Usah beza kasih

Jun 7, 2008

BUKAN mudah berlaku adil pada semua anak. Sama ada disedari atau tidak, ada ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang antara anak mereka.

Kasih sayang dan perhatian ibu bapa mungkin lebih ditumpahkan kepada anak yang lebih cerdik, cantik atau rajin.

Islam melarang ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak, sebaliknya bertanggungjawab mendidik, mengajar dan memberi sesuatu dengan adil kepada setiap anak.

Panel dakwah dan pendidik, Wan Akashah Wan Ab Hamid, berkata antara kesalahan yang kebanyakan ibu bapa lakukan sejak dulu ialah membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak mereka.

Katanya, larangan membezakan kasih sayang terhadap anak pasti bersebab dan ada hikmahnya. Sebagai manusia biasa, ada kalanya kita tidak dapat melihat kesan tindakan itu pada masa akan datang.

“Anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang biasanya berasa kehilangan tempat berpaut dan perlindungan, malah rasa tidak diperlukan lagi dalam sesebuah keluarga. Mereka sentiasa memendam rasa dan sering memikirkan kekurangan diri di samping tertanya-tanya sebab yang membuatkan ibu bapa tidak menyayangi mereka.

“Kesannya, anak yang kurang diberi perhatian dan kasih sayang akan berasa iri hati, dengki, rendah diri, benci dan dendam terhadap adik-beradik lain serta ibu bapa mereka.

“Situasi itu pasti menimbulkan permusuhan antara adik-beradik kerana tiada penyatuan jiwa antara satu sama lain,” katanya.

Anak yang berasa tersisih menjadi sensitif dan mempunyai sifat ingin membebaskan diri jika menghadapi tekanan dalam diri mereka.

“Yang dibimbangkan ialah, anak yang meningkat remaja ini melakukan tindakan tidak diingini atau terjebak dengan gejala sosial. Anak lelaki akan memberontak dengan melakukan aktiviti tidak sihat seperti merokok, menghisap dadah dan keluar malam, manakala anak perempuan akan memendam perasaan sehingga boleh bertindak membunuh diri, benci diri atau lari dari rumah,” katanya.

Berlainan halnya dengan anak yang mendapat kasih sayang ibu bapa. Disebabkan berasa diri lebih disayangi ibu bapa, mereka mungkin bersikap bangga, ego dan suka bermegah diri di depan adik-beradik lain.

“Bagaimanapun, anak yang mendapat perhatian ini tidak terlepas daripada kesan negatif yang sering mempengaruhi kehidupan mereka seperti terlalu manja, suka mengadu dan kurang hormat terhadap adik-beradik lain.

“Mereka juga sering mempamerkan sikap negatif seperti suka tinggi diri, suka berhias dan minat kepada peralatan mewah. Ini adalah kesan tindak tanduk ibu bapa yang suka memberi layanan berat sebelah di antara anak mereka,” katanya.

Kata Wan Akashah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan dan sabar menanggung mereka, dan memberi pakaian kepada mereka, mereka akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.”

“Maksud hadis itu jelas menunjukkan Islam melarang ibu bapa membeza-bezakan anak, malah mendapat ganjaran tidak ternilai daripada Allah SWT jika berlaku adil kepada semua anak mereka.

“Mungkin ada ibu bapa tidak sengaja melakukan perkara seperti itu tetapi mereka harus sedar, kehadiran anak adalah aset yang perlu dijaga supaya mendapat pulangan baik apabila mereka tiada lagi di dunia,” katanya.

Beliau berkata, anak perlu dididik secara sama rata dan dengan penuh kasih sayang. Sikap adil ibu bapa dalam memberi kasih sayang kepada anak mereka akan membuahkan hasil yang baik.

Keadilan yang dipaparkan membuka ruang kepada kehidupan sekeluarga yang dipenuhi kasih sayang, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi.

“Ada anak berumur belasan tahun datang mengadu kepada saya, ibu bapanya sentiasa membezakan dia dengan kakaknya yang cemerlang dalam setiap peperiksaan, sedangkan pencapainya ala kadar saja.

