutan jiwanya. Dalam fikah Islam, ada bab ‘i’faf’ yang membincangkan tentang perlunya anak memelihara maruah bapa dengan mencarikan isteri untuknya. Bahkan ia termasuk dalam kewajipan anak terhadap ibu bapanya. Begitu juga soal menjaga maruah janda dan balu demi memelihara mereka daripada dosa dan maksiat.

Jika ibu saudari tidak dapat menghentikan perhubungan tanpa ikatan syariat itu, saudari dan keluarga perlu berusaha mencari jalan untuk menjadikan hubungan mereka sah dari sudut agama (dengan mengahwinkan mereka).

Itu adalah jauh lebih baik dari bergelumang dengan maksiat. Soal yang lebih besar bukan lelaki itu suami orang, tetapi pergaulan yang tidak diharuskan agama. Masyarakat kita mungkin agak sensitif tentang hubungan dengan suami orang atau merampas suami orang, tetapi agama mengharuskan perkahwinan dengan suami orang.

Walaupun hubungan itu bermula dengan cara yang tidak baik, tetapi ia tidak menghalang perkahwinan yang baik berlaku.

Dalam satu kejadian, sepasang lelaki dan perempuan pada zaman Nabi SAW telah berzina dan akhirnya bernikah. Lalu Nabi SAW menyebut: “Awalnya sifah (perbuatan haram) dan akhirnya nikah. Perbuatan haram tidak mengharamkan pekerjaan yang halal.” Diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dan al-Daruqutni.

Menegur ibu untuk kebaikan tidak dianggap berdosa kerana perintah Allah supaya mentaati ibu bapa tidak termasuk dalam perkara yang bercanggah dengan agama. Demikianlah pernah dilakukan oleh seorang gadis pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Ketika beliau meronda pada waktu malam, kepenatan lalu berehat di dinding sebuah rumah, Umar mendengar dialog seorang anak gadis dengan ibunya. Si ibu mengarahkan anak gadisnya supaya mencampurkan susu yang mereka hendak jual keesokan pagi dengan air. Bila dibantah oleh si anak, ibunya menjawab: “Semua orang melakukannya dan khalifah pun melihat perkara ini.” Lalu gadis tadi menjawab: “Walaupun khalifah tidak melihat, tetapi Tuhan khalifah melihat.” Lalu ibu tadi insaf dan beristighfar. Umar yang takjub dengan ketegasan anak gadis lantas meminangnya untuk dikahwinkan dengan anaknya sendiri.

2) Tindakan menjaga ibu sendiri adalah terpuji dan sangat baik. Mentaati suami juga wajib bagi seorang isteri walaupun melibat soal keluarga sendiri. Demikianlah Islam meletakkan ketaatan seorang isteri (perempuan) kepada suami (lelaki) dan seorang anak (lelaki) kepada ibu pula (perempuan). Jika ditakdirkan itu kehendak suami saudari, ia perlu dituruti. Namun, masih ada ruang untuk berbincang dan sama-sama mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Carilah jalan tengah. Bak kata pepatah, menarik rambut dari dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tidak berselerak. Usaha saudari dan suami menyelesaikan masalah ibu tadi akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT. Bahkan kesabaran dalam usaha itu juga ada ganjarannya.

Begitu juga sabar melihat pandangan serong orang lain dan mendengar kata-kata orang tentang masalah ibu saudari, ada pahalanya. Apa yang penting, saudari dan suami tidak membiarkannya walaupun orang lain tidak tahu apa yang kalian usahakan. Mudah-mudahan saudari dan suami diberi ilham oleh Allah SWT untuk menyelesaikan masalah itu dan ibu saudari diberikan hidayah oleh Allah.