Kaitan pil cegah hamil, kanser

Jun 30, 2008

SAYA ada mendengar beberapa perkara mengenai pil perancang, tetapi tidak tahu kebenarannya.
Adakah benar pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan kanser pangkal rahim jika diambil untuk tempoh yang lama? Adakah cara lain yang lebih selamat untuk mencegah kehamilan selain pil perancang? Apakah kesan sampingannya?
Adakah benar melakukan seks dengan kerap walaupun dengan hanya satu pasangan boleh menyebabkan kanser pangkal rahim?

MARIA
Kuala Lumpur

———

KINI, pangkal rahim atau pintu rahim lebih dikenali sebagai serviks. Benar ada kaitan antara pil pencegah kehamilan dengan insiden kanser serviks.

Ini berdasarkan kajian dulu yang melihat pesakit kanser serviks dan didapati lebih ramai yang pernah mengambil pil pencegah kehamilan berbanding yang tidak mengambilnya.

Maka, andaian asal adalah pil pencegah kehamilan menyebabkan kanser serviks.

Namun apabila dikaji dengan lebih lanjut, ada pendapat bercanggah mengenai hasil kajian ini memandangkan pesakit kanser serviks terbabit turut mengamalkan aktiviti seks berbilang pasangan dan mengambil pil itu untuk mencegah kehamilan.

Sebaliknya, pendapat yang menyokong hasil kajian asal mendebatkan teori kemungkinan hormon dalam pil pencegah kehamilan mengubah keadaan permukaan serviks sehingga mencetuskan pembentukan kanser.

Pil pencegah kehamilan adalah antara kaedah yang berkesan dengan syarat anda perlu mengambilnya mengikut peraturan.

Keunikan kanser serviks berbanding kanser lain ialah ia boleh dicegah kerana ia mempunyai suatu peringkat penyakit yang mudah dikesan dan jika penyakit ini dirawat, ia dapat mengelakkan kanser serviks.

Sebaliknya jika penyakit ini tidak dirawat, ia boleh berubah kepada kanser.

Penyakit ini dinamakan CIN (Carcinoma Intra-epithelial Neoplasia) yang boleh disaring menggunakan ujian pap smear dan jika disyaki, ia kemudian boleh disahkan melalui ujian histopatologi ke atas biopsi serviks.

Malangnya, di negara kita, masih ramai yang tidak menjalani ujian saringan pap smear ini.

PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat


Makanan cantikkan kulit

Jun 30, 2008

“SAYA ingin memperoleh kulit yang cantik dan berseri. Saya telah mencuba beberapa jenis krim penjagaan kulit yang berjenama tetapi hasilnya kurang memuaskan. Adakah cara lain untuk mencapai hasrat ini?”

JAWAPAN: Wanita mengalami banyak perubahan pada kulitnya seperti kekurangan penghasilan sebum, kehilangan keanjalan dan proses pemulihan semakin lemah akibat perubahan hormon yang bermula sejak usia baligh, kehamilan dan menopaus. Biasanya, kita menjaga kesihatan kulit secara luaran dengan penggunaan krim ataupun mengunjungi salun kecantikan untuk mencantikkan kulit.

Tetapi, mungkin kita tidak sedar bahawa vitamin, mineral dan asid lemak perlu (EFA) yang mencukupi juga diperlukan ke arah memperoleh kulit yang sihat dan cantik. Sebenarnya, apa yang dimakan lebih penting berbanding penggunaan produk secara luaran bagi mengekalkan kecantikan kulit.

Asid lemak Omega 6 daripada minyak evening primrose disarankan untuk kesihatan kulit. Kajian (oleh R.Muggli pada Ogos 2005) yang diterbitkan dalam International Journal of Cosmetic Science menunjukkan bahawa pengambilan tiga gram (gm) minyak evening Primrose Rigel setiap hari selama tiga bulan boleh melambatkan penuaan kulit.

Tumbuhan Rigel juga menghasilkan minyak yang mengandungi 33 peratus lebih Asid Gama Linolenik (GLA) sedangkan hanya dos yang lebih rendah diperlukan untuk pengekalan kulit sihat. Pengambilan minyak evening primrose memberi manfaat kepada kelembapan, kehilangan air, keanjalan, ketegangan, daya tahan dan kekasaran kulit.

kajianDengan itu, sekiranya anda inginkan pelembap dan produk rawatan diserap oleh kulit dengan lebih baik, pengambilan EFA adalah perlu. Beberapa kajian menunjukkan pengambilan EFA bersama antioksida seperti vitamin A, C dan E berkesan bagi memperbaiki kesihatan dan merawat masalah kulit termasuk dermatitis dan ekzema.