“Dia berasakan dirinya tercabar, ini kerana bukan setakat membandingkan pencapaian peperiksaan, malah layanan juga dibezakan daripada sudut kasih sayang, kemesraan dan pemberian sempena hari jadi. Biasanya hadiah hari jadi kakaknya sentiasa dapat tepat pada masanya, tetapi hadiah hari jadinya selalu dilewat-lewatkan oleh ibu bapa. Kecewa dengan tindakan itu, dia melakukan perkara tidak baik tanpa pengetahuan ibu bapanya,” katanya.

Kaedah pendidikan yang harus diamalkan ibu bapa untuk anak mereka:

Ibu bapa hendaklah menasihati anak dengan cara yang baik dan jangan buka rahsia mereka.

Larang anak membuat sesuatu secara sembunyi-sembunyi kerana perbuatan begini selalunya ada yang buruk.

Beri galakan kepada anak untuk bersukan atau bersenam untuk menjaga kesihatan badan.

Nasihati anak supaya usah suka bangga diri.

Galakkan anak memberi sedekah kepada kawannya yang miskin, tetapi jangan biasakan mereka menerima sesuatu daripada orang lain kerana ia sifat yang dicela.

Anak diajar supaya berbudi pekerti mulia.

Jangan galakan anak suka bersumpah kerana tabiat ini adalah hina pada mata masyarakat.

Larang anak bercakap kotor atau kosong, mengeji dan menghina orang atau mengumpat.


Jalinan cinta dua planet

Jun 6, 2008

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Konflik dalam sebuah perhubungan tidak akan berakhir sekiranya timbul perbezaan pendapat dan cara komunikasi antara pasangan.

CUBA bayangkan kisah percintaan seorang lelaki yang didatangkan dari sebuah planet Marikh dan pasangannya dari planet Zuhrah.

Suatu hari, lelaki Marikh telah mengintai seorang wanita Zuhrah menerusi teropong teleskop miliknya, bagi tujuan menerokai sejauh manakah cinta seorang wanita Zuhrah terhadapnya dengan sepintas lalu.

Dalam misi pengintipannya, dia mula memperoleh kepastian bahawa mereka saling menyintai antara satu sama lain. Menganggap cintanya akan datang sekiranya dia mencari, lelaki Marikh terus menjelajah ke ruang angkasa untuk menemui wanita idamannya.

Percintaan yang dijalin di antara kedua-dua planet ini dianggap sebagai suatu kejadian yang aneh dan magis. Mereka bersetuju untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri dan berkongsi kehidupan bersama.

Hubungan dari dua dunia yang berbeza, dan mereka juga mengharung dua temasya perhubungan yang berlainan. Setelah bertahun-tahun melayari alam perkahwinan, mereka cuba meluangkan masa memahami, menerokai dan menghargai apa yang diinginkan pasangan. Lantas mereka membuat keputusan untuk turun ke planet Bumi.

Pada mulanya, semua perkara yang dilakukan indah-indah belaka, tetapi apabila tiba sahaja di muka bumi, mereka kemudiannya dilanda amnesia atau hilang ingatan.

Kedua pasangan Marikh dan Zuhrah terlupa akan kelahiran mereka dari planet yang berbeza dan kedua-duanya mengalami perubahan sikap.

Mereka mula memikirkan perbezaan kehendak dan diri masing-masing sehingga terpaksa melupakan segala memori indah yang berlaku antara mereka berdua selama ini. Akibat daripada permasalahan itu, Marikh dan Zuhrah ditimpa konflik dalaman yang besar.

Begitulah kisah percintaan kedua-dua pasangan itu yang dipetik menerusi buku Men Are From Mars, Women Are from Venus, oleh penulis John Gary.

Merujuk pada tajuk dan tip yang diketengahkan, sebuah bengkel khusus untuk pasangan suami isteri dan orang ramai telah diadakan di MPH Bookstore, pusat beli-belah 1 Utama, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

TEORI, kemahiran dan pelbagai jenis latihan serta tip mencipta hubungan yang lebih kreatif diperincikan di dalam buku ini.

Bengkel tersebut telah menggabungkan paparan klip video oleh pembentang, John Gary.

Turut ditampilkan ialah teori, kemahiran dan pelbagai jenis latihan serta tip mencipta hubungan yang lebih kreatif.

Menurut pembimbing dari Mars Venus Success, Huey Hua, kisah percintaan antara kedua-dua planet yang berbeza itu sememangnya perlu dijadikan teladan kepada pasangan kekasih mahupun suami isteri.

Panduan yang dibukukan itu memberi pendedahan terhadap pasangan betapa pentingnya persefahaman dan komunikasi dalam sesebuah perhubungan.

Katanya, perhubungan yang sihat datangnya daripada hati, sikap dan perasaan seseorang. Setiap pasangan seharusnya mempunyai nilai dan identiti tersendiri yang akan membentuk ke arah kemantapan perhubungan.

“Paling penting, setiap pasangan perlu memahami isi hati pasangan dan menjadi seorang pendengar yang bijak dalam mencari jalan penyelesaian. Contohnya, sekiranya pasangan memberitahu hal yang berlaku ke atas dirinya atau meminta pasangannya memberi sebarang pendapat, jangan sesekali mengabaikan perhatian yang sedang dikemukakan.

“Bahasa badan seperti ekspresi muka akan memberi maksud yang mendalam terhadap pasangan anda. Pandang dan tatap wajahnya dengan tajam ketika dia mula berbicara tentang masalah yang dihadapinya. Ingat, walaupun disebabkan suatu perkara yang kecil berlaku, ia akan menjerumus ke arah satu perbezaan yang amat besar.

“Cara ini dapat menyakinkan si dia untuk menceritakan kisah sebenar yang berlaku dan berasa lebih dihormati dengan jawapan serta perhatian yang diberikan anda kepadanya,” ujarnya di dalam satu sesi yang diadakan di bengkel tersebut.

Sehubungan itu, katanya, sebelum melayari alam rumah tangga, setiap wanita seharusnya melatih diri memberi nasihat atau mengkritik pasangannya, demi mewujudkan hubungan yang lebih baik.

“Dengan cara ini, pasangan lelaki bukan sahaja akan menghargai pasangan hidupnya malah akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada anda.

“Bagi pasangan lelaki pula, mereka semestinya melatih diri menjadi seorang pendengar yang setia kepada pasangan mahupun teman-teman di sekeliling,” jelas Hua sambil menegaskan perbincangan mestilah dilakukan secara personal tanpa ada sebarang gangguan.

Menyentuh mengenai cara komunikasi yang berkesan, katanya: “Tidak dinafikan, medium komunikasi merupakan salah suatu elemen paling menyukarkan bagi pasangan untuk menempuhinya.

“Ia antara cabaran paling berat dalam sesebuah perhubungan percintaan sekiranya pasangan itu mempunyai perbezaan pendapat.

Mengambil contoh kisah perbezaan percintaan Marikh dan Zuhrah, mereka seringkali bertengkar sehingga membuatkan hati masing-masing hilang perasaan dan bukannya perhubungan.

“Komunikasi adalah elemen paling penting dalam menangani setiap perkara yang berlaku, manakala pertengkaran pula merupakan api yang mampu membinasakan sesebuah ikatan perhubungan.

“Tanpa memahami bagaimana perbezaan yang berlaku di antara Marikh dan Zuhrah, ia membuatkan kita berhadapan dengan pelbagai risiko pertengkaran yang bukan sahaja dengan pasangan malah dengan diri sendiri,” tambah Hua lagi.

Oleh itu, rahsia mengelak sebarang pertengkaran adalah jalinan percintaan sejati serta memiliki tahap komunikasi yang baik.


Kewajipan hidup berjiran

Jun 6, 2008

Oleh Kamil Majid

SOALAN:
Assalamualaikum. Saya mempunyai masalah yang telah lama bermain di fikiran. Jiran saya membuat rumah hampir-hampir melanggar sempadan dan saya kira terdapat sedikit bahagian yang telah masuk ke sempadan tanah rumah orang tua saya. Bahagian bumbung memang telah melebihi sempadan dan kadang-kadang sampah dari dapur mereka dibuang ke kawasan rumah saya.

