Penjagaan gigi ketika mengandung

KUNJUNGAN ke doktor gigi untuk pemeriksaan rutin adalah penting. Pakar pergigian menyarankan anda berkunjung ke doktor gigi dengan kerap dan pakar mencadangkan setiap enam bulan sekali. Jika boleh, kunjungilah doktor gigi anda sebelum mengandung supaya boleh menyelesaikan sebarang masalah pergigian sebelum mengandung.

Jika boleh, tangguhkan rawatan gigi dalam tempoh tiga bulan pertama mengandung. Tiga bulan pertama mengandung (13 minggu pertama) adalah tempoh kebanyakan organ dalaman bayi berkembang. Sekiranya anda mengunjungi doktor gigi ketika itu, katakan kepadanya anda mengandung dan hanya menjalani pemeriksaan dan pembersihan gigi. Namun begitu, jangan tunggu sekiranya anda mempunyai kecemasan seperti jangkitan di dalam mulut yang boleh membahayakan anda dan juga bayi.

Sekiranya anda menangguhkan untuk berjumpa doktor gigi pada trimester pertama atau kedua, kunjungilah pada trimester ketiga untuk memastikan mulut anda sihat. Dengan mengunjungi doktor gigi pada waktu itu, anda boleh mendapatkan nasihat lanjut langkah mencegah penyakit gigi selepas bayi dilahirkan.

Gingivitis ketika mengandung

Gingivitis ialah keradangan pada gusi yang disebabkan plak yang berkumpul di celahan antara gigi dan gusi. Plak ialah lapisan nipis tidak berwarna yang terdiri daripada 95 peratus bakteria. Pengumpulan bakteria itu boleh menyebabkan kehilangan tulang di sekitar gigi (periodontitis) dan seterusnya menyebabkan kehilangan gigi. Lebih daripada 50 peratus orang dewasa mempunyai gingivitis.

Kira-kira 60 ke 75 peratus wanita mengandung mengalami keadaan yang dipanggil gingivitis ketika mengandung. Ia disebabkan peningkatan kandungan hormon yang boleh memburukkan tindak balas plak di dalam mulut. Lebihan plak ini boleh menyebabkan bengkak, pendarahan, kemerahan dan keradangan pada gusi. Perubahan pada gusi mudah dikesan pada bulan kedua mengandung sehingga ke tahap maksima pada bulan kelapan. Untuk mengawal plak di dalam mulut dan mencegah gingivitis, berus gigi anda dengan kerap, sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk dua minit dan flos gigi anda setiap hari.

Mengapa kalsium penting?

Gigi kita terbentuk daripada mineral yang menyerupai tulang dan kalsium penting dalam pertumbuhan tulang pada bayi. Jumlah kalsium yang mencukupi akan menjadikan tulang anda kuat dan membantu pertumbuhan gigi dan tulang yang kuat pada bayi anda. Amalkan pengambilan sekurang-kurangnya 1,200 miligram (mg) kalsium setiap hari.

Antibiotik

Sesetengah antibiotik dan ubat penahan sakit boleh diambil ketika mengandung dan kadang kala diperlukan. Bagaimanapun, sejenis antibiotik, tetracycline dan yang berkaitan boleh menyebabkan hypoplasia (kebantutan) enamel gigi dan penyahwarnaan gigi kekal pada kanak-kanak. Pastikan anda memberitahu doktor gigi bahawa anda sedang mengandung sekiranya diberi antibiotik tersebut.