Vitamin A penting untuk kesihatan luaran dan dalaman kulit, vitamin C membantu pembentukan kolagen (fiber penyokong kulit) dan vitamin E merangsang pemulihan dan pembaikan tisu. Ia mencegah kerosakan sel dengan menghalang pengoksidaan lemak dan pembentukan radikal bebas. Kekurangan zink boleh melambatkan proses penyembuhan luka atau jerawat. Zink bersama vitamin E pula menggalakkan pemulihan tisu untuk kulit yang muda serta mungkin membantu masalah kulit yang berparut.

Untuk memastikan anda mendapat manfaat yang maksima, pengambilan nutrien antioksida memerlukan kombinasi yang lebih menyeluruh kerana kekurangan sesetengah nutrien akan menjejaskan kulit atau anda tidak akan memperolehi kesan yang sepatutnya. Dengan itu, pengambilan kombinasi beberapa nutrien antioksida yang mengandungi beta karotena, vitamin C, E, selenium dan zink dalam satu tablet merupakan langkah pencegahan daripada kerosakan radikal bebas.

Antioksida lazimnya boleh didapati dalam sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna terang seperti labu, tomato, bayam, sengkuang merah, karot, brokoli, betik dan jambu. Jika tidak pasti dengan diet anda, suplemen tertentu boleh menjadi pilihan.


Hati Kotor Hanya Boleh Dibersih Dengan Iman

Jun 30, 2008

SETIAP manusia dikurniakan Allah hati. Hati adalah seketul darah yang berperanan mengawal pergerakan jasad manusia. Jika hati seseorang itu bersih (daripada kekotoran dosa) maka jasadnya juga turut melakukan kebaikan, sebaliknya jika hati itu penuh dengan kekotoran dosa, maka ia akan mendorong seseorang itu melakukan perkara yang ditegah agama.

Keadaan hati, sama ada bersih atau kotor mempunyai pertalian rapat dengan keimanan dan ketakwaan individu.

Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah mengingatkan kepada umatnya mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud “Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati.”

Berdasarkan hadis itu, dapatlah kita gambarkan hati manusia yang rosak itu seumpama sebuah komputer yang mempunyai virus. Ia mengganggu sistem komputer dan mencacatkan penggunaannya. Begitulah juga hati, jika ia penuh dengan kekotoran dosa, maka seluruh badan akan rosak.

Di dalam al-Quran ada ayat yang menyentuh mengenai hati, tetapi melalui pelbagai istilah. Melalui ayat itu juga diterangkan hati dapat dijaga dan diubati hanya dengan bertakwa atau beriman kepada Allah.

Tanda takwa atau takut kepada Allah itu dapat dilihat dalam tujuh perkara;

Pertama, seseorang itu menjaga lidahnya daripada melakukan fitnah, mencela, mencaci, mengumpat dan sebagainya; Kedua, seseorang itu menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api yang memakan kayu; Ketiga, memelihara mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati.

Sebab itu janganlah melihat perkara terlarang demi untuk mendidik hati; Keempat, menjaga perut agar tidak diisi dengan makanan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi makanan yang haram berada di dalam tubuh kita.

Kelima, menjaga kedua-dua tangan supaya tidak digunakan untuk melakukan pekerjaan haram. Begitu juga kedua-dua kaki dipelihara supaya sentiasa melangkah untuk taat kepada Allah; Keenam, ketaatan dapat dilihat apabila seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah serta takut kepada sifat riak dan munafik.

Sesungguhnya hati dan hubungan kita dengan ketaatan terhadap Allah amat rapat. Sebab itu kita hendakah sentiasa berdoa meminta-Nya memelihara hati kita agar sentiasa taat kepada-Nya.

Hati amat penting, kerana apabila rosak ia menggambarkan pegangan agama kita juga turut rosak. Jika seseorang bersungguh-sungguh melaksanakan saranan memelihara anggota di atas, dia termasuk di dalam golongan orang muttaqin yang dijanjikan Allah dengan syurga.

Hati yang bersih dan luhur membolehkan seseorang menangkis segala godaan syaitan. Sebenarnya manusia menghadapi dua bisikan, iaitu bisikan syaitan dan bisikan malaikat.

Bisikan syaitan menggoda manusia. Jika syaitan berjaya menguasai hati, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi tidak takut kepada Allah. Seterusnya lahirlah manusia kejam, tidak berperikemanusiaan, pembohong, pemfitnah dan sebagainya.

Sebaliknya jika jiwa dikuasai dengan unsur ketakwaan, maka dengan sendirinya syaitan terhindar dan jadilah kita orang yang bertakwa kepada Allah dan sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” (Surah al-A’raf ayat 200-201).

Allah mengangkat Nabi sebagai seorang yang maksum atau terpelihara daripada dosa selepas hati Baginda dibersihkan. Berbanding manusia biasa, kita hanya mampu berdoa kepada Allah, tetapi keimanan kepada-Nya tidak dapat dijamin kerana hati tidak dapat dibersihkan sepenuhnya dan sentiasa digoda syaitan.

Allah memilih Nabi Muhammad saw untuk membawa urusanNya. Maka semestinya utusan Allah mempunyai sifat istimewa, antaranya hati yang bersih.

Dengan hatinya yang bersih itu, orang kafir dan Quraisy tertawan. Kesabaran, keikhlasan dan kemuliaan akhlaknya berpunca daripada hati Baginda yang bersih. Malah orang kafir sendiri mengakui kemuliaan hati Baginda.

Umar Al-Khattab yang dikenali sebagai seorang yang keras hati dapat dilembutkan hatinya bukan dengan kekerasan, tetapi dengan mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran.


Betulkan tabiat pemakanan kanak-kanak

Jun 30, 2008

TABIAT pemakanan antara faktor yang menentukan tumbesaran yang sihat dan sempurna di kalangan kana-kanak.

Ibu bapa sebagai individu yang paling hampir dengan kanak-kanak, berpengaruh besar dalam mencorakkan tabiat pemakanan mereka.

Begitupun, mencorakkan tabiat pemakanan di kalangan anak-anak boleh menjadi cabaran yang besar pada ibu bapa, lebih-lebih lagi dengan pengaruh daripada media yang begitu meluas.

Cabaran itu bertambah sukar dengan kekangan waktu di mana kesibukan berkerja membuatkan tumpuan kepada tanggungjawab menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang kepada anak-anak gagal dilakukan.

Makanan segera

Justeru, kita melihat hari ini kanak-kanak lebih cenderung memilih makanan segera, berbanding makanan berkhasiat yang sepatutnya diambil sesuai perkembangan usia mereka.

Situasi ini turut diakui oleh Pengurus Kanan Dietetik dan Perkhidmatan Makanan, di Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John, yang berpendapat ibu bapa perlu bertanggungjawab menghidangkan makanan berkhasiat dan seimbang bagi memastikan generasi pelapis membesar sihat dan pintar.

Katanya, ibu bapa perlu lebih tegas dalam mengawal tabiat pemakanan anak masing-masing yang gemarkan makanan ringan sekiranya tidak mahu anak mereka menderita akibat masalah obesiti di peringkat kanak-kanak lagi.

Sebagai ibu bapa mereka perlu menetapkan garis panduan kepada anak-anak, makanan yang boleh diambil dengan kerap dan makanan yang perlu diambil sekali-sekala sahaja.

‘‘Jika sayangkan anak, kita harus meletakkan aspek disiplin sebagai perkara penting. Sebaiknya sentiasa jadikan diri sebagai contoh,’’ ujarnya. ketika ditemui Mega, baru-baru ini.

Mary berkata, kunci pemakanan baik sebenarnya bermula daripada perancangan teratur ketika membeli makanan untuk keluarga.

Oleh kerana itu, ibu bapa digalakkan agar membawa bersama anak mereka ke pasar atau pasar raya bagi mendidik mereka bagaimana memilih makanan yang berkhasiat.

Dalam usaha mendisiplinkan anak-anak juga, Mary berkata, ibu bapa juga perlu mempelbagaikan jenis masakan supaya anak-anak boleh membuat pilihan sekali gus membuka selera untuk mencuba.

Katanya juga, sentiasa jadikan hidangan yang disediakan itu menarik dengan mempelbagai jenis pilihan hidangan dan cara masakan.

Beliau tidak menafikan penyediaan makanan yang tidak bersih selain pilihan makanan yang tidak sesuai, menjadi penyebab utama kepada kejadian keracunan makanan kalangan kanak-kanak sekolah boleh berlaku.

Ini kerana katanya, berbanding dewasa, perut kanak-kanak lebih kecil dan sensitif. Jika kanak-kanak ini tersalah makan, impak lebih besar mungkin berlaku sehingga boleh menyebabkan keracunan makanan yang teruk dan perlu dimasukkan ke hospital.

Oleh kerana itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak membawa bekal ke sekolah sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sepanjang lima hari persekolahan. Pastikan mereka mencuci tangan sebelum makan, selepas makan, selepas mengunakan tandas dan selepas pendidikan jasmani.

Selain itu juga ibu bapa boleh mencorakkan amalan pemakanan yang baik kepada anak-anak apabila melibatkan perjalanan jauh seperti balik kampung atau makan angin.

Mary berkata sikap ibu bapa yang ‘tidak kisah’ atau ‘terlalu memanjakan anak’ menyebabkan usaha mendisiplinkan anak-anak dengan corak pemakanan yang baik tidak berhasil.


Petua Melebatkan Rambut

Jun 30, 2008

Ambil sekepal nasi dan 1/2 biji limau nipis dan direndamkan bersama secawan air dan sebuku garam. Kemudian diembunkan waktu malam. Pagi esoknya perahlah limau nipis tersebut bersama bahan yang diembunkan tadi. Selepasitu barulah dibasuh rambut anda dengan air campuran tadi dan biarkan selama 3 jam. Kemudian barulah dibilas dengan air bersih. Insya-Allah jika diamalkan petua ini, akan menampakkan hasilnya.