Hati kecil saya sering mengatakan yang saya tidak menghalalkan seinci pun tanah yang dilanggar oleh jiran saya. Saya bercadang untuk membuat tembok batu bagi menggantikan pagar yang sedia ada yang rosak akibat tingkap yang dibuka oleh jiran saya. Soalan saya adakah jiran saya itu dikira berdosa besar dan bolehkah saya berniat tidak menghalalkan apa yang bukan hak jiran saya? Setiap malam apabila tidur saya cuba untuk memaafkan semua orang muslimin muslimat tetapi apabila mengenangkan jiran yang tidak peduli soal kejiranan ini hati saya semakin sakit tambahan pula orang tua saya tinggal keseorangan di kampung. Harap ustaz dapat beri panduan.

– Ingin Tahu, Yassir Lutfi

Jawapan: Hak berjiran adalah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Dalam Islam, jiran adalah mereka yang dekat dengan rumah kita. Dalam bahasa klasik disebut, 40 buah rumah ke kanan dan 40 rumah ke kiri, 40 ke atas dan 40 ke bawah.

Ukuran ini menjadi relevan dengan rumah pangsapuri dan flat pada hari ini. Malah kehidupan dalam sesebuah taman perumahan. Semua mereka itu adalah jiran anda.

Sebagai jiran kita, masing-masing ada kewajipan dan ada hak. Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, ada memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami, malah menganmalkannya:

(a) Jangan menyakiti jiran

Dasar ini memberi erti tidak boleh sama sekali melakukan zina, mencuri, mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran. Jadi perbuatan buruk terhadap jiran anda itu amatlah salah. Melakukan zina atau melakukan pencurian terhadap jiran sepuluh kali ganda lebih buruk daripada melakukannya kepada pihak lain. Hingga hadis Bukhari ada menyebut “Tidak beriman mereka yang menyakiti jiran.”

Manakah lagi satu perbuatan keji selain daripada berzina dengan anak jiran atau mencuri hak mereka. Ia boleh diibaratkan membuang najis ke dalam periuk nasi.

(b) Memelihara jiran
Setiap daripada kita wajib nmemelihara jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi s.a.w. mengingatkan “Siapa yang memenuhi hajat jirannya, Allah akan memenuhkan hajatnya.”

Kebalikan daripada kejahatan segala kebaikan hendaklah diberikan kepada jiran.

(c) Berbuat baik kepada jiran.
Dengan maksud jika jiran bergembira seperti dapat menantu, anak-anak lulus dengan baik dalam peperiksaan atau pelajaran, maka ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka kerana kematian keluarganya, berilah takziah, walaupun bukan seagama. Malah jika mereka ditimpai sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapalah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi Muhammad s.a.w. meletakkan mereka yang menghormati jiran itu sebagai tanda orang yang beriman.

Sebagai orang yang dekat, jiranlah tempat kita memohon pertolongan apa sahaja keperluan .Kepada jiran dalam perkara ini melebihi keluarga sendiri yang tinggal jauh. Jika habis air, garam,beras atau keperluan harian yang lain, maka jiranlah tempat mengadu, apa lagi di kampung. Jika ada kenduri kendara memerlukan kawasan, mangkuk pinggan, atau peralatan dapur, siapa lagi jika bukan jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan.

Sikap dan perbuatan jiran anda yang di sebut di atas, bertentangan sama sekali dengan itu semua. Namun bagi kita pula hendaklah mengambil sikap dasar seterusnya.

(d) Menanggung kejahatan jiran.
Kata pepatah Melayu ‘‘Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali”. Memang jika diikutkan hati yang panas, apa sahaja mahu dilakukan kepada jiran yang sebegitu rupa. Tetapi Islam meletakkan mereka yang membalas kejahatan jiran dengan kebaikan sebagai kedudukan yang paling mulia.

Rasulullah s.a.w selalu memuji orang yang berlapang dada, mudah memaafkan, memberi kepada mereka yang enggan berbuat begitu kepada kita, malah menghubung silaturrahim dengan mereka yang memutuskan silaturrahim.

Membalas kejahatan dengan kejahatan akan merosakkan perpaduan. Jika ada ruang untuk membaiki keadaan secara baik, itulah jalan paling selamat. Justeru itu kita dituntut memiliki perasaan bersabar dan tidak mudah jadi pemarah. Jangan bersikap panas baran

Dalam perkara ini pendidikan sejak awal perlu disemai, di mana setiap orang dididik agar tahu dan amalkan sikap berbaik-baik dengan jiran ini. Wallahualam.