Dysgeusia – Perubahan deria rasa

Dysgeusia (dis-ju-ze-a) ialah keadaan lazim yang dialami semasa mengandung apabila seorang wanita itu mempunyai rasa kurang enak di dalam mulut. Keadaan ini disebabkan perubahan hormon semasa mengandung yang boleh mengubah atau menghilangkan deria rasa. Sesetengah wanita mempunyai rasa pahit atau metalik, sementara wanita lain kehilangan rasa untuk sesetengah makanan. Keadaan ini biasanya hilang semasa trimester kedua. Sekiranya anda mengalami dysgeusia, cuba amalkan kaedah tersebut:

l Berus gigi dengan kerap atau berkumur menggunakan campuran serbuk penaik dan air (1/4 sudu kecil serbuk penaik dalam 1 cawan air) untuk meneutralkan tahap pH.

l Campurkan lemon kepada air, minum lemonad atau kemam gula-gula sitrus.

l Gunakan pinggan mangkuk atau perkakas plastik untuk membantu mengurangkan rasa metalik.

Ptyalism – terlalu banyak air liur

Tahap hormon yang berubah-ubah boleh menyebabkan pertambahan air liur sewaktu mengandung. Keadaan terlalu banyak air liur dipanggil ptyalism (ti-a-lizm) yang berlaku ketika peningkata hormon estrogen. Ptyalism sering berlaku dalam keluarga dan keadaan mual pada waktu pagi menyumbang kepada masalah ini. Anda tidak mampu menelan dengan jumlah yang sama selepas muntah, seterusnya menyebabkan pengumpulan air liur. Namun terdapat kebaikan daripada keadaan ini di mana air liur mengurangkan jumlah asid yang dihasilkan bakteria penyebab pereputan gigi. Untuk merawat keadaan ini, minum banyak air untuk menggalakkan air liur ditelan. Menghisap gula-gula juga dapat membantu.

Fluorida dan kesihatan gigi

Fluorida ialah ion daripada fluorin yang membantu menguatkan enamel gigi. Ia kadangkala ditambah dalam ubat gigi, air minuman dan produk kesihatan gigi. Kebanyakan vitamin pranatal juga mengandungi fluorida. Sesetengah pengkaji percaya penambahan fluorida semasa mengandung memperbaiki pembentukan gigi pada bayi, namun tidak semua setuju dengan pendapat ini. Dapatkan nasihat doktor anda untuk maklumat lanjut.

Kecemasan gigi

Kecemasan gigi boleh berlaku sewaktu mengandung seperti rawatan pematian akar gigi (root canal), mencabut gigi, kaviti yang besar atau masalah yang disebabkan kemalangan. Masalah gigi yang serius perlu ditangani segera walaupun membawa risiko ketika mengandung, bagi mengelakkan komplikasi sampingan kelak.

l Anda mungkin tidak boleh menunggu untuk mendapatkan rawatan sekiranya mendapat jangkitan. Jangkitan yang tidak dirawat boleh membahayakan diri dan bayi anda.

l Antibiotik dan ubat penahan sakit mungkin diperlukan. Sekiranya anda memerlukannya, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Kebanyakan antibiotik dan ubat penahan sakit boleh diambil semasa mengandung.

l Berhati-hati sekiranya menggunakan bius semasa rawatan gigi. Sekiranya pembiusan umum (general anesthesia) diperlukan, pastikan ia dilakukan pakar bius yang mengetahui anda sedang mengandung.

l Imbasan Sinar-X mulut kadangkala perlu dan boleh dilakukan ketika mengandung. Abdomen dan pelvis anda perlu dilindungi dengan apron plumbum sebelum imbasan dilakukan. Sekiranya boleh, tunggu sehingga penghujung trimester pertama untuk menjalani sebarang rawatan gigi.

3 Responses to Penjagaan gigi ketika mengandung

  1. zurinawaty berkata:

    apakah makanan atau minuman lain yang boleh diambil ketika mengandung bagi membantu pertambahan kalsium dalam badan selain susu?

    Saya bukannya penggemar susu… apatah lagi susu segar…

  2. DRAKULA TA'DO GIGI berkata:

    TOPIC YG BAIK.TAK DO GIGI SELERA PUN HILANG,TARIKAN TAK MENARIK…

  3. chik berkata:

    zurinawaty~~chik dl doc bg tablet kalsium…lgpon skang nih kan ke byk dah tablet susu..amek tu je sng sket.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 351 other followers

%d bloggers like this: