Cerai tanpa niat

Soalan: Suami saya pernah menceritakan bahawa kawannya telah menceraikan isterinya dengan mengucapkan lafaz cerai tersebut tanpa sebarang niat, cuma untuk menyatakan perceraian mereka sahaja. Apakah hukumnya bila suami menceritakan perkataan tersebut kepada saya?
– Nurul Nasimah Bt Junaidi,
Kota Belud, Sabah

Jawapannya: Hubungan anda yang mendengar perkataan atau cerita dan hikayat tersebut tidak terjejas dengan suami anda, kerana perkataan itu bukan ditujukan kepada anda melainkan semata-mata sebagai hikayat atau cerita mengenai perbuatan kawannya sahaja. Adapun lafaz cerai yang dipertikaikan itu ialah lafaz cerai yang ditujukan kepada isteri dalam keadaan bergurau atau marah dan sebagainya. Sedangkan cerita dalam bentuk hikayat adalah lain keadaannya. Justeru itu dalam al-Quran juga terdapat perkataan atau cerita Tuhan itu tiga sebagai hikayat dan cerita mengenai kepercayaan orang lain seperti firman-Nya bermaksud: Telah kafirlah mereka yang berkata bahawa Allah itu salah satu dari tiga tuhan (Surah al-Maidah ayat 73). Jadi sekiranya perkataan secara hikayat dan cerita juga tidak boleh disampaikan pastilah ayat ini tidak boleh dibaca oleh orang Islam. Kita tahu semua ayat al-Quran itu, disuruh kita membacanya tanpa sebarang pengecualian sedikitpun.

Walau bagaimanapun untuk menolak sebarang keraguan dan was-was syaitan eloklah si suami jangan mengucapkan perkataan tersebut. Sabda Nabi bermaksud: tinggalkan apa yang boleh meragukan dan ambil perkara yang tidak meragukan (maksud al-hadis). Menurut kaedah kita juga “perkara yang diyakini itu, tidak boleh hilang (terjejas) kerana datang sebarang keraguan.” Adapun lafaz cerai itu sekiranya ditujukan kepada mana-mana isteri ianya akan jatuh talaknya tanpa perlukan niat lagi. Kerana ianya termasuk dalam lafaz soreh (jelas dan nyata) tidak boleh difahami selain perceraian sahaja. Berlainan dengan mereka yang berlakon kerana perkataannya di tujukan benar-benar kepada isterinya sekalipun dalam lakonan, sebab itu kebanyakan ulama mengatakan talaknya itu jatuh juga. Wallahualam.

2 Respons bagi “Cerai tanpa niat”

  1. Seri Farizan Ahmad Fuad Berkata:

    Melalui artikel tuan, ucapan cerai tanpa niat jatuh talaknya.
    Cuma saya ingin ketahui lafaz cerai seperti
    “kalau susah sangat, kita cerai”

    adakah jatuh talak?

  2. kebayan Berkata:

    perkataan cerai bukan perkara yang main main .Jangan biasa menggunakannya .Kalau kena dah sampai tiga kali alamat dah tak boleh bersama .

Tinggalkan jawapan