Jimat cermat bawa berkat

Jun 5, 2008

BERBELANJA merupakan satu aktiviti kehidupan harian yang berkaitan langsung dengan aktiviti muamalah sesama manusia. Naluri manusia yang berkaitan dengan kehidupan kebendaan tidak dapat dipisahkan. Secara semula jadi, manusia mempunyai naluri sukakan harta dan kekayaan sebagai memenuhi keperluan dan perhiasan hidup.

Memenuhi keperluan hidup seperti makan, minum dan pakaian sebagai sebahagian satu keperluan. Bahkan ia menjadi satu aktiviti ibadah dan menjadi tuntutan agama agar kita sentiasa mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Dalam memenuhi tuntutan perbelanjaan, syaratnya mestilah betul dan berniat ikhlas. Berbelanjalah dalam perkara yang halal dan sentiasa bersyukur agar setiap perbelanjaan yang kita lakukan mendapat keberkatan.

Tentunya, kita perlu beringat bahawa apabila berbelanja, kita tidak boleh boros, tamak dan lupa melaksanakan tuntutan ibadah seperti leka dan meninggalkan sembahyang kerana asyik berurusan membeli-belah.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud : ‘Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah’. – Surah al-Jumaat: 10.

Agama Islam melarang umatNya bersifat malas dan miskin kerana ia boleh memberi beban kepada masyarakat dan adakalanya ia boleh membawa kepada kekufuran.

Sebagai pengguna, kita hendaklah bijak mengurus perbelanjaan. Pengguna yang bijak adalah pengguna yang sentiasa berjimat cermat dan mengambil berat untuk menabung, menyimpan atau melabur.

Elakkan diri daripada sentiasa memikirkan untuk berhutang dan kalau terpaksa berhutang, kita mestilah mengambil kira kemampuan untuk membayarnya semula. Kata orang tua ‘memadamkan kerak dengan periuk’.

Nabi Yusuf a.s ketika menjadi Menteri Kewangan Mesir meminta raja dan rakyat bercucuk tanam dan menyimpannya selama tujuh tahun sebagai keperluan untuk menghadapi musim kemarau, mala petaka dan kebuluran. Firman Allah: ‘Yusuf menjawab: Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam, biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.’ – Surah Yusuf: 47.

Sifat boros dan mengikut nafsu serta tidak bersyukur terhadap kurniaan Allah merupakan sifat yang dibenci Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: ‘Makan dan minumlah dan jangan kamu boros, sesungguhnya (Allah) tidak menyukai golongan pemboros.’ – Surah al-A’araf: 31.

Elakkan diri menjadi seorang pembazir kerana sifat demikian merupakan amalan buruk (amalan syaitan). Firman Allah yang bermaksud: ‘Sesungguhnya golongan pembazir adalah sahabat-sahabat syaitan.’- Surah al-Israk: 27.

Menurut al-Qurtubi, maksud sahabat syaitan adalah dari segi perlakuan buruk, membelanjakan harta terhadap perkara maksiat dan menunjukkan sifat kufur terhadap nikmat Allah s.w.t dan mengabaikan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Amalan tamak pula adalah sifat buruk dengan berbelanja mengikut perasaan, berlumba-lumba dan menonjol diri. Apa pun dalam berbelanja, sentiasalah kita amalkan sifat sederhana dan seimbang serta tidak kedekut.

Sementara itu, dalam berhutang pula, kita mesti ukur baju ikut badan sendiri.

Rasulullah s.a.w mengingatkan ini dalam sabdanya yang bermaksud: ‘Hati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan pada malam hari dan menyebabkan kehinaan pada siang hari.’- Hadis riwayat al-Baihaqi.

Dalam soal perbelanjaan, peniaga, pengusaha, pengedar dan pemborong hendaklah sentiasa menanam sifat adil dan ihsan serta bertanggungjawab memenuhi tuntutan sosial. Kejujuran dan kebenaran mestilah diutamakan dalam setiap urusan perniagaan.

Abu Hurairah pernah menceritakan, satu ketika Rasululah s.a.w berjalan dipasar dan melihat seorang penjual gandum. Baginda letakkan tangannya pada gandum itu dan mendapati tangannya basah. ‘Wahai penjual, apa yang terjadi kepada gandum ini ?’. Jawabnya: “Gandum ini basah terkena hujan.” Lalu Baginda bersabda: ‘Kenapa kamu tidak meletakkan gandum yang basah di bahagian atas agar pembeli tahu?. Orang yang menipu bukan dari golongan kami.’ Penipu adalah jalan ke neraka dan siapa yang mengamalkan sesuatu yang tidak sesuai dengan cara hidup Islam adalah dikutuk’.

Oleh Dr Amaludin Ab Rahman


Mencari Lelaki Idaman

Jun 4, 2008

Kebahagiaan dalam sebuah rumah tangga ibarat syurga yang menjadi idaman setiap pasangan. Jangan biarkan impian ini menjadi satu fantasi yang hanya bermain di alam mimpi.

Setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga mengharapkan kebahagiaan yang kekal abadi. Untuk mengecapi kebahagiaan ini, kita seharusnya meneliti dengan lebih mendalam tentang diri sendiri, pasangan dan perkara yang ingin dinikmati dalam sebuah rumah tangga.

Namun, impian ini hanya akan tinggal di bibir sahaja, sekiranya tidak disertakan dengan ilmu penghayatan, persefahaman atau dalam erti kata lain, ‘asal berharta, dia adalah pilihanku’.

Pemikiran ini mendekatkan lagi pasangan dengan satu keadaan yang kurang memuaskan sehingga boleh menimbulkan konflik dalaman rumah tangga.

Malah, ramai yang mengaitkan perkahwinan sebagai jodoh tanpa diundang. Justeru, setiap pasangan seharusnya mempertimbangkan banyak perkara sebelum memutuskan untuk berkahwin.

Intim minggu ini berkongsi tip memilih calon suami yang benar-benar layak bertakhta di hati kamu.

Kenapa salah pilih?

Salah memilih teman hidup sering berlaku dalam kalangan pasangan hari ini.

Sama ada terlalu cepat untuk memutuskan hubungan atau terlalu mempercayai cinta sejati jejaka pilihan, ia boleh mengundang kesalan di kemudian hari.

Sikap kurang matang dalam membuat pilihan hidup juga boleh menjadi punca keretakan rumah tangga yang dibina.

Ini mungkin kerana sebahagian besar pasangan mengenal erti cinta pada usia muda.

Perjanjian sehidup dan semati diputuskan ketika usia masih belum matang dan dalam kebanyakan kes, apa yang berlaku ialah hubungan seks ‘berjalan’ mendahului cinta.

Luaskan pergaulan

Sudah tentu kita memiliki impian untuk hidup bersama pasangan. Usia muda mengajar kita menikmati segala kehidupan indah di bumi nyata.

Jadi, luaskan pergaulan sosial dengan rakan-rakan dan masyarakat sekeliling sebelum memilih pasangan ideal.

Jadikan ia sebagai penjaring atau penapis dalam menentukan siapa yang layak menjadi teman istimewa dalam pergaulan. Ingat, lelaki ideal tiada jaminan untuk menjadi pasangan kamu. Ia perlu dinilai dari segi sikap, perasaan, hati dan tingkah lakunya.

Justeru, luaskan dahulu pergaulan tanpa ada sebarang ikatan sebelum hati terbuka untuk kamu mendapatkan calon pasangan yang benar-benar sesuai.

Bangkit keintiman

Cinta tidak semestinya indah tanpa mencalitkan sedikit keintiman di sudut hatinya. Keintiman dalam proses percintaan bermaksud saling mengenal, mempercayai dan menyesuaikan diri antara dua peribadi dari dua latar belakang yang berbeza.

Sekiranya kedua-dua pasangan menemui titik persamaan yang serasi, nyata dia adalah pasangan ideal dan sesuai menjadi hak milik kamu.

Hormati hak peribadi

Hukum seks bagi wanita adalah the point of no return. Dalam gelora seksual, wanita memiliki tabiat seks yang semula jadi. Ia akan tiba pada suatu titik di saat detik-detik libido sudah berada di kemuncak.

Sekali titik libido memuncak, yang tidak ingin terjadi akan berlaku juga. Oleh itu, hormati hak individu agar setiap hubungan yang dibina dipelihara hingga berakhir ke jinjang pelamin.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers